Prolog
Setelah
19 tahun
Kehadiran Qistina dalam hidup Adura 19
tahun yang lalu telah merubah sedikit sebanyak cara hidupnya yang kelam. Jika
tidak kerana wasiat yang dititipkan oleh Raihana, tidak mungkin dia sudi
mengorbankan separuh dari usianya untuk seorang yatim piatu bernama Qistina
Alia.
Setelah begitu lama kehidupannya berkisar dalam kehidupan Qistina
akhirnya di situlah kasih sayang dan perhatiannya tertumpah. Tidak berbelah bahagi.
Segala yang dilakukan adalah untuk
Qistina. Qistina remaja berkulit putih, bermata kebiruan dan berambut kuning
bulu jagung. Hingga terkadang dia tidak pasti untuk apa dia melakukan sesuatu
itu atau kerana apa. Yang pasti bukan untuk dirinya sendiri.
Di dalam kotak
hitam fikirnya hanyalah untuk Qistina, Qistina dan Qistina. Adakah Adura
terlupa bahawa segala yang manusia lakukan mestilah kerana ALLAH. Niat begitu
penting untuk menjalin perhubungan manusia dengan yang menciptakan.
Cintanya yang tidak pernah padam
terhadap Yusuf telah menguatkan lagi semangatnya untuk memelihara Qistina. Rasa
kasihnya terhadap Raihana yang begitu istimewa akhlak dan keperibadian juga
turut menjadi penyebab mengapa dia sanggup menjadi lilin yang membakar diri.
Dalam diam Adura mahu menjadi seperti Raihana. Mampukah dia sedangkan tangannya
terkapai –kapai tanpa ada yang membantu.
“Mama! Kenapa menung ni?” Suara lunak
Qistina membuat khayalnya berterbangan entah ke mana.
“Tak, sayang. Mama cuma berfikir.”
Dalih Adura.
“Fikir apa ma?”
“Tak ada apa. Mandi dulu, nanti kita
minum petang sama-sama.” Adura mendorong tubuh Qistina dan Qistina yang baru
pulang dari bermain tenis akur sahaja. Dia pun berlalu.
Minda Adura bergerak laju semula,
terkenangkan Puan Harlina dan Tuan Adam. Mereka juga berhak ke atas Qistina
kerana mereka adalah orang tua Yusuf. Sayangnya keadaan tidak berjalan dengan
baik.
Sejarah hitam yang lalu terus menghantui Puan Harlina. Setelah 19 tahun
berlalu dia masih gagal untuk menerima takdir kematian Yusuf dan Raihana.
Puan Harlina tidak sanggup untuk
menatap wajah Qistina yang persis wajah Raihana. Saling tidak tumpah. Puas sudah
Tuan Adam memujuk agar suri hatinya itu menerima takdir yang tertulis namun
hati Puan Harlina tidak segagah itu.
Pelik! Seorang yang mengaku beriman kepada
ALLAH seperti menidakkan sebuah ketentuan. Masih rapuh lagikah keimanan yang
tertanam dalam diri Puan Harlina?
Dalam 19 tahun yang berlalu itu hanya
baru beberapa kali Puan Harlina mengunjungi waris yang ditinggalkan oleh Yusuf
dan Raihana. Begitu juga dengan Tuan Adam. Kesibukan Tuan Adam yang menguruskan
perniagaan di Jakarta telah mengekang keinginan untuk selalu bersama Qistina.
Hanya kiriman-kiriman hadiah dari jauh tidak pernah Tuan Adam terlupakan.
Apa yang begitu membahagiakan Puan
Harlina bukanlah Qistina tetapi sepohon mawar merah yang akan diganti setiap
tiga tahun. Dia menanamnya di tapak yang sama ketika Yusuf menanam dua pohon
mawar 19 tahun yang lalu.
Mawar itu telah menyuburkan kenangannya terhadap
Yusuf. Adura amat kesal kerana pohonan mawar merah lebih mendapat tempat di
hati wanita itu berbanding
seorang Qistina Alia.
“Hmmm.” Keluh Adura perlahan.
