Home Novel Cinta Tentang Martin
Tentang Martin
Ann Hann
5/12/2018 08:08:26
61,729
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

“Keluar! Kau memang anak tak guna!” sambil menyanggul rambut, emak menyambung omelannya. “Kau dari kecik sampai besar memang tak pernah buat aku senang!”

Aku cepat-cepat buka pintu rumah dengan menahan rasa marah menggunung yang kalau dibiarkan mungkin akan meletup. Apa dah jadi dengan hidupku? Soalan itu kerap kali bermain dalam benak. Berkali-kali, sehingga akhirnya aku lali untuk memikirkannya lagi. Ketika teman seusiaku menjalani kehidupan lebih baik dan normal, aku sedang menjalani takdir yang, entahlah… mungkin bunyinya macam aku tak bersyukur. Jadi lebih baik aku tidak berfikir tentangnya kalau ia semakin melukakan hati.

“Kerja tak betul, belajar kat bangunan tinggi pun otak kau masih ciput, kerja kejap-kejap  berhenti, kau pergi masuk pertandingan tu buat apa! Baik kau pergi cari kerja, tolong aku kat rumah ni!”

Selesai menyarung kasut aku terus melangkah tanpa menoleh pada emak aku yang sudah serupa nenek sihir hendak menyumpah dengan tongkat sakti.

Macam mana mak boleh mengatakan dan mengucap kata-kata makian bahawa aku tak pernah tolong dia? Siapa yang bayar bil letrik dan air kat rumah itu hantu ke? Abang aku sesen pun payah nak bagi dia duit tiap bulan dia tak pernah bising.

Aku anak pungut agaknya, sebab itu mak benci sangat tengok muka aku. Sambil mengelap airmata aku meredah jalan menyusuri lorong berbata menuju ke perhentian bas. Hari ini amat penting buat aku.

                                      

***


Studio terkenal milik E-Rose Tv kelihatan bagai satu medan pada tengahari yang terik di luar sana. Banyak krew penggambaran sedang berkumpul untuk program sebuah pertandingan. Pertandingan yang menawarkan pekerjaan di bawah kendalian stesen penyiar yang bolehlah kusebut sebagai pilihan kedua jika aku diberikan pilihan lebih baik.

Aku tak sempat memikirkan betapa kacaunya perasaanku hari ini atau menyediakan diriku dengan bekalan nota penting kerana sejak dari terpilih mengikuti pertandingan itu semua peserta tidak diberi apa-apa petunjuk. Lapan peserta akan dibahagikan kepada empat kumpulan dan setiap kumpulan terdiri daripada dua orang. Bagaimanapun, empat kumpulan yang disebutkan adalah hasil dari cabutan nama. Begitulah maklumat yang aku dapat sebaik aku duduk di sebelah Gita, salah seorang peserta, gadis india yang cantik dan peramah.

“Itulah dia, pemenang Puzzle Competition tu,” seorang gadis bertudung menunjuk ibu jarinya kepadaku. Lantas aku mengukir senyuman lebar untuk gadis manis itu. Kemudian dia melambai mesra, aku membalas lambaiannya. Dia duduk di sebelah kanan bersebelahan dengan Gita. “Gembiranya saya dapat jumpa awak…” ujar gadis itu.

“Saya pun, kamu berdua pemenang dari program siapa paling pintarkan?” aku yakin betul dan mereka berdua mengangguk-angguk sambil ketawa. 

Kami berkenalan, bertukar jabat tangan, memperkenalkan diri masing-masing. Bagus juga dapat kawan baru. Aku memang jenis tak banyak kawan. Bekas kawan sekolahku dulu semuanya sudah berkahwin dan jarang sekali dapat berjumpa dengan mereka. Adalah juga aku terbaca kisah anak-anak mereka yang baru lahir dalam laman facebook. Disebabkan aku pun suka bertukar-tukar kerja, jadi aku tak berkesempatan langsung dapat bestfreind. Kadang-kadang mereka menggelar aku seorang introvert. Apa-apalah, aku tak kisah apa pun yang mereka gelarkan, tetapi aku tegaskan di sini, aku normal. Selagi aku suka menonton drama Korea, Variety Show, aku jelas normal dalam realiti.

