Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 42

Seminggu kemudian seorang instructor wanita bernama Miss Sue datang mengajar Layla berenang. Dia telah diupah untuk mengajar Layla selama sebulan. Faris siap carikan baju renang muslimah untuk Layla seminggu sebelum instructor itu mula mengajar. Beberapa butik pakaian sukan dilawatinya satu petang hanyalah untuk mencari baju tersebut untuk gadis itu. Sebelum membeli dia telah merujuk dulu pada setiausahanya yang berhijab bernama Nora.

       “ En Faris kena tanya betul-betul sebab pakaian renang muslimah tu tak dijual di semua tempat. Kalau Encik Faris tak jumpa boleh beli online. Kawan saya ada jual” ujar setiausahanya itu mencadangkan. Memang sukar. Satu butikpun yang dia pergi tidak menjual baju renang muslimah. Bikinilah yang lebih banyak. Akhirnya Faris terpaksa meminta Nora membelikan untuknya secara online sahaja. 

Sejak berkahwin dengan Layla, Nora yang sudah punya anak satu itu selalu mejadi rujukannya untuk memahami Layla. Nora pun memang sukakan Layla yang kali pertama dia berjumpa semasa majlis perkahwinan. Hairan juga dia pada mulanya bagaimana Faris yang playboy boleh mendapat seorang gadis yang baik seperti Layla. Jodoh manusia Allah yang tentukan. Walaupun mungkin nampak seperti tidak sesuai tetapi mungkin itulah jodoh yang terbaik pada waktu itu.

Faris pula tahu pasti Layla mahukan baju renang muslimah kerana gadis itu memang teliti tentang menutup aurat. Selalunya kalau keluar dari bilik sahaja pun Layla akan siap bertudung litup. Mula-mula kelakar juga bila dia lihat. Terdetik di hatinya alim sungguhlah gadis itu sampai dalam rumah pun pakai tudung. Namun bila dia tanya Nora rupanya seorang perempuan memang tidak boleh tunjukkan auratnya kepada ipar lelakinya. Mungkin Layla berbuat begitu kerana Wafiq ada di rumah itu. Walaupun kolam renang tersebut sebenarnya agak terlindung tetapi masih boleh dilihat oleh pekerja-pekerja di rumah itu yang lalu-lalang bahkan juga adiknya Wafiq.

Sebenarnya dia sendiripun rasa hairan kenapa dia jadi islamik tiba-tiba memikirkan tentang aurat Layla pula. Dia tidak penah kisahkan tentang aurat seorang perempuan pun. Tetapi sejak dia duduk bersama gadis itu hampir tiga bulan dia makin memahaminya. Agaknya secara natural seorang suami akan berasa demikian iaitu pasti tidak mahu isterinya mendedahkan tubuh pada orang lain. Dia tahu kalau dia yang halal itupun sekali sekala ternampak pun rasa seksa apatah lagi orang lain. Oleh itu biarlah aurat Layla terjaga. Dan ini mungkin juga disebabkan oleh sifatnya yang semakin possesif terhadap gadis itu agaknya.

Lebar sengeh Layla bila diberikan baju renang muslimah itu. Pandai pulaklah lelaki itu mencari saiznya. Mana tidaknya semasa Layla tiada di bilik, tanpa pengetahuannya Faris telah membuka wadrobe Layla yang kemas teratur itu untuk melihat saiz bajunya. Sebenarnya Layla baharu sahaja mahu meminta untuk keluar mencari pakaian renang tetapi Faris sudah sediakan dahulu sebelum dia tanya lagi. Dalam hal itu thrill juga dia rasa kerana Faris raksasa itu seolah memahaminya pula. Biasalah Faris, kadang-kadang anginnya baik, baiklah dia tapi, kalau dah ada angin taufan dia akan kembali jadi raksasa hodoh.

Layla memang seronok bila dia berpeluang belajar berenang minggu depannya. Sejak berada di mahligai itu dan melihat Nabila berenang dia memang asyik berangan sahaja. Sekali-sekala dia turun di kolam mandi menyaksikan Nabila yang berenang dengan cantik sekali. Duduk di situ sambil membaca novel. Kadang-kadang dia cuba menegur Nabila tapi Nabila hanya buat acuh tak acuh sahaja padanya. Jadi, kalau dia dah pandai nanti agaknya bolehlah dia berenang bersama Nabila. Barulah ada buah topik yang sama.

