“JAH! Ni barang-barang yang hang pesan suruh aku ambil kat
Ah Seng. Aku letak kat tempat biasa.” Budiman berkata.
Dia baru muncul di Warung Perindu sambil menjinjit
bergugus-gugus beg plastik.
Khadeja tidak memberikan sebarang balasan. Dia sedang duduk
di bangku yang terletak di luar gerai makannya. Dirinya kepenatan kerana mengemas
ruangan di sekitar warung yang berhabuk bersama Fatimah sambil dibantu oleh
Intan, seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun.
Beberapa detik tadi, Fatimah dan Intan berlalu ke pantai.
Fatimah mahu memeriksa jaring-jaring yang telah dipasang pada kayu-kayu di
pesisiran laut berdekatan dengan Warung Perindu. Mana tahu terdapat ketam atau
ikan-ikan yang tersangkut pada jaring-jaring tersebut.
Akibat ditinggalkan sendirian, Khadeja mengambil
kesempatan melayan perasaan. Dia mengenangkan semula apa yang dibicarakan oleh
Mak Piah tadi.
“Apa kata... kita jual aje tanah tu? Bila dapat duit, Jah
boleh guna untuk sambung belajar.” Nada ucapan Mak Piah yang berbaur pasrah
terngiang-ngiang di minda.
Hati Khadeja sedih. Terasa sayu jiwanya kerana emaknya sanggup
mencadangkan supaya mereka menjual tanah pusaka peninggalan ayahnya semata-mata
mahu dia mencapai cita-cita.
“Ah, penatnya, Jah! Tolong bancuhkan aku teh ais. Haus
betul tekak ni. Masa kat laut tadi, asyik terbayang-bayang teh ais yang selalu
hang buat untuk aku,” kata Budiman selepas muncul semula di situ. Dia sudah
meletakkan barang-barang pesanan Khadeja di satu ruang khas.
Tanpa dipelawa, Budiman melabuhkan punggung di bangku
kayu. Ia berada tidak jauh dari tempat Khadeja sedang bermenung. Tuala kecil
yang tersangkut di bahunya, ditarik. Lalu Budiman mengesat manik-manik peluh
yang merecik di sekitar wajahnya supaya kering.
“Mujurlah hari ni ALLAH bagi rezeki. Berjam-jam kami tebar
jala, akhirnya dapat jugak ikan.
Sikit pun takpelah asalkan ada.” Budiman bersuara.
“Oh ya tak ya... ketam dan udang pun dapat sikit. Nanti
hang masaklah apa-apa, Jah. Aku nak jamu Abu dan Ubi. Depa dah lapar sangat tu
sebab dari pagi kami tak makan apa-apa kecuali nasi lemak yang mak aku
bekalkan.” Budiman menokok.
Abu Hanifah yang dipanggil Abu adalah adik sepupunya. Lelaki
yang muda empat tahun itu kini merupakan anak yatim dan dibela oleh ibunya. Manakala
Ubi atau nama sebenarnya Kelubi adalah rakan sebaya Abu Hanifah. Hari itu, bapa
saudaranya yang berusia 60 tahun bernama Pak Tam tidak turut serta ke laut
akibat masalah kesihatan.
Justeru, semasa air pasang jam 4.00 pagi tadi hanya mereka
Budiman, Abu Hanifah dan Kelubi yang turun ke laut untuk menjala ikan bersama beberapa
kumpulan nelayan lain.
Mereka cuma sempat menikmati nasi lemak yang dibekalkan
oleh Makcik Hasnah. Selepas itu mereka sibuk dengan urusan menjala ikan. Itupun,
mujur pukat dan jala yang dipasang oleh mereka dipenuhi ikan lebih awal. Jika
tidak, belum tentu jam 3.00 atau 4.00 petang mereka boleh pulang.
“Hisy, mana pulak si Abu dengan Ubi ni? Kenapa depa tak
sampai-sampai dari tadi?” Budiman mengomel. Dia memanjangkan leher untuk
mengintai ke tengah pantai.
Kelihatan bot nelayan miliknya yang terdampar di situ.
Tiada kelibat Abu Hanifah mahupun Kelubi di mana-mana.
Suasana di sekitar Warung Perindu terasa hening. Mungkin
kerana hari itu Khadeja tidak meniaga, maka tiada pelanggan yang datang
memenuhi setiap meja seperti selalu. Namun, bersebelahan gerai makan itu tetap
meriah dengan kedai-kedai menjual kraftangan laut dan layang-layang
berwarna-warni.