Satu per satu wajah yang pernah akrab
dengan Raihana menjengah di benak yang kian tepu. Kali ini wajah Nisa pula datang
bertandang setelah wajah Tuan Adam dan Puan Harlina menghilang. Nisa yang
sedang bersenang-senang di kediaman tinggalan Raihana juga hanya sekali-sekala
bertanyakan perkhabaran tentang Qistina.
Mungkin sahaja campur tangan dari Napi
yang menyukarkan Nisa untuk membina hubungan baiknya dengan Qistina. Adura amat
kesal kerana Nisa sanggup rujuk kembali dengan seorang bekas banduan yang tidak
punya hati perut seperti Napi.
‘Ah! malas nak fikir tentang Kak Nisa.
Buat sakit hati je’, bisik Adura sendirian.
‘Qistina!’, ingatannya berlegar-legar
lagi. Tanpa penat tanpa lelah.
Untuk mendidik Qistina bukan mudah. Jiwanya
masih lompong dan dia amat jahil tentang pengetahuan ukhrawi. Mahu menimba ilmu
tetapi malas untuk menggali. Mahu menjadi insan terbaik seperti Raihana sayang
sekali tidak kelihatan usaha dari Adura.
Selalu ada bisikan di dalam hati,
masih ada banyak masa lagi untuk melakukan. Dirinya tidaklah setua mana, tiba
masa dan sampai serunya akan dia lakukan. Hakikatnya Adura alpa, nyawa itu pada
setiap detik boleh terpisah dari badan.
Kadang-kadang dalam diam Adura
berkecil hati. Minat dan apa sahaja kecenderungan Qistina lebih berpihak kepada
Yusuf dan Raihana. Bukankah kerana motosikal berkuasa tinggi Yusuf telah
bertemu dengan ajal? Mengapa Qistina masih mahu memiliki minat yang sama
seperti Yusuf?
Setiap apa yang menjadi kesukaan Raihana suatu masa dulu turut
menjadi kesenangan buat Qistina. Bubur ayam, koko panas dan coklat. Uh, sebal!
Dalam diam Adura telah
banyak memendam rasa. Ada cemburu di hati. Acap juga Adura terasa betapa
bodohnya cemburukan orang yang telah tiada. Entah mengapa perasaan seperti itu
tetap akan datang lagi.
Adura telah mengorbankan usia mudanya
dengan tidak berkahwin. Itu pilihannya kerana tidak mahu melihat Qistina
tersia. Bimbang kasihnya akan berbahagi apabila memiliki anak sendiri.
Selama
19 tahun itu juga telah ramai lelaki yang cuba mengetuk pintu hatinya namun
hanya dipandang sepi. Azlan satu-satunya lelaki yang enggan tewas dalam
percubaan memikat Adura.
Setiap detik juga Adura begitu bimbang
akan keselamatan Qistina. Tanpa Qistina tahu dan sedar dia adalah seorang
jutawan muda yang tidak perlu bekerja di sepanjang tujuh keturunannya.
Harta
tinggalan ibu Raihana dan Madam Jackie menjadi warisan Qistina. Itu semua sudah
cukup untuk Adura menumpang senang tanpa perlu bekerja di sepanjang hayatnya.
Salah seorang yang amat dicurigai dan
akan menjadi duri dalam daging adalah Napi. Adura sering gagal menepis setiap
sangkaan-sangkaan buruknya terhadap Napi. Alasannya adalah Napi seorang bekas
banduan yang seringkali mendera dan memeras wang ringgit Nisa.
“Mama, Qistina dah sudah mandi. Dah
solat pun. Mama dah solat?” Qistina melaung dari muka pintu dengan senyum mekar
di wajahnya.
Tersentak Adura. Lamunannya lenyap
serta-merta. Terbang jauh tidak bersisa lagi. Mungkin ia telah beriring dengan
angin atau telah bersatu dengan awan.
Yang pasti lamunan itu akan selalu
berkunjung lagi. Akan menyapanya ketika dia sedang sendirian dan sunyi.
Berulang dan berulang lagi.