AIR
mata
jatuh lagi. Tidak putus-putus. Mengalir penuh sengsara. Lahir dari luka di hati
yang sangat dalam. Inilah kali pertama Siti Zafia menyayangi seorang lelaki
melebihi nyawanya sendiri, namun akhirnya lelaki itu juga yang mengecewakannya.
Benarlah seperti kata sahabat
karibnya Hasila, dia tidak ubah bagaikan perempuan gila talak kini. Hampir
setiap masa Siti Zafia merintih dan menangis setelah mengetahui Shahril bakal
berkahwin dengan pilihan keluarganya. Tindakan Shahril yang memutuskan hubungan
mereka semudah itu kerana akur dengan desakan ibunya membuatkan Siti Zafia
merana.
“Sudah-sudahlah tu. Kau menangis
sampai bumi terbelah empat belas pun dah tak boleh nak ubah apa-apa. Aril tu
pukul 2.00 petang kejap lagi akan diijab kabulkan di masjid. Kau doakanlah
kebahagiaan dia dengan bakal isteri dia tu.” Nasihat Hasila sambil melirik ke
arah sahabatnya yang sedang mengongoi menangis macam orang kurang siuman.
“Aril tu... isk... isk... isk...
pakwe aku Sila. Satu-satunya lelaki yang nak kat aku atas dunia ni.
Satu-satunya lelaki yang mengambil berat pasal aku, sayang aku, cinta aku, dan
aku bahagia hidup dengan dia. Sampainya
hati mak Aril tu cari calon lain untuk anak dia. Isk... isk... isk...” sedunya berpanjangan.
Hasila tergeleng-geleng melihat
hingus yang keluar dengan banyaknya. Langsung tidak dikesat oleh Zafia.
“Aku akan mati Sila. Aku akan mati
jika Aril berkahwin dengan orang lain. Aku akan... isk... isk... isk... akan
mati.”
Cuba bayangkan apakah rasa hati
anda, apabila kehilangan seseorang yang terlalu penting dalam hidup anda dalam
sekelip mata. Seseorang yang telah berjanji untuk hidup bersama-sama dengan
anda dunia dan akhirat. Mengayam bahagia untuk hidup berumah tangga dengan aman
dan bahagia. Mendapatkan zuriat. Malah anda telah merancang nama-nama setiap
anak anda yang bakal lahir ke dunia sebelum diijad kabulkan lagi. Cuba
bayangkan apabila impian dan angan-angan anda itu musnah dalam sekelip mata.
Betapa sakitnya perasaan itu. Betapa sakitnya bila impian yang anda kongsikan
dengannya selama bertahun-tahun kini bakal dikongsikan dengan wanita lain.
Hasila yang pada awalnya bereaksi
tenang kini menyapu sebutir air mata yang mengalir. Kasihan Zafia. Selama lima
tahun Hasila menjadi pendengar setia kisah cinta Zafia dan Shahril. Seorang
lelaki yang sangat memuja Zafia suatu ketika dahulu. Sanggup berkorban apa
sahaja. Sehinggakan kadangkala Hasila sendiri berasa sangat cemburu dengan
layanan baik Shahril kepada Zafia. Beruntung Zafia kerana dipertemukan dengan
lelaki seperti itu. Tetapi kini Shahril jualah yang menjadi racun yang sangat
berbisa buat sahabatnya.
“Ini takdir ALLAH Fia! Ini takdir
yang telah tertulis di Loh Mahfuz lagi. Shahril bukan dilahirkan ke dunia untuk
menjadi peneman hidup kau. Aril bukan jodoh kau. Kau kena redha.” Kedua tangan
naik ke bahu Zafia. “Tolonglah bersabar Fia. Ingat ALLAH, ingat Rasul.” Ceramah
Hasila yang berambut colourperang
dan mengenakan skirt separas lutut itu.
Katalah apa sahaja. Ucapkanlah apa
pun. Tiada apa yang mampu mengubat hatinya kini. Tidak sanggup rasanya
membayangkan sebentar sahaja lagi Shahril akan melafazkan akad nikah untuk
berkahwin dengan Sofiah.
Sofiah adalah teman satu sekolahnya
dahulu. Mereka berdua bermusuhan sejak kali pertama mengenali antara satu sama
lain lagi. Kini musuhnya itulah yang akan menyandang gelaran isteri kepada
Shahril.
“Abang...” Zafia menekup tangannya
ke muka dan mengongoi lagi.
Hasila menghembuskan nafas sedikit
kuat sambil mengeleng-gelengkan kepalanya. Apa hendak jadi dengan Zafia pun dia
tidak tahu.
