Home Novel Cinta Jon Aragorn
Jon Aragorn
Ann Hann
3/1/2021 17:08:50
29,162
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Harap-harap aku tak lewat.

 Tercungap-cungap mencuri nafas selepas berlari ke bangunan Aragorn Tower dan berpeluh-peluh pula di musim bunga pada hujung april petanda jelas betapa miskinnya aku pada zaman selepas pandemik berakhir. Baju blouse mutiara dipadankan dengan kardigan nipis berwarna peach terasa sedikit basah di bahagian dada. Mujur skirt pendek berwarna biru langit yang kupakai sedikit melegakan.

Tiba saja di pintu masuk sambil membetulkan sling bag di bahu langkahku terhenti di tengah jalan, aku merenung kasut berwarna coklat yang terkupas sedikit di bahagian depan. Dari kasut yang lusuh, aku terpandang kartun sesame street pada penutup sling bag. 

Nami, yakinlah.

Ini hari pertama aku bekerja di Roman Empire. Sebuah perusahaan yang terkenal dan setanding nama-nama besar dalam industri hartanah.  Empunya bangunan ini sejauh yang aku tahu digelar Roman Aragorn. Seorang lelaki berketurunan Inggeris tetapi dikatakan asal-usul keluarganya berhijrah ke Amerika Syarikat setelah perang dunia kedua berakhir. Aragorn Tower setinggi 60 tingkat merupakan apartmen mewah yang terkenal dikalangan orang-orang kaya di bandar New York yang juga merupakan bangunan tempat aku bekerja. 

Aku hampir-hampir terlepas jalan masuk sebab kagum sangat dengan suasana di sekeliling dan struktur binaannya yang canggih. Dengan senyuman lebar aku mengaku yang aku berbangga dapat bekerja di sini. Mungkin juga ini dikatakan nasib baik. Siapa tahu. Tuah manusia nampak di bangunan?

Roman Aragorn juga memiliki perniagaan emas yang diuruskan oleh anak perempuan sulungnya bernama Sophia Aragorn dan Julianne Aragorn. Sophia merupakan selebriti yang berlagak penuh kedivaan seperti yang selalu ditulis dalam majalah-majalah. Rasanya, itu tak penting. Aku lebih suka fikirkan jantungku yang produktif sebab risaukan kerja-kerja yang perlu aku buat. 

Sebaik tiba di ruangan bahagian pengurusan, aku bergegas menuju ke arah beberapa pekerja baru berkumpul di satu sudut. 

“Selamat pagi Miss Adams,” sapa Joan Kathrynn Franklin sebelum aku menyapa. Seorang wanita bertubuh kurus, bermata bundar dan kelihatan tegas. Dialah pegawai yang menemuduga semua calon pekerja kira-kira awal april lalu.

“Selamat pagi.” Dengan cemas aku menyambut jabat tangannya. 

“Kita akan mulakan sekarang. Sebelum itu mari berkenalan dengan bakal rakan setugas anda dahulu, sekejap saya datang lagi,” kata Joan Kathrynn sebelum pergi.

Aku segera memperkenalkan diriku.

“Hai, nama saya, Nami Rose Adams.” 

“Hai Nami, saya Audrey Ang.” Seorang gadis cina berambut hitam yang cantik dan bertubuh menawan menyapaku lebih dulu.

“Saya, Angelina Contessa Cappie, panggil Angel saja,” seorang gadis gempal yang sangat comel terus memelukku. “Kita akan jadi kawan baik,” katanya ramah.

“Hi, saya Erhard Franz,” muncul pula seorang lelaki berwajah pucat, berkacamata dan berpakaian ala-ala nerd. Orangnya sangat pemalu. Dia hanya mengintipku dari bulu matanya yang panjang.

“Err ... awak orang Perancis ke?” aku bertanya sopan.  Wajahnya dan pipi yang cengkung itu hampir mirip dengan rakan seuniversitiku, Hazard dari Perancis.

Erhard Franz menggeleng-geleng dan tersipu malu lagi seolah-olah aku baru sahaja menguratnya.

