“ORANG
di kota ini sungguh aneh!” kata Helang Langit sambil memerhatikan
barangan yang dijual di pasar sepanjang jalan. Sengaja mereka bertiga
bersiar-siar seketika setelah meninggalkan warung Pak Mamat. Mungkin
bertemu sesuatu yang menarik di kota ini sebelum meninggalkannya.
“Panglima
negeri! Ketua angkatan pahlawan ke bawah duli sultan, takut bini!”
Tikus Bumi ketawa terkekeh-kekeh.
“Hamba
sendiri berasa gentar tadi,” ujar Musang Darat. Kata-katanya itu
memeranjatkan rakan-rakannya.
“Tuan
hamba sudah takut hendak beristeri?” tanya Tikus Bumi.
“Bukan
itu yang dimaksudkan Musang!” Si Helang lantas menepuk kepala Tikus
Bumi.
“Semasa
wanita itu menjerit-jerit tadi, hamba dapat rasakan dia memendam
tenaga dalamannya. Rasanya, tenaganya lebih hebat daripada hamba,”
terang Musang Darat. Sekali lagi, rakan-rakannya terperanjat.
“Apakah
wanita itu lebih hebat daripada suaminya seorang panglima?” Helang
Langit inginkan kepastian.
“Hamba
tak fikir begitu. Orang yang berkelakuan begitu memang sukar diduga.
Seperti Budak Tiada Wajah. Hamba rasa, dia pun bukan calang-calang
orangnya.” Musang Darat menyuarakan rasa hatinya.
“Dalam
lautan boleh diduga...” Helang Langit berperibahasa tetapi sengaja
tidak menghabiskannya.
“Musang,
kita...”
“Hamba
tahu. Kita ke pinggir kota, di sana tiada orang. Kita memerangkapnya
di sana.” Musang Darat segera memintas percakapan Tikus Bumi
setelah disedarinya mereka sedang diekori.
Mereka
berjalan ke pinggir kota dan berpura-pura bagaikan tiada apa yang
berlaku. Namun, Musang Darat dapat merasakan orang yang mengekori
mereka semakin dekat. Mereka tidak perlu menunggu lama apabila orang
itu memulakan langkah terlebih dahulu menyerang dari belakang.
Mergastua Bertiga segera berpecah untuk mengelak serangan orang itu.
Akhirnya, dia terperangkap apabila dikepung dari tiga penjuru.
“Nampaknya,
benarlah telahan hati hamba. Tuan hamba adalah satu ancaman, Budak
Tiada Wajah!” Musang Darat nyata tidak silap menilai.
“Ancaman?
Pelik? Kerana hamba rasa ancaman itu datangnya daripada
tuan hamba bertiga,” balas Budak Tiada Wajah. Dia hanya tunduk
memandang bumi ketika berbicara. Rambutnya yang panjang lurus
sentiasa melindungi wajahnya.
“Pemuda
ini menyerang dari belakang. Sudah nyata dia ingin merompak atau
mencuri,” ujar Helang Langit kepada Musang Darat. “Apa mahunya
daripada kami? Wang? Kami bukan orang kaya. Kalau
kami kaya sekalipun, tulang empat keratmu itu akan dipatahkan
terlebih dahulu. Selepas itu, barulah tuan hamba mendapat wang
daripada kami. Sebagai sedekah kepada pengemis,
pekerjaan baru tuan hamba selepas ini,” sindir Helang
Langit.
“Kami
juga akan sediakan mangkuk. Tampak lebih bergaya daripada menadah
dengan tangan kosong!” tambah Tikus Bumi sambil tersengih-sengih.
“Baik
betul budi tuan-tuan sekalian sehinggakan
mangkuk pun sudi diberi. Malangnya, hamba tiada minat pada wang.
Minat hamba cuma isi bungkusan itu,” kata Budak Tiada Wajah sambil
jarinya menuding bungkusan yang disandang oleh Musang Darat.
“Datanglah
ambil kalau begitu
inginkannya. Tetapi, jangan salahkan kami andai
nyawa melayang!” Musang Darat memberi amaran.
Tanpa
mengendahkan amaran, Budak Tiada Wajah segera menerkam Musang Darat.
Dengan pantas, Musang Darat melenturkan tubuhnya ke belakang untuk
mengelak. Helang Langit dan Tikus Bumi bersama-sama menyerbu dari
belakang.