Miss Sue itu pula baik orangnya dan sangat sabar mengajar dia berenang dalam masa sebulan itu. Mula-mula Layla diajar cara pernafasan yang betul dahulu kemudian barulah belajar mengapung pula. Dia perlu mengumpul nafas dari mulut dahulu kemudian melepaskan gelembung udara dari hidungnya. Banyak kali juga dia perlu berbuat demikian untuk membiasakan bernafas melalui mulut kemudian melepaskan melalui hidung. Selepas itu belajar mengapung pula. 

Kemudian dia di ajar cara renangan katak pula. Semasa renangan katak banyak kali juga dia tertelan air kolam itu kerana tersilap dalam mengambil nafas. Bukan senang hendak serentakkan tangan, kaki dan gerakan semasa berenang katak. Pada masa yang sama perlu mengambil nafas. Lagi kurang mengambil nafas lagi kurang apungan badan kerana badan kehilangan udara. Kadang-kadang bila tersalah gerakan banyaklah tertelan air. Memang kenyanglah meneguk air kolam itu!

Setiap hari dia belajar selama 4 jam selama sebulan itu dari tidak pandai mengapung sehinggalah boleh menyelam mengutip syiling di tempat dalam, berenang butterfly, backstroke dan free style. Peliknya sebelum belajar berenang mudah betul tenggelam tapi bila sudah pandai menyelam jadi susah kerana badan lebih mudah terapung. Sangat mencabar bila menyelam mengutip syiling di lantai kolam mandi itu.

Waktu pagi Layla belajar tennis manakala petang dia belajar berenang. Untuk tennis pula dia belajar dengan Miss Radha yang pernah bermain tennis di arena antarabangsa. Teruja juga Layla mendengar. Manalah tahu boleh jadi Serena Williams ke, desis hati Layla lucu. Bolehlah main saing dengan Rafael Nadal yang macho itu, Layla berangan sendiri. Namun, penat juga dia menghayun kayu tenis yang berat itu. Ada kalanya bukan bola yang melayang tapi reket tenis yang melayang. 

Dia cuba untuk belajar dengan baik tetapi tennis bukanlah bidangnya. Penyudahnya telinganya asyik menadah jeritan dari Miss Radha yang agak garang itu. Entah kenapa tangannya seolah keras untuk bermain tennis. Jadi antara dua itu dia lebih minat kelas berenang. Bagi Layla dia rasa sungguh relax bila berenang, iaitu bila badannya membelah air mengikut satu tempo yang tersusun. Kadang-kadang tidak terasa yang dia telah berada berjam-jam di dalam kolam itu.

Faris pula sering pulang awal sejak Layla belajar berenang. Seronok dia melihat gadis itu berenang di kolam mandi itu. Walaupun kolam renang itu agak tertutup tetapi dari bilik Faris dia memang dapat menyaksikan sebahagian besar kolam mandi itu. Oleh itu, dia sering memerhatikan Layla belajar di kolam itu setiap petang. Yelah bila lagi dapat memerhatikan free show sebegitu. Tak berdosa pulak tu sebab Layla adalah halal padanya!. Layla memang tidak tahu pun yang Faris sering memerhatikannya saja dari bilik. Entah sejak bila pulalah dia kisah tentang dosa pahala?

Faris sendiripun memang pandai berenang sejak di Australia kerana di sana, berenang adalah subjek wajib untuk semua pelajar sekolah di mana semua pelajar perlu melalui latihan dan ujian berenang. Setiap tahun pelajar akan duji sehingga mencapai tahap boleh renang yang tertentu. Oleh itu sewaktu bersekolah di sana dia telah diajar berenang dengan baik. Malahan sekolahnya pun memang mempunyai kolam renang. Jadi, bila Layla sudah pandai berenang selepas sebulan berlatih, dia juga teruja untuk ikut sama berenang menunjukkan skilnya.

