RENIK-renik
peluh mula terbit dari dahi Zafia. Meskipun air-cond
di bilik itu terpasang pada suhu yang agak dingin, pun begitu tubuhnya tetap
berasa hangat. Mindanya tidak putus-putus mencipta derita. Wajah Shahril dan
Sofiah muncul bersilih ganti di fikiran.
“Ab... abang...” Rindu terhadap
Shahril kian menusuk hati lantas menikam jantung. Terasa sakit di situ.
Beginikah derita apabila tidak dapat hidup bersama orang yang dicintai? Ya
ALLAH, aku cuma mahu bahagia. Kembalikan jantung hatiku itu.
“Abang... Fia rindu...” sebutir air
mata keluar dari kelopak mata.
Aezwan terkedu. Dia panggil aku ke
sebagai abang? Terdetik pertanyaan itu di hatinya. Kenal pun tidak, dah panggil
abang. Hairan.
“Woi, bangunlah!” Sergah Aezwan
sambil mencapai gelas berisi air kosang lalu disimbah ke muka Zafia.
“Aaa... sejuk!!!” Zafia terjaga.
“Auw!” Memegang dahinya yang pedih dan sakit. Terdapat luka kecil pada dahinya.
Aezwan mengetap bibir dan bangun
dari duduknya. Memeluk tubuh. Terbenih rasa malu di hatinya apabila mendapati wanita
yang berada di atas katil itu merenungnya tidak berkelip. Aezwan sedaya upaya
berwajah selamba.
“Ya ALLAH, aku kat mana ni?” Zafia
memandang sekelilingnya. Dia kini berada di sebuah bilik yang lengkap dengan
serba-serbi. Kenapa lelaki ni ada bersama dengan aku kat sini? Persoalan yang
terbit dimindanya membuatkan Zafia ketakutan. Apakah maruah dan harga dirinya
telah dinodai?
Puas melilaukan pandangannya. Zafia
kembali merenung Aezwan dengan pandangan yang tajam.
“Kenapa saya ada kat sini?” tanya Zafia
dengan garang macamlah jejaka di hadapannya itu akan menggigil ketakutan dengan
kegarangannya itu.
Aezwan mencebikkan bibir. Macamlah
aku takut.
Rentetan peristiwa beberapa jam yang
lalu, Zafia hilang kawalan sewaktu memandu.
Hampir merempuh kereta Aezwan yang bergerak dari arah bertentangan.
Nasib baiklah Aezwan sempat mengelak. Manakala kereta Zafia tersadar di tepi
jalan dalam keadaannya yang sudah tidak sedarkan diri. Mujur kaki gadis itu
masih utuh menekan brek, jika tidak mungkin sahaja sudah melanggar pokok.
Kerana buntu dengan keadaan Zafia,
Aezwan dipaksa oleh teman rapatnya agar membawa pulang Zafia ke rumahnya.
Manakala kereta kancil milik gadis itu dipandu oleh Nick. Setibanya di rumah,
Zafia dibiarkan berehat di dalam kamarnya sementara menanti gadis itu tersedar
dari pengsannya.
Aezwan mengetap bibir. Menyesal
kerana menolong Zafia. Sepatutnya Aezwan tidak perlu melibatkan diri dengan
kaum perempuan.
“Kita bawak balik jelah perempuan ni
ke rumah. Apa nak risau, Mak Cik Kiah kan ada. Aku tengok perempuan ni tak
cedera kat mana-mana pun. Cuma pengsan je.” Itulah usul yang dicadangkan oleh
Nick dan dia hanya mengikut sahaja.
“Awak rehatlah dulu,” hanya itu
sahaja yang mampu dicakapkan. Riak wajahnya masam mengcuka. Bagaikan tidak ikhlas.
Aezwan mula menapak keluar dari
bilik itu. Teringat saranan Nick yang tidak masuk akal namun terpaksa diterima.
“Biar dia berehat dalam bilik kau.
