Home Novel Cinta KATA TAK RINDU
KATA TAK RINDU
SITI NUR DHUHA
23/1/2013 00:47:40
50,422
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
KATA TAK RINDU (BAB 3)

SUNGGUH syahdu. Sungguh pilu. Sungguh terguris. Jika ini semua adalah satu mimpi, pastinya inilah mimpi paling buruk. Jika ini adalah kenyataan, pastinya inilah kenyataan yang paling perit. Hampir pecah pembuluh darah Zafia demi mendengar pengakuan dari Shahril.

“Memang abang sayangkan Fia. I’m really love you. Abang fikir abang tak mungkin sukakan Sofiah. Abang rancang nak ceraikan dia lepas segala masalah dah reda. Tapi lain pulak yang jadi. Bila dah jadi suami isteri ni, perasaan abang jadi lain pada dia. Abang jatuh hati kat dia. Sekarang dalam hati abang ada dua wanita. Ada Fia dan Sofiah.”

Kepala Zafia tergeleng-geleng.

“Mana boleh abang sukakan perempuan keji tu. Abang tau tak perempuan tu berhati busuk. Sejak dari sekolah lagi dia jahat dan asyik timbulkan masalah dengan Fia. Jangan terpedaya dengan dia bang.”

Entah-entah Shahril dan Sofiah telah melakukan hubungan intim? Tak mungkin! Tak mungkin! Shahril tak mungkin sentuh perempuan tu.

“Sebenarnya abang dah sennn....”

Bagaikan dapat mengagak apa yang bakal disebutkan oleh Shahril, Zafia terus menutup telinganya.

“Fia tak nak dengar semua tu! Fia tak nak dengar!” Jerit Zafia.

Tiba-tiba bahu Zafia digoncang dengan lembut.

“Abang tak payah goncang bahu Fia. Fia tetap tak nak dengar.” Herdik Zafia.

“Dik! Bangun dik!” Suara Shahril berubah menjadi suara perempuan.

Mata Zafia terbuka perlahan-lahan. Hampir putus jantungnya melihat ada kelibat perempuan berselubung putih sedang duduk bersimpuh di sisinya.

“Dik, masjid ni dah nak dikunci dalam 15 minit lagi. Tu sebabnya akak kejutkan adik.”

Oh, rupa-rupa perempuan berselubung di hadapannya adalah salah seorang pengunjung yang menumpang rumah ALLAH untuk mendirikan solat. Ingatkan siapa tadi.

“Terima kasih kak kejutkan saya.” Zafia bangun dari pembaringan dengan rambut yang berserabai. Terlepas solat maghrib. Keluh hati Zafia. Segera Zafia bangun untuk mengambil wuduk. Mahu mengerjakan solat Isyak.

Selesai mendirikan solat. Zafia segera mengemas barang-barangnya. Masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Radio dipasang sebaik sahaja kereta keluar dari perkarangan masjid itu.

“Aduh, kat mana aku nak menginap malam ni? Rasa macam malas pulak nak sewa hotel. Bukannya aku tahu sangat jalan kat Kuala Lumpur ni.” Zafia menggaru-garu belakang kepalanya sambil sesekali mengerling cermin pandang belakang. Kalau boleh Zafia tidak mahu bergerak terlalu jauh dari agensi mencari jodoh itu. Bimbang pergi jauh-jauh nanti tak jumpa pulak agensi tu bila perlu pergi ke sana nanti.

Tiba-tiba mata Zafia terbuntang. Apa kata aku call Azizah. Mintak tumpang rumah dia.

Terus Zafia menekan nombor telefon Azizah iaitu teman sepermainannya zaman kanak-kanak rebena dahulu.

“Helo, Assalamualaikum Azizah.” Lembut sekali suara yang dilontarkan. Maklumlah nak menumpang rumah orang kenalah bersopan santun.

“Hah, apa mimpi kau telefon aku malam-malam ni? Waalaikumussalam.” Azizah seperti menyergah.

Zafia mengertap bibir. Orang berlembut, dia main kasar pulak.

