AYRA cepat-cepat kembali ke
tempat duduk. Nafasnya semput tiba-tiba. Kakinya terasa lemah. Dia tak mampu
berdiri lebih lama lagi.
Itukah teman lelaki Dira???
Wajah pengapit lelaki bermain-main di ruang mata. Berbaju Melayu biru laut,
bersampin dan songkok hitam... Ayra telan air liur. Perit!
“Kenapa dengan kau?”
Dean menghulurkan
segelas air. Dia hairan bila melihat Ayra tiba-tiba meninggalkan tempat mereka
sedang berdiri. Pengantin tidak jauh dari kedudukan mereka ketika itu. Kalau
Ayra tunggu sesaat dua, pasti gambar pengapit lelaki dapat diambil dengan
jelas.
“Terima kasih. Aku tak apa-apa.”
Pandangan Ayra jatuh ke
kerusi di hadapan. Kosong. Tiada sesiapa yang duduk di situ. Fikirannya terus
melayang-layang. Wajah pengapit lelaki tergambar di ruang mata.
“Nampak macam terkejut saja. Kau kenal pengantin lelaki
tu ke?”
Dean cuba meneka.
“Tak. Aku tak kenal.”
Ayra menggeleng kepala.
Wajah pengantin lelaki pun dia dah tak ingat sekarang. Yang dia ingat sekarang
ni, hanya wajah pengapit lelaki. Wajah teman lelaki Nadira.
“Manalah tau ex-boyfriend
kau ke...”
“Tak masuk akal!”
Ayra menjebik. Dean tak
habis-habis dengan sifat cemburunya. Malas Ayra nak layan. Kalau dilayan, makin
menjadi.
“Kau pergi cari Dira, bagi
tahu dia kita kena beredar sekarang.”
Ayra terus bangun. Dia
membetulkan baju kurung.
“Tunggulah dulu. Dira tengah bergambar tu. Biarlah dia
selesai dulu.”
Dean tarik tangan Ayra,
mintak Ayra duduk kembali di kerusi. Ayra cepat-cepat menepis tangan Dean.
“Karang tak sempat balik Ipoh. Kau tahu kan, kita tak
boleh masuk asrama selepas jam 11.00 malam.”
“Aku tahulah sayang. Baru pukul 2.00 ni. Lambat lagi. Aku
yang drive, kau jangan risau.”
Ayra terpaksa akur. Dia bukan pemandu. Jadi, dia terpaksa
akur sahaja dengan kata-kata Dean.
“Kau dah ambil gambar boyfriend
Dira?”
“Hah, gambar?”
“Eh, tadi kau juga yang cakap nak ambil gambar boyfriend Dira. Nak tunjukkan pada
Aisyah.”
“Er... tak sempat. Ramai orang kat situ. Rimas aku.”
“Aku tolong kau. Nanti aku bluetooth.”
Dean terus meninggalkan
tempat duduk dan menuju ke dalam rumah.
Ayra menggosok-gosok lengan. Seram sejuk seluruh tubuhnya.
Lehernya panjang menghala ke dalam rumah. Dia tak nampak apa-apa dari luar.
Dean sudah tidak kelihatan. Ayra tak kesah sangat pun pasal gambar. Yang
penting, dia mahu beredar dari situ segera.
Ayra pejam mata, membayangkan kembali wajah pengapit
lelaki. Memang seiras! Pelanduk dua serupa mungkin! Dia terus berteka-teki.
Dean muncul. Dia menghulurkan telefon bimbitnya. Ayra
memerhati wajah yang terpampang di skrin. Memang sama! Saling tak tumpah!
“Mana handset
kau? On bluetooth.”
“Er... tak payahlah. Nanti kau sajalah yang tunjuk pada
Aisyah.”
“Betul ni?”
Ayra mengangguk. Dia tak ingin menyimpan gambar tersebut
di dalam telefon bimbitnya. Biarlah Dean saja yang simpan.
Dean menarik nafas lega. Dia pun tak suka kalau Ayra
menyimpan gambar lelaki lain di dalam telefon bimbitnya walaupun lelaki
tersebut milik Nadira.
“Aku ada berita terkini.”
