Kasihan pula Ayra dengan Nadira.
Bukan dia tak sudi ke majlis perkahwinan kakak Nadira. Masalahnya, dia tiada
kawan. Suhaila tak jadi pergi kerana ada temujanji dengan tunangnya. Aisyah
pula mereka alasan remeh, selsema!
Syafiqah beria-ia
mengajak Ayra bertamu di rumahnya. Ayra segan jika dia seorang sahaja bertamu
di rumah Syafiqah. Kalau ada peneman, taklah dia segan sangat. Biasalah, di
rumah orang, nak buat sesuatu mesti terasa kekok.
“Kami wakilkan kau dan Iqa
pergi ke majlis kenduri kakak Dira.”
“Alah, jomlah. Tak elok
kita menolak jemputan Dira.”
Ayra tidak bersetuju
dengan cadangan Aisyah yang mahu mewakilkan dia dan Syafiqah ke kenduri di
rumah Nadira. Pandai-pandai saja buat keputusan.
“Sebenarnya, kami tak
selesa dengan Dira tu. Dia suka menunjuk-nunjuk. Tujuan dia jemput kita ke
kenduri kakak dia tu, bukan setakat untuk pergi makan tu. Mesti dia nak tunjuk
rumah dia yang besar tu.”
Suhaila meluahkan apa
yang terpendam di hati. Dia sudah masak dengan sikap Nadira yang suka
menunjuk-nunjuk.
“Korang ni, ada-ada
saja.”
Ayra juga sebenarnya perasan
dengan sikap Nadira yang gemar menunjuk-nunjuk. Tapi takkanlah tujuan Nadira jemput
ke kendurinya pun sebab nak menunjuk-nunjuk? Fikiran Ayra tak adalah sampai ke
situ.
“Kau bermalamlah di
rumah Iqa. Pagi Ahad tu, baru korang gerak ke rumah Dira.”
Aisyah cuba mengatur.
“Sebenarnya aku tak
suka bermalam kat rumah orang ni.”
“Alah, rumah Iqa, teman
serumah kau jugak. Bukannya orang lain pun.”
Memanglah Syafiqah tu
bukan orang lain, tapi... abang Syafiqah! Ayra tak selesa dengan abang Syafiqah!
Nazim pernah bermalam di rumah sewa mereka. Dia hendak ke Kuala Lumpur. Hujan lebat
ketika Itu. Nazim yang menunggang motosikal singgah bermalam di rumah sewa mereka
sebelum menyambung perjalanannya keesokan hari.
Mata keranjangnya boleh
tahan. Itulah yang buat Ayra gusar jika terpaksa bermalam di rumah Syafiqah.
“Apa kata kau ajak
Dean. Dia mesti setuju kalau kau ajak teman ke kenduri rumah Dira tu.”
Suhaila memberi
cadangan lain pulak.
“Kalau kau pergi dengan
Dean, kau tak payah bermalam di rumah Iqa. Dean ada kereta.” Tambah Suhaila.
“Dean???”
Aisyah dan Suhaila
mengangguk serentak.
* * *
Nadira bengang bila Aisyah
dan Suhaila menolak jemputan. Ayra dan Syafiqah pula belum memberi kata putus.
Dia terus meninggalkan institut perguruan sebaik sahaja tamat kuliah petang
Khamis. Mukanya masam mencuka. Langsung tak cakap apa-apa.
Sikap Nadira itu
membuatkan Ayra tak senang duduk. Dia rasa tak sedap hati kerana telah
menghampakan pelawaan Nadira.
‘Tapi, kalau aku ikut Syafiqah,
keselamatan aku pulak yang tak terjamin.’ Ayra resah!
Masalah komen misteri di blog Mawar belum selesai, datang
pula masalah baru. Nak tak nak, Ayra terpaksa mengajak Dean menemaninya ke
rumah Nadira. Dia tak sampai hati hendak membiarkan jemputan Nadira. Tak baik.
Mungkin akan membawa pergaduhan besar nanti. Ayra tak ingin bermasam muka
dengan Nadira dan rakan-rakan sekelas yang lain.
