Home Novel Keluarga Awak Sudi Tak?
Awak Sudi Tak?
liza nur
21/6/2013 01:25:37
87,974
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 12

Bab 12

Titisan embun jantan mula jatuh ke dedaun hijau atas pepohon yang menjalar atas dahan pokok mati yang berbaring di sebelah titi kayu daif menuju ke rumah lama yang seakan tidak berpenghuni itu. Cahaya malap lilin dalam dikesan mata yang rajin memerhati. Kalau tidak, ia terus tenggelam dalam malam likat.

Bau masam, hapak menikam rongga hidung, seakan mahu menghalau tetamu yang mahu bertandang. Suasana suram yang mengelilingi rumah papan buruk yang hampir ternganga dinding depannya itu membuatkan Cahaya beberapa kali terfikir untuk berpatah balik. Jantungnya berdegup kencang, seakan mahu melompat keluar dari juntaian urat-urat darah. Nafasnya terasa berat.

Berkeriut-riut bunyi papan yang dijijaknya untuk sampai ke dalam. Dia menoleh sekejap, memandang pemandu teksi yang dibayar RM300, disuruh menunggu beberapa meter jauhnya dari situ dan diarahkan untuk menghubungi pihak berkuasa jika dia tidak keluar dalam masa tiga puluh minit. Bolehkah dia mempercayai si tua itu? Ah, dia tidak tahu. Dia tidak diberikan banyak pilihan. Keselamatan adiknya diletakkan dulu sebelum keselamatannya sendiri.

Berbaloikah? Ya, kalau itu harga yang terpaksa dibayarnya untuk keselamatan Anees, dia redha. Mungkin itu balasan dosa kerana meminggirkan tanggungjawabnya sebagai seorang kakak selama ini. Dia mengabaikan adik-adiknya, meninggalkan mereka yang ketandusan kasih sayang dari papa. Dia pentingkan diri, hanya memikirkan dirinya sendiri.

Cahaya melangkah lagi, di antara dua bahagian rumah yang terbelah dengan titian kayu yang mencelah di tengah-tengahnya. Di tepi ruangan kanannya ada pintu yang ternganga. Seakan ada suara-suara kecil yang datang dari sana. Cahaya tidak pasti sama ada suara itu menangis atau tertawa. Yang pasti, dia hampir terpengsan di situ kerana terlalu takut. Makhluk apakah yang mahu mengusiknya? Manusiakah atau hantu syaitan?

Kepalanya dijengukkan ke sebuah bilik yang tampak lebih elok sedikit. Pintunya dilitupi kain. Di sebalik kain yang diselaknya itu tidurnya kira-kira enam orang lelaki dan perempuan tanpa segan silu, mengelilingi cahaya lampu lilin yang suram, baru melepaskan gian dadah. Buktinya berlonggok di situ, di sekitar lilin. Rupa-rupanya dari situlah datangnya suara-suara pelik yang didengarinya tadi.

Cahaya terduduk di depan pintu, merangkak di antara tubuh-tubuh leka. Ada yang sedang merengek, menangis. Ada yang sedang ketawa bagaikan orang tidak siuman. Tiap wajah diperhatikan, mencari kalau-kalau Anees ada di antara mereka. Dia terpaksa bangun berdiri apabila ternampak jarum-jarum yang berbaring atas lantai papan yang rongak, takut kalau tertikam tangannya.

Cahaya mahu segera keluar setelah yakin yang adik tirinya tidak ada di sana. Tetapi, kemudian kepalanya ditolehkan semula. Dari satu wajah, matanya berpindah ke wajah yang lain, seakan-akan tiap wajah itu pernah dikenalinya. Bagai ada ikatan yang menyatukan mereka. Dia ralit memandang.