“Tak, mula-mulanya saya pun anggap begitu, tapi dia lahir di Alaska dan zaman nenek moyangnya yang jauh, jauh, jauh entah seberapa jauhnya ... menetap di Alaska,” jelas Angelina Contessa Cappie yang sangat peramah.

Sekali lagi aku ketawa.

“Saya suka nama Nami, awak keturunan Jepun ke?” tegur Audrey pula ketika membaca fail yang kupeluk dalam dakapan.

Aku menggeleng. “Ayah saya pernah dihantar bertugas di Korea Selatan, di sana dia terjumpa sebuah pulau cantik bernama Pulau Nami, dari situlah dia dapat nama,” jelasku.

Angel segera menyampuk.  “Jadi, kalau begitu … tentu nama aku ni disebabkan ayah aku terjumpa bidadari,” dia senyum-senyum sendirian.

“Berhenti merepeklah,” Audrey mencegah Angel dari terus bercakap.

“Ok ... kamu sudah berkenalan,” Joan Kathrynn muncul semula memecahkan keramahan Angel. “Jadi bolehlah kita mulakan orientasi sebagai sesi perkenalan kamu untuk mengenali syarikat ini,” katanya sambil mengukir senyuman menunjukkan garis-garis kedutan lebih ketara di tepi matanya.

“Orientasi?” tanya Angel dan Audrey serentak.

“Ya, orientasi ini sebagai permulaan. Nampak di atas meja ini…”

Kami berempat serentak memandang ke arah meja yang baru muncul bersama Joan Kathrynn tadi. “Ada buah oren, tembikai, pisang dan sekotak susu. Saya mahu kamu mencari pegawai tertinggi dalam departmen ini ataupun departmen yang satu lagi iaitu bahagian kewangan di sebelah sana. Cari pengurusnya atau kalau anda berjumpa ketua pegawai eksekutif, itu lebih baik dan minta mereka menawarkan harga lima puluh dolar untuk setiap buah-buahan itu,” jelas Joan Kathrynn dengan bahasa yang mudah difahami.

“Apa?” Angel hampir menjerit sebelum dia menutup mulutnya dan meminta maaf.

‘50 dolar! harga buah tu tak sampai pun 10 dolar? Siapa yang nak beli?’ 

“Jadi begitulah caranya ahli perniagaan bekerja, siapa yang pandai berunding, dia akan dapat nilai 50 dolar itu, yang tidak berjaya akan dikenakan penalti,” jelas Joan Kathrynn lagi.

Erhard Franz menggaru kepalanya. Aku pula mengeluh dalam diam. Sementara Angel dan Audrey berbisik-bisik jelas ingin membantah tetapi itulah orientasi yang menjadi tanggungjawab pertama kami. Aku segera menjadi orang pertama dengan mengambil sesisir pisang yang diletakkan dalam bekas lutsinar.

Angel mengangkat buah tembikai lalu memberinya kepada Erhard. “Sebab kau lelaki jadi kaulah yang paling layak angkat buah ni,” lantas dia menjatuhkan buah itu ke tangan Erhard yang kurus dan hampir terjatuh mengangkatnya tetapi sedaya-upaya memeluk kuat-kuat dan mengusap kulit tembikai yang kehijauan pekat seperti tembikai itu haiwan kesayangannya.

Audrey mengambil sekotak susu dan Angel gembira mendapat buah oren. 

“Kenapa awak pilih pisang?” tanya Audrey kepadaku.

“Entahlah, tapi saya suka makan pisang.”

Angel mengerlingku pelik. “Jangan pula kau guna duit sendiri untuk beli pisang dari syarikat orang kaya ni, aku rela kena penalti,” Angel memberikan aku pendapat yang sememangnya berguna.

“Tak, aku tak ada duit sebanyak itu pun sekarang dalam dompet.”

Angel memutarkan matanya kemudian menarik bahuku ke dalam dakapan tangannya yang besar. “Marilah kita mulakan pencarian pengurus kaya.”

“Mari,” aku memeluk pinggangnya dengan gembira. Aku belum pernah jumpa orang seramah Angel. Kemudian kami jalan berasingan, masing-masing mencari dan bertanya di manakah para pengurus dalam departmen itu.


Previous: Prolog
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.