Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
209,181
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

Sebulan telah berlalu sejak peristiwa di Zouk dulu. Seperti biasa Bella bekerja di pasar malam yang dekat dengan kawasan perumahan yang Bella duduk bersama ibunya. Bella mengelap keringat yang mengalir di dahi. Dia membetulkan sedikit tudung hitam yang dipakai. Sejak dia tiba di tapak pasar malam itu selepas maghrib tadi tubuhnya lencun dengan peluh. Mana tidaknya dialah yang mengangkat semua sayur dari kereta Puan Yusni pemilik gerai sayur di pasar malam itu. Bekerja dengan Puan Yusni atau mak longnya, sejak setahun lalu itulah antara tugas hakiki Bella. 

Dia juga yang menyusun sayur dalam bakul kecil. Ada macam-macam sayur dari yang berdaun seperti sawi hinggalah yang jenis ubi seperti ubi kentang dan lobak merah. Ibunya Puan Rubiah tidak kuat untuk berbuat demikian. Beliau sudah bekerja dengan Puan Yusni sejak 20 tahun yang lalu. Namun, dengan dirinya sedikit uzur kerana penyakit kencing manisnya dan lelahnya, dia hanya boleh membantu yang ringan-ringan sahaja. 

“Mak, rehatlah,” cadang Bella bila melihat ibunya turut rancak mahu membantu menyusun sayur di atas meja niaga. Puan Rubiah tidak mengendahkan. Tangannya turut laju menyusun.Tiba-tiba dia terbatuk. Tubuh tua yang kurus itu terhenggut-henggut. Nafasnya seperti laju.

“Mak, kan Bella dah suruh mak rehat? Biar Bella buat semua ni,” ujar Bella dengan wajah risau. Dia takut kalau-kalau lelah Puan Rubiah melarat pula. Bella berhenti menyusun lalu meletakkan sebuah kerusi plastik berhampiran dengan ibunya. Puan Rubiah mengangguk. Dia akur dengan kata-kata anaknya. Dia pun duduk di kerusi plastik di situ. Bella kembali menyusun sayur-sayuran itu di atas meja papan lapis itu. Sesekali matanya singgah pada ibunya. Bimbang kalau-kalau lelahnya menyerang. Namun dia lega bila melihat ibunya masih bernafas seperti biasa. 

Bella kembali menyusun sayur. Semua sayur-sayuran itu milik Puan Yusni. Beliau sudah banyak berbudi pada Puan Rubiah sejak Puan Rubiah ditinggalkan suami 20 tahun lalu. Waktu itu Bella berusia 5 tahun. Ayah dan ibunya bertengkar pada satu malam. Bella tidak faham mengapa mereka bergaduh. Apa yang Bella tahu pertengkaran itu telah menyebabkan ayahnya keluar rumah dan tidak kembali lagi. Ibunya pula seorang suri rumah. Bila ditinggalkan begitu dengan anak masih kecil, Puan Rubiah buntu. Waktu itulah Puan Yusni kakak Puan Rubiah yang beri cadangan untuk Puan Rubiah membantunya berniaga sayur. Ada kala Puan Rubiah memerlukan lebih wang untuk keperluan luar jangka terutama sewaktu Bella berada di universiti. Walaupun Bella ada dapat pinjaman tetapi ada masa tidak mencukupi. Puan Rubiah kadang-kadang terpaksa meminjam dari kakaknya Puan Yusni. Puan Yusni kakaknya yang agak berada. Suaminya mempunyai banyak harta peninggalan keluarga.

Sudah setahun Bella menganggur. Ijazah dalam bidang pemasaran seolah-olah tidak berharga. Teringat jerih payah bersengkang mata berusaha mendapatkan segulung ijazah itu. Teringat juga pengorbanan ibunya, Puan Rubiah bekerja kuat bagi memastikan Bella dapat belajar di universiti. Terpaksa meminjam untuk memastikan cukup semua keperluan Bella di sana. Oleh sebab itu bila Bella mendapat ijazah ada harapan yang Bella dapat memperbaiki nasib mereka sekeluarga. 

Namun apakan daya. Bella belum ada rezeki untuk dapat pekerjaan. Pekerjaan yang boleh memberikan keselesaan untuk mereka berdua. Bukan dia merungut kerana terpaksa membantu ibunya menjual sayur di pasar malam. Bella sebenarnya suka bantu ibunya itu. Dia sukakan apa sahaja yang boleh bawa senyuman di bibir tua ibunya. Dia suka bila sayur-sayur tu terjual semuanya. Terasa berbaloi keringatnya. Dapatlah upah untuk makan dan juga untuk kelangsungan hidup. Dia suka tetapi berapalah sangat dia dapat dari upah jual sayur. Ia tidak mampu memberikan dia wang lebih untuk disimpan. Sewa rumah pun hanya sipi-sipi sahaja lepas. Dia ada cita-cita untuk membeli rumah supaya dia dan ibunya tidak lagi menyewa rumah Puan Yusni. Dia mahu bawa ibunya ke tempat tinggal yang lebih selesa dan tidak perlu bekerja lagi pada usia lima puluhan. Tidak perlu risau pasal duit lagi. Namun, apakan daya. Dia masih belum dapat kerja yang setara dengan kelulusannya.  