Setelah
terkamannya kepada si pembawa bungkusan tidak mengena, Budak Tiada
Wajah segera berkalih untuk menghadapi Helang Langit dan Tikus Bumi
yang menyerbunya dari belakang. Dia berjaya menangkap lengan Helang
Langit yang lebih hampir kepadanya, lalu dihumbannya kepada Tikus
Bumi menyebabkan mereka tercampak agak jauh dari situ. Tiba-tiba,
satu pukulan telapak tangan hinggap di dadanya menyebabkan dia
terpelanting ke belakang.
“Hebat
juga tuan hamba. Dapat menyerang dari sudut yang hamba tidak nampak,”
puji Budak Tiada Wajah kepada Musang Darat sambil menepuk-nepuk
pakaiannya yang dikotori dengan tanah.
“Itulah
kelicikan musang,” balas Musang Darat ringkas.
“Musang?
Jadi, pasti si kurus itu helang dan yang gemuk itu, Tikus! Mergastua
Bertiga!”
“...yang
akan meratah mangsanya!” Lantas, Musang Darat terus menyerang Budak
Tiada Wajah.
Helang
Langit dan Tikus Bumi yang telah bangun setelah dijatuhkan turut
menyertainya.
“Wah!
Memang hebat seperti yang hamba dengar di warung Pak Mamat!” Budak
Tiada Wajah masih boleh berbicara walaupun hebat diserang dari tiga
penjuru.
Musang
Darat tertanya-tanya di dalam hati, entah setakat mana tingginya ilmu
pemuda ini, walaupun tidak nampak wajahnya, tetapi dia tahu umurnya
masih hijau!
Tiba-tiba,
keseimbangan badan Budak Tiada Wajah terganggu. Tanah di bawah
kakinya merekah. Helang Langit dan Musang Darat mengambil kesempatan
itu dengan ‘menghadiahkan’ tumbukan ke tubuh
pemuda itu dengan serentak. Pemuda itu meraung dan terpelanting jauh
berguling-guling sehingga dihentikan perdu pokok yang agak besar.
“Kail
cuma sejengkal, lautan dalam hendak diduga?” Tikus Bumi yang
tersembul dari bawah tanah menyindir.
“Kasihannya...
Kail siapa yang sejengkal itu?” Budak Tiada Wajah membalas.
Rupa-rupanya, dia cuma berpura-pura dicederakan.
“Jahanam!”
bentak Musang Darat setelah menyedari serangannya tidak menunjukkan
kesan dan barangnya pula dirampas!
Kelihatan
senyuman di celah-celah rambut yang menutupi wajah Budak Tiada Wajah.
Di tangannya pula tergenggam bungkusan yang berjaya dirampasnya
daripada Musang Darat.
“Dasar
pencuri! Tak sah jika orang seperti kamu tak tahu jurus Tangan
Ular!” Tikus Bumi tidak berpuas hati.
Setelah
mengatur nafas, sekali lagi Mergastua Bertiga menyerbu pemuda itu.
Takluk Jagat perlu dirampas semula!
Anehnya,
Budak Tiada Wajah cuma duduk bersila tanpa sebarang tindakan untuk
mempertahankan diri. Dia mendongak sambil memerhatikan dahan-dahan
pokok di atas dan burung-burung yang berterbangan. Lagaknya seperti
tiada apa yang berlaku.
Mergastua
Bertiga sudah terlalu dekat. Budak Tiada Wajah masih tidak berganjak
dari silanya dan tidak mempedulikan mereka. Sebaliknya, dia mengalih
perhatian kepada bungkusan itu dan mula sibuk membukanya.
Penumbuk
Mergastua Bertiga yang sudah hampir mengenai dada, perut dan
kepalanya tiba-tiba terhenti. Serangan mereka terhalang, langkah
mereka dimatikan.
Musang
Darat terkejut apabila mendapati tangan mereka bertiga dibelit oleh
sehelai selendang cindai yang panjang bernatar ungu yang datangnya
dari atas dahan pokok. Musang Darat cuba untuk membebaskan tangannya
tetapi belitan itu terlalu kuat dan bersulam arus tenaga dalam! Kain
itu tiba-tiba disentap, lalu mereka bertiga terpelanting ke belakang
dan lilitan yang membelenggu terungkai.
Kain
itu dengan laju ditarik kembali tuan empunyanya, seorang wanita yang
berpakaian seperti lelaki serba ungu. Separuh daripada wajahnya
dilindungi hijab juga berwarna ungu disematkan pada selendang putih
yang menutupi rambutnya. Yang kelihatan cuma matanya yang bundar dan
cantik. Wanita itu melompat turun dari dahan pokok dan berdiri di
hadapan Budak Tiada Wajah. Kedua-dua belah tangannya dililiti sehelai
kain cindai bernatar ungu yang menjadi senjatanya tadi.
