“Yahoo! Merdeka!!!”
Jerit Ayra kegembiraan
setelah hanya tinggal dia dan Syidah sahaja di luar dewan peperiksaan. Sudah
lama dia mengidam untuk menjerit perkataan tersebut, yang menandakan bebanan
sebagai seorang pelajar sekolah menengah sudah berakhir.
Terasa seperti batu
berat yang selama ini bertenggek di atas bahunya kini jatuh ke lantai lalu
pecah. Lapang dadanya saat ini. Dia tak perlu lagi bersengkang mata untuk
mengulangkaji pelajaran setiap malam. Dia tak perlu lagi menahan diri untuk
mengikuti siri telenovela di kaca tv. Dia kini tidak terikat lagi dengan jadual
belajar yang dicipta sendiri.
Ayra pandang Syidah di sebelah. Muka sahabatnya itu moyok
semacam, persis ayam berak kapur.
“Ai, ndak kau gembirakah?
Peperiksaan sudah tamat. Kita ndak perlu berhempas pulas study gila-gila lagi... kita ndak payah tahan nafsu dari menonton
tv lagi, membaca majalah hiburan, gosip... dan kita juga ndak payah berjaga
lewat malam lagi...”
“Aku tau la ba, tapi mulai sekarang kita akan menanti dalam
debar selama beberapa bulan sebelum keputusan diumumkan. Aku takutlah ba. Takut
sangat Ayra.”
Syidah meluahkan kerisauan di hati. Keputusan
lambat lagi untuk diketahui tapi Syidah sudah rasa seram sajuk. Terasa seperti
keputusan akan keluar esok hari.
Ayra tersenyum melihat
Syidah yang belum apa-apa lagi dah mula risau lebih-lebih.
Mereka beriringan
menuju ke kelas 5 Mesra. Keadaan lengang. Syidah lantas mengeluarkan kamera
dari beg sekolahnya. Sejak petang semalam lagi, mereka sudah berpakat hendak
bergambar kenang-kenangan di sekitar kawasan sekolah.
“Bawak sini kamera tu. Ambil gambar kau dulu.”
Ayra menghulur tangan. Syidah
menghulurkan kameranya. Dia segera berdiri di tempat duduknya yang bersebelahan
tingkap. Dia suka duduk di situ sebab dapat melihat pemandangan di luar yang
cantik. Puncak gunung Kinabalu yang sentiasa diliputi awan itu menjadi
pilihannya untuk menghayati keindahan alam.
“Kenapa muka kau masam saja ni. Senyum ba.”
Syidah mengukir senyum paksa.
“Senyum lagi Syidah.”
“Macam mana mau senyum
kalau hati aku ni resah. Banyak soalan yang aku ndak dapat jawab ba. Padanlah dengan muka aku, study last minute lagi!”
“Tiga bulan Syidah... lambat lagi ba. Sepanjang tempoh
tiga bulan ni ndak payahlah kau takut. Come
on Syidah. Kata mau enjoy lepas
habis belajar. Ingat lagikah janji kita dulu? Kita mau pergi semenanjung, bekerja
di sana kan. Aku sudah ndak sabar pegang duit sendiri ba.”
Dalam fikiran Ayra,
sudah terbayang keseronokan bekerja dan menerima gaji di hujung bulan. Dia mahu
beli macam-macam dengan duit tersebut. Pertama sekali, dia mahu membeli komputer
riba.
“Kalau aku jadi kau pun, aku mau enjoy jugak. 7A dalam tangan ba.”
“Amin...”
Ayra menyapu muka.
Senyuman menguntum di bibirnya. Syidah turut tersenyum. Ayra segera menekan
punat kamera. Cahaya terpancar.
Selesai bergambar di
dalam kelas, mereka berdiri pula di luar kelas. Beberapa keping gambar diambil
di kawasan koridor.
“Percubaan hari tu pun kau dapat 7A. Aku? Satu A pun ndak
dapat. Huhu... sedih!”
Syidah mengesat matanya
yang tak berair. Dia melabuhkan punggung di atas tangga yang menuju ke aras
satu.
“Tu baru percubaan. Nanti bila keluar keputusan betul,
kau dapat 10A. Ha, terkejut beruk nanti kau Syidah.”
Ayra cuba menceriakan Syidah yang masih belum hilang
kerisauan di hatinya itu.
“Amin... harap-harap masin la mulut kau tu.”
Syidah menadah tangan
dan menyapu mukanya.
Ayra tersengih dengan
gelagat Syidah. Dia dan Syidah berkawan sejak kanak-kanak lagi, kemudian
bersekolah rendah dan menengah di sekolah yang sama. Syidah tempat Ayra
meluahkan perasaan. Syidah juga tempat dia berkongsi rahsia. Syidah sudah dianggap
saudara sendiri.
“Sekarang kita posing kat pagar sekolah pulak.”
Mereka terus bergerak
menuju ke pintu pagar utama.
“Petang ni kita makan sayap
ayam, maukah?”
Syidah memberi
cadangan. Kepak ayam panggang makanan popular di situ. Ramai pelancong yang
datang pasti tidak akan melepaskan peluang makan kepak ayam.
“Petang ni aku sudah
janji mau tolong bapak aku di kebun. Sayur sudah boleh dipetik ba.”
“Kalau kau sibuk, bila masanya kau mau jumpa Adiy?”
Berkerut dahi Ayra. Setahunya,
Adiy sekarang berada di Kuala Lumpur.
“Eh, dia mana ada di
sini. Dia masih di KL. Belum cuti lagi ba.”
“La... ndak kau tau, dia ada di sinilah.”
Syidah renung tajam
wajah Ayra. Terkebil-kebil Ayra mendengar berita yang disampaikannya. Ayra
tidak tahu kedatangan Adiy di Kundasang. Pelik!
“Betul kau ndak tau
atau kau buat-buat ndak tau?”
Ayra menggeleng kepala. Langsung dia
tak tahu Adiy berada di situ sekarang. Rasa terkilan di hati kerana Adiy tidak
memaklumkan kedatangannya.