‘TALAM DUA MUKA!’
Terus Ayra padam mesej yang kesemuanya ditulis dengan
huruf besar. Sama seperti komen yang dihantar ke blog Mawar. Dadanya
berdebar-debar. Dia pandang kiri dan kanan.
Suhaila dan Aisyah sedang
khusyuk membantu Dean menyiapkan tugasan. Mereka yang mempelawa diri untuk
membantu Dean sebagai balasan pada Ayra yang telah sudi mewakili mereka semua
untuk menghadiri kenduri kahwin kakak Nadira.
‘Siapa yang hantar mesej?’
Persoalan itu mengganggu
hidup Ayra sekali lagi, membuatkannya jadi tak senang duduk selagi ianya belum
selesai. Selagi belum tahu pengirimnya...
Sebelum ini, komen yang
mengganggu seluruh hidupnya dihantar ke blog kesayangannya. Dua tiga hari Ayra cuba
melupakan komen tersebut. Tapi bila mesej pula diterima, dia tak boleh duduk
diam lagi. Pengirim misteri itu mengetahui nombor telefonnya. Nombor yang dia tidak
pernah diberi pada sesiapa melainkan kawan-kawan rapat sahaja.
Ayra mula diganggu dengan mesej-mesej yang menyentak
jantung sejak petang semalam ketika berada bersama Dean. Pengirimnya langsung tak
dikenali. Ayra beranikan diri dengan menghubungi nombor telefon yang tertera.
Namun, panggilan tidak berangkat.
‘Tahu pun takut! Kalau
berani, dah tentu dia tak akan ugut aku secara senyap. Tentu dia akan datang
jumpa aku sendiri! Siapa sebenarnya yang sedang menakut-nakutkan aku?
Tunjukkanlah siapa diri kau yang sebenar!’
Kadang-kadang Ayra jadi
takut dan resah bila menerima mesej yang menakutkan, namun kadang-kadang sakit
hati pulak apabila terasa seolah-olah dirinya sedang dipermainkan oleh seseorang.
Tiada sesiapa yang tahu nombor telefon bimbitnya
melainkan Syafiqah, Suhaila, Nadira, Aisyah dan Dean. Guru besar dan kerani tempat
dia bertugas juga mengetahui nombor telefon yang baru didaftarnya dua bulan
yang lalu.
Sebelum ini, Ayra tidak
pernah memiliki kad SIM, apa lagi telefon bimbit. Atas desakan Dean dan pihak
sekolah, dia terpaksa akur untuk menggunakan alat telekomunikasi tersebut. Kata
mereka, senang untuk berhubung dengannya. Secara rasminya, dia mula menggunakan
telefon bimbit baru dua bulan lepas.
Bila dah ada telefon bimbit, ini pula yang terjadi! Ini
yang dia tak suka! Terasa menyesal pulak dia kerana akur dengan permintaan
rakan-rakan untuk menggunakan telefon bimbit.
“Pucat saja muka kau! Kenapa?”
Ayra tersentak lagi bila ditegur Dean.
“Sakit?”
Suhaila bimbang dengan keadaan Ayra yang dilihatnya sejak
sehari dua ini asyik termenung panjang saja. Bimbang juga dia andai Ayra marah
padanya kerana enggan memenuhi jemputan Nadira. Malah, pandai-pandai pulak dia
memberi cadangan agar Ayra mewakilinya. Mungkin Ayra rasa terbeban dengan
cadangannya itu.
Ayra menggelengkan kepala. Telefon bimbit berada erat
dalam genggaman. Tak ingin telefon tersebut jatuh ke tangan sesiapa pun saat
ini. Jika ianya berlaku, hidupnya akan musnah sekali lagi. Ya, sekali lagi!
Ayra tak sanggup. Dia bahagia dengan kehidupannya sekarang.
“Mesej dari siapa?”
Dean perasan perubahan pada raut wajah Ayra sebaik sahaja
membaca mesej yang baru diterimanya. Muka Ayra kelat semacam.
“Er... keluarga di kampung.”
Ayra terpaksa
berbohong. Ada getar dalam nada suaranya. Harap Dean tak perasan.
Tiada sesiapa yang tahu
kisah hidupnya yang tragis. Dan tiada sesiapa harus tahu kisah silam itu. Ayra
sudah menutup buku. Dia sudah menjalani kehidupan baru sejak beberapa tahun
yang lalu. Dia tak ingin diganggu lagi.
‘Tapi kenapa ada yang
masih ingin menggangguku? Tak senangkah dengan kebahagiaan yang sedang aku
kecapi sekarang?’
“Oh ya... ada hal apa?” soal Dean.
“Mereka tanya bila aku nak balik kampung.”
Bohong lagi! Dengan
wajah yang selamba, Ayra berharap agar tidak ada yang berjaya membaca gelora di
hatinya. Namun suaranya nyata sedikit bergetar.
