SUASANA di rumah Sara Raihana pada petang
Jumaat itu sungguh meriah. Pengantin lelaki tiba
dengan membawa barang hantaran yang dihias
cantik. Izzat Hafis amat segak berpakaian Melayu
tradisional berwarna putih dan bersampin putih
untuk upacara akad nikah. Rombongan itu disambut pihak
pengantin perempuan. Sara Raihana telah didandan cantik,
siap berpakaian pengantin daripada kain kaftan serba putih
berhias labuci dan manik.
Sebelum akad nikah dijalankan, wang belanja, mas kahwin
dan barang-barang hantaran dihitung dan diperiksa tuan kadi
bersama dua orang yang dilantik sebagai saksi bagi mewakili
pihak perempuan.
Setelah selesai adat penerimaan wang dan barang-barang
itu, Izzat Hafis kemudian diminta duduk di atas sebuah tilam
kecil khas yang dihias indah untuk upacara akad nikah.
Tuan kadi memulakan majlis dengan mendaftarkan nama
Izzat Hafis terlebih dahulu, diikuti dengan menyatakan dan
menyemak segala syarat-syarat yang dikehendaki dan akhir
sekali membaca khutbah nikah di dalam bahasa Arab.
Tuan kadi memanggil dua orang yang telah dipilih sebagai
saksi untuk mendengar dan menyaksikan pengakuan lafaz
nikah daripada tuan kadi kepada Izzat Hafis. Tangan Izzat
Hafis digoncang tuan kadi dan dalam satu nafas sebutan, lafaz
nikahnya disahkan mereka yang mendengar. Maka dengan
rasminya Izzat Hafis menjadi suami kepada Sara Raihana.
Bacaan doa dibaca sebagai tanda kesyukuran dan
diaminkan semua yang hadir. Mak Zainab, ibu Izzat Hafis
mengalirkan air mata kegembiraan. Dia amat bersyukur
kerana anak lelaki keduanya selamat diijabkabulkan. Selepas
akad nikah, Izzat Hafis diiringi Mak Zainab memasuki bilik
Sara Raihana untuk melakukan upacara menyarung cincin.
Izzat Hafis menyarungkan cincin kepada isterinya, Sara
Raihana dan serentak dengan itu sinaran lampu kamera
berkelipan ke arah mereka. Sara Raihana tunduk menciumi
tangan Izzat Hafis tanda menghormatinya sebagai ketua
keluarga. Adat ini dilakukan sebagai satu simbolik bahawa
pasangan itu telah sah diijabkabulkan. Sekali lagi sinaran
lampu kamera memenuhi ruang bilik itu. Sara Raihana turut
menyalami emak mentuanya sebelum tubuhnya dipeluk erat
dan kedua-dua pipinya dicium mesra. Mereka terus bergambar
dalam pelbagai posisi mengikut arahan jurugambar.
“Jemput semua, kita makan kat depan sana. Mari Nab,
kita pergi makan dulu,” jemput Mak Cik Rohaya, ibu Sara
Raihana.
Kesemua mereka yang berada di dalam bilik itu segera
melangkah mengikuti Mak Cik Rohaya untuk menikmati
hidangan. Tinggal Izzat Hafis dan Sara Raihana sahaja di
dalam bilik itu.
“Abang, terima kasih kerana sudi terima Sara sebagai
teman hidup abang,” ucap Sara Raihana sambil tangan Izzat
Hafis digenggam erat.
“Abang pun nak ucap terima kasih pada Sara kerana
memilih abang. Abang rasa sangat bahagia kini dan kalau
abang mati pun dah rasa puas,” kata Izzat Hafis sambil
tersenyum lebar.
“Apalah abang ni. Janganlah
disebut tentang mati. Sara tak
sukalah,” ujar Sara Raihana mempamerkan wajah merajuk.
“Janganlah merajuk, sayang. Bukan apa, cuma abang rasa
sangat puas hati segalanya telah selesai dan Sara dah jadi
milik abang,” pujuk Izzat Hafis.
Wajah Sara Raihana kembali ceria lalu menghadiahkan
ciuman di pipi suaminya. Terlekat sedikit kesan gincu di pipi
itu, lantas jari-jemari Sara Raihana mengelap kesan itu sambil
tertawa manja.
Tiba-tiba tangannya digenggam erat Izzat Hafis.
Izzat Hafis merenung ke dalam mata Sara Raihana yang
sememangnya cantik. Terpesona memandang mata itu dan
tanpa sedar bibirnya makin hampir ke bibir Sara Raihana.
Sara Raihana memejam mata, tetapi belum sempat keduadua
bibir bertemu mereka dikejutkan suara Kak Haida.
“Hoi! Simpanlah dulu untuk esok. Jom makan,” kata Kak
Haida sambil tersengih-sengih.
