Home Novel Islamik Rindu Syahadah-MU
Rindu Syahadah-MU
Raihan Zaffya
14/1/2014 07:50:44
28,631
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Prolog



Prolog

Setelah 19 tahun

Kehadiran Qistina dalam hidup Adura 19 tahun yang lalu telah merubah sedikit sebanyak cara hidupnya yang kelam. Jika tidak kerana wasiat yang dititipkan oleh Raihana, tidak mungkin dia sudi mengorbankan separuh dari usianya untuk seorang yatim piatu bernama Qistina Alia. 

Setelah begitu lama kehidupannya berkisar dalam kehidupan Qistina akhirnya di situlah kasih sayang dan perhatiannya tertumpah. Tidak berbelah bahagi.

Segala yang dilakukan adalah untuk Qistina. Qistina remaja berkulit putih, bermata kebiruan dan berambut kuning bulu jagung. Hingga terkadang dia tidak pasti untuk apa dia melakukan sesuatu itu atau kerana apa. Yang pasti bukan untuk dirinya sendiri. 

Di dalam kotak hitam fikirnya hanyalah untuk Qistina, Qistina dan Qistina. Adakah Adura terlupa bahawa segala yang manusia lakukan mestilah kerana ALLAH. Niat begitu penting untuk menjalin perhubungan manusia dengan yang menciptakan.

Cintanya yang tidak pernah padam terhadap Yusuf telah menguatkan lagi semangatnya untuk memelihara Qistina. Rasa kasihnya terhadap Raihana yang begitu istimewa akhlak dan keperibadian juga turut menjadi penyebab mengapa dia sanggup menjadi lilin yang membakar diri. 

Dalam diam Adura mahu menjadi seperti Raihana. Mampukah dia sedangkan tangannya terkapai –kapai tanpa ada yang membantu.

“Mama! Kenapa menung ni?” Suara lunak Qistina membuat khayalnya berterbangan entah ke mana.

“Tak, sayang. Mama cuma berfikir.” Dalih Adura.

“Fikir apa ma?”

“Tak ada apa. Mandi dulu, nanti kita minum petang sama-sama.” Adura mendorong tubuh Qistina dan Qistina yang baru pulang dari bermain tenis akur sahaja. Dia pun berlalu.

Minda Adura bergerak laju semula, terkenangkan Puan Harlina dan Tuan Adam. Mereka juga berhak ke atas Qistina kerana mereka adalah orang tua Yusuf. Sayangnya keadaan tidak berjalan dengan baik. 

Sejarah hitam yang lalu terus menghantui Puan Harlina. Setelah 19 tahun berlalu dia masih gagal untuk menerima takdir kematian Yusuf dan Raihana.

Puan Harlina tidak sanggup untuk menatap wajah Qistina yang persis wajah Raihana. Saling tidak tumpah. Puas sudah Tuan Adam memujuk agar suri hatinya itu menerima takdir yang tertulis namun hati Puan Harlina tidak segagah itu. 

Pelik! Seorang yang mengaku beriman kepada ALLAH seperti menidakkan sebuah ketentuan. Masih rapuh lagikah keimanan yang tertanam dalam diri Puan Harlina?

Dalam 19 tahun yang berlalu itu hanya baru beberapa kali Puan Harlina mengunjungi waris yang ditinggalkan oleh Yusuf dan Raihana. Begitu juga dengan Tuan Adam. Kesibukan Tuan Adam yang menguruskan perniagaan di Jakarta telah mengekang keinginan untuk selalu bersama Qistina. Hanya kiriman-kiriman hadiah dari jauh tidak pernah Tuan Adam terlupakan.

Apa yang begitu membahagiakan Puan Harlina bukanlah Qistina tetapi sepohon mawar merah yang akan diganti setiap tiga tahun. Dia menanamnya di tapak yang sama ketika Yusuf menanam dua pohon mawar 19 tahun yang lalu. 

Mawar itu telah menyuburkan kenangannya terhadap Yusuf. Adura amat kesal kerana pohonan mawar merah lebih mendapat tempat di hati wanita itu berbanding seorang Qistina Alia.

