Home Novel Cinta KATA TAK RINDU
KATA TAK RINDU
SITI NUR DHUHA
23/1/2013 00:47:40
47,780
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
KATA TAK RINDU (BAB 2)

AGENSI Jodoh & Kahwin beroperasi tujuh hari seminggu. Dari pukul 10.00 pagi sehingga pukul 10.00 malam. Berdasarkan alamat yang diberikan melalui laman facebook, tidak sukar untuk mencarinya. Tambahan pula dibantu oleh penduduk Kuala Lumpur yang tidak lokek memberikan maklumat apabila bantuan diminta memudahkan lagi urusan Zafia.

Kini Zafia sedang duduk di atas kerusi empuk di dalam sebuah pejabat. Wajahnya pucat. Tudungnya senget benget. Lesu, letih. Sepatutnya Zafia berehat dulu di mana-mana setelah tiba di Kuala Lumpur. Perjalanan yang mengambil masa selama 7 jam itu sangat memenatkan. Namun Zafia tidak ada masa untuk itu, dia terus ke Agensi Jodoh & Kahwin untuk segera menyelesaikan masalahnya.

Safuan memandang lama wanita yang tertunduk lesu di hadapannya. Was-was pun ada melihat keadaan wanita itu. Tentu sahaja setiap yang sampai ke mejanya adalah terdiri daripada orang yang mahukan teman hidup. Tetapi yuran yang perlu dibayar agak mahal. Mampukah wanita yang berada di hadapannya itu membayar wang seperti yang diperuntukkan oleh syarikatnya.

Interkom ditekan.

“Zilawati, bawa cik ni keluar. Saya tak fikir dia orang yang sesuai untuk mendaftar di sini.”

Segera Zafia mengangkat wajahnya. Tersentak.

“Kenapa encik nak halau saya?” Terpacul pertanyaan itu tanpa dapat ditahan-tahan.

Safuan melepaskan keluhan.

“Macam nilah. Sebelum setiausaha saya bawa cik keluar, saya akan terangkan serba sedikit berkenaan beberapa perkara. Terutama sekali tentang harga yuran pendaftaran.” Sejurus selepas itu Safuan terus memberitahu nilai yang sangat mengejutkan Zafia.

“Hah?” Zafia terpekik. “Ke... kenapa dalam facebook tak ada tulis pun kena bayar sebanyak tu? Encik mesti sedang berguraukan? Hahaha... tak kelakar pun encik... hahaha.” Dihujung bicaranya Zafia cuba ketawa olok-olok.

“Tak, saya tak bergurau. Ini serius.” Safuan memandang tepat mata Zafia.

“Apa?” Mahalnya. Macam nak mati aku dengar jumlah tu.

“Sebab tulah saya panggil setiausaha saya supaya bawa cik keluar. Saya tahu cik tak mampu.” Safuan memandang setiausahanya yang tercegat di muka pintu. “Zilawati, tolong iringi cik ni keluar ya.”

“Eh, siapa cakap saya tak mampu. Saya mampulah.” Meluncur laju kata-kata itu. Rasa tercabar dan terhina apabila Safuan dapat menganggak keadaan kewangannya dengan hanya memandang wajahnya sahaja. Sungguh kejam lelaki ini. Huh!

“Okeylah Zila, awak keluar dulu. Kalau saya perlukan awak. Saya panggil awak lagi.”

Zilawati mengangguk dan melangkah keluar.

Dengan mulut muncung Zafia memandang lelaki muda dihadapannya itu. Geram masih belum hilang lagi.

“Nak pinjam calculator tu boleh?” tanya Zafia sambil menunjuk ke arah calculatorjenama casio yang berada di atas meja Safuan.

Safuan menghulurkan calculator itu kepada Zafia.

“Kejap ya, saya nak kira duit dalam akaun saya kejap.” Handbagnya diselongkar. Dikeluarkan tiga buah buku akaun. Alhamdulillah, nampak gayanya aku masih mampu bayar duit pendaftaran. Tak sia-sia aku menabung selama ini.