“Siapa
pula tuan hamba ini?” soal Musang Darat dengan menahan kesakitan.
Tenaga dalaman yang dialirkan pada kain cindai telah meresap masuk ke
dalam tubuhnya.
“Hamba?
Adanya Budak Tiada Wajah, sudah pasti ada juga Gadis Tiada Wajah,”
jawab wanita muda itu acuh tak acuh. Entah betul, entah main-main.
“Wah,
cantiknya! Hebat keris panjang ini! Sayangnya, tidak dijaga. Biar
hamba mengasap dan melimaukannya, bagaimana?” tanya Budak Tiada
Wajah terpesona dengan ukiran pada sarung keris di dalam bungkusan
itu.
Mendengar
kata-katanya, Musang Darat menggagahi dirinya untuk bangun merampas
kembali Takluk Jagat, tetapi tidak berdaya dan dia rebah semula.
“Serahkan
kembali kepada kami! Tuan hamba tidak boleh mengambilnya! Itu amanah
kami!” Dia hanya mampu menghalang dengan kata-kata.
Wanita
muda itu menjeling untuk melihat isi bungkusan itu dan kemudiannya,
anak matanya dilarikan kepada Budak Tiada Wajah. “Kita tiada guna
akan keris itu. Mereka bertiga bersungguh-sungguh mempertahankannya.
Kembalikanlah sahaja,” ujarnya separuh berbisik.
“Tetapi,
bagaimana kalau keris ini
dirampas mereka? Tuan punya asalnya dibunuh dan seluruh kampungnya
dibakar? Dinda juga pernah mendengar onar yang dilakukan mereka,”
ujar Budak Tiada Wajah kepada wanita muda itu.
“Itu
cerita di warung kopi. Kalau
benar sekalipun, kita tiada masa untuk mencari asalnya keris ini.
Kita masih ada perkara yang lebih penting untuk difikirkan,” desak
wanita itu.
Budak
Tiada Wajah terdiam sejenak. Kemudian, dibungkus kembali keris itu
dan dia bingkas bangun. Didekatinya Musang Darat yang sedang melutut
menahan kesakitan dan diletakkan bungkusan itu di sebelahnya.
“Ini
bukan yang hamba cari. Hamba tidak tahu bagaimana tuan hamba bertiga
mendapatkannya dan hamba tidak mahu tahu. Kalau
caranya baik, ampunkan kekasaran kami. Kalau
sebaliknya, semoga ada pengadilan yang menyusul, pasti!” Budak
Tiada Wajah menoleh kepada wanita muda yang membantunya. “Ayuh,
adinda Cindai Ungu. Mari pergi! Oh, ya! Kesakitan kalian akan hilang
sebentar lagi.” Lantas Budak Tiada Wajah bersama Cindai Ungu,
gelaran wanita muda itu berlari pergi dan hilang dari pandangan.
Musang
Darat kebingungan. Sangkanya, Budak Tiada Wajah ingin merompak mereka
tetapi bukan itu yang terjadi.
‘Apakah
tujuan pemuda itu jika bukan Takluk Jagat? Apakah perkara lebih
penting yang disebutkan Cindai Ungu? Mungkinkah ada kaitan dengan
perbalahan dengan Sedinggi? Jika benar, siapakah mereka berdua
sebetulnya? Apakah kami diserang kerana pemuda itu tersilap anggap
kami ini pengintip untuk Sedinggi? Ah! Terlalu banyak persoalan!’
“Cis!
Mulanya hamba fikirkan dia itu orang jahat. Alih-alih kita yang
diceramahnya.” Tikus Bumi masih dapat bergurau. Kesakitan pada
badannya dirasakan sudah semakin hilang.
“Hamba
sudah berkira-kira dapatlah kita bermain lama sedikit, tidak disangka
pula gadis bersenjatakan kain cindai itu bersungguh-sungguh,” ujar
Helang Langit. Tangan kurusnya menongkat lutut untuk cuba bangun.
Menyeringai bibirnya menahan sakit kerana bisa aruhan tenaga dalam
Cindai Ungu masih tersisa dalam tubuh.
Musang
Darat hanya mendiamkan diri. Disandangnya bungkusan Takluk Jagat pada
bahu. Dengan saling berpimpinan, mereka bertiga melangkah pergi.
Perjalanan masih jauh untuk ditempuhi.
“Musang,
Helang, kita pernah bakar kampungkah?”
“Kalau
hamba dapat siapa yang menambah-nambah cerita tentang kita, hamba
jahit mulutnya!”