“Berangan!”
Hentaman kuat atas meja mengejutkan lamunan Ayra. Kus
semangat dibuatnya. Ayra mendongak kepala. Dean terbahak-bahak.
‘Setan betul Dean! Suka
sangat menyergah. Tak boleh tengok aku senang sikit, mulalah dia kacau daun.’
Ayra mengetap bibir
sambil menjeling tajam, mengharap agar Dean memahami isyarat yang sedang ditunjukkannya
dengan lirikan mata dan gerakan bibir. Dia tidak suka disergah! Sudah banyak
kali Ayra beritahu Dean yang dia tidak suka dengan sikapnya yang satu itu.
Ayra mengomel dalam
hati. Dia tak berani luahkan kata-kata, bimbang hati Dean terguris dan
seterusnya membatalkan rancangan yang telah diatur.
“Kalau aku ada sakit jantung, dah lama aku mati tau!”
“Kalau kau mati, aku pun turut akan mati. Kau sendiri pun
tahu, aku tak boleh hidup tanpa kau.”
Dean berhenti ketawa. Ayra mencebik bibir. Malas nak layan
gurauan Dean. Hatinya langsung tak terusik dengan kata-kata Dean. Dia sudah
biasa dengan kata-kata itu.
“Siap dah tugasan?”
Dean menadah tangan,
langsung tak mempedulikan kata-kata Ayra. Bertambah sakit hati Ayra dengan
sikap Dean yang selamba itu. Sekurang-kurangnya mintaklah maaf.
“Yang mana?”
“Mrs. Tan... Ilmu Pendidikan.”
“Ya Allah, kau tak siap lagi ke? Tiga bulan Mrs. Tan bagi
masa tau untuk kita siapkan tugasan tu. Takkanlah kau masih tak siap?”
“Maklumat semua aku dah kumpul. Nak karang tak pandai.”
“Mrs. Tan tak suruh pun kita siapkan tugasan dia tu macam
karang novel.”
“Tolong aku?” rayu Dean.
“Tak ada masa.”
“Esok kan cuti lagi. Takkan kau sibuk pulak?”
Ayra terus teringat jemputan kenduri kakak Nadira. Inilah
masa yang sesuai untuk meminta bantuan Dean. Dia berharap agar Dean tiada
sebarang program esok.
“Ada hal ke esok?”
Dean cepat-cepat menggeleng. Pertanyaan Ayra itu seolah-olah
ada sesuatu yang ingin dilakukan oleh gadis itu bersamanya.
“Aku boleh tolong kau siapkan assignment.”
“Yes!”
“Tapi ada syaratnya.”
“Hah? Ada syarat pulak...”
Dean ketawa lagi. Ayra terus menyebut syarat yang dikenakan
pada Dean. Lelaki itu senyum gembira dengan syarat yang baru didengarnya. Pucuk
dicita ulam mendatang.
Ayra memang dah agak.
Kalau Dean diajak ke Sabah sekali pun, pasti lelaki itu akan bersetuju.
Masalah untuk memenuhi undangan dari Nadira sudah
selesai. Dean sudi menemaninya ke kenduri perkahwinan kakak Nadira esok pagi.
Ikutkan hati, Ayra sebenarnya malas hendak menghadiri majlis tersebut sebab
jarak dari Ipoh ke Pulau Pinang bukannya dekat. Berjam-jam masa akan dihabiskan
dalam kereta.
Namun, bila
mengenangkan tak ada seorang pun rakan yang sudi memenuhi undangan Nadira, terpaksalah Ayra mengalah. Lagipun, Nadira
jemput makan kenduri, tak sampai hati pula Ayra hendak menghampakan permintaannya
itu.
‘Alah, sekali sekala
aku keluar dari kepompong apa salahnya.’
Tik, tik! Kedengaran isyarat penerimaan mesej. Ayra
segera mencapai telefon bimbit dan membuka peti mesej.
Berderau darahnya
sebaik sahaja membaca mesej tersebut! Matanya berpinar. Nafasnya seakan
terhenti.