“LEPAS ni kau ada nak ke mana-mana ke, Zul?” Tengku Hafiy bertanya sewaktu mereka menuju ke tempat letak kereta. Petang Sabtu itu mereka berdua menghabiskan masa bermain futsal bersama rakan-rakan yang lain. Memang sejak di universiti dulu keduanya aktif bermain bola sepak mewakili universiti. Tetapi bila sudah bekerja, hanya di padang futsal sahajalah tempat mereka mempamerkan aksi bila ada waktu terluang.
“Tak ada kut. Ingat nak terus balik. Kenapa?”
“Jom! Singgah rumah sekejap. Orang tua aku ada kat rumah tu. Mama aku pun asyik tanyakan kau je bila nak datang jenguk dia. Aku yang jenuh nak menjawab.”
Izzul ketawa kecil. Beg yang berada di tangan kini sudah berpindah ke dalam bonnet kereta. “Ya ke? Takkan rindu kut? Anak bujang dia kan ada dua orang.”
“Kitorang lain. Kau tu lain. Mama aku ni kalau dah sayang orang, kau faham jelah.”
“Yelah, yelah! Kita singgah rumah kau lepas ni. Jumpa mama ‘kita’. Okay?”
Sengaja Izzul menekan perkataan kita pada Tengku Hafiy, membuatkan lelaki itu tergelak besar. Lantas keduanya memasuki kereta masing-masing dan memandu ke arah Villa Haiyan. Beberapa minit perjalanan, akhirnya mereka tiba di kediaman mewah itu.
“Sunyi je rumah kau, Fiy. Ada ke tak orang tua kau ni?” Izzul menyoal sewaktu dia dan Tengku Hafiy mengatur langkah menuju ke taman mini.
“Ada. Petang-petang macam ni kat taman minilah tu. Time minum petang. Macam tak biasa pulak kau ni.”
“Yelah. Dulu masa belajar, lain. Sekarang mungkin dah tak sama.”
“Tak ada yang lainnya, Zul. Dulu dengan sekarang sama je. Tak berubah pun!”
Seperti jangkaan Tengku Hafiy, kedua orang tuanya sedang duduk bersantai di taman mini villa. Sebaik menghampiri mereka, Izzul bersalaman sambil bertanya khabar.
“Hmm... lama dah Zul tak datang sini. Rindu Mak Engku dengan budak-budak tu.”
“Maaflah, Mak Engku. Sibuk sikit dengan kerja. Niat nak datang memang ada. Cuma masa tu yang tak berapa nak ada!” seloroh Izzul membuatkan yang lain ketawa. Memang sejak akhir-akhir ini dia agak sibuk dengan kerjanya di pejabat. Hujung minggu pula adakalanya dia terpaksa turun padang untuk melawat tapak projek. Hinggakan dia tidak dapat pulang ke rumah orang tuanya bila mana jadual sudah terlalu padat.
“Biasalah, Fina. Orang muda masa nilah kena kerja keras nak kumpul duit, kumpul harta untuk anak isteri. Dah tua-tua esok tak larat dah. Macam saya sekarang ni.”
“Yelah, bang. Tapi sekurang-kurangnya si Izzul ni dah pun berkahwin, berkeluarga. Tu anak-anak abang tu. Hai! Naik risau saya dibuatnya. Berbuih dah mulut ni bercakap. Tak pun dikisahkan. Tak faham sungguh sayalah. Lagi-lagi anak bujang abang yang sorang tu!” Tengku Dafina sudah mula mengomel. Geram hatinya bila mengenangkan hal yang satu itu. Izzul pula sudah tersenyum-senyum sambil mengerling ke arah Tengku Hafiy yang menggaru kepalanya. Faham benar apabila bab perkahwinan mula disebut oleh wanita itu.
“Eh, anak saya sorang ke? Anak awak jugak, kan.”
“Yelah, bang. Anak saya jugak. Tapi perangai diorang tu sebijik ikut macam abang!” bidas Tengku Dafina selamba. Namun, hanya disambut gelak oleh Tengku Haiyan. Ketika itu juga Mak Ros muncul dengan membawa dulang berisi juadah minuman petang.
