TOK
Putih dan Tok Yah menyambut kepulangan anak gadis mereka dengan
seribu kegembiraan dan linangan air mata kesyukuran. Mereka sudah pun
bersedia untuk menerima hakikat yang paling buruk. Ternyata, ALLAH
itu Maha Pemurah. Tok Putih mendapatkan Bayu lalu memeluknya dan
berkali-kali mengucapkan terima kasih.
Masiran
tersenyum dan menepuk-nepuk bahu Bayu. Orang kampung beransur-ansur
pulang setelah bersalaman dengan keluarga Tok Putih dan pendekar muda
itu. Hanya tinggal beberapa orang lelaki yang akan meronda-ronda
kampung sebagai langkah berjaga-jaga.
Sedang
Bayu berehat melepaskan lelah di tangga, dia dihampiri oleh Maisirah
yang berjalan lambat-lambat dengan kepalanya yang tunduk.
“Maisirah
ingin memohon ampun kerana... tersalah anggap menuduh Kanda
Bayu.... Sebaliknya, kandalah
yang... selamatkan Maisirah!” katanya tergagap-gagap. Gadis itu
dibebani rasa bersalah.
Bayu
memandang Maisirah dengan wajah yang bengis. Dia kemudiannya bangun
dan membelakangi gadis itu.
“Untuk
menebus kembali kesalahan, sediakan hamba kepala gajah yang disalai
selama tujuh hari tujuh malam bersama dengan dua biji buah labu yang
ditusuk pada gadingnya berserta ikan haruan yang disumbat pada
belalainya dan...” Bayu menjeling memerhatikan wajah Maisirah.
Gadis
itu dengan mulut terlopong dan matanya terkelip-kelip memandangnya.
Maisirah tidak percaya begitu pelik permintaan pendekar muda itu.
Tidak mungkin dapat dilaksanakannya! Mana hendak dicari kepala gajah?
Hutan di kawasan lain mungkin ada, tetapi tidak di kawasan
berhampiran kampung ini.
Beberapa
penduduk kampung yang berada berhampiran pandang memandang antara
satu sama lain apabila terdengar permintaan Bayu. ‘Hendak dibuat
apa kepala gajah salai?’
“Tapi,
di mana Maisirah hendak cari kepala gajah?” Gadis itu cuba mengajak
Bayu menukar permintaannya kepada sesuatu yang dapat ditunaikan.
“Di
mana?” Bayu berpusing menghadap gadis itu. Matanya yang terbeliak
besar menikam tepat ke mata Maisirah.
“Ya,
di mana?” Gadis itu mula ketakutan melihat wajah bengis Bayu.
Bayu
mendekatkan mukanya bertentangan dengan muka Maisirah. Pernafasannya
turun naik bagai menahan gelojak amarah. Gadis itu ketakutan dan
berundur ke belakang. Penduduk kampung yang memerhatikan mereka juga
mula berasa cemas.
“Di
sini!” Bayu menolak hidungnya ke atas dengan jari lantas ketawa
terbahak-bahak.
Penduduk
kampung yang tadinya cemas turut ketawa bersama dan bersorak. Tok
Putih yang mememerhatikan mereka dari jauh tersenyum dan
menggeleng-gelengkan kepala. Pendekar muda yang begitu perkasa
menyelamatkan kampung tetapi perangainya masih kebudak-budakan.
Tetapi ada baiknya juga gelagatnya tadi. Sekurang-kurangnya
mengurangkan tekanan mereka.
Maisirah
yang mulanya pucat terus menjadi merah padam. Tidak disangka si
penyelamat cuma mempermainkannya. Terus dia lari ke atas rumah dengan
menjerit-jerit kegeraman.
“Tak
terlalu kasarkah perbuatan begitu?” Masiran yang bersama orang
kampung mendekati Bayu.
“Maisirah
berada di peringkat peralihan hidupnya menuju dewasa. Sepatutnya dia
faham. Itu sahaja cara untuk menghilangkan kejutan yang diterimanya
malam ini.” Bayu meyakinkan Masiran.
Masiran
berasa pelik. Aneh benar cara pendekar ini memulihkan semangat
adindanya. Disangkanya Bayu cuma ingin mengusiknya. Rupa-rupanya
usikan itu ‘berisi’.
Benar
seperti apa yang diperkatakan Bayu, selepas menjerit sepuas hatinya,
Maisirah berasa hatinya tenteram. Ketakutan dan tekanan dihambur
keluar bersama dengan jeritannya tadi. Dia berasa lega dan menjenguk
ke luar jendela menghadiahkan sebuah senyuman kepada Bayu. Senyuman
tanda terima kasih yang tidak terhingga.
Bayu
membalas senyuman itu dan mengangguk. Masiran terpinga-pinga melihat
dindanya yang tersenyum riang di muka jendela. Kemudian, diperhatikan
Bayu. Tidak disangkanya cara pelik itu berkesan. Kagumnya terhadap
pemuda ini semakin bertambah.