Ya, mungkin dia memang kenal. Itu wajah anak bangsanya, yang hanyut, yang hilang dalam arus neraka dunia. Tiap wajah itu punya kisah, punya derita yang tak tertanggung. Mereka mencari penyelesaian disebalik satu lagi masalah. Mereka terperangkap dalam neraka dunia, tidak berpeluang mencari jalan keluar. Mereka memilih untuk terus hidup dalam dunia yang kelam, kotor. Meskipun ada jalan jernih yang merentang di depan.

Salah siapa? Angkara siapa? Barangkali mereka juga pernah merasakan diri mereka terbuang sepertinya. Barangkali mereka terkapai-kapai, menanggung seksa atas dosa orang lain sepertinya. Barangkali mereka juga pernah dikhianati oleh seseorang yang teramat mereka kasihi. Barangkali mereka sudah tak mampu lagi nampak cahaya di dalam lorong gelap yang mereka tempuhi dalam hidup.

Air mata Cahaya menitis, seakan mengerti. Seakan tahu apa rasanya ditinggalkan sendirian, memperjuangkan nasib diri apabila tak ada yang sudi memberi perlindungan dan kasih sayang. Dia tahu apa rasanya hilang dalam dunia sendiri. Tanpa kawalan. Kebebasan tanpa had limitasi.

Kerna manusia memang makhluk yang cukup lemah emosinya, mudah tersesat dalam arus dunia. Kerna itu manusia memerlukan pegangan, memerlukan agama. Manusia tak mampu hidup sendiri. Tiap manusia memerlukan teman untuk saling mengingati.

Anees?” panggil Cahaya sebaik saja dia bertembung dengan gadis yang berskirt pendek sampai hampir menampakkan bontot.

Wajah adiknya ditemani make up tebal, berlapis-lapis. Kepalanya dialasi rambut palsu kerinting. Di celah baju sendatnya disogok dengan duit RM yang dikutip dari pelanggan yang dilayaninya tadi. Dia sudah hilang rasa malunya, segannya dengan pakaian yang terdedah di sana sini itu.

Iris?” ucap Anees dalam nada terkejut, tidak menyangka kakaknya ada di sana. Pandangannya dilemparkan ke kawasan sekitar, mencari-cari kelibat mama dan papanya. Dia menarik rambut palsu yang dipakainya, menampakkan rambut panjangnya yang sudah dipotong sependek lelaki.

Anees, kau dah balik? Kau bawak barang tak?” soal suara perempuan yang sedang khayal sambil melangkah keluar, hampir-hampir terlanggar tempayan air di antara baju-baju buruk yang mendakap segala macam bau-bauan.

Anees mengeluarkan beberapa paket putih dari tas tangannya dan menghulurkannya kepada perempuan tadi. Di belakang Anees, muncul beberapa lagi perempuan yang berpakaian seperti dirinya, sama seksi dengan rambut palsu pelbagai warna dan bentuk. Mereka melangkah dengan penuh keyakinan, seakan sedang berjalan di atas pentas kegemilangan sedangkan Cahaya memandang mereka dengan sehina-hinanya.

Kau buat apa kat sini?” soal Anees kasar.

Ikut akak, Anees! Ikut akak balik!” arah Cahaya sambil menarik tangan Anees agar mengekorinya.

Tak nak! Lepaslah!” marah Anees sambil menempis tangan Cahaya. Kakak tirinya itu ditolak ke tepi dengan kasar, sampai terlanggar papan kayu di bilik sebelah kiri.

Anees, aku ni kakak kau,” tegas Cahaya, memberitahu Anees di mana kedudukan yang tak pernah ditegakkan selama ini. Dia mahu menuntut hormat Anees kerana kedudukannya itu. Dia berpangkat anak sulung dalam keluarga mereka yang berpecah-pecah. Dia tetap kakak Anees walaupun Anees cuba menidakkannya. DNA dalam tubuh mereka boleh diubah. Ikatan darah antara mereka bukan ikatan yang boleh dicincang, diputuskan.