“Jijah, aku nak tumpang rumah kau dua malam boleh? Aku ada kat Kuala Lumpur ni.” Tentang mendaftar di agensi cari jodoh tu baik aku jangan cakap. Buat malu je. Cukup aku seorang je yang tahu.

Azizah seperti berfikir. Ini kerana Azizah agak mengambil masa sebelum memberikan jawapan.

“Boleh tu boleh. Kebetulan suami aku tak balik rumah dua hari ni. Cuma aku takut kau tak selesa. Anak aku ni ramai. Kecik-kecik pulak tu. Takut kau rimas. Satu lagi rumah flat aku ni ada dua bilik je. Satu bilik tu penuh dengan barang-barang. Yang satu lagi tu pulak bilik aku. Kau kena tidur kat luarlah nanti. Sanggup?” Kening kiri Azizah terjungkit bagaikan Zafia kini ada di hadapannya.

“Sanggup!” Dengan yakin Zafia berkata.

ZAFIA membuntuti kereta Proton Wira milik Azizah dengan berhati-hati. Nasib baiklah Azizah masih baik seperti zaman kanak-kanak mereka dahulu, kalau tidak di mana lagi Zafia ingin meminta pertolongan.

Zafia menarik nafas panjang apabila kereta Azizah memasuki kawasan parking yang sememangnya disediakan untuk penghuni rumah flat itu. Namun tarikan nafas Zafia terhenti separuh jalan demi melihat keusangan bangunan yang berada di hadapannya. Buruknya! Tak pernah tengok bangunan yang mengerikan macam ni. Macam tempat memelihara hantu sahaja.

Kereta kancil miliknya memasuki kawasan parking bersebelahan dengan kereta Azizah. Setelah itu Zafia keluar dan melemparkan senyuman pada Azizah yang sedia menantinya. Senyuman yang bermaksud, kenapa buruk sangat bangunan yang kau tinggal ni JiJah. Harap-harap Azizah tidak mengerti maksud senyuman penuh keikhlasan miliknya itu.

“Jom kita naik,” gamit Azizah. “Anak aku tu bukan boleh ditinggalkan lama-lama. Bergaduh je memanjang.”

Setelah mengeluarkan beg sederhana besar dari bonet keretanya, terus Zafia mengejar Azizah. Beg-beg pakaian yang selebihnya dibiarkan sahaja di dalam kereta. Bukan nak bermalam lama pun rumah Azizah ni. Dua malam je pun. Buat apa angkut segala bagai, buat penat je.

“Taaraa!!!” Dengan terujanya Azizah berdiri di hadapan pintu rumahnya dan menjemput Zafia masuk. Kononnya nak bagi kejutan macamlah rumahnya itu cantik sangat.

Zafia mengukirkan senyumannya ke arah Azizah dan melangkah masuk. Baru sahaja selangkah menapak, terus kaku kakinya. Beg di tangan terlepas.

Ya ALLAH, ini rumah ke atau Zoo Negara Malaysia? Itulah perkara pertama yang terlintas di fikiran Zafia sebaik sahaja melihat keadaan rumah Azizah dan kekotoran yang menyelaputi empat orang anak Azizah. Anak yang kelima pula sedang merengek-rengek di atas katil bayi di bucu dinding.

“Ya ALLAH, budak-budak ni kenapa suka bikin ibu sakit kepala. Apasal main tepung ni. Ibu baru je kemaskan rumah tiga hari yang lepas, sekarang kamu semua dah kotorkan balik rumah kita.” Azizah terpekik bagaikan serigala jadian.

Tiga hari yang lepas? Bukankah rumah ni kita kena kemas tiap-tiap hari. Fikir Zafia tanpa menilik dirinya sendiri yang nyata lebih pengotor dari itu.

“Maafkan aku Fia. Macam nilah perangai anak-anak aku. Kesian kau, sudahlah tengah penat. Tentu nak rehat. Nati aku kemaskan ruang tamu ni. Lepas tu kau tidur ya.” Azizah mempamerkan reaksi wajah bersalah.

