Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
110,264
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 5

SEPANJANG perjalanan Intan tertidur di celah dan bersandarkan kotak-kotak yang ada di dalam lori itu. Nyenyak tidurnya. Sehinggakan lori itu berhenti bermalam di R&R pun dia tak sedar. Badannya terlalu letih kerana banyak berlari siang tadi. Lebih-lebih lagi keadaan gelap di dalam lori membuatkan dia sangat lena.

Dia hanya tersedar apabila lori itu membunyikan honbeberapa kali. Mula-mula dia kemamaian. Apabila teringat yang dia berada di dalam sebuah lori, mendadak dia duduk tegak. Matanya terbeliak.

Lori itu dirasakan masih bergerak walau agak perlahan. Dari celah-celah selubungan, dia dapat rasakan hari tak terlalu gelap. Dilihat jam tangannya dalam keadaan samar itu. Hampir pukul 6.00 pagi!

Menggelabah dia setelah lori itu berhenti. Enjin turut dimatikan. Dia cuak. Tak tahu apa yang patut dia buat. Dia perlu keluar dari lori itu tanpa terkantoi. Dia tak mahu ditangkap! Lantas dia menyandang beg dan mencangkung dalam keadaan bersiap sedia. Dia akan cuba melompat keluar dari situ tanpa disedari sesiapa.

Telinga dipasang betul-betul supaya dapat mendengar keadaan di luar lori. Kedengaran suara riuh-rendah. Berderau dadanya kerana selubungan lori itu dibuka. Rasa-rasanya ada dua orang lelaki yang membuka selubungan itu. Kemudian pintu lori dibuka hingga dia mendengar bunyi dan terasa lori itu terhentak.

Jantung Intan berdegup kencang. Takut dia memikirkan apa yang bakal terjadi. Keadaan jadi senyap pula walau riuh-rendah itu masih kedengaran. Tapi bukan betul-betul di luar lori.

Dengan pantas Intan bangun dan menghendap ke luar. Melihat tiada sesiapa yang ada di luar lori, terus dia melompat keluar. Mendarat dia di atas jalan bertar itu dengan sedikit imbangan tubuh yang tak stabil.

“Hoi!”

Intan terkejut disergah dari tepi lori. Sempat dia berpaling melihat seorang lelaki Cina yang terperanjat memandangnya dengan mata terbeliak.

Lantas dia berlari selaju-lajunya mahu melintas ke seberang jalan. Dia tak perasan ada sebuah motosikal lalu ketika itu. Lalu dia bertembung dengan motosikal itu.

“Arghh!!” Intan menjerit. Tercampak bergolek dia ke tepi jalan.

Motosikal itu pula jatuh terseret ke tengah jalan. Penunggangnya juga jatuh terlentang.

Terbaring Intan mengerang kesakitan. Sakit badannya usah dicerita. Terlalu sakit! Sempat dia berpaling ke arah lori tadi. Dia nampak tulisan ‘Pasar Sentul Kuala Lumpur’ di bangunan tepi lori itu. Dilihat beberapa orang berlari ke arah penunggang motosikal itu dan ke arahnya.

Kerana takut ditangkap, bergegas dia bingkas bangun walau imbangan tubuhnya terasa sangat lemah. Kakinya bagaikan longlai kesakitan. Tapi kerana keadaan terlalu mendesak, dia gagahkan kekuatan yang ada, lantas melarikan diri. Dia berlari sekuat-kuat hati agar tiada sesiapa dapat mengejarnya. Dia menyelinap ke celah-celah bangunan. Tercungap-cungap dia ketakutan. Debaran di dadanya menggila.

Sehinggalah dirasakan dia sudah jauh berlari dan tiada sesiapa yang mengejar, barulah dia berhenti. Dihempas nafas lega yang mencungap seperti tak cukup udara. Di belakang sebuah bangunan dia terduduk berlunjur. Beg sandang yang dibawa dilepaskan.