Kau jangan nak berakak-adik dengan aku! Aku tak pernah mengaku kau kakak tu kakak aku tau! Sedarlah diri tu sikit!” balas Anees.

Siapa yang patut sedar diri sekarang?” cetus Cahaya.

Anees menjeling dengan marah dan geram. Dadanya berombak dengan nafas kencangnya.

Ikut aku!” arah Cahaya dalam nada garang.

Hey, perempuan gila, jangan kacau akulah! Aku bukan adik kaulah, bodoh!” jerkah Anees.

Tubuh Cahaya ditolak ke tepi apabila kakaknya cuba menarik lengannya. Kasar tingkahnya. Kali ini Cahaya terus terjatuh, terduduk dekat tempayan berisi air hujan. Dia mengerang kesakitan.

Namun, Cahaya tidak akan beralah. Tidak sekali-kali! Cahaya sudah sampai di sana. Dia takkan pulang tanpa Anees. Dalam payah, dia melangkah bangun semula, berdiri menghadap Anees.

Ikut aku balik, Anees!” arah Cahaya, kali ini nadanya menyinga.

Dicekaunya tangan Anees tanpa kerelaan adiknya itu kemudian dipaksanya Anees mengikut langkahnya. Anees berjalan dalam langkah terhenjut-henjut dengan heels tiga inchi yang masih tersarung di kaki.

Perilaku Cahaya menarik perhatian banyak mata yang singgah di situ. Penghuni-penghuni rumah itu menjeling tajam, seakan memberi amaran supaya drama itu dihentikan segera. Tetapi, tidak. Kedua-dua beradik masih berkeras. Yang seorang menarik dan yang seorang menolak sambil lidah bercakaran sungguhpun tak saling bersentuhan.

Hoi! Lepaskan dia!” tempik seorang lelaki yang muncul dari bilik sebelah kiri. Langkahnya sedikit goyang, bagaikan orang mamai. Rambutnya digelkan menegak. Dia tidak berbaju, hanya bersiglet dengan seluar pendek bercorak kotak-kotak.

Baik kau blah sekarang sebelum aku naik darah!” tengking lelaki itu sekali lagi sambil menuding jarinya pada Cahaya.

Pergi!” arah Anees sambil menolak Cahaya jauh darinya.

No!” tegas Cahaya, keras.

Lelaki tadi mengeluarkan sebilah pisau lipat dari poket seluarnya dan mengacu bucu tajamnya ke arah Cahaya, mengugut.

Jangan buat kacau kat tempat ni,” ugut salah seorang perempuan yang baru pulang bersama Anees tadi, yang kelihatan lebih berusia dari penghuni yang lain. Dia berdiri depan lelaki tadi, melarang dia bertindak keras.

Kau jangan campur. Aku nak lindungi korang. Dia yang cari pasal dulu. Dia masuk tempat kita, kacau ayam aku,” ujar lelaki tadi, menolak ke tepi perempuan yang menghalang di depannya.

Cahaya memandang dengan pandangan geram. Ayam? Murah sungguh harga yang dilabel pada Anees. Anees bukan binatang. Dia manusia.

Kau panggil adik aku ayam?!” luah Cahaya, marah.

Kalau ya, kenapa?” soal lelaki tadi sambil melangkah ke depan, cuba mendekati Cahaya.

Lari!” arah Anees.

Kepala Cahaya digelengkan. Dia takkan beredar tanpa adiknya. Tidak sama sekali. Dia tak mahu Anees terbaring di antara manusia-manusia rangka di dalam sana. Dia tak mahu Anees meneruskan hidupnya begitu. Masa depan Anees masih cerah. Dia perlu membawa Anees keluar dari jalan sempit itu. Dia perlu menyelamatkan adiknya dan dia tidak kisah kalau nyawanya jadi galang-gantinya.

