Home Novel Keluarga I LOVE YOU CIKGU
Bab 28

“ASSALAMUALAIKUM. Kita jumpa sekarang. Ada hal yang Sara nak bincang. Jumpa kat rumah Mak Zainab.” Segera talian dimatikan tanpa memberi peluang Iman untuk berkata-kata.

Kenapa Sara Raihana hendak berjumpa sedangkan selepas dia berterus terang tentang perasaannya dan ingin melamar, Sara Raihana menolak? Malah Sara Raihana tidak mahu langsung berhubung dengannya selepas mereka pulang dari Bukit Mertajam minggu lepas.

Pelbagai persoalan bermain di benak Iman. Apa yang ingin dibincangkan Sara Raihana? Walau bagaimanapun, hatinya tetap berasa riang kerana itulah peluangnya untuk bersemuka dengan Sara Raihana yang bagaikan jinak-jinak merpati.

Segera dia mencapai tuala untuk membersihkan diri yang melekit akibat berpeluh selepas melakukan senaman pada waktu pagi. Selesai mandi, dia memilih untuk berpakaian santai dengan baju-T putih berkolar dan berseluarjeans biru denim. Rambutnya disisir rapi dan pewangi disembur ke badan. Dia meneliti penampilannya di cermin. Setelah berpuas hati, kunci kereta dicapai.

Kereta Satria Neo hitam dipandu cermat menuju ke rumah yang dimaksudkan Sara Raihana. Sebaik sahaja memasuki pekarangan rumah itu, dia mendapati kereta Honda Jazz berwarna biru milik Sara Raihana berada di garaj. Dia meletakkan keretanya di bawah pokok rambutan di tepi rumah. Mak Zainab telah berdiri di muka pintu untuk menyambut kedatangannya. Kelibat Sara Raihana tidak kelihatan. Dia memberi salam dan salamnya dijawab Mak Zainab lalu dipersilakan masuk.

Sara Raihana keluar dari bilik dengan wajah kemerah-merahan dan ada kesan tangis di matanya. Hati Iman tertanya-tanya, apa yang menyebabkan Sara Raihana menangis? Sebaik sahaja dia melabuhkan punggung ke sofa, Mak Zainab meminta diri untuk ke dapur. Sara Raihana yang memakai baju kurung berwarna kehijau-hijauan, bertudung hijau muda siap dengan tanda nama mengambil tempat duduk di hadapannya. Dia memandang wajah yang tetap ayu sering mengganggu tidurnya.

“Iman, Sara setuju kahwin dengan Iman. Tapi syaratnya kita akad nikah sebulan dari sekarang.”

Pengakuan Sara Raihana benar-benar mengejutkan Iman. Mulutnya terlopong. Tidak percaya apa yang didengarinya.

“Iman setuju ke tak? Jika tak, lupakan Sara untuk selamanya.” Pertanyaan Sara Raihana itu menyedarkannya yang Sara Raihana tidak main-main.

“Ya, Iman setuju. Tapi kenapa sebulan dari sekarang?”

“Kenapa? Tak setuju?”

“Bukan macam tu, Iman setuju. Tapi nak tahu jugak apa sebabnya?”

“Jangan tanya sebab, boleh tak? Kalau tak, kita batalkan aje pernikahan kita.”

Jawapan Sara Raihana membuatkan Iman terus berteka-teki.

“Okey. Iman tak tanya. Ibu dan abah dah tahu soal pernikahan ni?”

“Dah. Ibu dan abah ikut aje mana yang elok.”

Mak Zainab muncul dari dapur sambil membawa sedulang air dan meletakkannya di hadapan Iman dan Sara Raihana. Dia menjemput Iman untuk minum.

“Iman, mak cik harap Iman dapat jaga Sara dengan sebaik-baiknya. Kalau dulu kat rumah ni tak sempat diadakan kenduri sempena perkahwinan Sara, kali ni mak cik harap dapat diadakan kenduri tu. Sara dah setuju untuk adakan majlis akad nikah kat rumah ni. Kalau nak buat kenduri yang lebih besar selepas tu, kita buat kat Bukit Mertajam,” ujar Mak Zainab menerangkan kepada Iman akan rancangan yang telah dipersetujui mereka.

