Miah Sakinah memicingkan telinganya ke
daun pintu. Masih senyap sunyi. Waktu Solat Subuh hampir ke penghujungnya.
Belum ada tanda-tanda mama dan papanya bangun dari tidur.
Mia Sakinah gelisah.
Benaknya mula menimbang kewajaran yang harus dilakukan. Bimbang akan bersikap
biadap jika dia mengetuk pintu. Lebih takut lagi andai dia dipersoalkan di
hadapan RABBUL JALIL nanti.
“Mama! Mama! Ma! Bangun ma!” Mia
Sakinah tiada pilihan lagi.
“Papa! Oh pa! bangunlah pa!”
‘Tak kuat ke aku ketuk?’ Fikir Mia
Sakinah lalu mengetuk daun pintu lebih kuat lagi.
Beberapa detik terus berlalu. Mia
Sakinah tetap dengan kedegilannya yang bertempat. Ia demi kasihnya pada mama.
Juga kerana sayangnya pada papa. Ketukan semakin kuat. Laungan Mia Sakinah
tidak kenal jemu. Akhir nya daun pintu terkuak juga.
“Apa yang kamu nak ni, Mia? Pagi-pagi
buta dah ganggu mama.” Omel Puan Ruby dengan mata separuh terbuka. Wajah sembab
dan rambut yang tidak terurus membayangkan Puan Ruby benar-benar mengantuk.
“Solat ma. Subuh dah nak habis.” Bagi Mia
Sakinah tanggungjawab itu mesti dilakukan. Islam mengajar agar umat manusia
saling ingat-mengingat kan. Itu pesan Mak Jah. Itu juga yang cuba diamalkan
oleh Mia Sakinah.
“Mama ingatkan apalah tadi. Mia, Mia,
mama mengantuk ni. Kamu tau pukul
berapa kami balik malam tadi?” ujar Puan Ruby dengan jengkel.
“Mia tau mama balik lewat. Tak apa kan kalau mama solat dulu, lepas tu
mama sambunglah tidur.” Selembut mungkin Mia Sakinah cuba mengingat kan Puan
Ruby.
“Mia, mama bukan budak-budak. Tak
payah nasihatkan mama macam tu. Nanti ada masa mama gantilah. Sudah! Mama nak
tidur.” Serentak dengan itu daun pintu ditutup semula.
Mia Sakinah masih di situ. Tarikan
nafas panjang dilepaskan satu-satu. Mia Sakinah hampa. Dia benar-benar kecewa.
Niat baiknya tidak mendapat sambutan. Kolam matanya terasa hangat. Tirai mata
dibuka dan ditutup beberapa kali.
Mia Sakinah cuba melarang namun air mata
jernih bertakung juga. Sepantas kilat, ia diseka. Mia Sakinah tidak mahu jadi
lemah. Tanggung jawab telah pun dilaksanakan, terpulang sahaja andainya tidak
diterima.
‘Sikit-sikit nak menangis! Tak apalah
tak berjaya kali ni esok lusa cuba lagi. Aku mesti kuat. Kalau tak, macam mana
aku nak jadi seperti Rabiatul Adawiyah.’ Bisikan baik memujuk laranya. Mia
Sakinah tersenyum.
‘Baik tengok umi.’ Tidak mahu membuang
masanya, dia meninggalkan tingkat atas.
Setibanya di dapur, perasaannya segar
kembali. Terbit senyuman mekar diulas bibirnya. Setiap kali memandang wanita
tua itu hatinya lapang. Seakan ada nur yang sukar dimengerti lahir dari kedut
wajah tuanya. Mia Sakinah terjengkit-jengkit. Tidak mahu langkahnya dihidu.
Sengihan terlihat dari raut wajahnya yang nakal.
“Sayang ummi!” Mia Sakinah merangkul
tubuh Mak Jah dari belakang.
“Astaghfirullah..” Lalu Mak Jah
mengurut-ngurut dada.
“Ummi terkejut ke?” Soal Mia Sakinah
selamba.
“Mia nak balas dendam ya?” Mak Jah
memusingkan tubuhnya sambil bercekak pinggang. Buat-buat marah.
“Taklah ummi. Tak ada niat pun.” Jawab
Mia Sakinah sedangkan hidung nya memicing pada aroma nasi goreng di kuali.
“Haaah..sedapnya!” Puji Mia Sakinah.
Telatah Mia Sakinah membuat Mak Jah
mengeluh panjang. Mia Sakinah gadis nakal. Dalam nakalnya dia pandai mengambil
hati. Dia juga gadis periang. Dalam riang itu ada duka yang tersembunyi.
