Troli yang penuh muatan ditolak
perlahan-lahan. Mia Sakinah setia mengekori Mak Jah yang sedang sibuk memilih
barang-barang yang diperlu kan. Hari itu dia meluangkan masa untuk menamani Mak
Jah ekoran rasa bosannya menjadi penunggu rumah agam yang selalu sepi.
“Ummi nak masak apa hari ni?”
Ulas
bibir Mia Sakinah laju bertanya sedangkan lirik matanya menyelusuri segenap
ruang pasaraya. Terhibur hati kecilnya melihat pelbagai telatah pelanggan yang
sibuk dengan hal masing- masing. Tanpa Mia Sakinah sedar Mak Jah sudah jauh
meninggalkannya.
“Hoii!!! Jalan pandang-pandanglah
sikit! Sakit kaki aku!” Jerit seorang gadis genit tanpa malu-malu.
“Sorry! Sakit ke? Saya betul-betul tak
sengaja.” Dengan nada gugup Mia Sakinah mengakui kesalahannya. Entah bagaimana
kaki gadis itu boleh ter gilis oleh roda troli yang sedang ditolaknya.
“Mau tak sakit! Ada mata simpan kat
lutut!” Bola mata gadis genit itu melotot. Amarahnya berpanjangan sehingga
mengundang perhatian pelanggan pasaraya yang lain.
Wajah lembut Mia Sakinah merah padam
menahan malu. Ekor matanya melingas ke kiri kanan mencari-cari Mak Jah.
Sayangnya Mak Jah tiada di situ. Dari celahan orang ramai yang memerhati,
kelihatan susup-sasap se orang pemuda mencari laluan. Pemuda yang bercermin
mata gelap itu akhir nya berjaya juga menghampiri tempat itu.
“Apa ni Emily? Nak buat free show kat
sini ke?” Soalnya pada gadis yang
sedang memarahi Mia Sakinah.
“Budak nilah, dia langgar aku dengan
troli. Sakit tau! Engkau pun satu Danny, lama-lama sangat cari underware tu
kenapa? Menyesal ikut!” Gerutu Emily tanpa malu.
Kata-kata Emily yang tidak bertapis
membuat Danny jadi tersipu. Sepantas kilat dia menyembunyikan barang itu dengan
memusing tangannya ke belakang. Mia Sakinah yang masih membatu juga turut malu.
Dia hanya mampu menundukkan wajah yang kian celaru. Gembira yang diharapkan,
sebaliknya pula menimpa. Mia Sakinah telah terperangkap dalam situasi yang
menjengkelkan hatinya.
‘Ya Allah! Mana ummi ni? Ummi tak
nampak aku ke?’ Resah hatinya tidak dapat disembunyikan.
Beberapa orang pemerhati akhirnya
meninggalkan tempat itu. Babak yang menjadi tontonan itu terpaksa ditinggalkan.
Masa dan keperluan lebih penting untuk diutamakan.
Danny menarik nafas lega. Namun sumpah
seranah pada dua gadis di hadapannya masih bersarang di hati. Bebanan yang
menghempap di dada Mia Sakinah juga beransur surut. Tidak sabar rasa hatinya
mahu melangkah pergi meninggalkan tempat yang mencalar cerianya. Sedangkan
Emily masih memandang tajam ke arah Mia Sakinah. Sakit di hati terus
membengkak. Mungkin sahaja akan menanah sebentar lagi.
“Budak kecil! Lain kali kalau nak
jalan, mata tu pandang ke depan.” Ucap Danny dengan niat mahu memihak pada
Emily.
‘Kurang ajar! Aku dah sembilan belas
tahunlah.’ Bentak Mia Sakinah dalam hati.
“Saya dah minta maaf tadi.” Ujar Mia
Sakinah tegas sambil mendongak memandang Danny.
“Maaf engkau boleh hilangkan sakit aku
ke?” Herdik Emily.
“Apa yang awak nak saya buat lagi?
Awak nak saya melutut pada awak?”
Keberanian tiba-tiba meresap dalam sanubari
Mia Sakinah. Pantang bagi dirinya tunduk melulu tanpa alasan. Kesilapannya
telah diakui. Kemaafan juga telah dipinta malangnya masih tiada kesudahannya. Bukankah
malang itu selalu terjadi dan kesilapan itu kelemahan manusia.
“Memang engkau yang salah.” Tambah
Danny memanaskan keadaan.
“Bukan ke saya dah mengaku? Tak faham
ke Bahasa Melayu?” Mia Sakinah enggan tunduk melulu.
“Tak padan dengan kecil, garang bukan
main.” Balas Danny geram.
“Kalau harap badan je besar tapi otak
kosong pun tak guna juga.” Sindir Mia Sakinah dengan berani.
“Apa awak cakap?” Danny pula tidak
puas hati.
“Mia!”
Dari jauh Mak Jah melambai ke arah
Mia Sakinah. Mia Sakinah membalas lambaian itu. Hatinya gembira bukan kepalang.
Lega sekali. Sebentar lagi kisah yang menyakitkan hati itu akan ditinggalkan.
Mungkin ia akan berakhir di situ. Mungkin juga akan ada kesinambungan.
Mia Sakinah memilih untuk terus melupakan kejadian itu. Marahnya sebentar tadi
bukan kerana nafsu. Marahnya kerana dia masih punya harga diri.
“Ha, tu ummi saya dah panggil. Tolong
ke tepi sikit, kalau tak saya langgar lagi kaki awak yang sakit tu!” sindir Mia
Sakinah sambil terus menolak troli itu.