“Baiklah, Iman ikut aje. Janji Sara setuju kahwin dengan Iman,” jawab Iman dengan wajah yang sungguh ceria.

Hatinya berlagu ria kerana impiannya bakal menjadi kenyataan. Selesai menghabiskan minuman, Iman meminta izin Mak Zainab untuk membawa Sara Raihana keluar.

“Nak ke mana?” tanya Sara Raihana kehairanan.

“Ikut ajelah. Takkan tak sudi?”

“Okey. Nanti Sara salin baju dulu.”

“Tak payah salinlah. Dah elok pakaian Sara, cuma tak perlu pakai tanda nama. Takut nanti semua orang tahu nama Sara,” kata Iman separuh bercanda.

Sara Raihana hanya tersenyum dan membuka tanda nama yang terlekat di tudung. Dia mengambil beg tangan dan meminta izin Mak Zainab untuk keluar dengan Iman. Sara Raihana memilih untuk menaiki kereta Iman.

“Kita nak ke mana ni?” tanya Sara Raihana bila dilihatnya Iman membelok kereta menuju lebuh raya.

“Kenapa? Takut?” tanya Iman dengan senyuman menggoda.

“Tak, suka sangat-sangat,” jawab Sara Raihana sambil mencebik, membuatkan Iman ketawa.

“Sara tahukan, lebuh raya ni boleh sampai ke Thailand.”

“Ya, kenapa?”

“Iman nak bawa Sara hingga ke Thailand dan kita nikah kat sana hari ni jugak,” kata Iman bercanda.

“Hah?”

Sara Raihana terkejut dengan cadangan Iman sehingga dia tidak terkata apa-apa. Ada cemas bertandang di hatinya. Mukanya pucat tiba-tiba.

“Tahu pun terperanjat. Tadi Sara dah buat Iman terperanjat, kira serilah ya,” kata Iman lalu ketawa.

“Iman ni...” Sara Raihana cuba mencubit lengan Iman tetapi tidak tercubit kerana otot Iman agak pejal. Iman makin seronok ketawa kerana dapat mengenakan Sara Raihana. Sara Raihana menarik muka masam dan memandang keluar. Menggerutu hatinya memarahi Iman.

“Sara tak pergi kerja ke hari ni?” tanya Iman setelah agak lama Sara Raihana mendiamkan diri.

“Tak, ambil cuti. Tapi jangan tanya sebabnya,” jawab Sara Raihana masih mahu menyembunyikan kejadian serangan yang berlaku ke atasnya di bilik guru awal pagi tadi.

“Kalau macam tu, kita singgah rumah ibu dan abah kat Bukit Mertajam kemudian pergi shopping,” ujar Iman memberi cadangan.

“Nak shopping apa?” tanya Sara Raihana masih kabur.

“Eh, kata nak nikah sebulan lagi. Kita belilah keperluan untuk majlis kita nanti,” jawab Iman sambil mengenyit mata. Sara Raihana hanya tersenyum tawar.


PAK Cik Majid dan Mak Cik Rohaya agak terkejut dengan kemunculan Sara Raihana dan Iman di rumah mereka tengah hari itu. Mereka tidak menyangka akan kunjungan itu kerana Sara Raihana tidak memberitahu terlebih awal.

“Tak rancang pun nak ke sini. Masa kat pertengahan jalan tadi, Iman terus ajak datang ke sini,” beritahu Sara Raihana.

“Kalau beritahu awal, bolehlah abah cari lauk tambah. Ini dah lewat. Sekejap lagi masuk waktu Jumaat. Abah nak ke masjid,” kata Pak Cik Majid pula.

“Tak apa, kita makan apa yang ada cukuplah,” jawab Iman.

“Abah tahu, Iman tak kisah soal makan. Tapi Sara tu cerewet. Hari ni abah beli ikan kekek aje. Tak ada ikan besar,” kata Pak Cik Majid yang faham perangai memilih Sara Raihana.

Sara Raihana hanya memakan ikan bersaiz besar dan tidak suka ikan kecil terutama yang mempunyai tulang yang banyak.