Bilik kau ada air-cond. Bilik aku air-cond rosak. Bilik kau lebih selesa.
Kemas dan teratur, tak macam bilik aku macam tongkang pecah.” Itulah saranan
Nick. Jejaka itu tersengih tanpa rasa berdosa.
Mak Cik Kiah pula adalah pembantu
rumah yang datang untuk memasak dan mengemas. Mak Cik Kiah tidak dibenarkan
mengemas bilik mereka. Itu adalah ruang peribadi.
Lantas Aezwan hanya mengikut sahaja
saranan Nick. Aezwan memang sedia maklum dengan keadaan bilik Nick yang macam
sarang tikus itu.
“Saya tak nak berehat, saya nak tahu
kenapa saya boleh ada kat sini. Saya diculik ke?” Dengan lantang Zafia
bertanya. Berada di dalam bilik bersama seorang lelaki di tempat yang tidak
diketahuinya adalah perkara yang tidak boleh diterima. Sekurang-kurangnya ada
penjelasan untuk itu.
Tanpa menghiraukan gadis itu Aezwan
menapak keluar.
Memang sah aku diculik. Zafia mula melilaukan
matanya mencari senjata mempertahankan diri. Ternampak botol minyak wangi yang
agak besar saiznya. Mungkin ini boleh membantu. Zafia lantas turun dari katil.
Botol minyak wangi itu diambil dan dia berlari ke arah Aezwan. Lantas dihentam
botol yang dipegang kejap itu ke arah kepala Aezwan.
“Auw!” Aezwan terjatuh sambil
memegang kepalanya.
Zafia terus berlari keluar untuk
menyelamatkan diri. Alamak! Kunci kereta aku kat mana ek? Zafia berpatah balik
ke dalam bilik. Aezwan sudah pengsan. Zafia mencari kunci keretanya di atas
meja solek. Ada. Diambil. Berlari laju keluar dan menuruni tangga rumah dua
tingkat itu.
Tingkah Zafia yang menonong menuju
ke arah pintu keluar membuatkan Nick yang sedang landing menonton televisyen terkejut. Aik! Dah sedar dari pengsan
ke? Nick terus terbangun dari perbaringan. Menuju ke arah pintu rumah. Mak Cik
Kiah yang sedang memasak di dapur begitu juga. Pada ketika Nick dan Mak Cik
Kiah tiba di muka pintu, kereta kancil milik gadis itu telah menderum pergi
dengan lajunya. Persis melarikan diri dari diburu oleh penjahat.
“Kenapa budak tu lari? Mak Cik Kiah
baru je nak angkat bubur nasi ke tingkat atas.” Mak Cik Kiah berasa sungguh
hairan. Cara gadis itu melarikan diri sangat mencurigakan. Macamlah mereka ni
sendikit jual orang.
“Entahlah Mak Cik Kiah. Marilah kita
naik atas tanya Ezz. Dia tentu tahu.”
Mereka berdua beriringan memanjat
tangga dan alangkah tergamamnya apabila mendapati Aezwan terlentang di atas
lantai tidak sedarkan diri.
“Ya ALLAH! Ezz!” Jerit Nick.
Melulu Nick mendapatkan Aezwan. Mak
Cik Kiah pula masih terkebil-kebil tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
Takkanlah gadis sekecil itu mampu membuatkan Aezwan yang berbadan seperti ahli
gusti ini pengsan. Macam tak masuk akal je.
“Mak Kiah, apa tengok-tengok tu.
Marilah tolong saya angkat Ezz ni.” Gesa Nick.
“Cobaan!” Ujar Mak Kiah meniru
dialog dalam drama pendekar bujang lapuk.
“Apa pulak cobaan, ini
betul-betullah.”
Sedaya upaya mereka berdua
mengangkat Aezwan untuk dibawa ke klinik berdekatan.
“ITULAH
kau! Percaya sangat pada orang. Baik sangat nak tolong. Tengok apa dah jadi.
Tak pasal-pasal benjol kepala aku.” Aezwan menuding ke arah benjolan yang
berbalut di kepalanya.
