BEG
sekolah berwarna hitam diletakkan perlahan ke atas meja kayu yang terletak di
barisan pertama lajur kedua kelas tingkatan 5 Sains 1. Setelah itu, Anas duduk
di kerusi plastik berwarna kuning cair sambil merenung ke luar tingkap kelasnya
yang mempamerkan permandangan sawah padi yang kian menguning.
‘Ya ALLAH, bilalah dugaan hidup kami
bakal berakhir?’ bicara hati Anas hiba. Air matanya bergenang namun ia ditahan
dari melimpah turun. Hati lelakinya yang keras itu tidak membenarkan. Anas masih
berpegang kepada pepatah yang lelaki tidak pernah menangis!
Dalam diam, Syamil menatap rakannya
dari arah belakang. Hasrat di hati ingin menegur. Walau bagaimanapun, takut
pula dia mengganggu rakannya yang sedang larut melayan perasaan ini.
“Anas…” panggil Syamil perlahan.
Anas tidak menyahut. Remaja berumur
17 tahun ini hanya membisu bagai pekak dari segala bunyi yang berada di
sekelilingnya.
“Anas? Anas?” Syamil mendekat. Bahu
Anas dicuitnya lembut.
Anas menoleh. Wajah Syamil yang
tersenyum kambing itu dipandang sayu. Kepalanya beralih semula ke jendela
kelas.
“Kenapa termenung ni? Sampai lambat
pulak tu! Teringatkan mata air ke?” usik Syamil nakal. Kerusi yang berada di
meja sebelah ditariknya mendekati meja Anas.
“Tak adalah. Apa pulak teringat mata
air! Entahlah… hidup aku berliku-liku, banyak dugaan,” keluh Anas.
Syamil menongkat dagunya. Dugaan?
Dah pulak! “Dugaan apa? Dugaan yang selalu-selalu tu ke?”
“Dugaan yang mana lagi? Itu je lah
dugaan yang selalu menimpa aku dengan ibu aku.”
Beg hitam yang berada di hadapan Anas ditarik dekat dengannya. Buku fizik tingkatan
lima dikeluarkan.
“Alahai… Kalau pasal nenek kau tu…
abaikan je lah. Sejak dari kau lahir lagi dia memang macam tu. Memang benci kau
dengan mak kau tu. Jadi sekarang ni dah masuk 17 tahun! Bagi aku caranya mudah
saja kalau kau nak nenek kau tu berubah,” kata Syamil tegas. Kerusinya
didekatkan ke meja. Buku fizik Anas diangkat ke muka.
“Macam mana?” Kening Anas
dijungkit-jungkit.
Bam! Buku fizik yang berwarna kuning
cair itu dihempas ke meja. “Kau kena berjaya! Buktikan yang orang macam kau ni…
yang tak ada kasih sayang seorang ayah boleh jadi seorang yang berjaya! Itu
saja peluang kau, Nas!”
Anas tergelak kecil melihat telatah
Syamil yang beriya-iya. Macam dia pula yang berada di tempat aku sekarang ni.
“Hmm… itulah yang sedang aku usahakan. Insya-ALLAH, kalau SPM aku cemerlang…
aku nak apply matriks dan seterusnya
ambil degree jurusan berkaitan
fizik.”
“Bagus! Bagus! Itulah semangat yang
aku nak tengok!” Syamil menepuk-nepuk belakang Anas kuat. Sengaja diubah
sikapnya menjadi keloloh tak tent pasal. Biar Anas ketawa melihat kelakuannya.
“So
sekarang ni bercakap tentang fizik… Cikgu Lim See Ken mana? Dia tak datang
kelas ke?” tanya Anas.
Syamil tersengih. “Dia ada meeting,” bicaranya berbisik. Kemudian
dia kembali menyambung, “Satu kelas tak tahu lagi. Sengaja aku tak nak
beritahu. Takut nanti dorang semua berjimba! Biar dorang study hard sikit. Lagipun percubaan dah nak dekat.”
Anas menyengetkan bibirnya sambil
mengerdipkan mata berkali-kali. Bagus juga si ketua tingkatan ni. Berfikiran
jauh.
“Emm… kau ada nampak Amanina tak
hari ni?” Soalan Anas tiba-tiba berubah arah. Dari berkaitan pelajaran, terus
melompat ke topik berkaitan mata air.
“Haiii… tiba-tiba tanya Amanina ni?”
Syamil tersengih lagi. Bahu Anas ditonjol-tonjol jari telunjuknya.
“Alah… lari topik sikitlah! Dia
datang sekolah tak?” tanya Anas dengan mata yang bercahaya. Amanina gadis
pujaan seisi sekolah. Dari pelajar sehinggalah ke pengetua. Semua gilakan
Amanina. Cantik manis orangnya. Budak aliran sastera.
“Datang! Macam biasa tunggu kau kat
tepi tangga. Tapi kau datang lambat dia masuk kelaslah,” jawab Syamil pantas.