Sara Raihana yang tersedar daripada alunan asmara
yang membuainya, segera bangun. Rona mukanya berubah
kemerah-merahan kerana malu dan terkejut.
“Kacau daunlah Kak Haida ni. Kasi canlah kat kami,” ujar
Izzat Hafis selamba.
Kata-kata itu membuatkan Sara Raihana mencubit
manja lengan suaminya lalu kedua-duanya tertawa mesra.
Mereka segera keluar mengikuti langkah Kak Haida untuk
menikmati hidangan yang telah disediakan. Majlis akad nikah
itu hanya disertai ahli keluarga dan jiran-jiran terdekat. Oleh
itu mereka hanya makan di dalam rumah walaupun khemah
telah siap dipasang di luar. Setelah selesai menjamu selera,
rombongan pengantin meminta diri untuk pulang.
“Abang Majid, kami mintak diri dulu,” kata Pak Razak,
ayah Izzat Hafis.
“Takkan nak balik dah? Awal lagi ni,” balas Pak Cik Majid
pula. “Tengok budak-budak berdua tu pun macam tak boleh
nak berenggang dah,” sambung Pak Cik Majid sambil mulut
dimuncungkan ke arah pasangan pengantin baru yang sedang
berdiri berpegangan tangan di hujung beranda.
“Kalau ikut mereka berdua, tak balik-baliklah kami
nanti,” ujar Pak Razak berseloroh.
“Izzat, sudah-sudahlah tu. Esok kita datang lagi. Jom balik
dulu. Asar dah tak panjang ni.” Mak Zainab pula bersuara
menyebabkan mereka semua ketawa.
“Solat kat sinilah ajelah Nab, boleh rehat-rehat dulu,”
sampuk Mak Cik Rohaya pula.
“Tak apalah, kami nak ke rumah Kak Hawa dulu. Rumah
dia pun tak jauh dari sini. Kami rehat kat sana, lepas Maghrib
baru bertolak balik Taiping,” jawab Mak Zainab.
“Baiklah kalau begitu,” kata Mak Cik Rohaya lagi.
Mereka semua bersalaman sebelum memasuki kereta.
“Maafkan abang, Sara. Abang mintak diri dulu. Jaga diri
baik-baik,” kata Izzat Hafis sambil memandang Sara Raihana.
Wajahnya yang ceria telah berubah menjadi muram. Sara
Raihana tunduk bersalaman dan menciumi tangan suaminya.
Apabila kepalanya dipanggung, Izzat Hafis menghadiahkan
sebuah ciuman di dahinya. Hangat terasa ciuman itu dan
cukup untuk menggetarkan hatinya. Sebak terasa di dada
apabila melihat suaminya melangkah masuk ke dalam
kereta.
Sara Raihana melambai-lambai. Lambaian itu dibalas
Izzat Hafis dan di hujung lambaian itu Izzat Hafis melayangkan
flying kiss. Sara Raihana hanya tersenyum dan memandang
kereta yang membawa suaminya itu sehingga hilang daripada
pandangan. Sara Raihana masuk ke dalam bilik dan telinganya
dapat menangkap bunyi telefon. Tangannya segera menekan
butang menjawab setelah nama Cikgu Maimunah tertera di
skrin.
“Assalamualaikum. Maafkan Kak Mai sebab tak dapat
pergi ke majlis akad nikah Sara.”
“Waalaikumussalam. Tak apa,
Kak Mai. Esok Kak Mai
datanglah, ya”
“Insya-ALLAH. Dah selesai ke majlis?”
“Dah selesai. Izzat pun dah balik.”
“Oh, ya ke? Tahniahlah, Sara. Kak Mai tumpang gembira.
Insya-ALLAH, esok Kak Mai datang satu bas,” kata Kak
Maimunah bergurau.
“Itu sudah bagus! Datanglah, Sara tunggu dengan senang
hati,” ujar Sara Raihana tertawa kecil.
“Okeylah Sara, Kak Mai mintak diri dulu. Jumpa lagi
esok.”
“Insya-ALLAH.”
Talian dimatikan. Sara Raihana melihat jam di dinding
menunjukkan jam 6.15 petang. Baru dia sedar yang dia belum
menunaikan Solat Asar. Terburu-buru dia menanggalkan
tudung yang masih melingkari kepala sambil mencapai tuala
kecil sebelum memasuki bilik air. Dia perlu membersihkan
make-up yang dikenakan Kak Emma sebelum menunaikan
solat. Jika tidak kerana majlis perkahwinannya ini, dia tidak
mungkin mengenakan make-up sebegitu rupa.
Selesai menunaikan Solat Asar, dia melihat jam telah
menunjukkan pukul 6.45 petang. Lewat benar solatnya
sehinggakan tinggal setengah jam saja lagi Maghrib akan tiba.
Maghrib nanti dia berazam akan menunaikan solat seawal
waktu.