MALAM ini Airel terlambat sampai di Dataran Merdeka. Ada kerja yang perlu diuruskan dulu sebelum ke mari. Jam di tangan menunjukkan pukul 8.50 malam. Tapi kelibat Intan tak kelihatan juga seperti dua malam yang lepas.
Nak tunggu Intan di kedai runcit sampai Intan habis kerja pun dia tak sempat. Kalau tak, boleh dia senyap-senyap mengekori ke mana Intan pergi selepas habis kerja.
Dia melepaskan nafas panjang sambil melabuhkan duduk di tempat yang biasa Intan duduk. Direnung ke arah langit yang gelap tanpa bintang.
Teringat kembali peristiwa di kedai runcit tempat Intan bekerja pagi tadi. Kesian Intan. Macam kuli batak dibuat majikan sendiri. Tak sanggup dia nak bayangkan keadaan Intan mengangkut longgokan kampit beras 10 kilogram yang menimbun seorang diri.
Intan tu dahlah kurus kering macam tak cukup zat. Disuruh buat kerja-kerja yang sepatutnya dibuat orang lelaki. Tak pun gunakan troli ke, apa ke... yang boleh meringankan kerja sikit. Apa punya majikanlah. Tak ada akal!
Menggumam geram hati Airel. Dalam dunia ni kalau tak ada yang suka ambil kesempatan, tak sah! Sebab tulah dia risau sangat pada Intan.
Dibuang pandangan ke sekeliling pula. Tercari-cari susuk tubuh lelaki berusia. Dalam geram pun, ayah Intan dia kena cari juga. Ni kalau Jazadin datang ke sini tapi Intan tak ada, tak ke memanjangkan masalah lagi?
Tak kelihatan pula lelaki berusia yang dicari. Dia menunggu di situ sehingga hampir ke pukul 9.30 malam. Bayang Jazadin langsung tak kelihatan. Dia menghampiri ke arah tulisan yang ditinggalkan Intan di dinding tepi tiang bendera paling tinggi itu.
Dengan sebatang pen warna biru, dia menulis nombor telefonnya di situ. Supaya ayah Intan boleh menghubunginya jika tak jumpa Intan atau dia.
Kemudian dia beredar pergi. Mahu berjalan-jalan dahulu sebelum pulang ke rumah.
---------------------
JALAN di hadapan Sogo itu masih lagi meriah walau sudah jam 10.15 malam. Orang ramai masih lagi ke hulu dan ke hilir. Yang melepak pun sangat ramai. Airel mengatur langkah longlai menikmati keindahan malam berlampukan neon.
Seronok pula jalan-jalan begini. Tak sangka, tengok cahaya je pun boleh melegakan tekanan. Patutlah ramai yang suka melepak di sini.
Dia berhenti apabila tiba di persimpangan jalan. Di satu sudut orang ramai berkerumun mendengarkan sekumpulan busker membuat persembahan. Dia dari jauh turut mendengar lagu yang didendangkan.
Lagu itu berentak raggae yang tak diketahui tajuknya. Tapi sedap di halwa telinga. Di jalan yang bertentangan dengan tempat dia berdiri, kelihatan sebuah patung maskot telefon pintar yang sedang meningkat popularitinya.
Maskot berwarna kuning berkepala besar itu terlompat-lompat keriangan mengikut rentak lagu. Semua yang lalu di situ dilambai-lambai. Ada juga yang mahu bergambar dengannya.
Di tangan maskot itu kelihatan sedang memegang kertas. Mungkin risalah mengenai model terbaru keluaran jenama telefon pintar itu. Risalah itu diberikan kepada semua yang lalu-lalang di situ sambil menari-nari.
Tersenyum Airel. Gelagat maskot itu berjoget-joget menarik perhatiannya seketika. Pandangannya beralih ke sebuah coffea house di hujung jalan itu. Tekaknya terasa haus pula. Setelah membeli air, dia mahu terus pulang ke rumah.
------------------------
“HEI, budak kuning! Jom...”
Maskot itu menoleh ke arah suara yang memanggilnya.
“Jom balik,” ajak gadis itu sambil membantu maskot itu berjalan masuk ke dalam kedai telefon pintar berdekatan.
Mereka berjalan berpaut lengan. Sehingga sudah berada di dalam kedai, maskot itu membuka kepalanya yang besar. Terserlah wajah Intan yang berpeluh-peluh.
“Ahhh... leganya.” Intan melepaskan nafas panjang. Sepanjang dua jam memakai pakaian maskot itu, terasa sesak juga nafasnya. Saat merasa sejuknya pendingin hawa, bagaikan dihidupkan semula nikmatnya.
Gadis tadi membantu menanggalkan pakaian maskot yang dipakai Intan. Dibawa pakaian itu ke dalam pejabat.
“Nah...” Vijay menghulurkan sebotol air mineral kepada Intan.
Tak berlengah, Intan terus meneguknya hingga separuh botol. Bertambah lega dia rasa.
“I nampak you menari-nari tadi.” Vijay ketawa. Suka dia melihat semangat gadis itu bekerja.
“Lagu yang busker tu nyanyi best.” Intan menunjuk ibu jari.
Mereka semua tergelak.
“Okey, Intan. Ni upah untuk you,” ujar Vijay sambil menghulurkan sepucuk sampul kepada Intan.
Intan menyambutnya dengan senyuman lebar. “Terima kasih.” Dicium sampul itu dengan riak wajah bahagia. “Terima kasih jugak untuk ni.” Ditunjuk botol air mineral yang sedang dipegang.
Vijay mengangguk dengan senang hati. “Jangan lupa datang lagi esok ya?”
“Okey!” sahut Intan penuh bersemangat.
Vijay beredar.
Namun baru beberapa langkah, tiba-tiba Intan teringat. “Encik Vijay!” panggilnya.
Vijay berpaling.
“Hmm... Encik Vijay tahu tak kat mana ada bilik untuk disewa?” soal Intan.
“Bilik untuk disewa?” Berkerut dahi Vijay berfikir.