“Macam tolong anjing tersepit je.
Lepas dah selamat, kita pulak yang digigitnya.” Kasar dan tajam sekali bicara
yang diluahkan oleh Aezwan. Dadanya marak dengan api kemarahan yang menggunung
tinggi. “Dulu banyak kali aku cakapkan pada kau, perempuan ni bukan boleh
dibuat baik sangat. Penipu. Itu sebabnya aku benci pada perempuan.”
“Aii... menyalahkan aku pulak. Masa
aku bagi cadangan kat kau nak bawa balik budak tu, tak ada pulak kau bantah.
Elok je budak tu terbaring dalam bilik
tunggu masa nak pulih dari pengsan, kau pergi masuk bilik tu kenapa. Ada
aku dan Mak Cik Kiah suruh?” kening sebelah kiri terjungkit.
Mak Cik Kiah mengangguk-angguk.
“Betul tu, mana ada Mak Cik Kiah
suruh.” Sokong wanita tua itu.
Mereka bertiga menapak laju ke arah parking. Nasib baiklah doktor cakap luka
di kepalanya tidak serius. Alhamdulillah.
“Lain kali jangan benarkan mana-mana
perempuan menjejakkan kaki ke dalam rumah kita.” Putus Aezwan dengan tegas.
“Kalau tidak nasib malang akan menimpa. Contoh yang paling simple, nasib malang dapat benjol macam atas kepala Ezz ni.”
“Hai Ezz, Mak Cik Kiah ni bukan
perempuan ke? Apa selama ni kau ada nampak tudung atas kepala Mak Cik Kiah ni
berubah menjadi kopiah imam masjid ke?”
Perli Mak Cik Kiah.
“Mak Cik Kiah je boleh masuk.”
Aezwan membetulkan kembali kata-katanya.
Nick dan Mak Cik Kiah mencebikkan
bibir. Hanya mereka berdua sahaja yang mengerti maksud cebikan itu.
“Ala, engkau pun baru dua minggu
mula bencikan perempuan Ezz. Bukan lama sangat pun. Tapi aku tengok cara kau ni
macam sebelum kau lahir ke dunia ni lagi kau dah benci dengan perempuan.”
Mohd Ezwan bin Abu Bakar punyai
sejarah sendiri mengapa dia membenci perempuan bermula dua minggu yang lalu.
Segalanya berpunca daripada teman wanitanya. Fasya gadis licik yang telah
menyebabkan Aezwan bankrap dengan teruk. Wang Aezwan sebanyak tiga ratus ribu
ditipu oleh Fasya. Gadis itu lantas melarikan diri tanpa dapat dikesan.
“Kau jangan nak ungkit pasal
perempuan tak guna tu! Aku tak nak dengar!” Aezwan mematikan langkahnya dan
merenung Nick atau nama sebenarnya Nordin dengan tajam. Garang dan seperti
ingin menerkam sahaja lagaknya.
Nick menelan air liur. Bukan dia
tidak tahu Aezwan seorang yang panas baran.
Lantas Nick mencuit siku Mak Cik
Kiah sambil memberikan isyarat mata. Menyampaikan maksud bahawa dia berada di
dalam bahaya. Bila-bila masa sahaja singa jantan itu agak mengamuk.
“Siapa suruh Nick sebut pasal
perempuan tu? Kan dah kena. Mak Cik Kiah tak nak campur.” Lantas Mak Cik Kiah
menonong pergi untuk menyelamatkan dirinya.
“Eh Mak Cik Kiah... tunggulah dulu.”
Laju kaki Nick mengejar Mak Cik Kiah untuk menyelamatkan dirinya dari kemarahan
Aezwan.
Aezwan mendengus. Tangannya dikepal.
Fasya perempuan bermata duitan yang mendekatinya kerana harta semata-mata. Pada
awal perkenalan Aezwan buta menilai perwatakan gadis bertudung itu. Siapa
sangka, gadis yang berlagak ayu itu sebenarnya lebih syaitan dari syaitan itu
sendiri.