Duit itu adalah simpanan Zafia sejak dari alam sekolah menengah lagi sehinggalah kini usianya 26 tahun.

“Saya nak daftar di agensi ni. Saya sedia membayar jumlah yang encik minta tu.” Dengan yakin Zafia berkata.

Safuan terus mengukirkan senyuman. Betullah cakap orang, jangan nilai sesuatu melalui kulit luarnya. Gadis dihadapannya itu nampak je macam tak ada duit, tetapi salah sangkaannya.

“Dah fikir masak-masak?”

Zafia menangguk penuh yakin.

“Saya dah fikir lebih dari perkataan ‘masak-masak’ tu sendiri.” Demi balas dendam pada Shahril. Demi mencari teman hidup dengan cara yang paling mudah. Demi mengapai bahagia seperti Lisda. Zafia sanggup menjilat ludahnya kembali. Dahulu Zafia memandang sinis pada Lisda kerana mencari jodoh melalui cara itu. Sekarang Zafia terpaksa menelan pahitnya kata-katanya dahulu.

“Kalau macam tu Cik Zafia boleh ikut saya sekarang,” Safuan bangun berdiri. Bergerak ke arah pintu pejabatnya.

Terkocoh-kocoh Zafia mengikut dari belakang.

Setibanya di sebuah bilik yang agak terpencil, Zafia dijemput masuk ke dalam. Bilik yang sangat mewah dengan set sofa buatan Jerman. Meja kerja dari kayu jati. Serta kerusi berkulit yang sangat empuk apabila melabuhkan punggung.

“Hebatnya.” Zafia terlongo.

Safuan ketawa kecil melihat reaksi Zafia yang begitu teruja.

“Jemput duduk Cik Zafia.”

Zafia terus mengukirkan senyuman. Segan pula nak duduk atas kerusi mahal macam ni. Oleh kerana tidak sabar untuk tahu perkara yang selanjutnya, Zafia cepat-cepat duduk.

“Sekarang ni saya nak Cik Zafia ceritakan pada saya tentang diri Cik Zafia.”

Zafia melihat Safuan menekan tetikus pada laptop. Mungkin bersedia untuk mengisi maklumat dirinya yang bakal diberitahu sebentar sahaja lagi.

“Nama penuh saya Siti Zafia binti Ahmad. Saya berusia 26 tahun. Lahir pada 31 Januari 1986. Saya berasal dari Kampung Jeram Pasir Puteh Kelantan. Anak bongsu daripada 5 beradik...” serta merta wajah kakak dan abangnya terbayang ditubir mata. Mampus aku kalau mereka semua tahu yang aku mendaftar di Agensi Jodoh & Kahwin ni. “... err, apa lagi ya. Saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram.”

Laju tangan Sufian menaip maklumat itu.

“Pengalaman kerja?”

Aduh, inilah topik yang paling aku benci sekali. Paling tak suka apabila terpaksa bercerita tentang pekerjaan.

Satu keluhan dilepaskan.

“Kalau tak cerita pasal kerja boleh tak. Saya rasa tak penting kot.”

“Penting Cik Zafia. Sangat penting. Setiap maklumat yang awak berikan sangat berguna untuk mencari pasangan yang ideal untuk awak.”

“Saya hmm... saya...” Zafia serba salah.

“Tak apa, awak jangan malu.” Safuan cuba melegakan perasaan Zafia.

“Kerja pertama, saya jual burger. Tapi bisnes ni untungnya kecil. Lepas tu saya kerja jadi tukang urut. Tapi awak jangan fikir yang bukan-bukan tau. Saya urut orang perempuan je. Kerja kat kampung. Lagipun mak saya tukang urut. Lepas tu kerja terakhir saya jadi penyambut tetamu di Hotel Mildtown Kuala Terengganu. Lamalah juga, dalam 3 tahun kerja kat situ. Selain tu saya ada buat part time tulis cerpen dan tulis buku kanak-kanak. Kalau Encik Sufuan ada anak, bolehlah cari buku yang saya tulis tu. Tajuknya Si Comot Kucing Yang Nakal. Dapatlah royalti sikit. Hehehe...” Dihujung bicaranya Zafia tersengih-sengih. Termalu dengan tajuk cerita yang ditulisnya sendiri.