Bila menyedari tutur-katanya tidak dipedulikan, Budiman
mula mengerling ke arah Khadeja. Gadis yang berselendang menutupi rambut itu
dilihat masih membatu. Sesekali Budiman terdengar keluhan gadis itu yang
sayup-sayup menampar kulit telinganya tatkala dibawa angin bayu.
“Jah, awat hang diam? Hang dengar tak apa yang aku cakap
ni?” Budiman mula menegur.
“Jah!!!” Suara Budiman lebih kuat bila tiada respons yang
diberikan.
Khadeja melepaskan keluhan berat. Dia masih tidak
menyedari apa-apa. Selepas lamunan yang bertandang di benaknya berlalu pergi,
dia bingkas untuk berlalu ke dalam kedai. Spontan dia terpandangkan kelibat
Budiman tidak jauh dari situ.
“Astaghfirullahalazim, Man. Terperanjatnya aku!” Khadeja tersentak
bukan kepalang. Dadanya berdebar-debar tak terkata.
“Bila hang sampai? Awat hang senyap duduk kat situ?”
Khadeja terperanjat benar dengan kehadiran Budiman yang tiba-tiba.
“Senyap?! Dari tadi aku membebel kat sini tak
henti-henti, hang kata senyap?”
“Aku tak dengar pun hang membebel?”
“Siapa suruh hang melamun? Hang ingat kat siapa?
Penat-penat aku bercakap, rupa-rupanya hang tak dengar sebutir pun!” Budiman mula
meleter.
“Mana ada aku ingat kat siapa-siapa!”
“Aku nampak sendiri hang tak berkutik duduk kat bangku
tu!”
“Hang jangan nak mengarutlah!”
“Mengarut apanya?”
Khadeja masih mengurut dada. Berharap debaran akibat
kejutan tadi berlalu pergi.
“Aku ni dah lama kenal hang. Apa sebenarnya yang hang
fikirkan? Ralit bukan main hang melamun,” soal Budiman masih tak berpuas hati
mengingatkan kebisuan Khadeja tadi.
“Takde apa-apalah. Hang tak payah sibuk!”
“Jah...”
“Ada tak barang-barang yang aku pesan suruh hang ambil
kat jeti tadi?”
Khadeja malas mahu memberi komen tentang kata-kata
Budiman itu. Dia segera menukar topik. Tiada sebab untuk dia bercerita tentang
cadangan Mak Piah yang telah bersetuju untuk menjual tanah pusaka arwah ayahnya
di tanjung batu. Dia yakin Budiman akan mendukung cadangan emaknya.
“Ada. Aku dah letak kat tempat biasa,” jawab Budiman.
“Berapa ringgit semuanya? Hang kiralah sekali dengan
hutang-hutang aku yang dulu. Tadi, hang dah tolong bayarkan kat Ah Seng, kan?”
Khadeja berlalu ke ruangan dapur untuk mengambil beg dompetnya.
“Ah Seng belum ambil duit lagi. Dia suruh hang bayar
hujung bulan nanti.”
“Bayar hujung bulan? Kenapa pulak?” Khadeja menghentikan
langkah lalu berdiri menghadap Budiman. Dia terpinga-pinga.
Ah Seng adalah taukeh syarikat pemborong yang memberi
bekalan barang-barang untuk gerai makan Khadeja sejak dahulu. Dek kerana harga
yang ditawarkan lebih rendah, maka kebanyakan bekalan barang-barang di Kampung
Pulau Perindu diambil dari syarikat perniagaan runcit Ah Seng dan dibawa oleh
bot-bot nelayan yang singgah di jeti tanah seberang.
“Manalah aku tahu! Itu yang Ah Seng beritahu masa aku
ambil barang-barang yang hang pesan kat dia tadi.” Budiman membalas.
Khadeja diam memikir. Tiba-tiba dia berasa pelik. Jarang
sekali Ah Seng membiarkan hutangnya tertunggak lebih sebulan. Biasanya tauke
cina itu akan terus menerima bayaran jika dia sendiri datang ke jeti untuk
mengambil barang-barang pesanan.
“Takpelah, Jah. Hang simpan duit tu dulu. Esok-esok hang bayarlah
kat Ah Seng. Hujung bulan pun dah tak lama.” Budiman berkata.
Dia tidak mahu Khadeja mengesan yang sebenarnya, dia
telahpun membayar segala hutang Khadeja kepada Ah Seng tadi. Dia sengaja
menyembunyikan perkara itu kerana jika Khadeja tahu pasti gadis itu menolak
untuk menerima bantuannya.
