Bab
11
“Mana lagi kita
nak cari ni? Kita bukannya tahu ke mana dia pergi. Siapa kawan-kawan
dia. Si Anees tu suka sangat ikut haluan sendiri, tak pernah
berbincang dengan kita apa dia nak buat. Kalau dia dah pergi Lombok
pun bukan kita tau. Elok kita balik dulu, serahkan saja pada polis,”
ucap Fauzan yang tampak keletihan.
Bibir
Latifa seakan dijahit, tidak meluah walau sebutir bicara. Cahaya
sempat mengintai wajahnya yang didekatkan ke muka cermin. Ada kecewa
berulit dengan kebimbangan. Papa seolah-olah tidak mengerti naluri
seorang ibu. Dengan mudah papa menyuarakan ayat itu, seakan tidak
bersimpati dengan Latifa dan anak kandungnya sendiri, Anees.
Pandangan yang papa
lemparkan pada Latifa hanyalah pandangan kosong. Lupakah papa wajah
itu yang membuatkan papa gila bayang sampaikan sebulan papa tidak
pulang ke rumah menjenguk mama selepas akad nikahnya dengan Latifa
dulu.
Benar, manusia
memang mudah lupa, leka. Papa lupa yang Anees juga anak kandungnya,
seperti Cahaya, Nukman, Azriq dan Halem. Papa tak pernah peduli nasib
kesemua anak-anaknya. Papa pentingkan diri sendiri!
“Berhenti!”
pinta Cahaya secara tiba-tiba.
Fauzan
menekan brek secara mendadak, terkejut dengan permintaan Cahaya.
Beberapa kereta di belakangnya menekan hon. Dia segera menekan minyak
semula sebelum memberi signal kiri dan berhenti di bahu jalan.
Pemandu kereta di belakangnya tadi memotong, menjeling tajam sewaktu
berselisih dengan kereta yang dipandu oleh Fauzan.
“What
is wrong with you, Aya?” soal Fauzan, geram.
“What
is wrong with me? Papa tanya Aya? What is wrong with you?! Papa,
she’s your daughter!” ucap Cahaya, kali ini dalam nada keras,
seakan terlupa yang Fauzan ayahnya. Berdosa seorang anak meninggikan
suara dengan orang tuanya. “Papa tak risau ke? Macam mana kita nak
jumpa kalau kita tak cari sungguh-sungguh?” ungkitnya.
Fauzan
terdiam. Ini kali pertama Cahaya naik berang dengannya kerana
seseorang yang bergelar saudara tiri. Sebelum ini, biarpun marah,
Cahaya tidak akan terjerit-jerit seperti itu di depannya. Cahaya anak
yang jarang menunjukkan apa yang dirasanya secara terang-terangan.
Dia suka menyimpannya di dalam hati. Marah dan bencinya jarangkali
disuarakan biarpun pada orang yang rapat dengannya.
“She’s
my sister. Kalau papa tak nak cari, tak apa. Papa boleh balik ke
rumah, berehat selama mana papa nak. Biar Aya yang cari seorang,”
luah Cahaya. Dia menoleh ke arah Latifa yang tercengang di belakang.
“Mak cik, tolong
bagi Aya mana-mana nombor telefon kawan baik dia yang mak cik ada,”
pintanya.
Jari-jemari
Latifa ligat bermain atas keyboard handphone. Satu set nombor
ditunjukkan pada Cahaya dan gadis itu segera menaipnya di atas touch
screen Motorola Razr miliknya. Buat sesaat, Latifa disapa dengan rasa
terharu. Bencinya pada Cahaya padam sekejap. Tak disangka yang Cahaya
akan turut merisaukan keselamatan anaknya, Anees.
Tetapi rasa itu
hanya untuk sekejap. Apabila Latifa menatap wajah Cahaya yang persis
Masaki, bencinya mengetuk lagi. Ya TUHAN, dia tidak mahu mengawal
benci yang sudah sebati dengan dirinya itu. Sedangkan Anees sendiri
sudah dididiknya agar membenci Cahaya sejak dari kecil.