ZAFIA
menggeleng-gelengkan kepalanya sambil memandu. Tak sangka, belum beberapa hari
berada di Kuala Lumpur. Dia telah terlibat sebagai mangsa penculikan. Mungkin jika
dia lambat bertindak, dia akan dijual di negara jiran sebagai seorang pelacur.
Eii, ngeri memikirkannya. Memang tak ada taste langsung . Aku punyalah
tak cantik, dengan ada parut jerawat lagi. Sanggup dia nak jual aku. Teruk
betul manusia seperti tu.
Lantas Zafia menjeling wajahnya pada
cermin pandang belakang. Aku sendiri tengok muka aku pun rasa macam nak
terkejut sampai pengsan. Dia tergamak fikir sejuah itu. Nak jual aku. Padan
muka dia kena ketuk sampai pengsan tadi. Kalau mati pun lagi bagus.
Kini
Zafia memecut keretanya dalam kelajuan sederhana. Zafia telah membaca satu memo
di pondok telefon tentang bilik kosong. Dia akan menyewa di situ. RM150
sebulan. Okeylah tu daripada tidur di dalam kereta. Lagipun aku akan dapat
bakal suami yang kaya nanti. Maklumlah, agensi jodoh dan kahwin akan carikan
aku calon yang sangat glamour, kacak, dan kaya. Baru melopong mulut kau
bila baca surat khabar nanti Remy Ishak.
PERLAHAN-LAHAN
Aezwan merebahkan kepalanya yang sakit di atas bantal. Dia mahu berehat. Tidur.
Hebat sungguh penangan gadis itu. Tidak padan dengan tubuh kecil. Dan tak
sangka juga perempuan sependek itu mampu memukul dengan kuat. Aezwan yang gagah
ini pun tumbang menerima habuan yang tidak di jangka itu.
Tiba-tiba handset Aezwan berdering menandakan ada panggilan. Handset yang berada di sebelah bantalnya
dicapai. Terpampang nama Datin Nurbaiyah di skrin telefon.
“Hisy, apa yang datin ni nak.”
Rengus Aezwan tanpa rasa hormat.
Di biarkan handsetnya berdering
beberapa kali tanpa dijawab.
Tidak lama selepas itu kedengaran
pesanan ringkas masuk. Aezwan membaca pesanan itu.
Please
sayang angkat fon... kalau dapat bercakap walau lima minit pun dah memadai.
Satu dengusan keras
dilepaskan. Apabila handset berdering
kembali, Aezwan mengangkatnya dengan rasa terpaksa.
“Assalamualaikum sayang,” lembut
kedengaran suara di hujung talian.
Aezwan memejamkan mata. Sedikit pun
tidak terkesan dengan kelembutan itu. Cukuplah dengan segala-galanya.
“Waalaikumussalam, ada apa datin?
Kalau tak ada perkara penting, baik jangan buang masa saya.” Dingin sekali
suara Aezwan. Sedingin ais di kutuk utara.
Datin Nurbaiyah tersentak.
Bercucuran air matanya. Tidak menyangka ini yang akan diterimanya di atas
kerinduan yang tidak bertepi selama ini. Esakan kecil mula kedengaran. Sebak
sungguh hatinya. Siapakah yang lebih mengerti apa yang dirasainya melainkan
dirinya sendiri.
“Jika datin hubungi saya untuk
membuatkan kepala saya yang serabut ni bertambah serabut, baik lain kali datin
jangan hubungi saya. Saya tak ada masa nak dengar suara tangisan datin.”
Talian terus diputuskan. Aezwan
menaikkan lengan ke atas dahinya. Maafkan saya datin kerana melukai hati datin.
Saya terpaksa. Aezwan memejamkan matanya. Sebutir air jernih mengalir keluar.
Tidak dinafikan, hatinya turut berasa sedih kerana membuatkan Datin Nurbaiyah
menangis.