Tiba sahaja di bawah, Dean sudah
tercegat di luar pagar blok asrama perempuan.
“Aku mesej Dean, ajak dia join sekali. Dia kan sorang. Member
dia semua balik.”
Terang Aisyah sebelum
Ayra membebel. Kalau Ayra tahu Dean ikut sekali, pasti gadis itu akan menolak.
Kata Ayra, dia malas nak rapat dengan Dean. Rimas dia sebab Dean layan dia
lebih-lebih. Esok, mereka berdua akan ke Pulau Pinang. Aisyah berharap Dean
dapat menggunakan kesempatan itu untuk menawan hati Ayra.
Aisyah dan Suhaila sengaja mempercepat langkah, membiarkan
Ayra beriringan dengan Dean.
“Sayang, kenapa jalan lambat sangat?”
Sayang lagi! Ayra merengus! Tak suka dengan panggilan
tersebut.
Aisyah dan Suhaila tersenyum-senyum mendengar panggilan
Dean. Ayra pulak terus mencerlung tajam ke wajah Dean yang selamba itu. Geram
hatinya dengan panggilan ‘sayang’. Dia sudah memaklumkan pada Dean yang dia tak
suka Dean memanggilnya dengan panggilan ‘sayang’. Kalau Dean panggil semua
gadis dengan panggilan ‘sayang’, Ayra tak adalah kisah sangat. Tapi, panggilan
tersebut hanya untuk dirinya.
Tik, tik! Mesej masuk lagi.
Ayra malas hendak
membacanya sekarang. Dia sudah dapat mengagak, mesej tersebut pastinya dihantar
oleh pengirim misteri. Biarlah! Ayra malas hendak ambil peduli soal mesej
tersebut buat masa sekarang. Masa sekarang adalah masa bersama Dean, Suhaila
dan Aisyah. Dia tak mahu diganggu. Kalau mesej tersebut dibaca sekarang, tentu
otaknya hanya akan memikirkan isi kandungan mesej tersebut.
Mesej kedengaran lagi dan lagi.
Ayra rimas!!!
“Bacalah mesej tu. Dari keluarga kau agaknya.”
Dean sejak tadi perasan
dengan mesej yang bertalu-talu masuk. Isyarat mesej tersebut kedengaran dari
telefon bimbit yang berada dalam genggaman Ayra. Tapi Ayra buat tak tahu saja
dengan mesej yang diterimanya. Dean sempat bilang, ada lima mesej yang masuk.
Mesej pertama masuk ketika mereka sedang berjalan, dan mesej yang kelima masuk
ketika mereka sudah melabuhkan punggung di kafeteria.
“Bacalah mesej tu
Ayra.”
Aisyah menyokong
cadangan Dean.
Ayra menyesal kerana tidak tukar profile telefon
bimbitnya kepada ‘silence’. Mahu tak mahu terpaksa juga dia akur dengan
permintaan Dean dan Aisyah.
‘HIDUP KAU AKAN MERANA! KAU AKAN TERIMA BALASAN TAK LAMA
LAGI!’
‘SEJAUH MANA KAU MELARIKAN DIRI, KEJAHATAN YANG KAU
LAKUKAN AKAN SETIA MENGEKORI.’
‘KAU TAK LAYAK MILIKI KEHIDUPAN!’
‘BERTAUBAT SEBELUM TERLAMBAT!!!’
‘HIPOKRIT!!!’
Ayra menghela nafas dan memadam semua mesej dari pengirim
yang tak dikenali itu. Sakit, benci dan marah silih berganti. Dia cukup bengang
dengan pengirim mesej tersebut yang berani dari jauh.
‘Cuba tunjuk diri kau sekarang!
Aku tak takut hendak bersemuka dengan kaulah!’ Ayra mengutuk dalam hati. Panas
hatinya dengan sikap manusia yang berani dari jauh.
Ayra tak takut kalau
diajak berhadapan. Dalam hal ini, dia yakin dia tak bersalah. Dia hanya
melakukan tindakan yang dirasakannya betul ketika itu. Biarlah dia dituduh
dengan bukti-bukti yang kukuh sekali pun, Allah tahu siapa di pihak yang benar.
Dia tidak berniat
hendak membunuh. Dia hanya mempertahankan diri.
“Maaf kalau aku ni jadi penyibuk. Er... mesej dari
siapa?”
Dean mengajukan pertanyaan bila dilihatnya wajah Ayra
bertukar kelat sebaik sahaja membaca mesej. Ayra macam ada masalah. Dialah
orang pertama yang akan menghulurkan bantuan andai Ayra sedang dalam
kesempitan.
“Dari Maxis... keluarga pun ada... kawan ada... semua
ada.”
Balas Ayra dengan nada acuh tak acuh. Dia leka memerhati
Aisyah dan Suhaila yang sedang memesan makanan di kaunter.
“Teman lelaki pun ada?” usik Dean, sengaja ingin menduga.
“Menggada-ngadalah kau ni. Teman lelaki aku kan buta,
pekak dan bisu, mana reti nak bermesej.”
Ayra sedaya upaya menceriakan hati. Dia mahu keadaan
kembali normal.
“Ye lah tu... silap haribulan kata-kata kau tu jadi
kenyataan. Ha, siapa nak jawab nanti?”
“Aku buat lawak jelah. Kau ni, ambil serius pulak!”
“Dah lebih dari tiga kali dah kau cakap teman lelaki kau
tu buta, pekak dan bisu. Aku cuma nak ingatkan kau je.”
“Maaf, aku tak bermaksud pun. Kau pun satu, dah tahu aku
tak ada teman lelaki, masih nak usik aku dengan soalan macam tu lagi.”
“Maaf sayang, abang cuma nak tahu jer, gadis ayu sebelah
abang ni sebenarnya dah berpunya atau belum...”
Ayra tarik muka. Memang
mengada-ngada betullah! Dean tersengih. Ayra hanya mampu menggeleng kepala.
Berusaha keras macam mana pun, Dean takkan dapat memilikinya