“Aku nak halang perkahwinan tu!”
Tangan dijatuhkan dari muka. Zafia bersuara tegas dengan mata membulat.
“Apa?” Hasila bagaikan tidak
percaya. “Kau jangan nak merepek. Jangan nak buat kecoh Zafia. Fikir sikit,
kalau Aril tu betul-betul setia dengan kau, dia tak akan terima perempuan lain.
Jangan bertindak ikut perasaan.” Hasila kenal dengan perangai Zafia. Jika dia
cakap, dia akan buat. Zafia bukan jenis yang cakap kosong.
“Aril dipaksa. Kau faham tak.”
Semacam mahu dicekiknya Hasila kerana memburukkan Shahril. “Kau teman aku ke
Masjid Puteh sekarang.” Tangan Hasila dipegang dan diheret keluar dari
biliknya.
Masjid Puteh adalah sebuah masjid
yang terletak di Kuala Terengganu. Siti Zafia adalah anak jati Kelantan yang
bekerja sebagai peyambut tetamu di sebuah hotel. Manakala Hasila pula bekerja
sebagai pegawai bank. Shahril pula berasal dari Kuala Terengganu dan bekerja
sebagai kontraktor.
Mahu atau tidak Hasila terpaksa
menurut memandangkan tubuhnya diheret semacam mengheret guni sampah sahaja.
Keluar daripada rumah sewa Hasila ditolak masuk ke dalam kereta kancil berwarna
hijau milik Zafia. Zafia duduk di tempat pemandu. Menghidupkan enjin. Dengan
lagak ganas mengundurkan keretanya keluar dari pagar rumah. Kereta terus
dipecut laju. 10 minit lagi waktu akan berganjak ke pukul 2.00 petang.
“Dah terlambat Fia. Dah ter....”
“Kau diam!”
Hasila menaikkan tangannya ke mulut
dan mengepitkan muncung mulutnya dengan jari. Isyarat mahu berdiam diri seperti
yang diperintahkan oleh Zafia.
“Aku rasa baik kita patah bal...”
Dalam keadaan mengepit mulutnya pun Hasila masih mahu berkata-kata.
“Aku kata kau diam, kau diamlah!”
Pantas Hasila menjatuhkan tangannya
dari mulut dengan lagak merajuk.
“Okey! Okey! Aku diam.”
“Hu... hu... hu...” Zafia menyambung
tangisannya yang terhenti sewaktu mengheret Hasila keluar dari rumah. “Abang...
abang sabar ya. Sayang pergi selamatkan abang dari berkahwin dengan perempuan
yang abang tak sayang. Abang tunggu ya.” Zafia berbicara bagaikan Shahril ada
di hadapan matanya.
Uwek! Hasila menahan muntah melihat
telatah Zafia itu. Hasila sudah mula membenci lelaki bernama Shahril itu.
Lelaki yang tak ada pendirian hidup. Mudah mengalah dengan desakan keluarga
sedangkan diri sudah mempunyai kekasih hati. I hate you Aril. I hate you! Bentak Hasila. Rasa marah kerana teman
baiknya kini merana kerana lelaki seperti itu.
Setibanya di Masjid Puteh itu, terus
kereta kancilnya di parking. Pada masa yang sama juga Shahril yang lengkap
berbaju melayu sedang berjalan beriringan dengan Sofiah yang turut mengenakan
pakaian yang senada dengan Shahril. Berpegangan tangan. Shahril dilihat
tersenyum bahagia. Begitu juga Sofiah. Hancur luluh hati Zafia. Hancur sehancur
hancurnya.
“Dia... dia senyum.” Hasila
tergagap-gagap. “Kenapa dia senyum? Bukan ke dia sepatutnya bermuka sedih?”
Hasila sudah berkerut dahi. Memandang pengantin yang baru sahaja dinikahkan itu
nampaknya sungguh bahagia. Zafia kata Shahril kena paksa kahwin. Kalau kena
paksa kenapa tersenyum lebar mengalahkan kucing jantan yang sedang miang.
Hasila menoleh ke sebelah. Nampak
Zafia bagaikan terpegun di tempat duduknya. Hasila melihat jam pada tangannya,
sudah pukul 2.20 petang. Zafia telah terlambat untuk menghalang perkahwinan
teman lelakinya. Zafia telah kehilangan cinta hatinya buat selama-lamanya. Yang
paling perit, teman lelakinya kini kelihatan sangat bahagia dengan perkahwinan
itu.