“Aya,
kau nak ke mana tu?” soal Fauzan sebaik Cahaya menolak daun pintu
kereta BMWnya.
“Cari
adik Aya, anak kandung papa,” jawab Cahaya tanpa memandang riak
wajah kecewa Fauzan.
Latifa turut menolak
daun pintu kereta Fauzan.
“Kau nak ke mana
pulak?” soal Fauzan.
“Ifa nak ikut Iris
cari Anees. Kalau abang tak nak cari anak abang, biar kami berdua
yang cari. Abang baliklah sorang-sorang,” balas Latifa dalam nada
geram.
Latifa marah dengan
sikap suaminya yang bersikap acuh tak acuh dengan kehilangan anak
mereka. Adakah Fauzan akan menunjukkan sikap yang sama kalau yang
hilang itu Cahaya? Pasti tidak. Fauzan melebihkan Cahaya dari kesemua
anak-anaknya. Cahaya itu! Cahaya ini! Kekadang dia berlagak yang
Cahaya itu adalah anak tunggalnya.
“Latifa!”
panggil Fauzan.
“Ifa nak pergi
cari anak Ifa,” cetus Latifa, masih berdegil. Entah apalah nasib
Anees sekarang. Dia takut kalau perkara itu didiamkan sekarang, dia
akan kehilangan anaknya buat selama-lamanya.
“Aya, masuk!”
suruh Fauzan sebaik menurunkan daun tingkap kereta tetapi Cahaya
memekakkan telinga.
“Aya!” laung
Fauzan. Kali ini dia sendiri masuk ke dalam kereta. “Kau masuk
sekali, Ifa! Jangan sampai aku naik darah. Jangan nak perbodohkan aku
kat luar, depan orang ramai. Kalau kau tak masuk, aku akan ceraikan
kau sekarang juga,” ugut Fauzan, jelas sekali dia melebihkan rasa
malunya dari risaunya dengan kehilangan Anees.
Hati Latifa
berperang antara kemahuan diri dan arahan suaminya. Tanpa rela, dia
melangkah masuk semula ke dalam kereta. Dia masih takut dengan
gertakan cerai Fauzan. Dari detik pertama dia bertemu Fauzan sehingga
kini, hanya lelaki itu yang dicintainya walaupun kesetiaannya tak
pernah berbayar dengan kesetiaan suaminya.
“Aya!” laung
Fauzan sekali lagi.
Air mata Cahaya
merembes keluar dari sepasang mata yang selama ini bersinar dengan
cahaya ketabahan. Tetapi, peliknya air mata itu tidak menampakkan
betapa lemahnya dirinya. Tidak menampakkan betapa kerdilnya dia. Air
mata itu mengalir tanpa esakan, tanpa bunyi tersedu-sedan. Air mata
itu gugur tanpa rela, bertemankan air muka marah, bibir yang terkunci
tanpa bicara.
Fauzan terus
terdiam. Lidahnya kelu. Tiada lagi pekikkan yang terlontar dari
kerongkongnya.
“Aya minta ampun,
papa. Tapi, Aya dah tak larat nak diamkan rasa tak puas hati Aya.
Papa tau tak betapa banyak papa seksa Aya, seksa mama? Papa seksa mak
cik Latifa. Papa seksa mak cik Pekan. Papa seksa semua
perempuan-perempuan yang ikhlas sayangkan papa. What do you want, pa?
Papa tak puas ke nak seksa kami semua? Apa lagi yang papa rasa tak
cukup?” ucap Cahaya.
“Apa kau cakap
ni?! Kenapa kau gamak cakap macam tu pada papa? Papa tak nak kau
pergi sebab papa risaukan kau. Kau tau tak papa sayangkan kau, Aya?”
soal Fauzan dalam nada meninggi, seakan-akan tidak berpuas hati
dengan tuduhan Cahaya.
“I’m sorry, pa.
I don’t want to live in your shit anymore!” tempelak Cahaya.
“Aya!”
“Apa yang lelaki
mahukan, pa? Apa? Kat mana letaknya cinta dan kesetiaan seorang
lelaki?” soal Cahaya yang masih keliru. Tanpa menanti balasan kata
Fauzan, Cahaya terus berlari jauh dari papanya.