Zafia tidak mampu berkata apa-apa. Namun tetap mengekori langkah Azizah masuk ke dalam rumah flat itu.

Punggungnya dilabuhkan ke atas sofa usang yang berselerak dengan baju yang tidak berlipat. Kiranya bukan anak-anak sahaja yang suka menyepahkan rumah, emaknya pun sama sahaja.

“Akim, Alif, Asyikin, dan... errr.” Azizah menggaru-garu kepalanya. “Apa dah nama anak aku yang sorang lagi ni. Lupa pulak. Hah, Arman... kamu semua pergi salam dengan Mak Cik Zafia.”

Teruknya Azizah ni. Sampai nama anak sendiri pun ada yang terlupa. Herdik Zafia di dalam hati tanpa sedar bahawa dia hanya penumpang di sini sahaja.

“Mak cik, kita nak salam dengan mak cik,” anak sulung Azizah yang berusia dalam lingkungan 7 tahun menghulurkan tangan kepada Zafia.

Terus mata Zafia terbuka luas apabila mendengar kanak-kanak itu memanggilnya mak cik macamlah Zafia ni sudah tua sangat. Ehem! Zafia menggosok lehernya membetulkan kerongkong yang terasa sempit sehingga sukar untuk bersuara. Zafia mengukirkan secakir senyuman untuk menutup rasa terkejutnya. Pantas tangannya menyambut huluran dari Akim. Akim mencium tangannya. Setelah itu adik-adik akan turut meniru perlakuan abangnya itu.

“Bagusnya anak-anak kau Jijah.” Puji Zafia namun tidak ikhlas.

“Eh biar betul kau ni.” Azizah terkejut. Inilah kali pertama seorang kawan memuji anaknya bagus. Kawan-kawan yang lain selalu cakap anak-anaknya nakal macam hantu. Azizah tidak kecil hati. Anak-anaknya bukan macam hantu tetapi memang hantu.

“Malam ni kau akan tidur dengan mereka kat ruang tamu,” ujar Azizah sambil menguap tanda mengantuk.

Zafia mengukirkan senyuman senang sedangkan di dalam hatinya sudah bergelodak bagaikan dilanda tsunami. Zafia memandang wajah anak-anak Azizah satu persatu. Semuanya lelaki. Seorang sahaja perempuan. Lantas keluhan dilepaskan secara perlahan-lahan. Zafia mula berasa menyesal kerana menumpang di rumah Azizah.

KELOPAK mata Zafia bergerak-gerak apabila tidurnya terganggu. Perut Zafia terasa senak dan kebas. Untuk mencelikkan matanya Zafia berasa sangat mengantuk. Perutnya semakin senak bagaikan ada benda berat berada di atas perutnya. Dicelikkan juga matanya. Kepalanya yang berada di atas bantal di angkat perlahan-lahan melihat ke arah perut.

“Uh!!!” Bukan main terperanjat lagi Zafia apabila melihat kepala Asyikin terlentok di atas perutnya.

Ternyata Asyikin anak ketiga Azizah menjadikan perut Zafia sebagai bantal. Akim pula sedang memeluknya, kaki Alif betul-betul berada disebelah pipinya dan Arman pula berada dihujung kepala Zafia.

Dek kerana terlalu mengantuk, mata Zafia kembali terpejam.

“ARGH!!!” Kedengaran jeritan yang membingitkan dari Zafia. Dia terus terbangun apabila seluruh tubuhnya disimbah dengan sebaldi air.

“Ye!Ye!Ye! Mak cik dah bangun.” Sorak anak-anak Azizah.

Terbeliak mata Zafia melihat kenakalan anak-anak teman sepermainannya ini.

Kalau ikutkan hati Zafia yang panas dan membara, mahu dicubit-cubit lengan anak-anak Azizah. Namun disabarkan hati.

“Mak cik, kain tuala kat sana.” Tunjuk Akim ke arah meja.