Tangan Anees dicapainya, mahu diajak pergi bersamanya. Kali ini, Anees tidak menempis, tidak menolak. Anees mengikut langkahnya dengan rela. Tetapi lelaki tadi berjaya mendahului mereka. Ditolaknya bahu Anees agar menghadapnya sambil menunjukkan jari telunjuk tangan kirinya ke depan, mengingatkan Anees tentang hutangnya yang belum lunas. Kaki Anees terkaku di situ.

Kau pergi, kau mati!” ugutnya meskipun jelas dari gaya dia berdiri, dia sedang khayal, baru melepaskan gian.

Kau nak bunuh aku? Kau ingat aku takut? Aku dah lama mati, Jo!” ucap Anees dengan mata yang berkaca.

Air matanya menuruni lurah pipi, mencair bersama eyeliner jenama murah yang dilukis mengikut kelopak mata. Dia menoleh ke arah kakak tirinya semula, meneruskan langkah mereka yang tergendala kerananya.

Hoi!” tempik lelaki tadi. Dia menggagahi langkah rapuhnya. Pisau yang tadi hanya digenggam dengan tangan kanannya dihayunkan kepada Anees.

Anees!” panggil Cahaya.

Cahaya menahan dengan tangan kirinya saat mata pisau tajam itu mahu menghiris daging tubuh Anees. Darah merahnya memercik di lantai papan, juga terkena ke muka Anees yang berdiri dekat dengannya. Anees menjerit bagaikan orang yang terkena histeria. Cahaya membiarkan saja pisau itu menghiris kulit dan isinya. Sakitnya digumam meskipun kerut di mukanya jelas melampirkan derita yang ditanggung.

Kakak!” raung Anees sekuat hati. “Kak Aya…” panggil Anees,sesal.

Lelaki yang menghiris tangan Cahaya tadi terdiam. Cahaya tidak menjerit sebaliknya berdiri di antara Anees dan lelaki tadi.

Kau nak bunuh adik aku, kau bunuh aku dulu, binatang! Kau langkah mayat aku dulu! Adik aku bukan ayam kau, bodoh!” jeritnya marah.

Kau nak mati sangat! Kau boleh pergi mampus!” balas lelaki tadi sambil mengangkat pisaunya tinggi.

Hoi, bodoh! Kau nak suruh polis datang sini?!” jerkah perempuan berusia tadi, memarahi lelaki itu. Dia memukul belakang lelaki tadi dengan sebatang kayu yang bersandar dekat rumah papan itu. Lelaki tadi terus terduduk atas lantai papan, mengerang kesakitan sambil mengusap belakang tengkuknya.

Cepat, Anees,” pinta Cahaya. Kakinya dilarikan atas lantai papan rumah itu yang sudah kian rapuh dimamah kulat hijau. Tangan kanannya setia menggenggam tangan Anees, tak mahu dilepaskan. Darah likat merahnya menitis atas laluan papan rapuh yang dilalui mereka, menuju ke teksi yang menanti di seberang sana.

Tanpa memandang belakang, Anees terus mengekori langkah Cahaya. Air matanya terus menitis jatuh, tidak tertahan. Dia merelakan saja apabila Cahaya menariknya masuk ke dalam sebuah teksi yang sedang menanti sejak tadi. Cahaya mengarahkan teksi itu segera memecut ke sebaik saja masuk. Serentak dengan itu bunyi siren kereta peronda polis kedengaran. Baru Cahaya menyedari yang dia sudah melampaui usia penantian 30 minit yang dijanjikan dengan driver teksi tadi.

Pak cik dah call polis tadi. Sebab cik kata tiga puluh minit. Dah lama sangat,” jelas pemandu tadi.

Tak apa. Terima kasih, pak cik,” ucap Cahaya.

Kita ke hospital dulu,” saran Anees.

Tak. Kita ke balai polis. Jelaskan apa yang patut. Lepas tu, baru pergi hospital. Anees ikut akak balik ke rumah ya,” pinta Cahaya.