LAMA Zafia berteleku di
hadapan laptop. Melihat laman facebook yang memamparkan gambar-gambar
perkahwinan Sharil dan Sofiah. Shahril telah remove Zafia daripada menjadi rakan facebooknya, kini Zafia menatap
gambar perkahwinan itu melalui facebook Sofiah yang sengaja publish kan
setiap gambar yang dimuat turun olehnya.
Sedihnya...
Zafia sudah berasa ingin menangis
kembali. Namun tidak jadi menangis apabila laju sahaja fikirannya teringatkan
perbualannya dengan Lisda.
“Aku kenal laki aku melalui Agensi
Jodoh & Kahwin atau lebih mudah lagi agensi mencari jodoh.”
Itulah ucapan Lisda. Satu ucapan
yang membuatkan mata Zafia terbeliak seperti terkena sawan. Eii, jijiknya
mencari pasangan melalui cara itu. Macam perempuan yang tak laku je. Nasib
baiklah aku ada abang Shahril yang sangat menyayangi aku. Tak naklah jadi macam
Lisda. Itulah yang terlintas di fikiran Zafia saat Lisda memberitahu bagaimana dia berkenalan
dengan suaminya.
Demi menjaga hati Lisda, Zafia hanya
menayangkan wajah tenang. Wajah yang sama sekali tidak sama dengan apa yang
terdetik di hatinya.
“Dalam masa satu bulan kami terus
berkahwin.”
Terus Zafia terlongo.
“Satu... satu bulan terus kahwin.
Bi... biar betul. Hebatnya agensi tu.” Zafia kagum. Perkahwinan bukan perkara
yang boleh dibuat main. Perkahwinan adalah perkongsian hidup. Bagaimana Lisda
boleh berkongsi segalanya dengan lelaki yang baru dikenali.
Dengan senyuman Lisda mengangguk.
“Kau bahagia?” tanya Zafia dengan
penuh syak wasangka pula. Pasti tak bahagia. Yalah, kahwin pun bukan main cepat
lagi. Lainlah aku dengan Shahril kelak, tentu bahagia. Sedangkan dalam proses
percintaan pun Shahril bukan main romantik dan ambil berat lagi. Inikan pula
lepas dah bernikah.
Lisda mengangguk dengan yakin. Macam
ada spring dalam kepalanya.
“Aku bahagia. Siap ada tiga orang
anak lagi sekarang ni. Aku memang tak menyesal cari pasangan ideal aku melalui
agensi ni.”
“Orang lain yang daftar dengan
agensi ni semuanya hidup bahagia ke lepas kahwin?” Was-was sungguh aku. Macam
mana boleh bahagia semudah itu?
“Entah, aku pun tak tahu. Tapi
setakat ni bila aku bukan facebook agensi tu. Kebanyakkan komen positif.
Kau cubalah daftar sama Zafia, mana tahu kau jumpa jodoh kau melalui cara ni.”
Cadang Lisda.
“Eii, apa kelas cari jodoh macam ni.
Macam terdesak je. Tak naklah, lagipun aku dah ada teman lelaki.” Tanpa sedar
Zafia meluahkan kata-kata itu.
Lisda menarik muka masam. Terasa
hati.
Perbualan panjang lebar di antaranya
dan Lisda berlalu pergi. Ya, kini aku memang sangat terdesak. Terdesak untuk
mengubat kesedihan aku. Terdesak untuk membalas dendam terhadap Shahril. Aku
mahu berkahwin. Aku mahu bahagia. Aku mahu buktikan pada Shahril bahawa aku
boleh hidup lebih bahagia berbanding kehidupannya dengan Sofiah.
Laju sahaja jari-jemarinya menaip
nama Agensi Jodoh & Kahwin di laman facebook. Hah, jumpa pun. Wow!
Banyaknya yang like. Sampai seratus
ribu. Nampak gayanya ramai rakyat malaysia yang tidak laku sehingga terpaksa
menggunakan cara ini untuk mencari pasangan hidup. Dan kini aku bakal termasuk
dalam golongan itu. Pantas Zafia klik like.
Kini Zafia salah seorang warga costumeragensi
mencari jodoh itu.
Buku nota kecilnya dibuka. Dicatat
alamat yang diambil pada laman facebook itu. Agensi itu berada di Kuala
Lumpur. Jauhnya. Zafia berasa kecewa. Mungkin mendaftar dengan agensi mencari
jodoh ni bukan satu tindakan yang bijak kot. Batalkan jelah. Satu keluhan
dilepaskan.