“Come back, Aya! I
don’t want you to get hurt! I love you more than anything! Even
more than myself!” luah Fauzan, menundukkan egonya, memujuk.
“How can you say
that when you keep on hurting me!” balas Cahaya tanpa memandang
wajah kecewa Fauzan.
Sebuah teksi yang
kebetulan sedang melalui jalan itu ditahannya. Dia sempat menoleh
sekejap, memandang Fauzan yang masih tertegak di sebelah keretanya.
Namun, hati Cahaya tidak terpujuk untuk kembali ke sana, memohon
kemaafan Fauzan. Hatinya membeku, sejuk umpama ais di kutub utara.
Dia terus masuk ke dalam perut teksi.
Air matanya gugur
lagi sewaktu empat tayar teksi yang ditahan kembali berputar atas tar
hitam jalan. Pedih. Sakit. Semuanya tak larat lagi untuk diperamnya
di dalam bengkung dada. Meskipun dia cuba menahan diri dari membenci
apa yang selama ini disayanginya, dia merasakan benci itu sentiasa
ada dalam lubuk dada. Sungguh, dia merasa berdosa kerana membenci.
Cuma dia sudah tak mampu lagi menidakkannya.
Lelaki. Kaum yang
seringkali menyelar wanita sebagai makhluk yang obsess, sukar
difahami, sukar untuk dipuaskan hatinya. Sedangkan lelaki itu lebih
kompleks. Nafsu mereka kononnya hanya satu dinisbahkan dengan akal
yang ada sembilan. Kenapa? Kata mereka, kerana mereka dikurniakan
lebih akal untuk menjadi yang bijak, yang mampu membimbing Hawa yang
diciptakan dari tulang rusuk mereka.
Benarkah? Atau
sebenarnya nafsu yang satu itu pun tak mampu mereka kawal dengan
sebaik apatah lagi untuk diberikan nafsu yang berlipat kali ganda.
Tak kisahlah kalau mereka asyik mengungkit yang akal wanita itu satu.
Tetapi bukankah kalau satu itu digunakan dengan sebaik-baiknya, maka
ia lebih baik dari jumlah yang berganda-ganda tetapi tidak digunakan
ke jalan yang sepatutnya. Bukan Cahaya cuba menidakkan hukum alam,
apatah lagi hukum TUHAN yang satu. Tetapi marah dan kecewanya tak
mampu dikawal lagi. Dia kelemasan.
Apa yang lelaki
mahukan? Apa yang lelaki dambakan? Cahaya tak pernah mengerti. Atau
barangkali dia tidak akan pernah mengerti lelaki. Mengapa rapuh benar
cinta seorang lelaki? Mengapa Adam yang sepatutnya membimbing tak
lagi melaksanakan tanggungjawab mereka? Mengapa khilaf wanita selalu
diperbesarkan mereka, tak pernah dibimbing, diajar, apatah lagi cuba
dibentuk dengan contoh yang sebaiknya?
Air mata yang gugur
ke pipi cepat-cepat Cahaya kesat. Dia mendail nombor yang diberikan
ibu tirinya berulang-kali.
“Adi?” ucap
Cahaya apabila nombor yang didailnya dijawab. “Ini Adi ke? Akak ni
Cahaya, kakak Anees. Tolonglah jangan letak telefon,” rayu Cahaya.
“Kak…Saya…”
Suara gugup itu kedengaran ketakutan. Suara gugup itu seakan-akan
mahu lari darinya sedangkan dia tidak berada di sana.
“Adi, mana Anees?”
soal Cahaya.
“Saya tak tau,”
balas Adi.
“Tolonglah, Adi.
Adi rapat dengan dia. Adi mesti tau,” gesa Cahaya.
“Mungkin dia
dengan Jo,” jawab Adi.
“Siapa Jo?” soal
Cahaya lagi.
“Adi
tak kenal sangat dengan Jo, kak. Dia boyfriend baru Anees. Adi…Adi
takut dia pergi lagi tempat dia selalu pergi tu dengan Jo, ambik
bekalan,” jawab Adi, masih dalam nada gugup dan tersekat-sekat.