Sejujurnya, niat Budiman cuma satu! Dia sekadar mahu
meringankan beban kehidupan gadis itu. Khadeja bukannya sesiapa, tapi adik
saudaranya juga.
Ah, benarkah memang hanya itu niat aku yang sebenar?
detik Budiman tertanya-tanya.
Minda Khadeja mula mencongak-congak. Betul juga! Hujung
bulan hanya tinggal lagi satu minggu. Apa yang nak dirisaukan? Nanti, dia boleh
mengirimkan wang untuk membayar hutang Ah Seng itu melalui Budiman. Lagipun
setiap minggu lelaki itu akan menuju ke jeti seberang yang dipanggil tanah
besar selepas menangkap ikan.
“Ni... hang nak minum apa-apa ke, Man?” Khadeja akhirnya
bertanya. Dia ternampak Budiman sedang mengibaskan tuala kecil seakan-akan mahu
mengipas diri-sendiri yang kehangatan.
“Aku dah orderteh ais nak dekat satu jam! Siap
minta hang masakkan lauk sebab nak jamu Abu dan Ubi. Tapi sebab hang berangan,
semua yang aku order tak sampai-sampai pun dari tadi.” Budiman membalas dalam
nada sindiran. Namun lelaki itu sempat tersengih ke arahnya.
Khadeja tidak berkata apa-apa. Dia terus berlalu untuk
membancuh teh ais yang dipesan oleh Budiman. Beberapa minit kemudian, dia
muncul semula bersama secawan air teh susu sejuk lalu diletakkan di hadapan
lelaki itu.
“Nah!”
“Terima kasih, Jah. Bismillahirrahmanirrahim.” Budiman
pantas menghirup teh ais sejuk yang dibancuh oleh Khadeja.
“Amboi, sedapnya! Teh ais hang ni.. tak pernah berubah
dari dulu sampai sekarang, hang tahu tak?”
“Ah, tak payahlah nak memuji kalau setakat nak membodek!”
“Mana ada bodek? Aku cakap ikhlas. Teh ais hang ni memang
sedap, Jah. Untung suami hang nanti. Hari-hari boleh minum teh ais yang hang
buat.”
“Eh, dah kenapa tiba-tiba hang nak bercakap pasal suami
pulak ni? Buang tabiat? Siapa yang nak kahwin?”
Budiman tertawa bila melihat respons drastik Khadeja. Dia
sudah mengagak yang gadis itu akan memberikan reaksi seumpama itu bila dia
berbicara tentang isu tersebut. Bertahun-tahun membesar bersama Khadeja, dia
semakin mengenali peribadi gadis itu.
Sejak meningkat dewasa, Khadeja memang pantang bila dia
menyebut perkataan suami atau kahwin. Atau mungkin, Khadeja menjadi sensitif
bila mendengar dua perkataan itu semenjak gadis itu sering dipinang orang.
Khadeja ingin berlalu, namun Budiman segera memanggil
namanya.
“Hang nak pergi mana? Duduklah dulu. Teman aku minum.
Kita sembang-sembang. Hari ni hang bukannya meniaga kalau nak sibuk-sibuk buat
kerja!” Budiman berkata.
“Malaslah. Aku nak kemas barang-barang yang hang bawa
tadi. Lepas tu aku nak masak. Tadi, hang kata nak jamu Abu dan Ubi? Lagi pun hang
tu macamlah tak pernah bersembang dengan aku!” Khadeja membalas.
“Memanglah kita dah selalu bersembang. Tapi...” Budiman
menghentikan kata-katanya sejenak.
Khadeja terkedip-kedip memandang lelaki yang berkulit
sawo matang itu. Budiman tampak ringkas dengan baju t-shirt tanpa kolar
berwarna putih yang dilapisi dengan kemeja berkotak tidak berbutang. Ia
dipadankan dengan seluar longgar berwarna coklat yang sering dipakai bila
lelaki itu keluar menangkap ikan.
“Tapi apa?” Kemudian Khadeja menyoal. Pelik bila dia
melihat Budiman seakan-akan kelu lidah untuk berkata-kata.
Seketika, Budiman membatukan dirinya. Suasana jadi sepi
bila angin pantai bertiup lembut sehingga daun pohon kelapa kelihatan
melambai-lambai.
Pandangan redup Khadeja terasa menerjah tepat ke
anak matanya. Entah sejak bila, Budiman terasa bening mata gadis berbaju kurung
dan ayu bertudung itu kian merantai perhatiannya.