Keberanian juga milik gadis bertubuh kecil bernama Mia Sakinah. Mia Sakinah
berani menongkah arus. Mahu membina rumahku syurgaku. Ingin melihat mama dan
papanya bisa berubah.
Mak Jah lebih kenal Mia Sakinah luar
dan dalam. Mia Sakinah mem besar di hadapan matanya. Jerit tangis Mia Sakinah
di malam hari, Mak Jah yang mendodoikan. Kembung perut Mia Sakinah, sepanjang
malam Mak Jah berjaga.
Kering tekak Mia Sakinah, Mak Jah membancuh susu
untuknya. Tidak pernah sekali pun Mia Sakinah dapat menikmati susu ibu. Puan
Ruby enggan berbuat begitu. Takut tubuhnya menjadi jelik pada pandangan mata.
“Ummi! Ummi angan-angan ya?” Imbasan
kenangan lalu segera terbang melayang, hilang entah ke mana.
“Mia ni ada-ada je. Nasi goreng ni dah
boleh senduk.”
“Mia sediakan pinggan ya ummi.”
Pagi itu hanya mereka berdua di meja
makan. Untuk menunggu mama dan papanya, tidak tahu pukul berapa mereka akan
terjaga. Mia Sakinah tidak mahu lagi memikirkan. Rezeki yang ALLAH beri mesti
dinikmati segera.
Selesai makan, Mia Sakinah mengambil
angin pagi. Mia Sakinah me ngintai-intai Pak Jamil yang sedang menghias
landskap taman. Lirikan mata nya mengamati setiap jenis bunga yang ditanam oleh
Pak Jamil.
Sejuk mata memandang. Pokok orkid hutan ditanam berbaris menganjur
hingga ke pintu taman. Pokok-pokok keladi kecil di tanam dalam pasu dan di susun
membentuk bulatan. Pokok tanduk rusa digantung di empat penjuru tiang bumbung
penahan panas.
“Pak Jamil!!!”
Hanya suara yang
kedengaran sedangkan tuan punya tubuh tidak kelihatan. Pak Jamil
tertunduk-tunduk memanjangkan leher. Mencari arah suara halus itu. Gunting
besar dalam pegangannya diletakkan sebentar. Pak Jamil mengambil tuala kecil
yang terlilit di bahunya. Peluhnya disapu perlahan.
“Pak Jamil, buat apa tuuuu?” Sekali
lagi suara halus kedengaran.
Pak Jamil tersenyum sumbing. Dia hanya
berdiri tegak. Membiarkan suara itu memanggilnya berkali-kali. Selesai mengelap
peluh, Pak Jamil mencapai botol air di atas seketul batu hiasan taman. Air
diteguk dengan laju. Menandakan Pak Jamil terlalu dahaga.
“Keluarlah Mia. Janganlah nak takutkan
Pak Jamil. Pak Jamil kenal benar suara kamu.” Ucap Pak Jamil selamba sambil
ketawa kecil
“Pak Jamil ni tak sportinglah.” Mia
Sakinah muncul dari balik batu besar yang dibina sebagai air pancut buatan.
“Mia, Mia, dari dulu sampai sekarang,
perangai kamu tak pernah berubah.” Pak Jamil terus ketawa.
“Siapa lagi Mia nak usik kalau bukan
ummi dan Pak Jamil.” Keluh Mia Sakinah.
“Subur bunga-bunga ni Pak Jamil. Kalau
tak ada Pak Jamil mesti tak terjaga semua ni.” Puji Mia Sakinah mengubah topik.
“Kalau Pak Jamil tak ada ramai lagi
yang nak kerja dengan papa Mia. Di bandar besar ni masing-masing berlumba cari
kerja.” Balas Pak Jamil selepas meneguk air putih di dalam botol.
“Lain je bunyinya Pak Jamil. Macam
jauh hati je. Pak Jamil ada niat nak berhenti ke? Janganlah macam tu.” Kebimbangan
terbayang di riak wajah Mia Sakinah.
“Entahlah. Susah Pak Jamil nak cakap.”
Keluhan kecil dilepaskan.
Pak Jamil meletakkan botol air di atas bangku taman.
Gunting besar yang diletak kan sebentar tadi diambil semula. Ranting pokok
bunga kertas yang telah tumbuh bercabang-cabang dicantas dengan cermat. Pak
Jamil membentuknya menjadi sepohon bonsai.
Tiada suara yang kedengaran. Tidak
seperti selalu, kali ini Pak Jamil seperti tidak mengendahkan kehadiran Mia
Sakinah. Mia Sakinah bertenggek pada bangku taman. Matanya redupnya ralit
memerhati perlakuan Pak Jamil yang di luar dari kebiasaan.