Kesempatan itu hadir apabila melihat Layla turun berenang di satu pagi Ahad. Layla pula bila sudah pandai, selalu berenang di waktu pagi sebagai cara untuk dia beriadah. Menurut Miss Sue, berenang adalah salah satu alternatif riadah yang baik sebab semua anggota badan akan bergerak sama seperti menari atau aerobik tetapi tidak memberi kesan haus atau tekanan pada sendi. Ini adalah kerana tiada graviti dan badan diapung oleh air pula. Banyak lagi kebaikan berenang sebenarnya. Salah satunya, berenang adalah baik untuk orang yang ada masalah tulang belakang.

Melihatkan Layla yang sudahpun turun berenang Faris mengeluarkan baju dan seluar renangnya lantas memakainya kemudian turut turun sama ke kolam tersebut. Layla tidak sedar pun yang Faris sudah berada di dalam kolam sehinggalah kakinya ditarik dari belakang. Terkejut dia dan bila dia timbul dia melihat Faris yang tersengeh kepadanya dengan rambut dan baju renangnya yang basah menyebabkan ketul-ketul di badannya nampak begitu jelas. Tak guna! Macam model lelaki untuk iklan pakaian mandi saja lagaknya. Rambutnya yang basah diraup ke belakang. Layla terasa segan lalu melarikan pandangannya dari badan lelaki itu. Mata oh mata!. Lagipun hanya mereka berdua sahaja di dalam kolam mandi ketika itu. Kemudian yang dia sangat tidak puas hati, lelaki itu asyiklah memerhatikan dia ke atas ke bawah menyebabkan wajahnya terasa merah dan panas kerana malu. 

Walaupun pakaian renang Layla tidak terdedah hanya nampak muka tetapi bila basah, lekuk-lekuk badannya masih kelihatan juga. Serta merta dia menarik baju tersebut supaya tidak melekat di badan. Hah! Bajuni pun satu! Boleh pulak dia melekat-lekat! Kalau boleh dia mahu terbang keluar dari kolam mandi itu serta-merta jauh dari pandangan lelaki itu. Faris jelas telah mengganggu keseronokannya berenang hari itu. Moodnya terasa hilang tiba-tiba menyebabkan dia cuba untuk berlalu tetapi kata-kata Faris menghentikannya.

    “ Nak ke mana tu? Jom kita lumba berenang!” ajaknya. Layla tersentak lalu menoleh pada lelaki itu. Lumba? Biar betul! Nak berlumba? Mestilah dia kalah kerana dia baru sahaja habis belajar. Faris memang mengada-ngada!

    “ Kenapa pulak?” Tanya Layla tidak puas hati.

    “Saya nak tengok berbaloi tak saya upah orang ajar awak berenang. Atau awakni buang duit saya je..” sindir Faris. Layla membulatkan mata bosan. Duit berkepuk-kepuk pun nak berkira. Hish! Kedekutnya! Kutuknya dalam hati sahaja tapi tak terkeluar kutukan itu.

Mahu tak mahu Layla akur sahaja. Mereka berlumba tapi seperti yang dijangka Faris sampai dahulu kemudian menunggu Layla yang berenang perlahan-lahan ke arahnya. Bila Layla sampai dia berkata. “ Apalah lembab sangat? Penat saya tunggu awak di sini.” Ujarnya bangga. Layla menjeling. Eleh! Berlagaknya lelaki itu!

    “ Jom kita lumba ke sana pulak. Kali ni saya nak tengok awak sampai dulu. “ arahnya pula. Layla mengangguk. Sedaya upaya air ditujah ke belakang supaya dia sampai dahulu. Entah bagaimana lelaki itu menarik kakinya pula menyebabkan Layla sedikit tenggelam tetapi dia segera mengapungkan diri semula dan berenang ke hadapan. Faris bagaimanapun telah pun berada di hadapan. Dia menunjuk ibu jari tangan ke bawah memberi isyarat ‘loser’ kepada Layla. Geramnya Layla bila Faris main tipu macam itu.

     “ Awak kalah lagi. Memang rugi upah orang ajar awak berenang. Tak pandai-pandai. Berenang tak ada energy macam tak makan seminggu tahu tak? Ish memang tak berbaloilah duit saya!” ditambah pula dengan kata-kata itu. Layla tidak mengendahkan. Malas betul dia hendak layan kata-kata Faris tu. Sabar….sabar…sabar!