“Tak ada ikan pun tak apa. Sara boleh makan telur. Telur ada, kan?” kata Sara Raihana sambil melangkah masuk ke dapur untuk membuat air minuman.

Iman meminjam kain pelekat Pak Cik Majid untuk ke masjid dan kemudian mengajak Pak Cik Majid menaiki keretanya. Setelah kelibat kereta Iman tidak kelihatan, Sara Raihana menutup pintu hadapan dan bergerak ke dapur untuk menolong Mak Cik Rohaya memasak.

“Sara, kalau ibu tanya, jangan marah ya,” kata Mak Cik Rohaya sambil mengupas kulit labu air untuk dibuat sayur tumis air.

“Ibu nak tanya apa?” tanya Sara Raihana sambil duduk di sebelah Mak Cik Rohaya.

“Minggu lepas beria-ia Sara kata tak nak kat Iman. Tapi hari ni kata nak nikah. Tak menyempat-nyempat pulak tu.”

“Dulu lain, sekarang lain,” jawab Sara Raihana sambil tersenyum.

“Apa yang lainnya sampai nak nikah bulan depan? Tak boleh nak rancang elok-elok ikut adat kita? Bolehlah ibu panggil abang-abang Sara bincang pasal kenduri kahwin tu.”

“Ibu, yang wajib akad nikah. Kenduri kahwin tu sunat aje.”

“Ibu tahulah tu. Tapi apa orang akan kata bila Sara nikah secara mengejut? Takut nanti orang kata Sara dah mengandung sebab tu nak nikah cepat-cepat,” ujar Mak Cik Rohaya meluahkan kerisauan.

“Hisy, ke situ pulak. Ibu jangan risau, Sara masih suci dan tak mungkin buat benda-benda macam tu. Sara cuma nak elak fitnah orang terhadap Sara. Sara tak tahan dengar maki hamun orang dan paling teruk bila Sara diserang hanya kerana Sara seorang janda.”

“Siapa yang serang Sara?” Ada kerisauan di wajah tua Mak Cik Rohaya.

“Isteri kedua Cikgu Mustafa. Dia tuduh Sara nak rampas suaminya,” jawab Sara Raihana sambil menceritakan kembali peristiwa yang berlaku awal pagi tadi.

Pada ibunya dia berpesan agar tidak menceritakan hal itu kepada Iman, takut anak muda itu akan bertindak balas terhadap Cikgu Mustafa.

“Eloklah kahwin cepat-cepat. Kalau Sara nak, hari ni pun ibu boleh panggil pak imam untuk akad nikah,” kata Mak Cik Rohaya bergurau.

“Ibu ni sama macam Iman. Cuma bezanya Iman ajak nikah kat Thailand.”

“Tak payahlah sampai ke sana. Kalau betul-betul nak cepat, buat aje kat sini.” Nada Mak Cik Rohaya kembali serius kerana dia takut mereka berdua akan bertindak di luar jangkaan. Orang yang kemaruk hendak berkahwin sukar diramal tindakan mereka.

“Ibu janganlah risau, Sara takkan setuju kalau berkahwin kat sana. Sara masih ada ibu dan abah, tak mungkin Sara malukan keluarga kita,” janji Sara Raihana.

Mereka meneruskan kerja-kerja memasak sehingga selesai. Apabila Pak Cik Majid dan Iman pulang dari masjid, mereka semua menikmati makan tengah hari berlaukkan ikan kekek goreng, sayur labu, sambal belacan dan ulam-ulaman. Sara Raihana yang tidak menggemari ikan kekek dan sayur labu hanya berlaukkan sambal tumis telur dengan ulam-ulaman dan sambal belacan. Tetapi Iman makan dengan berselera.

“Iman memang suka masakan kampung ke?” tanya Mak Cik Rohaya.

“Ya. Semua masakan Melayu, Iman suka. Kalau Sara yang masak lagilah Iman suka.”

Sara Raihana yang mendengar hanya tersenyum nipis. Bolehkah nanti dia menerima Iman? Walhal dalam hati masih ada rasa ragu.

p/s Bab ni adalah kesinambungan daripada prolog.

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.