Tiga orang pekerja di kedai Motor Tan
Cheng sedang sibuk pada hari itu. Beberapa buah motosikal memerlukan
pengubahsuaian. Motosikal 2 lejang 125z, LC125 dan RxZ bagaikan kuda liar yang
perlu dijinakkan. RxZ yang menjadi kesayangan Dino tidak ubah seperti buah
hatinya.
Seperti nyawanya. Entah sudah berapa kali motosikal itu meredah keheningan
sepertiga malam. RxZ hitam itu sudah begitu sinonim dengan laluan di Dataran
Merdeka, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Chow kit dan Jalan Tengku
Abdul Rahman.
Blackie pula begitu bangga dengan
LC125 yang telah dimiliki lebih dari setahun. Chor juga memiliki motosikal yang
sama seperti Blackie. Hanya warnanya yang berbeza. Kedai Motor Tan Cheng
menjadi pilihan tiga anak muda penyewa di rumah sewa Qistina.
“Bro, tak boleh kenanglah malam tadi.
Makan asaplah mamat dari Ular Tedung kan. Dia ingat aku takut nak gempur litar
berani maut tu. Akrobatik aku bro.”
Dengan rasa bangga Dino bercerita. Bukan
mudah mahu berlumba di laluan Jalan Raja Laut. Tidak ada laluan pintas untuk
melarikan diri jika pihak polis melakukan serbuan. Hanya mereka yang berhati
kering sahaja sanggup melalui litar itu. Lebih-lebih lagi polis dan JPJ selalu
sahaja mengintai-intai dan bersedia membuat serbuan pada bila-bila masa.
“Aku pun salute dengan ko la bro.
Rugi malam tadi aku tak turun. Ibu akulah asyik pok pek pok pek. Tension aku, bro. Sudahnya aku masuk bilik buat tahi mata. Aku rasa nak chaw je
dari rumah aku yang membahang tu.”
Blackie bercakap dengan penuh perasaan.
Sesekali dia menjeling ukiran tattoo
kebanggaan yang terlakar pada lengannya.
“Apa yang ibu ko bebelkan?” sampuk
Chor yang sedari tadi begitu asyik memerhatikan pekerja Tan Cheng yang sedang
mengubahsuai motosikal yang menjadi satu-satu miliknya. Chor anak jati Teluk
Intan telah berhijrah ke Kuala Lumpur tiga tahun lalu dan kini tinggal bersama
Dino di Seremban.
“Sebab benda nilah. Dah seminggu aku
kena leter. Tak senang hidup aku. Nak makan pun aku dah tak lalu tapi kalau mak
aku keluar berjual aku belasah jelah apa yang ada bawah tudung saji.”
Selepas
itu Blackie ketawa dengan kuat. Lucu dengan kata-katanya sendiri. Dino
membaling Blackie dengan kotak rokok yang dipegang sedari tadi. Chor turut
ketawa melihat gelagat Blackie.
“Aku tak salahkan ibu ko bro. Betullah bebel dia tu. Tattoo tu haram kan dalam Islam. Adalah
aku tanya ustaz masa zaman sekolah dulu. Biar kita jahat bro tapi yang tak boleh jangan buat.”
Chor mulai berkhutbah. Dino
dan Blackie saling berpandangan. Mereka bertukar senyum. Sudah sedia maklum,
Chor adalah mat rempit yang ala-ala seorang ustaz.
“Hmm, tahlah bro. Aku dah ‘ter’. Tak boleh nak patah balik. Benda ni bukan boleh
main cuci dengan klorox je.” Keluh Blackie lalu melihat pula tattoo di lengan Dino. Dengan warna dan
corak yang sama. Kuku Helang.
“Alaa, sudahlah! Nanti-nanti kalau
kita rasa nak buang, kita jumpalah pakar tattoo.
Tu pun kalau bolehlah,” ujar Dino selamba.
Dino, Balckie dan Chor adalah tiga
anak muda yang mewakili anak-anak muda
yang kehilangan jati diri. Perubahan zaman dan arus kemodenan banyak melalaikan
mereka.