     “ Lagi satukan, cara awak tu tak betul. Awak berenang tapi badan keras macam kayu sebab itulah awak lambat. Lain kali lembutkan sikit badan tu. Hish! Memang membazir. Mahal-mahal saya bayar tapi awak tak jugak pandai berenang.” Kutuk Faris lagi sengaja.

     “ Encik Faris, kalau tak menyakitkan hati saya boleh tak? Janganlah tambahkan benci saya pada awak lagi. Benci saya sudah maksimum awak tahu?” Tahap meluat paling tinggi dalam carta ! “ ujar Layla bersungguh. Faris merenung tepat dan tajam. Amboi! Mengutuk bukan main! Paling tinggi dalam carta konon! Faris tersenyum nakal tiba-tiba, merenung Layla yang telah angin. Angin satu badan!

     “ Benci tapi sayangkan?”. Ujarnya seperti berbisik. Wajahnya yang persis pelakon model iklan kolam mandi itu tersengeh macam perasan handsome. Ya Allah perasannya mamat ni! Getus hati Layla. Rasa macam dia nak cucuk sahaja mata lelaki perasan itu waktu itu.

     “ Erggh…tolonglah Faris. Janganlah perasan sangat ye!” ujar Layla geram. Faris sengeh lagi.

     “ Eleh, nak cakap saya seksilah tu kan dan awak tu sukakan saya?” ujar Faris menduga. Layla menjuihkan bibirnya. Tak kuasa dia! Dia mahu berlalu meninggalkan Faris tetapi tanpa diduga dia segera di rangkul oleh Faris. Layla kaget dengan tindakan lelaki itu. Ish! Apa mamat ni? Dahlah basah-basah begitu main peluk-peluk orang pula. Layla sedikit meronta untuk melepaskan diri tidak rela. Faris memegang pinggangnya kemas-kemas supaya dia tidak dapat meronta. Hishy! Dah gila ke apa lelaki itu? Dan apabila Faris merenung wajahnya dan kemudian matanya, Layla berdebar hebat. Ya Allah, tolong aku! Apa dia nak buat pulak ni? Dah gila ke?

     “ Awak tahu tak? Awak ni comel lah!” ujar Faris padanya. Layla terasa mahu pengsan hidup balik bila Faris berkata begitu. Faris kemudiannya sebelum melepaskan Layla telah mencuit hidung gadis itu dan tindakan itu menyebabkan Layla dua kali terkujat. Bila Faris melepaskan dia dari pegangan, Layla terasa mahu jatuh ke dalam kolam saja. Mujur dia dapat mengimbangkan diri. Kalau tidak buat malu saja! Baru kena peluk sudah tidak betul! Layla cepat-cepat beredar meninggalkan Faris di situ yang berpeluk tubuh memerhatikannya.

Faris memerhatikan sahaja gadis itu berlalu dengan senyuman di bibir. Seronok dia mengenakan gadis itu. Seronok melihat reaksi suka tidak suka dari gadis itu. Hah! Benci konon! Tapi yang muka merah nak jatuh kolam itu kenapa? Serta-merta dia terbayang wajah gadis itu tadi yang memandang cemas padanya. Arggghh…comelnya Layla!

     “ Amboi abang, bukan main lagi main peluk-peluk dalam air” teguran adiknya Nabila membawa dia ke bumi. Faris menoleh kepada Nabila yang jelas mahu menggunakan kolam mandi itu juga. Dari tadi lagi Nabila melihat perlakuan abang dan kakak iparnya itu dengan hati sedikit cemburu. Melebihlah mereka itu!

     “ Hah apa salahnya. Itulah cara nak wujudkan kemesraan suami isteri. You apa tahu.” balas Faris. Nabila tersengeh bosan. Konon!

      “ Get a room lah bang kalau nak peluk-peluk pun.” Tegur Nabila.

      “ I think Nabila, you are jealous. May I suggest you something? I think you and Kurt should get married then you know!” balas Faris geram pada Nabila yang busy body. Nabila menjuihkan bibirnya. Dia terfikir tentang Kurt teman lelakinya yang kian memberikan banyak masalah padanya. Kalaulah Kurt melayannya dengan baik macam abangnya itu. Huh! Meluat dia pada Layla!

Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.