Bella mula mengemas mana yang perlu sambil menunggu pelanggan datang. Kalau boleh gerai itu biar kemas dan nampak lega. Di samping itu juga akan memudahkan dia mengemas bila selesai nanti. 

*******

“Cik, boleh tak bagi percuma semua ni? Saya tak ada duitlah,” kata seorang pemuda berjaket kulit dan jeans. Rambutnya yang panjang di bahagian atas diikat ke belakang. Orangnya tinggi dan berkumis. Ada senyum di bibirnya. Bella menjuihkan bibir pada lelaki itu.

“Banyak cantik. Kalau nak sayur, kena beli. Kau ingat aku dapat semua ni percuma dari langit ke?” balas Bella dengan wajah buat-buat geram. Si pemuda tersengeh sumbing.

“Taklah cantik...tapi hensem je,” balasnya bergurau. Bella menggulung biji matanya yang bundar. Namun ada senyuman di bibir. 

“Perasan!” luahnya. Lelaki itu ketawa. 

“Bila lagi nak perasan? Lagipun aku kena sedarkan kau yang aku ni adalah satu-satunya lelaki kacak kat sini tau. Kau ada nampak yang lain kat sini? Tak ada kan?,” ujarnya selamba. Bella mendengus.

“Eh Hatta, Aku dah kenal kau sejak kita masuk tadika sama-sama. Aku dah tak ada perasaan pada kau. Kau tu macam adik aku aje,” balas Bella. Hatta menjuihkan bibir. Adik? Sungguh tak sesuai!

“Alah...malangnya aku. Kau anggap aku macam adik je? Eh come on la kita sebaya tau. Hanya kerana kau lahir bulan 2 dan aku bulan 7 maka kau anggap kau seorang kakak? Tolong sikit!” protes Hatta geram.

“Eh, mestilah.,” balas Bella penuh yakin. Hatta buat muka. Wajah Bella yang polos direnungnya. Bella mengangkat muka kepada Hatta. Hatta terpempan. Mulutnya seolah ingin mengatakan sesuatu. Bella terus menunggu buah butir yang ingin Hatta suarakan. Namun, tumpuannya beralih arah. Seorang pelanggan memanggil Bella. Meminta gadis itu mengira harga sayur dan membungkusnya. Bella pandang Hatta. Hatta seolah faham yang Bella sibuk lantas membuat isyarat mahu beredar dan akan datang lagi nanti. Bella hanya mengangguk. Lega bila kawan baiknya faham begitu. 


Dia memang sudah lama berkawan dengan Hatta sejak mereka di tadika lagi. Bahkan sekolah rendah dan menengah pun sama. Dengan Hatta lah Bella ke mana-mana waktu dulu. Hatta boleh dikatakan kawan baiknya. Kalau ke mana-mana seperti bodyguardnya. Kalau dia sedih Hatta jadi tempat dia luah perasaan. Namun, bila Bella masuk universiti, Hatta ke Politeknik. Dia mengambil jurusan kimpalan. Bila cuti mereka akan berjumpa dan lepak bersama. Ataupun Hatta datang ke rumah hanya untuk berbual. Hatta kini sudah pun ada perniagaan sendiri memasang pagar dan grill untuk rumah kediaman dan premis perniagaan. Ada dua tiga orang pekerjanya. 


Hatta datang semula bila suasana sudah kurang sibuk ataupun di kala mereka mahu mengemas untuk pulang. Seperti biasa Hatta akan bantu mereka menjual sekali walaupun Puan Rubiah menghalang. 

“Alah makcik...kita kan dah macam saudara,” kata Hatta selalu bila Puan Rubiah minta dia jangan bantu mereka.

“Biarlah mak. Dia nak tolong sangat kita bagi semua kat dia. Hatta kau ambik semua ini. Bagus juga kau ada. Aku dan mak aku boleh rehat,” ujar Bella nakal. Bulat mata Puan Rubiah. Satu tamparan hinggap di bahu Bella buat gadis itu mengaduh. Bella mengusap-ngusap bahunya yang rasa sedikit pedih. Puan Rubiah kalau menampar berbisa juga walaupun tidak kuat.

“Bella, kamu ni suka sangat buli Hatta,” marahnya. Bella yang mengusap bahunya hanya buat muka. Hatta tersengeh dengan mulutnya bergerak membisikkan padan muka yang hanya Bella sahaja yang nampak. Bella ambil satu bakul dan menggugut mahu melemparnya kepada Hatta. Hatta ketawa.