Suhaila simpati pada
Ayra. Ayra pernah beritahu padanya, sudah bertahun-tahun dia tidak balik Sabah
kerana masalah kewangan. Dia yakin kerinduan Ayra pada keluarganya pasti tak
tertanggung lagi. Sebab itulah Ayra asyik termenung sepanjang malam.
Ayra tunduk. Tiga
pasang memandang ke arahnya, masing-masing cuba membaca apa yang terbuku di
hatinya. Siapalah yang tidak gusar andai ada seseorang yang sedang memerhati
gerak gerinya, sedangkan dia tidak tahu siapa orangnya. Tambah menakutkan bila
orang tersebut tahu kisah lalunya yang penuh kepedihan dan kesedihan.
Ayra menarik nafas dan menghembuskannya
perlahan-lahan, mencari sedikit ruang untuk merasai ketenangan.
“Bila kau nak balik
kampung? Aku teringin nak ikut.”
Dean mengajukan
pertanyaan yang sukar untuk dijawab.
“Aku pun nak ikut jugak.”
Sampuk Aisyah. “Dah lama aku menyimpan impian untuk ke Sabah. Tapi tak tahu nak
ke sana dengan siapa. Nak tuju ke mana. Sekarang, kau ada. Senanglah nak atur.”
Habis! Takkan aku nak terus-terusan berbohong dengan mereka?
Sejujurnya, Ayra tak
ingin menipu sahabat-sahabatnya itu. Dia merenung Suhaila. Hanya Suhaila yang
tahu dia tak pernah balik Sabah sudah beberapa tahun. Ayra jadikan alasan
kerinduan di hati pada keluarga nun di Sabah penyebab dia asyik termenung
apabila Suhaila mengajukan pertanyaan.
“Tak apalah, kalau tak
sudi...”
Dean meninggalkan
kerusi batu.
“Hoi, kau nak ke mana
tu?” jerit Aisyah.
“Kafe, beli air.”
“Beli untuk kami
semua.” Jerit Aisyah lagi.
“Macam merajuk je si Dean tu!”
Suhaila yang sedang menyusun
maklumat berguna untuk menyiapkan tugasan Dean meminta Ayra cepat pujuk Dean.
“Biarkanlah! Tak kuasa nak pujuk.” Ayra mencebik.
Dean bukannya jenis yang suka merajuk. Sudah beberapa
bulan Ayra mengenali Dean. Semakin hari semakin masak dia dengan sikap Dean. Dean
bukan lelaki yang cepat marah atau cepat hilang sabar. Dean matang berbanding
usianya yang sebenar. Itulah yang membuatkan hati Ayra senang bila bersama Dean.
Lelaki itu juga ditempatkan di sekolah dalam daerah Kuala Kangsar. Hujung
minggu, Dean akan mengajak Ayra dan Syafiqah keluar ke pekan. Mereka berborak perihal
sekolah masing-masing, karenah murid-murid dan guru-guru serta macam-macam lagi
di restoran tepi sungai.
“Peliklah kau ni. Lelaki baik macam Dean pun kau tak
sudi. Nak tunggu lelaki yang macam mana lagi?”
Suhaila geleng kepala. Dia
tumpang gembira kalau Ayra dan Dean menjalin hubungan. Dia berharap,
sekurang-kurangnya perhubungan itu dapat mengurangkan kerinduan Ayra pada
keluarganya.
Suhaila tiba-tiba terus
terkenangkan tunangnya, seorang tentera laut. Mereka bercinta sejak sekolah
menengah. Sebaik sahaja tamat pengajian di universiti, Muiz terus melamar Suhaila.
Mereka merancang hendak berkahwin hujung tahun depan setelah Suhaila selesai mengikuti
kursus LPBS.
“Aku sedang tunggu putera katak.”
Ayra sedar, dia sedang
buat lawak bodoh, sengaja melindungi permasalahan yang sedang melanda diri sejak
akhir-akhir ini.
Ada seseorang yang tahu
siapa dirinya yang sebenar. Orang itulah yang telah menghantar mesej-mesej tersebut
sehingga membuatkan dia tidak dapat melelapkan mata sebelah malam dan hilang
selera makan. Malah, tumpuan terhadap pelajaran dan kerja juga makin terganggu.
Ayra dalam ketakutan.
Kalaulah aku tahu siapa orangnya... Ayra perhati kawasan sekitar. Mana tahu
pengirim mesej ada di kawasan berdekatan, sedang memerhati gerak gerinya.
“Ye la tu. Datang putera katak nanti, baru kau tahu. Nak
pandang sebelah mata pun kau takut nanti.”
Ayra menutup mulut, tergelak kecil. Sudah hampir enam
tahun dia memulakan hidup baru. Sepanjang tempoh tersebut juga, dia cuba
melenyapkan kisah lalu yang telah memusnahkan hidupnya. Saat hampir berjaya melupakan
peristiwa lalu, mesej yang menakutkan itu pula muncul.
Kenapa harus ada yang
dengki dengan kebahagiaanku???