Dengan wajah yang bengang Zafia melangkah ke arah meja itu dalam keadaan basah kuyup. Setapak sahaja lagi langkah Zafia ingin mendekati meja, kaki Zafia terpijak minyak masak yang sengaja dicurahkan oleh mereka. Zafia jatuh terlentang. Kepalanya terhantuk pada lantai.

“Aduh!” Zafia mengerang kesakitan. Tangannya menekup bahagian terhantuk. Terasa ada cecair pekat yang melekit di situ. “Ya ALLAH, darah.”

“FIA! Tunggu Fia!”Terkocoh-kocoh Azizah mengejar Zafia yang bergerak laju menuju ke kawasan parking. “Fia! Nantilah kejap. Aku dah penat kejar kau ni. Kasihan anak bongsu aku ni, kecik-kecik lagi dah kena bawak berlari.”

Terus Zafia mematikan langkah.

Azizah sudah termengah-mengah setibanya di hadapan Zafia. Fuh! Nasib baik baby aku tak menangis.

Azizah menengok air liur sebaik sahaja terpandang wajah Zafia yang garang seperti singa.

“Fia, aku minta maaf. Jomlah kita sarapan sama-sama.”

“Sudahlah Jijah. Aku nak ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab tumpangkan aku.Tapi untuk patah balik ke rumah kau, aku minta maaf. Mungkin ni last time aku datang umah kau.” Tanpa memikirkan perasaan Azizah dia terus melepaskan amarah.

“Kau basah kuyup ni Fia. Kepala kau luka.” Azizah melahirkan kebimbangan. Sedikit pun tidak berkecil hati dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Zafia.

Zafia melihat ketubuhnya sendiri. Basah kuyup. Mengenang peristiwa yang berlaku, sebaik sahaja Zafia terjatuh akibat memijak minyak masak, dia terus mengemas barang-barangnya dan bergerak pergi. Tudung yang dikenakan olehnya ini pun senget benget sahaja. Sakit sungguh hatinya dengan kerenah anak-anak rakannya itu.

“Biarpun aku basah macam ni. Luka kat kepala belum berbalut. Pun begitu aku takkan patah balik ke rumah kau. Bye.” Terus Zafia menapak ke arah kereta kancilnya. Setelah mencampakkan beg ke tempat duduk belakang Zafia bergerak ke pintu hadapan. Dibuka dan bersedia untuk masuk.

“Nanti dulu.” Ada ketegasan dalam suara Azizah.

Zafia tidak jadi untuk masuk.

Azizah sudah mendekati. Anak Azizah mula merengek-rengek kecil mungkin sudah lapar.

“Bak dua puluh ringgit kat aku. Harga sewa untuk semalaman.” Azizah menghulurkan tangannya. Ingat kau saja tahu menyakitkan hati orang. Aku pun tahu jugak tau.

“K... kau... berani kau mintak duit.” Zafia terbeliak. Terkejut sebenarnya. Lantas Zafia membuka tas tangannya dan menghulurkan not dua puluh ringgit.

Sejurus selepas itu Zafia terus memecut laju pergi dari situ.

PEMANDUAN Zafia diganggu sakit pada bahagian kepala yang sangat mencengkam. Ya Allah, apakah ajal aku sudah tiba. Janganlah kau ambil nyawaku. Sudahlah pagi tadi tak bangun sembahyang Subuh. Zafia tidak sengaja. Malam tadi Zafia sukar untuk melelapkan mata. Pukul 3.30 pagi baru Zafia tertidur dengan sendirinya. Itu dalam keadaan tidak selesa kerana anak-anak Azizah turut tidur berdekatan dengannya.

Tiba-tiba pandangan mata Zafia berpinar-pinar. Kawalan sterengnya sudah tidak menentu. Keretanya bergerak ke arah jalan bertentangan. Kebetulan pada masa yang sama terdapat sebuah kereta menuju ke arahnya dengan laju. Zafia sedaya upaya menekan brek. Berdecit bunyi tayar bergeser dengan jalan tar.

Pandangan Zafia terus gelap gelita bagaikan sebuah gua tanpa cahaya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SITI NUR DHUHA