“Bekalan
apa?” soal Cahaya, semakin diserbu risau.
“Bekalan…er…”
“Adi!”
panggil Cahaya dalam suara yang menekan. “Baik Adi cakap sekarang.
Dah lama Anees tak balik, Adi. Kalau ada apa-apa jadi kat Anees macam
mana? Kesiankan kami, Adi. Kesiankan Anees,” ucap Cahaya.
“Kampung…Kampung
Periuk. Ada rumah lama kat situ, rumah tinggal. Anees selalu pergi
sana,” jelas Adi.
“Pergi
sana untuk apa?” soal Cahaya.
Talian
dimatikan. Dub. Dab. Dub. Dab. Jantung Cahaya seakan mahu melompat
keluar dari tubuhnya. Otaknya berperang, cuba mencari jawapan. Ya
TUHAN. Dia terbayangkan wajah Anees yang pertama kali ditemuinya
semasa papa membawa mereka ke Berjaya Times Square. Sebelum itu
Cahaya tak pernah mengetahui yang papa beristeri tiga. Dia tak pernah
tahu yang Anees itu adalah adik kandungnya. Mereka bermain bersama,
berkongsi makanan dari pinggan yang sama tanpa mengetahui ada talian
yang menyatukan mereka.
Setelah
mereka mengetahui hakikat yang sebenar, mereka saling membenci. Dia
tak pernah cuba mendekati Anees, menjalankan kewajipannya sebagai
kakak sulung. Anees sendiri tak pernah menghormatinya sebagai kakak.
Perilaku Anees,
persis ibu tirinya, Latifa. Dia cepat berang, suka mengamuk kerna
perkara yang bagi Cahaya remeh. Perangai adik perempuannya yang
seorang itu sudah cukup memeningkan kepala. Apatah lagi perangai
adik-adik lelakinya dari hasil perkahwinan papa dengan isteri
ketiganya, Nukman, Azriq dan Halem. Kerana risau yang mereka akan
bersifat sama seperti Anees, Cahaya tak pernah cuba menjejak
adik-adiknya yang lain. Dia berputus asa sebelum mencuba.
“Bawa
saya ke Kampung Periuk. Ada rumah lama kat sana. Pak cik tau kat mana
tempatnya?” ucap Cahaya sambil memanjatkan doa dalam hati agar
lelaki itu tahu lokasi yang mahu dicarinya.
“Dekat
Jalan Dewan Sultan Sulaiman tu?” soal pemandu teksi yang sedang
dinaiki Cahaya.
“Saya
tak tau sangat tempat-tempat kat sini. Agaknyalah tu, pakcik. Pak cik
boleh drive ke tempat tu?” soal Cahaya kembali.
“Nak
buat apa pergi tempat sarang penagih tu, cik? Nak cari nahas?”
balas pemandu tadi sambil memandang ke cermin tengah yang tertala ke
muka Cahaya.
“Sarang
penagih? Maksud pak cik, penagih dadah?” soal Cahaya dalam nada
terkejut. Dia berighstifar panjang di dalam hati.
“Iyalah,
nak. Penagih apa lagi? Tempat tu tempat kotor,” balas pemandu tadi,
seakan bengang nadanya.
Air
mata Cahaya seakan mahu merembes lagi. Ya Allah. Apa yang Anees buat
di tempat seperti itu? Kenapa Anees ada di sana?
“Betul
ke, pak cik?” soal Cahaya, semakin risau.
“Buat
apa pak cik nak bohong kamu, nak. Tak dapat untung pun kalau pak cik
menipu,” jawab driver teksi tadi.
“Tolonglah
bawakan saya ke sana. Saya sanggup bayar berapa saja yang pak cik
minta,” rayu Cahaya.
“Ni
bukan soal duit, Cik. Ni soal keselamatan. Kalau apa-apa jadi pada
kamu macam mana? Siapa nak menanggung nanti?” tegas pemandu teksi
itu.
“Saya tak peduli.
Saya kena pergi jugak,” gesa Cahaya.