Safuan terangguk-angguk. Turut tersengih. Tak sangka perempuan di hadapannya pernah menjadi penjual burger dan tukang urut. Malah memiliki bakat menulis buku kanan-kanak.

“Apa yang membuatkan Cik Zafia mendaftar di agensi kami, iaitu Agensi Jodoh & Kahwin ni. Mungkin ada satu peristiwa yang telah berlaku yang menyebabkan Cik Zafia datang ke sini.”

Laa, kena cerita juga ke pasal semua ni. Hish! Tak naklah aku cerita. Buat aku sedih je. Kalau aku tipu boleh? Maksudnya aku reka cerita lain.

“Saya nak dengar kisah sebenar ya Cik Zafia. Tak mau tipu-tipu.” Safuan bagaikan dapat membaca fikiran Zafia. Kerutan yang hebat pada dahi Zafia bagaikan sedang mencari idea untuk mereka cerita yang lain. Safuan sudah biasa berdepan dengan pelbagai ragam pelanggan. Jadi tidak sukar untuk dia membaca fikiran Zafia.

Alamak, dia tahulah niat aku.

Zafia mengetap bibir. Buat seketika Zafia bagaikan terlupa kepenatan dirinya yang masih belum melelapkan mata sedari semalam.

“Sukar untuk saya ceritakan semua ni Encik Safuan...” air mata mula bergenang di tubir mata. Senyuman Shahril dan kebahagiaan di wajah Sofiah terbayang-bayang. Bagaimanakah keadaan malam pertama mereka semalam. Indahkah? Burukkah? Ya ALLAH... tak sanggup aku membayangkannya. Terus Zafia menekup kedua belah tangannya ke muka.

“Petang semalam adalah hari perkahwinan teman lelaki saya dengan pilihan keluarganya.... hu... hu...hu...” Zafia terus menangis dengan kuat. “Ha... hati saya hancur bila saya nak halang perkahwinan tu, saya nampak bekas teman lelaki saya sedang tersenyum bahagia di sisi perempuan yang paling saya benci. Teman lelaki saya tak sedih pun. Dan semalam saya call dia, saya dengar suara perempuan keji tu. Tapi teman lelaki saya tipu saya, dia cakap itu suara kakak dia... hu... hu... hu... sedihnya. Sampai hati dia.”

Safuan meneguk air liur melihat wajah Zafia yang merah akibat menangis. Namun begitu tangan Safuan tetap laju menaip maklumat itu. Setiap orang yang datang mendaftar di Agensi Jodoh & Kahwin biasanya mempunyai kisah percintaan yang tragis.

Safuan mengambil kotak tisu yang sememangnya ada di dalam bilik itu lalu diserahkan kepada Zafia.

Tiga helai tisu ditarik. Zafia menghembuskan hingusnya dengan kuat. Sikit lagi nak terbang tisu yang digunakan olehnya.

“Maafkan saya Cik Zafia. Saya telah buat Cik Zafia bersedih. Jangan risau ya. Kami akan carikan pasangan yang sesuai untuk Cik Zafia. Menepati ciri-ciri yang Cik Zafia mahukan.”

“Hu... hu... hu... saya nak bakal suami yang kaya. Glamour dan selalu masuk surat khabar, majalah, dan semua media cetak termasuk juga media massa. Biar perkahwinan saya nanti masuk surat khabar atau majalah dan Shahril tengok. Biar dia terbeliak biji mata. Biar dia menyesal tak kahwin dengan saya. Saya nak Encik Safuan cari bakal suami yang tinggi untuk saya. Saya nak nampak hebat bila berdiri disebelahnya nanti”

Safuan terangguk-angguk. Dia mencatatkan ciri-ciri lelaki idaman Zafia di dalam komputer ribanya. Safuan dapat menganggak siapa Shahril, tentu teman lelaki Zafia yang kini telah menjadi suami orang.

“Selain daripada ciri-ciri di atas, ada lagi tak penambahan?” tanya Safuan.