“Kenapa Mia tengok Pak Jamil tak macam
selalu?” Soal Mia Sakinah mahu menghurai persoalan.
“Tu hanya perasaan Mia je, rasanya tak
ada yang lain pun.” Dalih Pak Jamil.
“Bukan baru hari ni Mia kenal Pak
Jamil. Pak Jamil tak pernah rahsia kan apa-apa dari Mia tapi hari ni Mia rasa
lain. Mesti Pak Jamil ada sorokkan sesuatu dari Mia.” Tebak Mia Sakinah dengan
yakin.
Pak Jamil mengisar tubuh. Dia membuka
topi lalu dikibas-kibas ke wajahnya.
Angin dari kibasan topi itu menyegarkan sedikit wajahnya yang di basahi peluh.
Sorot mata tuanya merenung tepat ke wajah Mia Sakinah. Wajah itu begitu polos
dan tenang.
Baginya ia masih sama seperti sembilan belas tahun yang lalu. Mia
Sakinah sudah seperti anaknya sendiri. Tangisan Mia Sakinah adalah gurisan
hatinya. Gelak tawa Mia Sakinah adalah penyeri di rumah agam itu.
“Mia tak dengar apa-apa ke?”
Mengenangkan itu semua membuat Pak Jamil berubah fikiran. Tidak ada yang perlu
dirahsiakan lagi. Mia Sakinah harus tahu kerana dia berhak tahu.
“Tentang apa Pak Jamil. Ada apa-apa
yang jadi ke masa Mia tak ada.” Riak wajah Mia Sakinah berubah tiba-tiba. Ada
tanda-tanya di hatinya.
Pak Jamil duduk di atas tunggul kayu
buatan. Dia membuang pandang ke arah percikan air pancut. Pandangan itu berlari
pula ke sekitar lanskap yang terbina dari hasil titik peluhnya. Hingga akhirnya
ia tertumpah ke wajah Mia Sakinah semula.
“Mama Mia dah beri kata dua pada Mak
Jah.” Jelas Pak Jamil dengan berhati-hati.
Spontan Mia Sakinah berdiri. Degup
jantungnya tidak menentu. Ada rasa yang kurang enak di dalamnya. Mukadimah dari
Pak Jamil mengandung seribu makna. Walau apa sahaja, yang pasti ia berkaitan
dengan pengasuh tuanya.
Wanita itu segala-gala bagi dirinya. Selama sembilan
belas tahun yang ditinggalkan sehingga kini kasihnya tertumpah di situ.
Sayangnya berlegar dan bersatu bersama denyut nadi dalam tubuh tua itu.
“Apa maksud Pak Jamil? Mia tak dengar
apa-apa pun.” Mia Sakinah cuba melawan gelodak jiwa.
“Akhir-akhir ni Mak Jah selalu kurang
sihat. Mak Jah tak dapat urus semuanya
seperti dulu. Mama Mia tak puas hati. Kalau boleh mama Mia nak cari pengganti
Mak Jah. Yang lebih muda dan lebih bertenaga.” Jelas Pak Jamil yang hampir
sepuluh tahun lebih muda dari Mak Jah.
“Betul apa Pak Jamil cakap ni?” Soal
Mia Sakinah perlahan.
“Takkan Pak Jamil nak main-main.”
“Sampai hati, mama.” Ucap Mia Sakinah
lebih perlahan.
Ulas bibirnya diketap kuat. Aturan
nafas jadi tidak menentu. Tanpa sedar jari-jemari Mia Sakinah bermain-main
dengan daun keladi di dalam pasu. Daun keladi yang segar menghijau terkoyak
menjadi cebisan. Pak Jamil hanya memandang tanpa mahu menegur.
Dia mahu
membiarkan Mia Sakinah begitu. Pak Jamil amat sedar dan memahami apa yang
sedang bergolak dalam diri gadis sunti itu. Baginya Mak Jah adalah
segala-galanya. Mak Jah tempatnya bermanja dan mencurah segala macam perasaan.
“Maafkan Pak Jamil sebab buat Mia
sedih.” Perasaan bersalah men jengah diri Pak Jamil sedangkan Mia Sakinah masih
tenggelam dalam perasaan yang tidak menentu.
“Mia!”
“Err, ya Pak Jamil.” Sahut Mia
Sakinah gugup.
“Pak Jamil minta maaf kalau dah buat
Mia sedih.” Ulang Pak Jamil.
“Mia seharusnya berterima kasih pada
Pak Jamil. Kalau tak Mia tak tau ni semua. Tak apalah Pak Jamil, Mia minta diri
dulu.” Mia Sakinah mahu cepat-cepat pergi kerana hatinya sedang berkocak hebat.