“Amboi! Beraninya dia!” gumam Emily
yang masih tidak puas hati.
“Tak padan kecil!” Danny mengulangi
kata-kata yang sama.
“Ala bebel je lebih, dengan budak
kecil pun kalah.” Emily menjuihkan bibir.
“Adalah pulak yang nak kena tangan ni.
Budak tu tak kena nanti engkau yang kena.” Bentak Danny lalu mengatur langkah
menuju ke kaunter.
Emily berlari anak mendapatkan Danny.
Di kaunter bayaran, ramai yang sudah berbaris. Pada hujung minggu seperti itu
memang ramai pelanggan yang datang membeli-belah. Bagi mereka yang bekerja, hari
itulah sahaja mereka dapat meluangkan masa mencari barang-barang keperluan.
Emily menyelit di antara barisan untuk pergi ke tempat Danny.
‘Mana budak kecil tadi?’ Dalam diam
Emily tercari-cari Mia Sakinah.
Hanya tubuhnya di situ. Sedang
mindanya tidak bertumpu. Amarahnya masih belum surut. Sakit di kaki sudah mula
hilang tapi sakit di hati masih terasa. Kadang-kadang sifat manusia memang
sukar diteka.
Hanya perkara kecil yang terjadi namun dendam sengaja disimpan
dalam hati. Akhirnya apa yang dicari telah ditemui oleh pandangan mata. Emily
menarik-narik tangan Danny yang sedang menunggu giliran.
“Apa ni?” Rungut Danny.
“Tengok kaunter hujung sana tu!”
Muncung bibir Emily mengarah kepada Mia Sakinah.
“Alah, sini jelah. Sana lagi ramai
yang que.” Danny acuh tak acuh dan tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Emily.
“Bodoh! Tengok sana tu!” Begitulah
kata-kata seorang anak gadis yang lepas
laku. Wajah yang manis tidak bermakna jika tidak tahu berbudi bahasa.
“Hormat sikit boleh tak? Aku abang
engkau tau!” Danny separuh berbisik. Enggan untuk menjadi tontonan
untuk kali ke dua.
“Aku suruh tengok sana tu. Budak tadi
tu.” Emily masih tidak senang hati.
Danny menoleh. Memang benar kata Emily. Gadis itu masih lagi di situ.
Kali ini Emily hanya dapat melihatnya dari sisi. Mia Sakinah berdiri di sebelah
seorang perempuan tua yang tidak dapat dilihat wajahnya.
Terasa lucu bila
membandingkan Mia Sakinah dan ibu tuanya. Dalam diam Danny ketawa di dalam
hati. Jarak umur Mia Sakinah dan ibunya begitu jauh sekali. Hati Danny bagai
digaru hingga akhirnya sengihan terzahir di wajahnya.
‘Mesti kahwin tua sebab tu anak tak
boleh membesar. Hahaha.’ Ejek Danny di dalam hati.
“Biarlah!” Terpacul kata-kata yang
membuat Emily hampa.
Tiba-tiba Mia Sakinah mengilas wajah. Tanpa
direncana pandangan Danny dan Mia Sakinah bersatu. Tanpa sengaja mata saling
bertatapan. Mia Sakinah tidak menentu. Danny pula serba-salah. Untuk beberapa
detik belum ada yang mengalah.
‘Alahai mata ni, kenapalah terpandang
dia.’ Marah Mia Sakinah pada mata yang tidak seiring dengan hati.
‘Perasan pulak aku pandang dia.’ Danny
tidak mahu lagi memandang namun hatinya tidak mengizinkan.
‘Dia memang renung aku ke?’ Mia
Sakinah kurang pasti.
‘Bila pandang lama-lama, comel juga
budak ni!’ Bisik Danny sehingga sengihan
terpamer di wajahnya.
‘Astaghfirullah…gatalnya dia! Aku
pulak kenapa pandang dia? Kenapa aku ni?’ Desis Mia Sakinah lalu cepat-cepat
melarikan pandangan dari wajah Danny.
“Dahlah tu! Ke depan lagi, orang tu
dah habis bayar.”
Suara parau Emily mengejutkan Danny dari khayalan. Emily
bersungut-sungut perlahan namun cukup untuk sampai ke pendengaran Danny. Danny
membiarkan sahaja tingkah adik tunggalnya itu. Emily memang begitu. Dia tidak
mudah untuk melupakan jika ada orang yang menyakiti hatinya.
“Engkau tak nak buat apa-apa ke?”
Emily masih mahu memanjangkan cerita.
Pertanyaannya tidak bersambut. Danny hanya diam. Malas dia mahu melayan
kerenah Emily yang keanak-anakan. Cukup sudah dengan apa yang terjadi sebentar
tadi. Campur tangannya telah menjadikan dia juga seperti budak hingusan.
Bila
dikenang kembali, terasa juga kebodohannya. Anak Datuk Zahid yang cukup
disegani bergaduh di tempat terbuka. Agak menyesal juga kerana tersalah pilih.
Pasaraya golongan sederhana itu memang tidak layak untuk anak-anak Datuk Zahid.
“Danny!” Emily masih tidak memahami
suara hati Danny.
“Stop it! Ok? Sahut Danny pendek dan
tegas.
Sebuah keluhan berat dilepaskan oleh
Emily. Wajahnya keruh tiba-tiba. Dengan berat hati Emily terpaksa akur. Sakit
hatinya yang mendalam tidak terbalas. Lebih sakit lagi apabila dari jauh dia
melihat Mia Sakinah meninggal kan tempat itu dengan aman.