Bayu
membalas pandangan Masiran dan mengenyitkan sebelah matanya lalu
memuncungkan mulut ke arah Maisirah sebagai tanda gadis itu sudah
pulih sepenuhnya.
***
MALAM
itu, Masiran, Bayu berserta dua orang lelaki lagi bertugas mengawal
kampung. Mereka meronda hingga
hampir subuh dan kemudiannya bersama-sama berjemaah di madrasah
bersama penduduk lain. Bayu senang melihat kaum wanita turut
meramaikan jemaah. Dia tidak pernah menikmati kebahagiaan berjemaah
sebegini meriah. Seakan-akan terasa ada kekuatan yang terselindung
dalam penyatuan ukhuwah. Sesudah solat, mereka duduk berkumpul di
tengah-tengah dewan sembahyang.
“Tok
rasa, jembalang itu bukanlah jembalang yang sejati tetapi manusia.”
Tok Putih memulakan bicara.
“Bagaimana
mungkin begitu tok? Pergerakannya amat pantas, malah begitu perkasa.
Hanya jin dan jembalang sahaja kuat begitu.” Salah seorang penduduk
kampung bersuara. Beberapa penduduk lain mengangguk-angguk tanda
setuju dengan pendapat orang itu.
“Semasa
jembalang itu menyerang rumah tok malam tadi, tok dapat melihat
kelibatnya. Dia memakai pakaian. Tetapi, wajahnya samar-samar. Tidak
dapat dikenal. Tidak pernah pula tok dengar jembalang pakai baju.”
Tok Putih berseloroh dan disambut ketawa kecil mereka yang berada di
situ.
“Jika
begitu siapa? Bagaimana dia boleh menjadi begitu perkasa?” tanya
salah seorang dari mereka.
“Jika
siapa soalannya, itulah tujuan kita berbincang. Jika soalannya
bagaimana, rasanya tuan-tuan sekalian sudah melihat keupayaan
Pendekar Bayu mengejar jembalang itu semalam.” Tok Putih
mengurut-ngurut janggutnya sambil tersenyum memandang Bayu.
“Jangan
panggil hamba, pendekar. Hamba belum layak.” Bayu tersipu-sipu
merendah diri sambil menggaru-garu kepalanya.
Mereka
ketawa kecil melihat Bayu tersipu-sipu begitu. Bertuah mereka
mendapat bantuan dari seorang yang tidak mementingkan nama.
“Tapi
ayah, tiada orang di kampung ini yang berilmu begitu hebat.” Belum
sempat menghabiskan kata-katanya, Masiran terdiam menunduk bagai cuba
mengingati sesuatu.
“Dukun
Kidam...” Tiba-tiba seorang daripada
mereka menyebut nama itu perlahan-lahan seakan berbisik tetapi dapat
didengari oleh semua.
Segera
Masiran memanggung kepalanya. Wajahnya tampak runsing. Penduduk
kampung saling pandang-memandang.
“Dukun
Kidam telah banyak membantu kita sebelum ini. Sakit demam kita,
dialah tempat mengadu. Tidak patutlah kita menuduhnya tanpa bukti
yang sahih.” Tok Putih cuba untuk mengadili pertuduhan itu.
“Mungkin
dia jadi begitu di luar kemahuannya. Mana tahu jika ilmu yang
diamalkannya memakan diri. Sebab itulah dia menjadi begitu hebat dan
ganas. Lagipun, sudah lebih seminggu dia tidak kelihatan. Ketika kita
mencari mangsa dan mengejar jembalang itu pun, dia tidak bersama.”
Masiran memberi pendapatnya.
“Mungkinkah
dirasuk?” Bayu pula menyuarakan pendapatnya. “Tetapi, jika kita
hendak menjatuhkan pertuduhan ke atasnya disebabkan tidak
bersama-sama menjaga kampung, hamba rasa itu tak
adil. Sebabnya hamba rasa tidak semua lelaki di kampung ini yang
bersama-sama mengejar jembalang itu. Mereka ini juga boleh disyaki.
Hamba rasa, jika benar ia rasukan, orang itu langsung tak
sedar akan perbuatannya,” tambahnya lagi.
Semua
menjadi resah. Ini bermakna, jembalang itu boleh jadi sesiapa sahaja
antara mereka.
“Hmm...
kita tidak tahu pendapat siapa yang betul. Masiran, selepas ini kamu
bawa Bayu ke rumah Dukun Kidam. Mungkin ada petunjuk di sana.” Tok
Putih tidak berniat mensyaki dukun kampung itu. Tetapi disebabkan
keadaannya seperti yang diperkatakan Masiran, mungkin Dukun Kidam
tahu sesuatu.
Masiran
mengangguk tanda setuju.