“Tak apa makcik. Lagipun tak ada apa sangat ni,” ujar Hatta berbasa-basi.

“Kamu jangan bagi muka pada Bella tu. Kamu tu dahlah kerja waktu siang. Malam-malam bantu kami pulak,”

“Ini tak ada apa makcik. Lagipun siang tadi pekerja saya yang siapkan semua kerja. Saya kan bos,” ujarnya mengenyit mata pada Bella. Bella mengajuk kata-kata Hatta. Geram pulak Hatta rasa. Kalaulah tidak kerana segan dengan Puan Rubiah pasti dia dah tarik hidung Bella yang nakal itu.

“Tak tahu dah apa makcik nak buat supaya kamu tak menyusahkan diri kamu macam ni untuk kami,” ujar Puan Rubiah. 

“Tak payah buat apa-apa. Biar saya tolong. Lagipun tak luak apa,” ujar Hatta. Puan Rubiah hanya menghela nafas. Hatta memang degil. Apapun Puan Rubiah kata dia masih berdegil mahu menolong.

Puan Maznah di sebelah mengeleng-ngeleng. Dia menghampiri Rubiah. Dia menepuk bahu Rubiah yang sedang memasukkan bakul-bakul kecil ke dalam plastik sederhana besar.

“Budak Hatta tu ada hati kat Bella tu. Suruh aje dia meminang,” bisiknya. 

“Mana boleh. Mereka tu dah macam adik beradik. Sejak kecil berkawan,” kata Puan Rubiah.

“Tapi mereka bukan ada pertalian darah. Kalau dah suka apa salahnya,” ujar Puan Maznah.

“Entahlah. Semua terpulang kepada Bella,” ujar Puan Rubiah. Matanya pada Bella dan Hatta yang berbual-bual sambil ketawa.

“Hatta tu boleh tahan juga. Meniaga sendiri. Banyak tempahan untuk grill dan pagar dia tu. Projek pun ada. Kaya tu,” ujar Maznah lagi. Puan Rubiah menghela nafas.

“Terpulang pada yang empunya badan. Kalau dia berkenan, akak tak ada masalah,” ujar Puan Rubiah. Bella kini menghampiri mereka berdua. 

“Ha...apalah makcik Maznah bual dengan mak tu? Mesti tak habis-habis pasal kahwin. Makcik, Bella nak kerja dulu tolong mak. Bella belum nak kahwin lagi tau. Kalau Makcik nak suruh saya kahwin dengan Hatta ni saya minta maaf. Tak boleh pergi makcik,” terang Bella. Hatta yang pasang telinga tersentak.

“Tak boleh pergi?” Wajahnya sedikit berubah. Dia memandang Bella yang wajah selamba. Bella, kalau ya pun tak berkenan, boleh tak jangan jujur sangat. Tipu atau apa saja supaya impian aku ini tidak lenyap sekelip mata? Bisik Hatta dalam hati. Bella hanya tersenyum-senyum pada Hatta. Seperti main-main. Hatta juih bibir. Puan Maznah mengeleng-ngeleng. Puan Rubiah hanya memerhatikan sahaja wajah Hatta yang kini hilang cerianya itu. Jelas kecewanya tetapi si Bella masih mahu bergurau-gurau. Oh Bella, kalau ya pun jagalah hati Hatta sikit, getus Puan Rubiah dalam hati. Geram dia dengan Bella yang bermulut lepas itu dan tidak langsung fikirkan perasaan Hatta. Bagi Puan Rubiah tiada apa cacat celanya Hatta itu. Tetapi seperti yang dia kata. Semua terpulang pada Bella.

“Hatta, tolong tengokkan gerai ni,” pinta Bella tiba-tiba.

“Ha, pergilah. Aku tengokkan,” ujar Hatta. Tahu benar apa yang ada dalam fikiran Bella itu.

“Eh, nak ke mana tu?” panggil Puan Rubiah pada anak gadisnya yang mahu berlalu.

“Macam biasa mak. Bella nak beli  puyuh gorenglah,” ujar Bella telah pun berlalu pergi.

“Ish...tak habis-habis. Setiap minggu mesti  puyuh tu jugak. Tak jemu-jemu makan puyuh,” ngomel Puan Rubiah sambil mengeleng-ngelengkan kepala.

“Nak buat macamana...favorite dia,” kata Hatta.

“Kau tu kenapa biarkan dia pergi...dia buli kau suruh jaga gerai pulak,” bebel Puan Rubiah pada Hatta. 

“Alah makcik, bukan selalu,” luah Hatta berbahasa.

“Bukan selalu? Tiap kali kau datang, tiap kali dia suruh kau jaga,” rungut Puan Rubiah. Hatta hanya tersengeh. Matanya lekat pada susuk tubuh yang kini berjalan laju di antara orang ramai ke gerai puyuh goreng di hujung deretan pasar malam itu. Demi Bella dia sanggup buat apa sahaja.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.