Malam ini adalah malam pertama bagi
Shahril dan Sofiah. Oh Tuhan. Ya ALLAH. Sedihnya. Air mata bercucuran gugur
lagi. Kejamnya mereka berdua memperlakukan aku begitu. Semoga rumah tangga
mereka porak peranda. Tak dapat zuriat. Bercerai berai. Zafia sudah mendoakan
yang buruk-buruk untuk mereka berdua.
Tak boleh jadi ni. Aku mesti pergi
ke Kuala Lumpur. Aku mesti memulakan hidup baru. Aku mesti mendaftar di agensi
tu.
Microsoft Word dibuka. Laju sahaja
tangannya menaip surat perletakan jawatan. Zafia akan berhenti kerja. Nekad
tidak akan menjejakkan kakinya ke Kuala Terengganu sampai bila-bila.
Semalaman itu Zafia tidak dapat
tidur. Tidak sanggup memejamkan matanya walaupun sepicing. Apa yang sedang
Shahril dan Sofiah buat sekarang. Minda Zafia sudah membayangkan perkara yang
bukan-bukan. Tidak! Tidak! Tidak!
Tangkas tangannya mendail nombor telefon
Shahril yang telah di delate namun
masih diingati nombornya. Peduli apa jika itu adalah malam pertama mereka.
Persetankan semua itu. Beberapa ketika talian bersambut.
“Abang...” Zafia terus menghamburkan
esakannya sebaik sahaja suara Shahril kedengaran. “Kenapa buat Fia macam ni?
Fia sedih abang. Fia rasa nak mati.”
“Sayang...” Kedengaran suara Shahril
lembut menyeru namanya. “Maafkan abang Fia. Abang rindu Fia. Fia tak apa-apa ke
sayang?”
Kelembutan Shahril melayannya
sebegitulah yang membuatkan Zafia sukar melepaskan Shahril. Zafia semakin tidak
sanggup untuk kehilangan Shahril apatah lagi mengharungi kehidupan ini tanpa
Shahril.
“Fia derita abang. Fia sedih sangat.
Tadi Fia buka facebook, abang dah remove
Fia. Abang permainkan Fia dengan berkahwin dengan perempuan tu. Sampai hati
abang. Tergamaknya abang buat Fia macam ni lepas abang dah janji macam-macam
dengan Fia dulu.”
“Abang terpaksa kahwin Fia. Abang
pun derita macam Fia. Bukan abang remove
Fia dari facebook abang, tapi Sofiah yang buat. Dia yang remove Fia sayang.” Shahril sedaya upaya
cuba menyakinkan Zafia.
“Sayanggg... siapa tu?” kedengaran
suara seorang perempuan merengek manja. “Ayang dah siap mandi ni.”
Zafia kenal suara itu. Suara Sofiah.
Terkejung tubuh Zafia. Tidak sanggup memikirkan Shahril kini berdua-duaan
dengan Sofiah. Kalaulah masa boleh diundur kembali. Tentu sahaja Zafia akan
bunuh Sofiah sebelum wanita itu sah menjadi isteri Shahril.
“Fia, abang terpaksa pergi. Rasanya
abang ada dengar suara kakak abang panggil. Abang kena pergi sekarang. Fia jaga
diri ya. I love you Fia.”
Talian terus dimatikan oleh Shahril.
“Abang! Tunggu dulu. Abang!” Namun
hampa. Kini tiada lagi suara Shahril di hujung talian. Shahril menipunya
hidup-hidup. Suara Sofiah dikatakan sebagai suara kakaknya.
Zafia mendail nombor Shahril
kembali. Namun malangnya talian tidak dapat disambungkan. Menandakan Shahril
telah menutup telefon. Ah, mungkin juga Sofiah yang telah menutup telefon milik
Shahril.
Zafia menekan dadanya yang sakit.
Malam itu dia langsung tidak dapat tidur. Hanya mampu menangisi kehilangan
Shahril tanpa mampu memejamkan mata walau sepicing. Aku lebih rela insan yang
aku sayangi mati daripada aku dikhianati begini. Jika dia mati, aku pasti akan
sedih, tetapi aku lebih sedih lagi jika dia bersama perempuan lain. Kenapa
Shahril masih ucapkan dia cinta pada aku? Kenapa Shahril tidak menasihati aku
agar melupakannya? Kenapa Shahril memerangkap aku dalam cintanya yang tak mampu
aku miliki? Kenapa?
PUKUL 7.00 pagi Hasila
terjaga daripada tidurnya yang nyenyak. Hari ini dia masih dalam cuti. Bantal
peluk didakap erat. Selalunya hari cuti begitu Hasila akan bangun pukul 12.00
tengah hari. Entah kenapa hari ini awal pula dia terjaga. Mungkin resah
memikirkan keadaan Zafia yang kronik setelah Shahril berkahwin dengan Sofiah.