“Hamba
rasa lebih baik kita pergi selepas tengah hari.” Bayu menyatakan
usul.
“Kenapa
saudara Bayu? Kenapa perlu selepas tengah hari?” Masiran bertanya
inginkan kepastian.
Semua
mata memandang Bayu. Mereka juga seperti Masiran, ingin mengetahui
sebabnya. Apakah ilmu dukun itu menjadi lemah ketika itu, ataupun
kerasukannya hilang waktu itu? Persoalan-persoalan ini bermain di
benak mereka.
“Kerana...”
Bayu tidak sempat menghabiskan ayatnya apabila mendapati mereka
masing-masing dengan wajah curiga mendekatkan diri kepadanya,
termasuk Tok Putih untuk mendengar jawapannya, “...kerana hamba
mengantuk. Hamba ingin melelapkan mata sebentar!”
Mendengarkan
jawapan Bayu, masing-masing menunduk. Hanya bunyi “ohhh...”
didengari dari mulut mereka.
***
MASIRAN
dan Bayu berjalan beriring sambil berbual-bual menuju ke rumah Dukun
Kidam. Jalan di situ agak sunyi kerana rumahnya terletak di hujung
kampung. Cerita Masiran, orang kampung agak gerun dengan dukun itu
kerana orangnya tidak banyak cakap dan tinggal pula berseorangan
terasing di hujung kampung berdekatan dengan tanah perkuburan.
Mendengarkan
cerita Masiran, Bayu berasa hairan. Apa salahnya tinggal terasing dan
berdekatan kubur? Apa yang perlu digerunkan? Apatah lagi dukun itu
sangat banyak berjasa dengan mereka, mengubati mereka di kala sakit.
Tetapi kini apabila masalah timbul, semua menuding jari
kepadanya.
“Siapa
lelaki itu?” Bayu bertanya apabila terlihat seorang lelaki sedang
berteleku kemuraman di sebelah pusara yang kelihatan masih baru
apabila mereka melewati tanah perkuburan.
“Sadik,
sudah dua tahun dia menetap di kampung ini. Isterinya mangsa pertama
jembalang itu. Begitulah dia sehari-hari. Kasihan hamba melihatnya,”
terang Masiran.
Bayu
memerhatikan dengan simpati. Berat dipandang mata, tentu berat lagi
beban yang dipikulnya.
“Itulah
rumahnya.” Masiran menuding ke arah sebuah rumah yang sederhana
besar. Kawasan rumah itu diselubungi kegelapan kerana panahan mentari
dilindungi pohon-pohon besar merimbun sekitarnya.
Tiba-tiba,
Indera Bumi berdengung. Bayu segera memerhatikan sekeliling. Tentu
jembalang itu ada berdekatan. Dengungannya semakin kuat apabila
mereka menghampiri rumah itu. Apakah benar telahan Masiran dan
penduduk kampung?
Mereka
menghampiri halaman rumah itu dan mendapati semua pintu dan tingkap
rumah itu ditutup rapat.
“Mungkin
dia tiada di rumah?” Masiran tertanya-tanya.
“Saudara
lihat di tingkap hujung sana. Terbuka sedikit. Hamba rasa ada orang
sedang mengintai di sebaliknya.” Bayu menuding ke arah tingkap di
hujung bahagian belakang rumah.
“Pergi
dari sini! Hamba tidak mahu merawat orang hari ini! Cari orang lain!”
Terdengar pekikan dari dalam. Nyata penghuninya tidak mahu diganggu.
“Itu
suaranya!” Masiran memberitahu. “Kami hanya ingin bertanya
sesuatu kepada tok!” pekiknya ke arah suara itu.
“Tiada
apa yang perlu hamba jawab! Tiada apa yang hamba tahu berguna untuk
kalian!” pekik suara itu kembali.
“Cis,
orang tua ni!” Masiran
mendengus.
“Sudahlah,
kita tak diundang.” Bayu
mengajak Masiran berundur.
“Tetapi,
dia pasti tahu sesuatu. Mungkin benar dialah punca angkara. Lihat
sahaja! Bersembunyi di dalam rumah di siang hari. Pasti malam keluar
menagih nyawa!” Masiran masih tidak berpuas hati.
“Kita
tak dapat berbuat apa-apa.
Jangan bertindak melulu. Kita kekurangan tenaga sekarang. Kita pulang
dahulu, rancang untuk menghadapi malam.” Bayu memujuk Masiran. Dia
tidak mahu bertempur di tempat musuh. Pasti musuh akan dapat
mengambil kesempatan ke atas mereka. Ini pasti merugikan.
Masiran
akur. Kata-kata Bayu ada benarnya. Mereka perlukan lebih ramai orang.
Walaupun padanya Bayu sudah cukup hebat, tetapi dia tidak boleh
membahayakan nyawa pendekar muda itu dengan bertindak mengikut
perasaan.