“Budak berdua tu dah balik, Kak Ros?” Tengku Dafina bertanyakan tentang Tengku Harrys dan Tengku Hazreen pada pembantunya yang baru selesai menuang minuman.
“Belum lagi nampaknya, Tengku.”
“Hmm, tak apalah.”
“Kalau tak ada apa-apa saya masuk dulu, Tengku.”
Tengku Haiyan anak-beranak terus rancak bersembang bersama Izzul di taman mini tersebut. Daripada berborak kosong, perbualan mereka bertukar kepada topik yang lebih serius.
“Izzul, Mak Engku nak tanya ni. Boleh?”
“Apa yang tak bolehnya, Mak Engku. Tanya jelah. Apa dia?”
“Err... Mak Engku... Mak Engku...,”
“Ha! Dah kenapa pulak tergagap-gagap awak, Fina?”
“Ishh, abang ni! Janganlah sergah saya macam tu kalau ya pun!” tingkah wanita itu kala Tengku Haiyan menepuk bahunya secara tiba-tiba.
“Betullah. Tadi awak bukan main lagi minta izin nak tanya. Sekarang dah tak tercakap pulak. Kenapanya?”
“Ha’ah, ma. Mama nak tanya apa sebenarnya ni? Cakap jelah. Izzul tengah tunggu tu. Hafiy pun tunggu jugak ni.”
“Yelah-yelah! Mama nak cakaplah ni. Err... Mak Engku nak tanya Izzul sikit ni.”
“Tanya apa, Mak Engku?”
“Tentang Irish.”
Serentak itu mata Izzul tepat merenung wanita di hadapannya. Malah Tengku Hafiy serta
Tengku Haiyan juga turut berbuat perkara yang sama.
“Kenapa dengan adik saya, Mak Engku? Dia ada buat salah ke?”
“Eh, bukan macam tu! Adik kamu tak ada buat salah apa pun. Cuma Mak Engku nak bertanyakan sikit tentang diri dia.”
Kening Izzul berkerut. “Tentang diri dia? Maksud Mak Engku?”
“Mama, strait to the point jelah. Kan senang!” pinta Tengku Hafiy. Dan tidak semena-mena tawanya pecah apabila dihadiakan satu jelingan tajam dari mamanya.
“Ermm.... macam ni. Mak Engku nak tanya Izzul. Adik kamu Irish tu dah berpunya ke?”
“Setahu saya, Irish tak ada sesiapa buat masa ni. Itu yang dia cerita pada sayalah. Selebihnya, wallahualam. Kenapa Mak Engku tiba-tiba tanya?” Izzul menyoal lagi, sedikit pelik dengan pertanyaan wanita tersebut. Namun sebaliknya bagi Tengku Dafina. Jawapan Izzul itu sedikit sebanyak melegakan dirinya. Senyuman mula terbit di bibir.
“Macam ni, Izzul. Mak Engku ada hajat sebenarnya.”
Bagaikan dapat menangkap maksud yang tersirat disebalik kata-kata itu, jantung Izzul sedikit berdebar. “Hajat?”
“Ya. Hajat.”
“Hajat apa, Mak Engku?”
“Hajat untuk menyunting Irish, Zul.”
Kali ini jantung Izzul bagaikan disentap. Tepat sekali jangkaannya sebentar tadi. Bukan sahaja Izzul, malah Tengku Haiyan serta Tengku Hafiy juga jelas terkejut.
“What?? Sunting Irish?! Untuk siapa, ma?” laju soalan itu terlontar dari Tengku Hafiy.
“Untuk adik kamu.”
“Harrys??”
“Iyalah. Siapa lagi. Takkan untuk kamu kut!”
Tengku Hafiy memandang papanya. Lelaki itu sekadar menjungkitkan bahu. Kemudian matanya beralih pada Izzul. Rakannya hanya menyepi tanpa suara. Dia tahu Izzul masih lagi dalam keadaan terkejut. Sedangkan dirinya juga masih sukar mempercayai apa yang disampaikan oleh mamanya itu.
“Harrys dah tahu ke pasal ni, Fina?” tanya Tengku Haiyan pada isterinya.
“Belum lagi, bang. Saya ingat nak risik-risiklah pada si Izzul ni dulu. Kalau betul Irish tu masih belum berpunya, senanglah sikit saya nak buka cerita pada dia nanti.”