“Tak ada. Itu je ciri-ciri lelaki yang saya nak.” Begitu yakin Zafia berkata. Lupa betapa pentingnya ciri-ciri lelaki soleh yang perlu diletakkan sebagai perkara utama. Bukan kaya, glamour dan tinggi semata-mata. Suami perlulah seorang yang budiman, tidak meninggalkan solat, memahami, penyayang dan dari keturunan yang baik-baik. Namun apakan daya, dalam keadaan emosi yang terganggu begitu. Zafia lalai kerana dendamnya pada Shahril.

Safuan mengangguk. Jika hanya itu ciri-ciri yang dimahukan oleh Zafia, senanglah kerjanya.

“Baiklah. Semua isi-isi penting dari Cik Zafia saya sudah dapat. Cuma saya nak ingatkan Cik Zafia, syarat-syarat syarikat kami sangat ketat. Apabila Cik Zafia sudah menetapkan ciri-ciri lelaki yang Cik Zafia mahukan, dan menandatangani kontrak, Cik Zafia terpaksa mengikut setiap isi kontrak tersebut. Untuk memudahkan Cik Zafia, saya akan berikan lampiran surat perjanjian. Cik Zafia boleh baca syarat-syaratnya.”

Terus Safuan menghulurkan kontrak yang agak tebal itu kepada Zafia. Untuk Zafia baca dan semak. Itu hanyalah contoh sebagai rujukan buat Zafia membaca syarat-syarat ketat syarikat Agensi Jodoh & Kahwin.

Zafia menolak kontrak itu tanpa berminat untuk membacanya.

“En.Safuan, saya setuju dengan semua syarat-syarat kontrak ni.” Putus Zafia tanpa berfikir panjang.

Safuan terbeliak. Biar betul. Semudah itu Zafia memperjudikan kehidupannya. Safuan mengetap bibir.

“Macam nilah Cik Zafia, saya akan aturkan pertemuan pertama Cik Zafia dengan bakal suami Cik Zafia. Selepas itu barulah Cik Zafia baca isi kontrak dan tandatangan ya.”

Zafia melepaskan keluhan.

“Saya nak Encik Safuan uruskan pasal surat perjanjian hari ni juga. Siapa pun calonnya saya tak kisah asalkan menepati ciri-ciri yang saya nak tu. Saya nak tandatangan hari ni juga. Saya nak segerakan urusan saya. Cepat selesai, cepatlah saya dapat balas dendam. Tentang duit bayaran tu, hari ini juga saya akan jelaskan. Masa saya nak masuk ke pejabat Encik Safuan tadi, saya nampak ada bank kat situ. Jadi saya akan settle kan hari ini juga.”

“Ok, kalau itu yang Cik Zafia mahukan, senanglah sikit kerja saya.”

Zafia terus bangun setelah mendapatkan nombor akaun syarikat daripada Safuan. Setelah itu dia bergegas keluar untuk ke bank.

Sewaktu menuruni tangga Zafia berwajah muram. Kini terasa liku-liku perjalanan hidupnya semakin rumit dan penuh onak dan duri. Tidak pernah Zafia merana seperti ini dalam hidupnya. Segala kebahagiaannya diragut pergi dalam sekelip mata. Hidup terasa sangat sunyi dan sepi.

Dengan lemah Zafia menolak pintu bank. Matanya hampir tertutup gara-gara terlalu penat dan mengantuk. Zafia nekad, selesai sahaja urusannya dia akan mencari tempat untuk penginapan dan membuta selama berhari-hari.

Dush! Tanpa disengajakan Zafia telah terlanggar seorang lelaki. Pelanggaran yang agak kuat itu menyebabkan kaca mata hitam berjenama Ray Ban milik lelaki itu terjatuh ke lantai. Zafia pula elok sahaja memegang lengan milik lelaki itu untuk mengelakkan dirinya dari terjatuh.

Besarnya lengan dia. Detik hati Zafia sebelum tergesa-gesa melepaskan pegangannya. Tanpa disedari, kaki Zafia terpijak kaca mata hitam lelaki tersebut. Prak! Kedengaran satu bunyi yang terhasil dari kaca mata itu.