Bukan kemodenan itu yang menjadi punca tetapi nipisnya pegangan hidup
yang bakal membawa malapetaka. Mereka masih muda jadi mereka mahu sentiasa
gembira. Tidak kira bagaimana mahu memperolehinya. Itu semua tolak ke tepi.
Yang penting hati muda mesti diturutkan.
“Tukar topik boleh tak?” Saran Dino
sudah yang mulai bosan.
“Wokeeyy! Bila kita nak gegar Nilai.
Poket dah menipis ni. Dapat sebiji Kriss pun dah kira cantik. Satu Kriss, Tan
Cheng sanggup bagi rm200-1500 hooo. Dapatlah duit poket sementara menunggu hari
gaji.”
Rancangan nakal Chor pun bermula. Itulah mata pencarian sampingan
mereka. Memadai untuk membeli makan minum harian dan membayar harga rokok yang
semakin mahal.
Lucu sekali. Bagi Chor tattoo itu haram tetapi dia tidak sedar
mencuri itu juga berdosa. Mungkin juga Chor masih sedar, hanya nafsu yang
menguasai diri membuat dia terlupa. Ah! anak muda memang sukar dijangka.
Dino
mengangkat sebelah kening. Memberi isyarat kepada Blackie sebagai tanda
bersetuju dengan cadangan Chor. Ketiga mereka selalu bersatu hati walaupun
anggota Kuku Helang melebihi 20 orang jumlahnya. Hanya mereka yang akrab.
Anggota selebihnya sekadar on off
sahaja.
“You semua hati-hati ma, jangan bikin
ini kedai polis aim. Nanti susah ma.”
Dari kaunter pembayaran kedengaran Tan Cheng memberi amaran.
“Macam tak biasalah boss, pandailah
kami. Berapa banyak untung boss dah dapat dari kami?” sahut Dino sambil
melangkah menghampiri Tan Cheng. Mereka selalu berurusan dengan Tan Cheng sebelum
berpindah ke Seremban lagi.
“Banyak untung arr,” sahut Blackie
dengan pandangan mata tertumpah ke wajah Tan Cheng yang tersengih.
“You jangan banyak bunyi boss. Nanti
kami cari lain tempat, siapa rugi?” Ugut Dino keras. Dia telah pun melabuhkan
punggungnya ke kerusi kayu di hadapan kaunter pembayaran.
“Ok, ok. You bikin you punya kerja
senyap-senyap. I bikin I punya kerja baik-baik. I untung, you semua pun untung
ma.”
Agak kendur nada suara Tan Cheng kali ini. Dino melempar senyum ke arah
kedua rakannya. Blackie dan Chor mengangkat ibu jari sebagai tanda menyokong.
Ada rasa lucu ketika melihat Dino menakut-nakutkan Tan Cheng.
Bagi Blackie dan
Chor, mereka mengaggap Dino sebagai ketua kumpulan walau pun tanpa pengetahuan
Dino sendiri. Hanya kurangnya Dino kerana dia tidak mempunyai kepakaran dalam
bidang pengubahsuaian motosikal.
“Boss, berapa lama lagi motor kami
boleh siap? Malam ni kami test line
panas.” Ujar Chor dengan nada suara agak tinggi.
“Mau tip top you kena sabar. Tak mau
bising-bising. I nak bikin I punya kerja. You semua pergilah makan-makan
minum-minum sana kedai makan.” Jawab Tan Cheng tanpa memandang ke wajah Chor.
“Gang, jom blah!” Dino mendahului yang
lain mahu beredar dari kedai motosikal itu.
“Chaw dulu boss.” Ucap Chor kepada Tan
Cheng.
“Pergi, pergi.” Sahut Tan Cheng sambil
menggawangkan tangan kirinya.
‘Budak-budak Melayu memang banyak
teruk. Hari-hari mau bunuh diri. Gua apa peduli, wang masuk gua layan budak
Melayu baik-baik.’ Melihat langkah seiring ketiga-tiga anak muda yang tiada
hala tujuan itu.