“Boleh tahan jugak mama ni. Senyap-senyap dah jadi tukang cari jodoh nampak!”
“Hmm... kalau mama tak buat macam ni alamat adik kamu tu jadi bujang telajaklah jawabnya, Fiy. Susah betul bila cakap hal perempuan dengan dialah!”
“Apa-apa pun, mama kena tanya tuan empunya badan tu sendiri. Tak naklah nanti jadi paksaan pada diorang pulak, ma.”
“Sebab tulah mama tanya dulu ni. Apa pendapat kamu, Izzul?”
Pertanyaan Tengku Dafina sedikit menyentakkan Izzul yang sedari tadi hanya terdiam tanpa kata. “Saya tak boleh nak buat keputusan sendiri, Mak Engku. Macam yang Hafiy cakap tadilah, kena tanya tuan empunya badan dulu. Dan lebih elok kalau Mak Engku dan Pak Engku datang ke rumah jumpa keluarga saya sendiri untuk sampaikan hajat ni.”
Kali ini Tengku Dafina pula terdiam, seakan mengakui kata-kata Izzul itu.
“Macam nilah. Biar kami sekeluarga bincang dulu, Zul. Hal kahwin ni bukan perkara main-main. Nak-nak pulak bukan pilihan sendiri. Mak Engku kamu ni pulak pandai betul simpan plan dia. Terkejut jugak Pak Engku dibuatnya!” Tengku Haiyan mengerling sekilas pada isterinya yang sudah tersipu malu.
“Yelah, Pak Engku. Kalau macam tu saya minta diri dulu. Dah nak maghrib pun,” pinta Izzul lalu bangkit dari kerusi yang didudukinya. Salam dihulurkan pada kedua orang tua Tengku Hafiy sebelum dia beredar meninggalkan taman mini tersebut.
“Kau okay ke?” soal Tengku Hafiy seraya memaut bahu Izzul.
“Eh, okay. Asal pulak tak okay?”
“Kalau apa yang mama aku cakap tadi buat kau tak selesa, abaikan jelah!”
“Eh, tak adalah! No hal. Mama kau pun baru buka mulut. Belum confirm lagi. So... aku gerak dululah, bro!”
Setelah berjabat tangan dan berpelukan, Izzul terus memasuki kereta sebelum menghidupkan enjin.
“Tapi kan... bagus jugak idea mama aku tu. Mana tahu boleh lembutkan hati adik aku yang dah keras tu. Dapat pulak beripar-duai dengan kau. Memang ngamlah!”
Kata-kata Tengku Hafiy itu hanya disambut gelakan kecil oleh Izzul. Setelah meminta diri, lelaki itu terus berlalu meninggalkan villa besar tersebut dengan hati yang sarat dengan seribu satu perasaan.
‘Ya Allah. Mampukah aku tunaikan hajat itu?’ bisik hati kecil Izzul.
KETUKAN di muka pintu membuatkan Tengku Harrys bangkit dari hamparan sejadah. Usai menunaikan solat isyak tadi dia duduk berteleku di atas tikar sembahyang itu seketika.
“Masuklah,” lembut sahaja pertuturannya membenarkan empunya gerangan yang mengetuk pintu masuk ke dalam bilik.
“Harrys.”
Pantas Tengku Harrys menoleh ke arah suara itu. “Mama.”
“Kenapa tak turun makan malam tadi?” soalan pertama dari Tengku Dafina sebaik melabuhkan duduk di atas katil anak bujangnya itu, diikuti Tengku Harrys.
“Kenyang lagilah, ma. Tadi petang baru makan dengan kawan.”
“Kawan? Kawan lelaki ke kawan perempuan?” spontan pertanyaan itu terpancul. Mendengarkan perkataan ‘kawan’ itu membuatkan Tengku Dafina begitu teringin untuk tahu. Tengku Harrys pula hanya tersenyum menggeleng-gelengkan kepala melihat tingkah mamanya.
“Mestilah lelaki, ma. Dengan Fezrul. Takkan mama lupa best friend Harrys tu.”