Dean senyum-senyum. Dia
menyimpan telefon bimbitnya.
“Kau bagitahu masa dalam kereta ye. Kita balik sekarang,
jom!”
Ayra tidak langsung menunjukkan minat dengan berita
terkini yang hendak disampaikan Dean.
“Sabar la. Kau yang beria-ia ajak aku ke sini, kau pulak
yang beria-ia ajak aku tinggalkan majlis ni. Tak faham aku!”
“Takut lewat sampai asrama.”
“Kan aku dah cakap, aku yang drivekereta, bukannya kau. Kalau kau yang drive, esok baru sampai.”
Dean ketawa mengekek. Ayra menjeling tajam. ‘Mentang-mentanglah
aku tak ada lesen memandu.’ Ayra mengomel.
“Nak dengar tak berita yang baru aku dapat?”
“Apa dia?”
“Dira akan melangsungkan pertunangan.”
“Di... Dira nak bertunang? Er... kau tahu dari mana?”
“Aku dengar budak-budak yang tengah ambil gambar tu
berbisik. Saudara-mara Dira jugak sebab pakai baju sedondon aje.”
“Dia nak bertunang dengan siapa?”
“Dengan siapa lagi... boyfriend
dia la, pengapit lelaki tu.”
Ayra angguk-angguk kepala. Tak tahu nak fikir apa lagi. Tentulah
Nadira akan bertunang dengan teman lelakinya.
“Macam jelous
saja.”
“Aku jelous?
Buang masa je. Dahlah, jom balik sekarang.”
“Kau ni macam tak suka saja dengan berita yang aku bawa.”
“Aku suka...”
Nada suara Ayra kian
lemah.
“Kau tak nak berborak dengan Dira ke? Yelah, dah tahu dia
akan bertunang, mesti kau nak tahu kan bila dia akan melangsungkan pertunangan...
bila nak langsungkan perkahwinan... macam-macam lagi kau boleh tanya. Si Ila
dan Aisyah mesti suka dengar berita baru ni.”
“Kau ingat kami ni tak
ada kerja lain ke, asyik nak bergosip aje.”
Ayra picit dahi. Dia tak berminat nak ambil tahu semua
tu. Lainlah Asiyah. Dia pasti suka sangat dengan berita tersebut.
Dean hanya tersengih.
“Tengok tu. Mereka tengah menuju ke meja makan.”
Mulut Dean muncung ke arah pengantin dan kaum kerabatnya
yang sedang berjalan menuju ke meja makan pengantin. Ayra terus berpaling.
Matanya terus tertancap ke wajah pengapit lelaki. Darahnya menyirap ke kepala
bila terpandang wajah bakal tunang Nadira itu.
“Jomlah jumpa Dira. Bagitau dia dulu kita nak minta diri
dah.”
“Mereka sibuk nak makan tu. Kita bagitahu mak ayah dia
dahlah.”
Ayra tak sanggup nak berhadapan dengan pengapit lelaki.
Dia takut jatuh pengsan pulak nanti.
“Tak elok. Jom bagitahu dia sendiri.”
Dean sudah pun
meninggalkan tempat duduknya. Dia berjalan laju menuju ke meja makan. Sampai
dekat meja makan, dia toleh ke belakang. Ayra nun masih di khemah tetamu. Dean
segera menggamit. Pelik dia dengan sikap Ayra. Tiba-tiba saja Ayra cuba mengelak
diri daripada Nadira.
Dean sudah menanti
tidak jauh dari meja pengantin. Mahu tak mahu, Ayra terpaksa bangun lalu
bergerak ke arah Dean yang sedang sabar menantinya.
Dari situ, jelas kedengaran suara lelaki itu yang persis
suara seseorang yang pernah dikenalinya. Wajah yang serupa, suara juga serupa.
Mustahil pelanduk dua serupa!
Musykil. Lelaki yang
dikenalinya itu sudah mati. Orang mati tak mungkin hidup kembali. Hatinya
melonjak ingin tahu siapa nama lelaki itu. Adakah nama mereka juga sama dengan
nama lelaki yang pernah dikenalinya satu tika dulu? Jika sama, sahlah lelaki
itu belum meninggal.