“Hmmm.” Keluh Adura perlahan.

Satu per satu wajah yang pernah akrab dengan Raihana menjengah di benak yang kian tepu. Kali ini wajah Nisa pula datang bertandang setelah wajah Tuan Adam dan Puan Harlina menghilang. Nisa yang sedang bersenang-senang di kediaman tinggalan Raihana juga hanya sekali-sekala bertanyakan perkhabaran tentang Qistina. 

Mungkin sahaja campur tangan dari Napi yang menyukarkan Nisa untuk membina hubungan baiknya dengan Qistina. Adura amat kesal kerana Nisa sanggup rujuk kembali dengan seorang bekas banduan yang tidak punya hati perut seperti Napi.

‘Ah! malas nak fikir tentang Kak Nisa. Buat sakit hati je’, bisik Adura sendirian.

‘Qistina!’, ingatannya berlegar-legar lagi. Tanpa penat tanpa lelah.

Untuk mendidik Qistina bukan mudah. Jiwanya masih lompong dan dia amat jahil tentang pengetahuan ukhrawi. Mahu menimba ilmu tetapi malas untuk menggali. Mahu menjadi insan terbaik seperti Raihana sayang sekali tidak kelihatan usaha dari Adura. 

Selalu ada bisikan di dalam hati, masih ada banyak masa lagi untuk melakukan. Dirinya tidaklah setua mana, tiba masa dan sampai serunya akan dia lakukan. Hakikatnya Adura alpa, nyawa itu pada setiap detik boleh terpisah dari badan.

Kadang-kadang dalam diam Adura berkecil hati. Minat dan apa sahaja kecenderungan Qistina lebih berpihak kepada Yusuf dan Raihana. Bukankah kerana motosikal berkuasa tinggi Yusuf telah bertemu dengan ajal? Mengapa Qistina masih mahu memiliki minat yang sama seperti Yusuf? 

Setiap apa yang menjadi kesukaan Raihana suatu masa dulu turut menjadi kesenangan buat Qistina. Bubur ayam, koko panas dan coklat. Uh, sebal! Dalam diam Adura telah banyak memendam rasa. Ada cemburu di hati. Acap juga Adura terasa betapa bodohnya cemburukan orang yang telah tiada. Entah mengapa perasaan seperti itu tetap akan datang lagi.

Adura telah mengorbankan usia mudanya dengan tidak berkahwin. Itu pilihannya kerana tidak mahu melihat Qistina tersia. Bimbang kasihnya akan berbahagi apabila memiliki anak sendiri. 

Selama 19 tahun itu juga telah ramai lelaki yang cuba mengetuk pintu hatinya namun hanya dipandang sepi. Azlan satu-satunya lelaki yang enggan tewas dalam percubaan memikat Adura.

Setiap detik juga Adura begitu bimbang akan keselamatan Qistina. Tanpa Qistina tahu dan sedar dia adalah seorang jutawan muda yang tidak perlu bekerja di sepanjang tujuh keturunannya. 

Harta tinggalan ibu Raihana dan Madam Jackie menjadi warisan Qistina. Itu semua sudah cukup untuk Adura menumpang senang tanpa perlu bekerja di sepanjang hayatnya.

Salah seorang yang amat dicurigai dan akan menjadi duri dalam daging adalah Napi. Adura sering gagal menepis setiap sangkaan-sangkaan buruknya terhadap Napi. Alasannya adalah Napi seorang bekas banduan yang seringkali mendera dan memeras wang ringgit Nisa.

“Mama, Qistina dah sudah mandi. Dah solat pun. Mama dah solat?” Qistina melaung dari muka pintu dengan senyum mekar di wajahnya.

Tersentak Adura. Lamunannya lenyap serta-merta. Terbang jauh tidak bersisa lagi. Mungkin ia telah beriring dengan angin atau telah bersatu dengan awan. 

Yang pasti lamunan itu akan selalu berkunjung lagi. Akan menyapanya ketika dia sedang sendirian dan sunyi. Berulang dan berulang lagi.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Raihan Zaffya