Jawapan itu meniti di bibir Tengku Harrys yang masih tersenyum. Memang itulah satu-satunya kawan baik dia di sini semenjak sekolah dahulu. Dengan perwatakannya yang sebegini, tidak ramai yang berani untuk mendekatinya. Cuma Fezrul seorang itu sahajalah. Lantaran dia terus berhijrah ke luar negara selepas tamat SPM, maka dia tidak berkesempatan untuk mencari teman-teman lain di sini. Dari rakannya itu juga dia mendapat tahu bahawa semua orang takut untuk menjadi temannya, lebih-lebih lagi pelajar perempuan. Mungkin kerana sifatnya yang kurang mesra dengan orang barangkali. Namun dia tidak kisah dengan semua itu. Biarlah orang yang benar-benar mengenalinya sahaja yang tahu dirinya bagaimana. Termasuk Fezrul.
Satu keluhan lega kedengaran dari mulut Tengku Dafina. Dan perbuatannya itu mematikan lamunan Tengku Harrys serta-merta. “Kenapa?”
“Tak ada apa-apalah.”
“Ma, how long I know you?”
“Hmm. kalau kawan Harrys tu perempuan, mama suka. Tapi kalau kawan Harrys tu lelaki, lagi mama suka!”
“What?” Berkerut dahi Tengku Harrys mendengarkan jawapan tersebut. Direnung wajah mamanya yang kelihatan selamba sahaja. “Mama sihat ke tak ni?”
“Eh! Apa kamu tanya macam tu? Dah tentulah sihat!”
“Habis, yang mama cakap macam tu kenapa?”
“Cakap apa? Tak betul ke apa mama cakap tadi?”
“Ma. Mama ingat anak mama ni lelaki tak normal ke?”
“Hishh! Ada ke situ pulak fikir dia ni!”
Spontan tangan wanita itu memukul bahu Tengku Harrys. Tidak menyangka anak bujangnya akan berfikiran sejauh itu. Matanya kemudian meliar melihat sekeliling, takut-takut ada yang mendengar hal yang tidak terjangkau dek akal fikiran itu. Tengku Harrys yang melihat spontan tergelak kecil.
“Mama datang bilik Harrys ni nak cakap apa sebenarnya. Hmm?” tanya Tengku Harrys seakan dapat mengagak tujuan wanita itu datang ke biliknya. Lansung dia bangkit dari katil. Songkok serta sejadah di tangan diletakkan kembali ke tempat asal. Kemudian dia menuju ke meja kerja untuk menyiapkan sedikit tugasan pejabat.
“Harrys dah ada teman ke sekarang?”
Tengku Harrys memandang semula mamanya. “Teman?”
“Yelah. Teman.”
“Maksud mama?”
“Teman wanitalah, Rys. Takkan teman lelaki!”
Satu keluhan dilepaskan Tengku Harrys. Soalan yang tidak begitu digemarinya. Soalan yang sering ditanyakan oleh keluarga, saudara-mara dan rakan-rakannya. Setiap kali ditebak dengan soalan begitu, setiap kali itulah seboleh-bolehnya dia cuba untuk mengelak.
“Harrys. Dengar tak apa mama cakap ni?”
“Mama dah tahu jawapan Harrys.”
“Sampai bila, Rys?”
“Sampai Harrys jumpa tulang rusuk kiri Harrys balik.”
“Budak ni, kan. Orang serius, dia main-main pulak!” hampir sahaja Tengku Dafina menjerit melihatkan sikap acuh tak acuh anaknya itu.
“Harrys seriuslah ni, ma.”
“Serius apanya? Mama sibuk bercakap kat sini, kamu pulak sibuk buat kerja kamu tu.”
“Harrys dengar ni, ma.”
“Ada je jawapannya, kan. Kamu tu bukan muda lagi, Harrys. Umur dah dua puluh sembilan tahun. Patutnya dah ada anak, tahu tak?” Tengku Dafina sudah mula bersyarah.
“Abang lagi tua, mama.”
“Hah, tu lagi satu! Tapi sekurang-kurangnya abang kamu tu dah bertunang.Insya-ALLAH dah nak kahwin dah. Kamu tu, bayang calon pun belum tentu nampak lagi. Dia ingat boleh tunggu orang datang sini masuk meminang dia agaknya!”