Ayra semakin hampir
dengan jawapan kepada teka-teki tentang pengirim mesej misteri.
Ayra patah balik ke
tempat duduknya. Dia belum bersedia untuk berhadapan dengan lelaki itu. Dean
terus menghampirinya.
“Kenapa?”
“Tunggu mereka habis
makan dulu. Tak baik ganggu mereka yang sedang makan.”
Ayra cipta alasan.
“Okey, aku ikut saja.”
Dean duduk di depan
Ayra. Wajah gadis itu ditenungnya lama. Macam ada masalah saja, dia meneka.
Ayra perahsia orangnya. Tanya seribu kali pun, dia takkan luahkan apa
sebenarnya yang mengganggu fikirannya. Dean yakin ada yang tak kena. Sebelum
pengantin tiba, Ayra nampak biasa saja. Sebaik saja lihat wajah pengantin, moodAyra tiba-tiba berubah. Pasti ada
sesuatu yang disembunyikan Ayra.
Masa terasa bergerak
begitu pantas. Pengantin sudah selesai menjamu selera. Mereka masuk ke dalam
rumah kembali. Sesi fotografi akan bersambung kembali. Ayra resah gelisah. Dean
hanya diam saja. Ayra tahu, Dean pasti sedang menunggu dia yang memulakan
bicara.
Ayra menarik nafas.
Wajah dan suara saja yang sama! Tak semestinya mereka orang yang sama! Dia
meyakinkan diri. Ayra mengumpul kekuatan.
“Jom jumpa Dira sekarang.”
Ayra dan Dean berjalan menuju ke dalam rumah pengantin.
Ayra sudah ada kekuatan
untuk melihat sendiri tunang Nadira dari jarak dekat. Dia mahu menenangkan
kembali hatinya yang sedang bergelora. Lelaki yang pernah bertakhta di hatinya
itu sudah tiada lagi di dunia ini. Tak mungkin dia akan kembali lagi.
Ah, kenapa aku mengharapkan dia kembali? Bukankah aku
lebih suka jika dia mati?
“Tak nak tengok ke? Haa... ni mesti kes cemburu ni.
Cemburu dengan sahabat sendiri yang sudah melangkah setapak ke hadapan.”
Dean melempar sindiran pedas bila dilihatnya Ayra
tercegat di muka pintu.
“Kau ni, fikir yang bukan-bukan je. Langsung aku tak
cemburulah. Dira akan bertunang, mestilah aku pun tumpang gembira.”
Ayra terus melangkah ke
dalam.
“Ye ke ni? Tu la, aku ajak bertunang, kau tak nak. Kalau
tak, kita yang lebih dulu bertunang dari Dira tau.”
“Jangan tukar topik!”
“Ayra, Dean, sini! Kita ambil gambar.”
Nadira yang sedang
berdiri di sebelah pengantin perempuan melambai tangan. Mereka sedang berkumpul
di pelamin.
“Dira dah panggil tu. Jom!”
Dean menarik tangan
Ayra.
Matanya terus liar mencari wajah lelaki yang mirip dengan
wajah si dia. Tidak kelihatan pengapit leaki di pelamin. Ke mana dia
menghilang? Ayra terus tercari-cari.
“Dean, kau berdiri sebelah sana. Aku, Ayra sebelah sini.”
Nadira memaut lengan
Ayra. Mereka berdiri di sebelah pengantin.
“Tunggu!”
Berderau darahnya bila tunang Nadira tiba-tiba muncul di
celah-celah orang ramai yang sedang menyaksikan pengantin sedang bergambar.
“Dari tandas,” bisik Nadira ke telinga Ayra.
Lelaki itu terus mengambil tempat di sebelah Dean. Ayra
terus mencari perbezaan fizikal di antara mereka; bakal tunang Nadira dan
lelaki yang pernah muncul dalam hidupnya. Tiada! Sama saja!
“Dira, kami minta
diri dulu.”
Ayra terus meninggalkan
pelamin sebaik sahaja selesai bergambar. Dia tak ingin berlama-lama lagi di situ,
di samping bakal tunang Nadira. Dia jadi benci pada lelaki itu walaupun mereka
bukan orang yang sama.