“Emm… takpe nanti masa rehat aku
jumpa dialah.”
Buku fizik yang berada di tangan
Syamil dirampas Anas. Muka surat 15 dibuka. Sungguhpun matanya tertumpu pada
formula-formula wavesdan resonance, namun hatinya berbunga-bunga
mengingatkan Amanina yang berambut ekor kuda dan senyumannya yang menawan
seindah mentari. Oh Amanina! Terbang seketika masalah yang menghimpitnya tadi.
***
ZARA
AISYA mengelap habuk-habuk yang melekat di meja juruwang kedai runcit Pak
Hashim. Sudah hampir lima tahun Zara bekerja di sini. Ia juga sudah menjadi
mata pencarian utama bagi menampung kehidupan dia dan anaknya, Anas. Yang
selebihnya, kebanyakan hal kewangan banyak dibantu oleh Pak Mustapha. Manakala
Mak Zaiton pula tidak mahu langsung ikut campur dalam soal kebajikan dia anak
beranak.
Dia terpaksa akur. Emaknya amat
membenci dia dan Anas. Malah kebencian Mak Zaiton terhadap Zara sudah mula
berkembang semenjak Zara masih kecil lagi. Entah di mana silapnya Zara. Dia
sendiri tidak mengerti.
Kemudian,
apabila suaminya meninggalkan dia selepas berkahwin, kebencian Mak Zaiton
kepada Zara kian memuncak. Benci dan amarah itu pula beralih kepada Anas
selepas anaknya itu dilahirkan. Entah apalah lagi yang harus Zara lakukan
supaya emaknya berhenti dari memandang buruk terhadap dia dan anaknya. Zara
tidak kisah mengenai dirinya. Namun apa yang Zara bimbangkan adalah Anas! Sejak
dari kecil lagi, dendam dan kebencian kepada neneknya itu sudah terbentuk tanpa
sengaja walaupun Zara cuba untuk melenturkannya.
Setelah
selesai mengemas di ruangan juruwang, Zara Aisya masuk ke dalam stor. Barangan
yang sudah habis stok dan juga perlu diisi diperiksa satu persatu. Semuanya
dicatat di dalam buku tiga lima yang bakal ditunjukkan kepada Pak Hashim nanti.
Begitulah pekerjaannya sehari-harian. Bosan atau tidak mencabar itu sudah tidak
menjadi kepentingannya lagi walhal dia adalah pelajar lepasan ijazah perakaunan
di sebuah universiti awam. Dek kerana pengorbanan terhadap anaknya, Anas
cita-cita dan impiannya dulu diketepikan.
“Zara!”
Zara
Aisya berhenti dari mencatat bilangan stok di dalam buku tiga limanya itu.
Kepalanya mendongak ke atas sambil tercari-cari bayang manusia dari celah-celah
rak barangan yang tersusun secara memanjang di hadapannya.
“Ooo
Zara!” Seorang wanita yang berusia antara 50 ke 60-an bersuara lagi. Bayangan
langkah kakinya dapat ditangkap Zara yang sedang duduk mencangkung di belakang
rak yang bersusun kotak Milo dan Nestum.
“Mak
Piah! Zara kat belakang ni!” sahut Zara. Dia seterusnya bangun dan bergerak ke
meja juruwang.
“Haa ingatkan tadi hang nak bagi free saja barang-barang kat kedai ni!”
seloroh Mak Piah dalam longat utara. Plastik merah yang berisi beberapa biji
bawang merah dan juga bawang putih diletakkan di atas meja kashier.
Zara
menggeleng-geleng sambil tersenyum. Pipinya yang putih melepak itu
kemerah-merahan apabila diusik Mak Piah. “Kalau saya bagi free… esok saya dah tak kerja dah kat sini, Mak Piah.”
“Ish!
Tak maulah dok cakap lagu tu! Doa tu hang tau!” Mak Semah menciut-ciutkan
bibirnya tanda kurang senang dengan bicara Zara. Sambil itu tangannya menggapai
sekotak cereal Coco Crunch dan beberapa paket keropok Toki. Mungkin buat
cucunya yang baru dihantar ke kampung minggu lepas.
“Yang
ni aje ke Mak Piah?” kata Zara.
“Haa
yang ni sajalah. Nak beli banyak-banyak sat lagi cucu aku tu tak mau makan.
Depa ni susah sikit bab-bab makan. Asyik nak makan western saja! Aku tak taulah macam mana mak bapak depa ajaq anak
makan!” rungut Mak Piah. Matanya sempat mengerling kepada wajah Zara yang
menawan itu. Putih melepak budak ni. Sayang tak berlaki!
“RM10
semuanya.” Zara siap membungkuskan kesemua barangan itu ke dalam dua plastik
merah besar. Plastik itu diserahkan ke tangan Mak Piah. Namun Mak Piah tidak
menyambut huluran Zara. Wanita itu sekadar tersengih dan membiarkan Zara
meletakkan semula barangan beliannya ke atas meja.