“Tangan akak…” ucap Anees. Air matanya meleleh-leleh ke pipi melihat darah merah likat yang mengalir dari tangan Cahaya.

“Sakit luka akak ni, Anees, tak sesakit hati akak tengok kau macam ni? Kenapa kau buat kami macam ni? Kenapa kau bodoh sangat hah?” soal Cahaya, tak tertahan sebak di dadanya melihatkan keadaan Anees. Dia menanggalkan jaket hijaunya, meletakkan ia di atas bahu Anees, menutupi anggota tubuh adiknya yang terdedah.

“Kakak tak tau apa Anees rasa selama ni. Semua orang dengan benci, dengan dendam yang tak sudah-sudah. Anees ingat… Anees ingat tak ada orang sayang Anees. Papa tak pernah peduli. Mama pun sama. Akak pun bencikan Anees kan,” balas Anees.

“Akak tak benci Anees,” sangkal Cahaya, jujur.

Tipu! Akak benci Anees selama ni! Anees dan mama dah buat macam-macam kat akak!” tempelak Anees.

Air mata Cahaya menitis. Lagi dan lagi.

Dalam dunia ni, akak dah tak ada siapa. Mama dan datuk dah meninggal. Mama Anees benci akak. Papa tak pernah ambil tahu. Anees pernah tak fikir apa akak rasa? Anees pernah tak fikir macam mana akak hidup selama ni? Adik akak pun tak pernah mengaku akak ni kakak dia! Kalau akak mati hari ni pun tak ada orang peduli, Nees!” cetus Cahaya.

Hati Anees diranduk sedih. Sedih yang teramat. Seumur hidupnya, tak pernah dia melihat Cahaya menangis tersedu-sedan seperti itu. Cahaya selalu berlagak kuat, tebal egonya. Anees tak pernah menyangka yang Cahaya rela meruntunkan ego itu deminya. Demi seorang adik yang kerapkali mengkhianatinya.

Tapi, akak nak…Setidak-tidaknya, kalau akak mati malam ni pun, akak nak adik akak selamat. Akak tak mau apa-apa jadi kat Anees. Sebab akak…” Ayat Cahaya tersekat-sekat bersama nafasnya yang berombak. “Sebab akak sayang Anees, tau tak? Kenapa Anees bodoh sangat? Kenapa Anees buat macam ni? Akak risau tau tak? Tau tak?” teriak Cahaya, mengesak bagaikan anak kecil.

Anees terbaring di atas ribanya, turut menangis sama.

“Anees mintak ampun. Anees salah, kak. Anees mintak ampun,” ucap Anees berulang-kali.

“Anees jangan balik lagi ke tempat tu. Jangan rosakkan masa depan Anees. Akak tak mau Anees hidup macam tu. Jangan hidup bawah telunjuk lelaki, Anees. Mereka takkan pernah puas dengan seorang perempuan. Mereka takkan reti hargai kita,” ucap Cahaya sambil mengenangkan perbuatan papa terhadap mereka.

“Kak, Anees pening. Anees pening sangat,” ucap Anees. Dia berhenti mengesak. Hanya air matanya yang terus-menerus mengalir ke pipi.

“Anees kenapa? Anees? Anees?” panggil Cahaya.

Anees menggelengkan kepala sambil memicit dahinya.

“Pak cik, bawa kami ke hospital dulu,” pinta Cahaya.

* * * * * *

“Pergi! Pergi! Jangan balik rumah aku lagi!” halau Fauzan. Dia terduduk dekat ruang tamu, terkejut melihat keadaan Anees. Dia malu apabila diminta ke hospital, membawa pulang anaknya yang berbadan dua. Seorang anaknya lagi pula cedera sampaikan tangan terpaksa berjahit.

“Mama, Anees mintak ampun. Anees minta ampun. Jangan halau Anees. Anees tak ada tempat nak pergi,” rayu Anees.

