Home Novel Fantasi Sayap Berlian (Sudah Terbit)
Sayap Berlian (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/10/2023 10:36:44
7,863
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 1

HARI yang dinanti-nantikan telah tiba. Matahari masih tidak kelihatan biarpun pagi telah menjelang, seakan-akan berkelubung di sebalik awan-gemawan di langit yang cerah. Laut luas itu kelihatan tenang, seolah-olah mengeyakan kaji cuaca yang diramal semalam. Sebuah kapal layar mewah diberi nama Diamond Tsubasa belayar megah di tengah lautan. Rekaan logo berbentuk dua sayap di bahagian kepala kapal layar terukir halus berseni dengan tatahan permata, melambangkan prestij pemiliknya.

Di dalam wheelhouse, Tengku Jalil sedang mengemudi kapal. Sepasang matanya yang dilindungi kaca mata hitam sesekali mengawasi abangnya, Tengku Annas yang berdiri di atas dek kapal menghirup bau masin air laut dengan wajahnya yang sengaja ditadah ke langit. Menunggu matahari pagi menyentuh kulitnya yang cerah.

Berbanding Tengku Jalil, abangnya jauh lebih tampan. Anak mata Tengku Annas berwarna hazel. Rambutnya tidak terlalu hitam, kelihatan agak coklat semula jadi setiap kali disimbah cahaya mentari. Tulang hidungnya agak tinggi menjadikan bentuk hidungnya sedikit tirus dan terletak. Setiap kali berjalan, dia sentiasa menjadi perhatian kerana aura visualnya yang kuat. Jika bukan kerana status keluarga mereka yang berdarjat dan berpengaruh dalam dunia korporat, pasti berderet-deret syarikat agensi model mahu mengambil Tengku Annas menjadi idola terkenal.

Lelaki bertubuh lampai melebihi enam kaki tinggi itu, terhuyung-hayang melawan gelora sambil sebelah tangan menekup mulut menahan loya. Tengku Jalil tersenyum kecil melihat gelagat Tengku Annas yang mabuk laut tergopoh-gapah menuju ke arahnya.

"You okay, bro?" tegur Tengku Jalil sambil menghulurkan botol air mineral sebaik sahaja abangnya masuk ke dalam wheelhouse.

Wajahnya yang cerah, berubah pucat kebiruan bagaikan mayat. Tengku Annas mencapai botol air mineral yang dihulurkan Tengku Jalil sebelum duduk meneguknya dengan tertib. Dia bersandar tidak bermaya.

"Lama lagi ke nak sampai Pulau Rumbia tu?" Dia menghitung waktu dalam keadaan resah. Berharap akan segera sampai ke destinasi yang dijanjikan.

Pertanyaannya tidak dihiraukan Tengku Jalil yang sedang berkhayal memikirkan rancangan dalam kepalanya. Pelayaran mereka belum pun sampai separuh perjalanan. Dari Jeti Lang Paradise, pelayaran itu sebenarnya bukanlah menuju ke Pulau Rumbia. Sebaliknya sejak dari awal lagi Tengku Jalil telah menetapkan sistem navigasinya menghala ke Pulau Jarak.

Pulau Jarak terletak lebih jauh ke tengah laut dan mengambil masa lebih dari 5 jam masa pelayaran. Pulau kecil itu tidak dihuni manusia dan terpencil. Tengku Jalil yakin kawasan itu tempat yang strategik untuk melunaskan dendamnya. Tiada siapa akan menjumpai mayat abangnya di pulau terpencil itu. Orang akan menganggap Tengku Annas hilang sepertimana ayah mereka suatu waktu dahulu; mati tak bertanda!

Tangan menyeluk poket jaket kulitnya dan menggenggam sebuah kotak kayu. Kancing kotak itu ditekan dan terbuka secara automatik. Di dalamnya ada hujung mata anak panah yang patah. Rekaan yang unik itu ditempah khas. Terdapat ukiran nama 'Annas' dalam tulisan jawi pada hujung batangnya.

***

10 tahun lalu ...

KELOPAK matanya bergerak-gerak. Dia cuba membuka mata tetapi terasa berat. Kepala berdenyut-denyut. Terasa ada cecair mengalir di dahinya. Tengku Jalil berusaha keras menolak tubuhnya bangun. Namun tubuhnya tak dapat bergerak. Terasa berat bagai Si Tanggang yang disumpah menjadi batu.

"Ayah, Annas minta maaf."

Tengku Jalil terdengar suara garau yang dingin tidak jauh darinya. Beberapa kali matanya dipicing untuk memastikan figura di hadapannya. Pandangannya kabur dan terbatas disebabkan cuaca yang kian gelap di hutan itu. Namun, dia yakin dari susuk lampai yang bertinggung di hadapan sekujur tubuh yang terbaring kaku itu ialah Tengku Annas. Dia nampak sebelah tangan Tengku Annas memegang sesuatu yang tertusuk di dada lelaki yang terbaring tadi.

"Ayah." Tengku Jalil tidak mampu bergerak untuk menyelamatkan lelaki yang terbujur kaku itu. Suaranya hanya bergema dalam kepala. Seluruh anggota badannya seakan-akan lumpuh. Jari-jemarinya langsung tidak mampu digerakkan.

"Annas janji takkan buat ayah sakit." Suaranya dingin merenung mata ayahnya.

Tiba-tiba Tengku Annas merentap senjata tajam itu daripada dada Tengku Badri. Rentapan itu menyebabkan tubuh ayahnya terangkat bagai direnjat elektrik. Mulut ayahnya ternganga menahan azab kesakitan. Rentapan itu seperti menarik keluar roh dari tubuhnya. Sebelah tangan yang mencengkam kuat lengan baju Tengku Annas perlahan-lahan terkulai jatuh ke tanah.

"Ayah!" Tengku Jalil menjerit sekuat hati memanggil insan yang dikasihinya. Namun jeritan itu hanya bergema dalam hati sahaja. Kudratnya hilang. Dia hanya mampu melihat perbuatan kejam abangnya.

Tengku Annas masih menggenggam kemas anak panah patah yang menjadi senjata pembunuhan ayahnya. Dan sebaik sahaja Tengku Annas menoleh kepadanya, memorinya terbejat. Semuanya menjadi kelam. 

Previous: Bab 0
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.