“Mak
Piah? Awat ni?” tegur Zara. Jarinya dipetik-petik untuk menyedarkan Mak Piah
dari lamunan.
“Eh!
Opocot mak hang! Aippp!” latah Mak Piah. Dia mengetuk meja juruwang itu
berkali-kali sambil menggaru-garu kepalanya.
“Mak
Piah kenapa? Saya tengok dok termenung je?”
Mak
Piah kembali tersengih. “Bukan… aku bukan termenung. Tapi dok teringat sesuatu.
Ni mak hang sihat ka?”
Zara ketawa kecil melihat gelagat
Mak Piah yang sedikit kelam kabut. Memang orang tua itu begitu. Cepat sangat
melatah tak tentu pasal.
“Alhamdulillah sihat.”
“Dia dok marah hang macam dulu jugak
ka?” tanya Mak Piah berbisik. Tangannya menyentuh jejari kanan Zara yang sedang
mengelap-ngelap meja.
“Taklah…” Zara melarikan matanya
dari bertembung dengan mata helang Mak Piah yang asyik meniliknya dari tadi.
“Hang jangan tipu aku noh! Aku tau…”
Jejari Zara digengam erat oleh Mak Piah.
Zara mengeluh kecil. Kepalanya
diangkat dan matanya kembali memandang tepat ke mata Mak Piah. “Apa saya boleh
buat Mak Piah? Takkan saya nak menderhaka kepada mak ayah sendiri?”
“Aku tak suruh hang buat lagu tu.
Tapi bersuaralah sikit. Hang ada hak! Bukan lagi budak-budak. Dia tak boleh
suka-suka marah hang. Lagipun, bukan salah hang… laki hang tu kena tangkap,”
bicara Mak Piah tanpa berselindung lagi. Dia kasihan dengan Zara. Selalu
diumpat oleh mak sendiri yang menyebarkan berita buruk mengenai anaknya sendiri.
Tak sangka wujud lagi orang begitu di zaman serba moden ini.
“Dahlah Mak Piah… pasal laki saya
tu… saya tak mau cakap lagi tentang dia! Dia dah tak wujud lagi dalam hidup
kami,” balas Zara tegas. Air mata mula bergenang di kolam matanya. Sengsara ini
dia tanggung sendiri sejak 17 tahun lalu. Setelah tiga hari berkahwin, suaminya
lesap begitu saja dibawa pergi oleh empat orang lelaki yang tidak dikenali.
Mak Piah menggeleng-geleng laju. Dia
tahu Zara sudah tiada daya lagi untuk menahan kesedihan dan apa saja bencana
yang dia lalui kini. Biarlah apa yang emaknya nak bicara atau orang kampung
hendak mengutuknya. Zara hanya fikirkan kebahagiaan Anas!
“Hang takkan tak tau suami hang tu
berasal dari mana? Manalah tau kut-kut dia duduk kat sana la ni… tengok gaya
dia lagu orang bandar. Asal KL kut,” usul Mak Piah.
“Tak tahu Mak Piah. Saya tak tahu!”
bicara Zara kekeliruan. “Kalau saya
tahu, dah lama saya tinggalkan kampung ni. Dah lama saya pi kat dia…
Masalahnya, saya pun tak tahu yang sama ada dia ditangkap polis pada malam tu
atau…”
Kata-kata Zara tergantung. Air
matanya lebat membasahi pipi. Emosinya terganggu apabila bayangan suami
menjengah di mata. Masih lagi terbayang wajah lelaki yang menikahinya itu cuba untuk tersenyum kepadanya saat pintu
bilik mereka diketuk kuat bagai nak runtuh. Empat orang lelaki yang berpakaian
kot gelap ala James Bond menceroboh rumahnya pada malam 24 Ogos 1997.
“Saya janji yang saya pergi takkan
lama…” ujar si suami meyakinkan. Matanya memandang tepat ke mata Zara sambil
menggenggam tangan isterinya kuat.
“Awak nak ke mana sebenarnya ni?
Saya tak faham…” Zara tidak mahu melepaskan genggaman tangan si suami. Bahu
lelaki itu pula dicengkamnya.
“Satu hari nanti awak akan faham.
Simpan ni… Tekan butang merahnya bila awak betul-betul dilanda masalah besar.”
Lelaki yang dicintai Zara itu mengeluarkan sesuatu dari kocek seluar. Bola
kecil yang dipenuhi lekuk heksagon berwarna putih pada permukaannya. Sekilas
pandang, bentuk bola itu bagaikan bola golf. Namun cahaya ungu dan biru yang
menyala dari dalamnya serta butang merah yang berada pada atas bola tersebut
membezakan ia dari bola permainan termahal dunia itu.
“Zara Aisya! Zara!” Mak Piah
menepuk-nepuk meja kayu.
Zara kembali ke alam nyata. Duit not
RM10 yang berada di tangan Mak Piah dicapai. Barang-barangan yang sudah
dibungkus dihulurkan kepada wanita tua itu dengan cermatnya.