Semalam Zafia pengsan di dalam kereta setelah beberapa ketika menyaksikan senyuman
kebahagiaan yang terpancar di wajah Shahril dan Sofiah. Bersusah payah Hasila
mengalihkan Zafia ke tempat duduk sebelah dan memandu pulang ke rumah.
Sampai sahaja di rumah, Zafia
terjaga dari pengsannya. Terus melayan rasa sedihnya yang tidak bertepi. Hasila
tidak mampu mengucapkan kata-kata nasihat seperti selalu. Hasila bagaikan
menjadi bisu melihat kedukaan yang tergambar pada wajah Zafia. Di dalam
biliknya Zafia menangis meraung-raung.
Sabahatku, aku mengerti deritamu...
Hasila turun dari katil dengan baju
tidur berwarna pink kegemarannya itu. Menapak ke bilik Zafia. Lantas
telinganya dilekapkan pada pintu. Tidak kedengaran apa-apa bunyi. Masih tidur
ke? Ah, apa yang nak dihairankan jika Zafia tidur. Zafia lagi dasyat darinya.
Kalau membuta, dari malam sampai ke petang pun Zafia tak kisah.
Tuk! Tuk! Tuk!
Pintu
bilik Zafia diketuk bertalu-talu. Hasila perlu pastikan keadaan Zafia. Masih
hidup atau tak. Bukan apa, orang yang terkena tekanan perasaan tahap kritikal
seperti itu mungkin sahaja melakukan perkara-perkara yang tidak normal.
“Fia... Fia... Kau bangun belum?”
Senyap. Tiada jawapan.
“Fia, jawablah. Selepas kau jawab,
aku promise tak kacau kau tidur. Kau
okey ke ni?” Hasila sudah bereaksi bimbang.
Tuk! Tuk!! Tuk!!!
Makin kuat pintu bilik Zafia
dibalunnya.
“Fia, kau jangan bunuh diri Fia.
Berdosa Fia. Tak bau syurga nanti. Baik kau buka pintu ni. Kau dengar tak aku
cakap ni. Karang aku pecahkan pintu bilik kau ni.” Hasila sudah mencapai
sebatang penyapu dan mengetuk-ngetuk pintu bilik Zafia lagaknya seperti orang
mahu bergaduh.
Tetap senyap.
“Ya Allah Fia, tolonglah jangan
takutkan aku.” Hasila sudah cemas. Tombol pintu dipulas. Tidak berkunci.
Selamat, tak perlulah aku pecahkan pintu ni macam yang aku cakapkan.
Terus Hasila melangkah masuk ke
dalam bilik Zafia yang macam tongkang pecah. Ditarik selimut tebal yang selalu
digunakan oleh Zafia. Gadis itu tiada. Yang ada hanyalah bantal peluk. Hasila
sudah cemas.
“Fia, mana kau pergi ni? Ya ALLAH,
apa aku kena buat ni.” Hasila memegang kepalanya. Kini yang terbayang
difikirannya Zafia memanjat tangga kecemasan hotel sehingga ke bumbung. Berdiri
dipinggirnya dan terjun.
“Tidak!!!” Pekik Hasila persis orang
kurang siuman.
Dalam kekalutan perasaan itu Hasila
ternampak sepucuk surat di atas meja kecil disebelah katil. Dengan rakus surat
itu diambil dan dikoyak sampulnya.
Assalamualaikum
Sila,
Aku
mohon maaf tidak membincangkan perkara ini dengan kau terlebih dahulu. Tepat
pada pukul 4.00 pagi, aku dah buat satu keputusan untuk hidup aku. Aku akan
berhijrah ke Kuala Lumpur. Aku mahu cari kebahagiaan di sana. Aku mahu cari
pasangan yang lebih baik dari Shahril. Aku mahu ubati kelukaan aku. Tolong
serahkan surat perletakkan jawatan aku. Ada dalam pendrive atas meja solek tu.
Kau tolong print kan boleh?
Salam
sayang dari Zafia, take care Hasila.
Hasila memandang bait-bait tulisan
itu dengan mata yang terbeliak. Lima kali diulang baca.
“Bi... biar betul. Di.. dia ke Kuala
Lumpur. Dia pergi pukul 4.00 pagi. 4.00 pagi! Ya ALLAH, dia bertolak pukul 4.00
pagi. Memang Zafia ni betul-betul dah tak waras.” Hasila tergagap-gagap. Tidak
percaya. Zafia sanggup bertindak senekad itu. Dalam sekelip mata dia boleh buat
keputusan yang macam ni.