Bergenangan matanya sambil menahan rasa sakit. Ketika ini barulah dia perasaan lengan di kiri dan kanannya luka disagat jalan tar. Ditapak tangan kanan juga ada luka tersagat. Memerah luka-luka itu. Seluar jeans yang dipakai koyak sedikit di lutut. Mujur kakinya tak luka. Cuma terasa sakit akibat hentakan semasa bertembung tadi.

Gugur air matanya ke pipi. Terasa pipi sebelah kirinya pedih. Cepat-cepat diseka pipinya itu. Dengan jari, dia meraba pipinya. Ada rasa kesan calar di situ. Makin banyak air matanya tumpah. Dia sudah tak berdaya menanggung semua ini. Dia menangis semahu-mahu hati.

Dibiarkan diri hanyut oleh kesedihan dan kesakitan. Lama dia duduk berlunjur di situ sehingga tangisannya reda sendiri. Dan langit pula kian cerah.

Intan teringatkan Jazadin. Teringat janji pada ayahnya itu. Dia mesti kuatkan semangat! Kesakitan yang dialaminya itu bukan parah pun. Dan dia masih bernyawa. Tak perlu lagi menangis. Nasib baik lori yang dia seludup naik itu memang pergi ke Kuala Lumpur. Syukur sangat-sangat.

Beg sandangnya dibuka. Ada sehelai baju kemeja lengan panjang warna biru tua. Perlahan-lahan disarungkan ke tubuhnya. Apabila baju itu bergesel dengan luka di lengannya, dia berdesir dengan muka berkeriut. Pedih. Mengalir semula air matanya.

Ditahan saja kepedihan itu walau terasa begitu menyengat. Hujung kedua-dua lengan dan bahagian hadapan kemeja itu dibiarkan tak berbutang. Dia cuma mahu menutup luka-luka itu daripada pandangan orang. Lukanya itu biarlah kering dan baik sendiri.

Topi yang dipakai, dibuka. Rambut lurusnya yang diikat satu itu dilepaskan. Panjangnya melepasi bahu. Kemudian disanggul tinggi-tinggi sebelum menutup rambutnya dengan topi kepunyaan Jazadin. Rambut depan yang separas atas kening dibiarkan saja.

Dia mahu meneruskan perjalanan, tapi sebelum itu dia nak makan terlebih dahulu. Sebuku roti dan setengah botol air mineral dihabiskan. Cukup untuk mengalas perutnya pagi ini.

Dia mula mencari arah untuk ke Dataran Merdeka. Tak berjumpa langsung papan tanda untuk ke tempat yang hendak dituju. Di sebuah perhentian bas, dia bertanya pada seorang perempuan yang berada di situ.

“Tumpang tanya. Mana jalan nak ke Dataran Merdeka?”

Seorang perempuan yang kelihatan bergaya dengan pakaian untuk ke pejabat itu berfikir seketika. “Hmm... boleh naik train kat Stesen Sentul Timur. Dari sini kena jalan kaki ke sana. Nanti berhenti kat Stesen Masjid Jamek. Dari situ jalan kaki je nak ke dataran.”

Naik train? Intan mula memikirkan kos tambang. “Kalau jalan kaki ke Dataran Merdeka, ikut mana?”

Berkerut perempuan itu memandang Intan. “Tak pun, adik boleh naik bas.”

Intan menggeleng. “Tak apa, kak. Saya jalan kaki je.” Dia bukan apa. Disebabkan takut tambang mahal, dia lebih rela jalan kaki.

“Nak jalan kaki? Jauh, dik.”

“Berapa jauh?” Intan tetap serius.

“Err... entahlah. Mungkin satu jam lebih kot. Adik nak jalan kaki jugak ke?”

Intan nekad. Satu jam lebih tu sekejap saja. Lalu, dia mengangguk yakin.

Perempuan itu memandang Intan dengan riak tak percaya. Tapi apabila melihat Intan langsung tak senyum, dia tahu gadis itu tak main-main. 

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.