Zafia terperanjat. Mampuslah aku kali ni. Kaca mata berjenama Ray Ban bukan murah harganya. Sudahlah duit aku bakal melayan ke akaun agensi mencari jodoh yang bodoh tu. Sekarang tentu aku terpaksa membayar wang atas kerosakan cermin mata lelaki berwajah garang macam singa ni.

Sor...sorry awak. Saya tak sengaja.” Zafia mengangkat kakinya dari terus memijak kaca mata hitam itu. Menunduk dan mengambilnya. Alamak, sampai pecah cerminnya. Zafia berbisik gusar dalam hatinya.

Lelaki itu memandang Zafia dengan wajah yang berang. Dia paling benci perempuan yang cepat menggelabah dan cuai. Hari yang sangat buruk dan malang. Desis hatinya.

“Ala, awak janganlah marah. Saya bayar ganti rugi cermin mata awak ni ya. Saya bayar awak dua ratus okey.” Zafia cepat-cepat membuka handbag nya dan mengeluarkan dompet. Empat keping not lima puluh ringgit dihulurkan kepada lelaki itu.

Tiada sambutan. Pemberian Zafia hanya dipandang dengan riak yang penuh sinis.

“Okey, saya faham ganti rugi saya ni tak setimpal dengan harga cermin mata awak ni. Tapi awak kena kira jugak beberapa perkara. Cermin mata awak tu bukan cermin mata baru. Satu lagi tentu semasa awak beli, awak dapat diskaunkan. Jadi dua ratus ni dah kira okeylah.” Jangan-jangan lelaki ni nak aku bayar lebih tak? Zafia sudah risau.

Zafia terus mengukirkan senyuman apabila wang yang dihulurkan itu diambil. Nak jugak kau ya duit ni. Ingatkan tak nak. Bajet kaya sangatlah tu bila dapat pakai cermin mata berjenama.

“Wang awak dah ambik. Maknanya antara kita dah tak ada apa-apa urusan lagilah. Saya gerak dulu.” Zafia sudah mahu melangkah. Namun tanpa disangka-sangka lengannya dipegang oleh lelaki itu.

“Eh, apa yang awak buat ni?” Zafia cemas.

Tiba-tiba lelaki itu mencampakkan duit tersebut tepat ke wajah gadis itu. Zafia bukan main tergamam lagi. Terlopong mulutnya melihat lelaki itu yang tanpa rasa bersalah terus melangkah pergi.

“Eh, kenapa dengan awak ni? Awak dah gila ke?” Hampir-hampir sahaja Zafia menanggalkan sandalnya dan membaling ke arah lelaki itu. “Tak guna punya orang.” Tunduk sambil mengutip wang yang berselerak di atas lantai. Kalau tak fikir badan kau lagi besar dari badan aku, memang aku dah tampar pipi kau tu.

“Aku punyalah baik hati nak bayar ganti rugi, ini balasan kau.”

Istighfar Zafia. Istighfar. Zafia memujuk hatinya sendiri dengan beristighfar berulangkali.

Selesai urusannya di bank, Zafia kembali ke agensi tersebut untuk menyerahkan bukti pembayaran.

“Kami dah ada calon yang memenuhi ciri-ciri yang Cik Zafia mahukan.Cik tunggu panggilan dari kami dalam masa dua hari. Kami akan aturkan satu waktu yang sesuai untuk Cik berkenalan dengan bakal suami Cik Zafia. Selamat memulakan hidup baru Cik Zafia.” Senyum Safuan sambil membukakan pintu pejabat untuk Zafia keluar.

Zafia membalas senyuman Safuan seadaannya.

Laju kakinya menuruni tangga satu persatu. Apa yang ada difikirannya hanya mahu mencari masjid secepat yang mungkin. Zafia mahu solat, tidur dan berehat di situ buat sementara waktu. Setelah keletihannya sudah berkurangan, barulah Zafia mencari tempat penginapan pula.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SITI NUR DHUHA