Leteran Tengku Dafina itu membuatkan tawa Tengku Harrys terhambur tiba-tiba. Entah mengapa ada sedikit kelucuan pada ayat terakhir mamanya. Dia tahu wanita itu memang kuat mengomel. Tapi adakala omelannya itu terselit perkara yang di luar jangkaan.
“Dah ketawa pulak dia! Kamu ni, kan. Baik dengan papa, dengan abang kamu tu sama jelah. Orang tengah serius, boleh pulak ketawa. Apa entah yang lucu sangat agaknya!”
Melihat mamanya sudah menarik muka masam, Tengku Harrys cuba memperlahankan tawa. Setelah reda, dia kembali bersuara. “Nantilah, ma. Ada jodoh nanti,Insya-ALLAH adalah. Cuma Dia bagi lambat sikit je.”
“Memanglah. Tapi mama tengok kamu tak pernah cuba berusaha untuk cari jodoh tu. Takkan nak tunggu sampai bulan jatuh ke riba kut. Sekurang-kurangnya usahalah cari.”
Dan seperti biasa, Tengku Harrys hanya berdiam diri mendengar kata-kata nasihat sebegitu. Dia sudah lali dengan semuanya. Hendak tak hendak, terpaksalah dia telan satu-persatu segala kata-kata itu.
“Kalau dah susah sangat, biar mama je yang carikan.”
Spontan tangan Tengku Harrys yang sedang asyik menulis, terhenti. Lantas dia mendongak mencari wajah Tengku Dafina.
“Kalau mama yang carikan, tak payah dah membazir masa lama-lama nak cari. Dah ada dah pun calonnya.”
Semakin tajam renungan Tengku Harrys pada wanita di hadapannya itu. Tidak menyangka yang mamanya betul-betul serius kali ini.
“Siapa?”
“Nanti Harrys akan tahu sendiri. Harrys tak kisah kan siapa pun pilihan mama?”
Tiada sebarang jawapan dari mulut lelaki itu. Hanya tangannya sahaja kembali menulis sesuatu di atas kertas kerjanya.
“Harrys?”
“Ikut mamalah. Tapi kalau Harrys tak berkenan, jangan salahkan Harrys bila Harrys tolak pilihan mama tu,” acuh tak acuh sahaja Tengku Harrys menjawab.
“Yelah. Kita tengok nanti sama ada Harrys sanggup tolak pilihan mama tu atau tidak.” Sebaik menghabiskan kata-katanya, Tengku Dafina bangun dari katil untuk beredar dari bilik itu. “Mama keluar dulu. Kalau rasa lapar nanti turun makan. Bagitahu je Mak Ros. Nanti dia boleh panaskan lauk-lauk tu, ya.”
Tengku Harrys menghantar mamanya keluar dengan satu renungan. Sebaik daun pintu bilik ditutup, satu lagi keluhan dilepaskan olehnya. Pen di tangan turut diletakkan di atas meja. Tersandar dia seketika mengenangkan setiap butir bicara mamanya sebentar tadi.
Dan akhirnya lelaki itu bangkit dari kerusi lalu menuju ke ruangan balkoni bilik. Membiarkan diri menikmati panorama indah di waktu malam sambil melayani perasaan yang dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk diungkapkan. Sesungguhnya dia pasrah pada ketentuan Ilahi seandainya ini adalah pengakhiran pada bayangannya selama ini.
“DARI mana awak, Fina?” Tengku Haiyan yang ketika itu sedang khusyuk membaca buku di atas katil, dikejutkan dengan kehadiran isterinya di dalam bilik itu.
“Pergi jenguk Harrys sekejap kat bilik dia. Risau saya dia tak turun makan tadi.”
Berpuas hati dengan jawapan itu, Tengku Haiyan kembali menatap bukunya.
“Abang...,” Tengku Dafina memanggil lembut suaminya setelah dia merebahkan diri di atas katil bersebelahan Tengku Haiyan.
“Hmm.”
“Saya ada bercakap dengan Harrys tadi.”
“Cakap apa?”
“Tentang hajat saya tulah.”
“Pinang Irish untuk Harrys?” soal Tengku Haiyan inginkan kepastian. Namun matanya masih lagi setia menatap buku di hadapan.
