Home Novel Fantasi Sayap Berlian (Sudah Terbit)
Sayap Berlian (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/10/2023 10:36:44
7,864
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 3

TENGKU AMINAH dan Tengku Julia bergegas ke hospital setelah menerima perkhabaran tentang tragedi yang menimpa Tengku Jalil dan Tengku Annas. Kemalangan yang melibatkan Diamond Tsubasa itu hanya menemui Tengku Annas sedangkan jasad Tengku Jalil masih belum berjaya dikesan. Hal ini membuatkan masing-masing risau terutama sekali Tengku Julia sebagai ibu.

Tengku Aminah yang bertongkat berusaha melangkah lebih pantas sambil dipimpin menantunya, Tengku Julia. Mereka menuju ke wad yang menempatkan Tengku Annas. Sejak menerima perkhabaran tentang tragedi itu, Tengku Julia tidak henti-henti menangis kerana memikirkan keselamatan anak kesayangannya yang masih hilang di lautan. Tengku Aminah membiarkan sahaja menantunya itu terus menangis dan marah-marah. Sebenarnya dia penat dengan kerenah Tengku Julia yang sering menuduh dan menyalahkan orang lain tanpa usul periksa. Tengku Aminah mengambil langkah bijak dengan mencari jalan penyelesaian. Dia mengarahkan orang kepercayaannya menyiasat dan memastikan dahulu keadaan sebenar yang berlaku.

"Ku Lia, mummy tak nak kamu bercakap yang bukan-bukan di depan Annas. Ingat pesan mummy."

Sebelum melangkah masuk ke bilik wad yang menempatkan Tengku Annas, Tengku Aminah menegaskan perkara itu kepada Tengku Julia. Memandangkan dia sangat masak dengan perangai Tengku Julia, dia risau jika menantunya itu melontarkan kata-kata kesat atau tuduhan tidak berasas terhadap anak tirinya atas kehilangan Tengku Jalil.

Tengku Aminah mendahului Tengku Julia masuk ke dalam bilik wad VIP. Tengku Julia yang mengekori Tengku Aminah sekadar mencebikkan bibir sambil menjulingkan bola matanya ke atas. Dia tidak suka dengan arahan ibu mertuanya.

Ketika mereka masuk ke dalam bilik wad, dua orang jururawat baru selesai menguruskan Tengku Annas yang terlantar di atas katil. Melihat kemunculan Tengku Aminah bersama Tengku Julia, kedua-dua jururawat itu meminta diri untuk beredar.

Tengku Aminah mengurut dada menahan sebak sebaik sahaja melihat keadaan Tengku Annas yang masih belum sedar. Kepalanya mengalami kecederaan namun menurut doktor, bukan kecederaan serius yang melibatkan otak. Pergelangan tangan dan juga lengan kanannya turut mengalami luka yang berbalut.

Warna kulitnya yang pucat bagaikan mayat tidak berdarah menyebabkan hati Tengku Aminah bertambah pilu. Tubuhnya yang kurus itu kelihatan cengkung dengan tulang pipi yang timbul. Tengku Aminah menyeka air mata di kelopak matanya, tidak tertahan melihat kesengsaraan yang dialami cucu kesayangannya. Tapak tangan cucunya dipaut ke dalam genggaman. Terasa dingin bagaikan ais, lantas digosok-gosok dengan tapak tangan tuanya untuk mengalirkan haba sambil menahan sebak di dada.

"Ku Lil hilang. Annas pula masih tak sedar sampai sekarang. Kita nak tunggu sampai bila, mummy?" Suaranya keras berbaur kerisauan menyoal Tengku Aminah.

Kedua-dua belah tangannya disilang ke hadapan dan berdiri agak menjauhi katil. Dia hanya menjeling sesekali pada anak tirinya yang sedang terlantar tidak sedarkan diri. Bukan Tengku Annas yang dia risaukan.

"Sabar. Baru dua hari, Ku Lia. Kita belum pasti keadaan sebenar. Annas seorang saja yang tahu apa yang berlaku waktu tu." Tengku Aminah tidak menoleh kepada menantunya. Hanya tertumpu pada wajah pucat yang terlantar di katil.

"Mummy ni memang tak serik, kan. Mummy dah lupa apa yang jadi pada Badri? Dah 10 tahun, mummy. Sampai sekarang anak mummy hilang jejak. Entah kan hidup, entah kan mati. Tinggalkan I dan Ku Lil tergantung tak bertali. Mummy dah lupa semua ni jadi disebabkan siapa?" Dia meninggikan suara akibat tidak dapat menahan rasa. Matanya yang galak bercelak itu menjeling tajam pada jasad yang tidak bergerak di atas katil. Dendamnya tidak pernah surut.

"Ku Lia, kawal perangai kamu. Ini hospital." Tengku Aminah masih tenang mengawal sikap menantunya.

"Semua ni salah budak tak guna ni." Tangannya panjang menuding ke arah pemuda yang terlantar di atas katil itu.

"I said stop it!" Sikap Tengku Julia yang degil menyebabkan Tengku Aminah bangkit menghentak tongkatnya.

"Mummy percaya ke Ku Lil hilang sebab ribut di laut? Kalau sekadar ribut biasa, kenapa Annas saja yang selamat?"

Tengku Aminah mencengkam kuat kepala tongkatnya menahan perasaan yang berbuku di hati. Semakin banyak Tengku Julia bercakap, semakin sukar untuk mengawalnya menyimpan rahsia keluarga.

"Kita balik sekarang. Bincang di rumah." Tongkatnya diangkat lantas langkahnya di atur.

"No, mummy! Kita tunggu dekat sini sampai Annas sedar. I nak tahu sendiri dari mulut Annas. Mesti ada kaitan dengan Kompas Baiduri, kan?" Bulat matanya penuh dendam memandang Tengku Annas. Gara-gara anak itu, suaminya hilang tidak bertanda. Dan kali ini gara-gara Tengku Annas, dia kehilangan Tengku Jalil pula.

Tengku Aminah terpempan. Kakinya dipusing kembali menghadap Tengku Julia. Tajam anak matanya merenung Tengku Julia.

"Jangan berani bermain dengan api, Ku Lia. Kompas Baiduri bukan barang mainan. Kau akan lebih gila kalau tahu kebenarannya nanti." Tengku Aminah memberi amaran sebelum beredar.

Previous: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.