“Kenapa kau jadi macam ni? Kenapa kau malukan mama? Kenapa? Apa yang tak cukup? Semuanya mama bagi kat kau!” teriak Latifa.

“Kau keluar! Kau keluar sekarang! Kau jangan ambil walau sehelai baju pun dari rumah ni! Kau pergi!” herdik Fauzan yang terlalu kecewa.

“Kak, tolong Anees,” rayu Anees.

“Pa, tolonglah maafkan Anees. Dia dah menyesal, pa. Papa nak dia balik ke tempat hitam tu? Papa nak dia terus buat dosa? Dia anak papa!” ungkit Cahaya.

“Dia sendiri yang pilih jalan tu!” tempelak Fauzan.

“Papa sedar tak? Yang salah dalam hal ni, bukan Anees. Tapi papa. Papa yang tak pernah jaga dia, bimbing dia. Papa kejam!” cetus Cahaya. Dia memimpin Anees, membawa adiknya yang masih lemah keluar.

“Kak, akak nak buang Anees ke mana?” soal Anees, menggigil ketakutan.

“Siapa cakap akak nak buang Anees? Hah? Siapa cakap?” soal Cahaya dalam nada yang meninggi, marah dengan tuduhan adiknya. “Kalau mama Anees dan papa tak nak Anees tak apa, akak nak. Biar akak jaga Anees. Biar akak yang tanggung beban ni dengan Anees. Anees adik akak, darah daging akak,” cetus Cahaya.

Cahaya memimpin Anees ke jalan utama, meranduk malam yang sejuk. Malam yang gelita, hanya ditemani cahaya lampu. Pandangan Anees kabur dengan lelehan air mata. Cahaya menjadi tongkat, menjadi penunjuk arahnya ketika melangkah. Dia hanya melangkah mengikut arah yang dipilih Cahaya.

Teksi!” jerit Cahaya sambil melambaikan tangannya ke bahu jalan, menahan sebuah teksi yang melalui kawasan itu.

“Saya nak ke Port Dickson,” ucap Cahaya.

Pemandu teksi itu memberi isyarat tangan, tidak sanggup membawa mereka ke Port Dickson. Cahaya menanti lagi. Dia mendudukkan Anees di bahu jalan.

Teksi zaman sekarang bukan seperti dulu yang sanggup membawa penumpang ke mana saja. Ada yang memilih, hanya mahu mengangkut penumpang dari sesetengah lokasi dan mahu menuju ke sesetengah lokasi. Ada yang hanya mahu mengangkut pelancong asing saja supaya mereka boleh menaikkan harga.

Kata orang, rules are meant to be broken. Benar yang kini teksi sudah bermeter. Sudah semakin banyak undang-undang diciptakan untuk melindungi pelanggan. Tetapi, bukan semua mahu mengikutnya. Ada yang masih memandangnya remeh. Apabila sudah terhantuk barulah hendak tergadah.

“Kak,” panggil Anees yang sedang mengigil kesejukan dalam dakapan angin malam yang terus-terusan bertiup, seakan mahu menghukum dirinya.

Cahaya duduk bersebelahan adiknya, membiarkan Anees berbaring di atas bahu kurusnya. Biar malam terus berlalu. Semoga waktu beredar pantas. Dia berharap apabila pagi menjelang esok, mereka akan mendapat teksi yang sanggup membawa mereka pulang ke rumah tinggalan Masaki di Port Dickson.

“Kak,” panggil Anees.

Cahaya mengesat air matanya dengan lengan baju yang satu lagi.

“Hmm?” sahut Cahaya.

“Anees minta ampun. Terima kasih sebab selamatkan Anees,” ucap Anees sebelum memejamkan matanya, terlena dalam dakapan malam.

Cahaya masih duduk tegak di situ, meminjamkan bahunya untuk Anees. Dia menjawab ucapan terima kasih Anees dengan belaian lembut.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.