“Iya. Saya berkenan sangat dengan Irish tu, bang. Sejak kali pertama jumpa dia.”
“Kenapa pulak macam tu?”
“Entahlah. Saya pun tak tahu kenapa. Tapi bila tengok muka dia je buat saya rasa sayang sangat pada dia,” luah Tengku Dafina.
“So, apa kata Harrys?”
“Nampak gaya dia macam setuju kali ni.”
Mendengarkan jawapan itu, terus sahaja tumpuan Tengku Haiyan berkalih pada isterinya di sebelah. Buku di tangannya sudah pun ditutup. “Biar betul awak ni?”
“Betullah. Dia cakap terpulang pada saya kalau saya nak carikan calon untuknya.”
“Harrys cakap macam tu? Macam pelik je.”
“Tak ada yang peliknya, bang. Manusia bila-bila masa boleh berubah. Samalah dengan anak kita tu. Cuma Harrys ada cakaplah jugak. Kalau dia tak berkenan, jangan salahkan dia kalau dia tolak pilihan Fina tu nanti.”
“Hmm... adalah tapinya, ya.” Tengku Haiyan terdiam sejenak memikirkan sesuatu. “Ada awak bagitahu Harrys siapa calon yang awak pilih tu?”
“Tak. Saya tak bagitahu lagi. Memang saya tak nak dia tahu dulu. Niat saya biar dia tahu sendiri lepas kita datang merisik Irish nanti.”
Tengku Haiyan terdiam lagi. Kemudian dia membuka semula buku di tangan. “Hai, awak ni. Semuanya ikut rancangan awak sendiri. Kesian budak Harrys tu. Tak tahu-menahu siapa calon bakal isterinya. Memanglah budak tu tak terus setuju.”
“Kenapa? Abang rasa kalau Fina terus-terang cakap Irish tu pilihan Fina, Harrys terus setuju ke, bang?” bersinar-sinar wajah Tengku Dafina sebaik mendengar kata-kata suaminya itu. Dari berbaring, sekarang dia sudah duduk menghadap Tengku Haiyan.
“Mungkin.”
“Abang cakaplah betul-betul. Fina serius ni!”
“Abang pun seriuslah ni. Kalau Harrys tahu calon yang awak nak pinangkan tu ialah Irish, abang rasa dia tak fikir dua tiga kali dah. Siapa yang tak nak calon isteri macam tu. Lemah-lembut, sopan santun, tak banyak cakap. Kalau abang pun, abang terus setuju!”
“Apa bang? Terus setuju? Ada hati jugak, ya?” suara Tengku Dafina mula berubah nada.
“Dah awak tanya, abang tolong jawablah. Hai... kalau abang nak cari lain, dah lama abang buat, Fina. Tapi mana nak sama dengan sayang abang sorang ni.”
Tengku Dafina sudah tersipu-sipu apabila diusik sebegitu. Namun dia tahu suaminya itu hanya berniat untuk bergurau sahaja. Begitu juga dirinya.
“Blushing ya isteri abang ni!” semakin galak Tengku Haiyan menyakat isterinya bila melihat pipi wanita itu sudah bertukar kemerahan.
“Ishh, abang ni! Dahlah, saya nak tidur. Kalau dilayan makin menjadi-jadi nanti!” Tengku Dafina merebahkan kembali badannya di atas tilam, tidak mahu melayani perangai menyakat suaminya itu. Kalau terus dilayan, sudahnya dia saja yang akan terkena.
“Eh, nak tidur dah? Bukan kita belum habis bincang lagi ke pasal Harrys dengan Irish?”
“Hmm, esok-esoklah sambung. Abang bukannya serius pun nak bincang. Nak menyakat saya lagi adalah!” balas wanita itu dengan mata yang sudah terpejam.
“Isteri abang ni dah merajuk, ya? Habislah abang macam ni nak kena pujuk.”
Tengku Dafina yang ketika itu memalingkan mukanya dari pandangan Tengku Haiyan, hanya tersenyum kecil. Rajuk dia bukan panjang mana. Esok pagi eloklah dirinya.
“Selamat malam,” ucap Tengku Dafina sebelum melayani lenanya.
“Selamat malam, sayang.”