“Semua peserta sila makan dulu, kat meja sebelah sana,” seorang lelaki kerinting bertubuh kecil berkata kuat dari corong pembesar suara.

“Jom kita makan,” pelawa Gita.

Aku pun turut bangun menyertai semua peserta termasuk para krew, kami berbaris mengikut giliran masing-masing.

Selepas semua orang dijamu hidangan ringkas, sandwich telur, buah-buahan dan secawan kopi. Para peserta kembali duduk di kerusi yang berbaris-baris pendek di lapangan yang besar dan di hadapan kami semua telah disediakan satu studio di mana kami semua akan masuk ke dalamnya dan bertanding antara kumpulan nanti. Aku mula berdebar sebaik rancangan dimulakan. Pengacaranya, selebriti yang biasa kulihat di kaca televisyen dan biasa mengendalikan rancangan besar. Haznil, seorang yang pandai bergurau, profesional dan berkarakter. 

Haznil mula memusing-musing bola pingpong dengan tangan kanan yang mana setiap sebiji bola itu tertulis nama peserta di dalam balang kaca lutsinar yang boleh dilihat oleh semua orang. Seorang gadis berambut kemerahan yang duduk di hadapanku bersuara lirih sambil menempel kepalanya ke bahu seorang lelaki kacak di sebelahnya. Menjengkelkan saja, aku membuang pandangan ke kiri dan bertembung dengan seorang gadis bermata sepet, wajahnya cengkung seperti juga aku, dia ketawa dan turut meluat dengan apa yang baru kami lihat tadi. Gadis itu membuat gaya nak termuntah. Aku ketawa tanpa suara.

“I harap nama kita berdua terpilih dalam satu kumpulan…” pintanya manja. 

Lelaki kacak itu tersenyum tanpa menyahut. Aku menyebutnya sebagai kacak kerana aku yakin lelaki itu kacukan. Mungkin kacukan Eropah, tingginya begitu menepati tekaanku. Sedar akan lirikan mataku lebih kepada pasangan itu, cepat-cepat aku motivasi otakku sendiri dalam hati. ‘Aduh, jangan kesalkan apa-apa Lila, sudah lumrah memang gadis-gadis mudah terpikat dengan penampilan lelaki sebegitu' 

Perlahan aku menggeleng dan tersenyum sendirian sambil berharap tiada sesiapa menyedari kelakuanku. Aku hampir hilang fokus, ketika kumpulan pertama telah disenaraikan.  Gita berpasangan dengan Farhana, gadis kecil molek bertudung dan peramah. Dia yang mula-mula menegur aku tadi. Aku lantas melambai kepada Farhana dan Gita yang berbaris dengan pengacara di hadapan sana.

“Sebelum itu!” suara Haznil yang nyaring menarik perhatian kami. 

 “Jika ada peserta yang tidak puas hati dengan pemilihan cabutan nama ini, saya ingin beritahu kami tidak akan melayan sebarang ban…ta…han! Permainan yang anda akan lalui itu adalah adil dan tidak memerlukan anda mengangkat berat yang membuatkan anda memerlukan tenaga lelaki.  Ia cuma perlukan otak untuk anda berfikir.” 

Semua peserta termasuk aku mengangguk tanda bersetuju dan ia muktamad dan tak boleh dibantah-bantah lagi. “Baiklah, kita teruskan dengan cabutan nama untuk kumpulan kedua.” Haznil tidak membuang masa dan terus menyambung kerjanya. 

Tangan kanannya memusingkan lagi bola-bola itu yang melantun ke sana-sini dalam balang kaca tersebut dan dalam kiraan tiga dia terus mengenggam dua biji bola sekaligus. Mungkin dia mahu mempercepatkan pemilihan kerana sudah dekat dua jam kami menunggu di lapangan luar studio tersebut. 

“Nazim dan Bella!” panggil Haznil lantang. 

Aku berpaling ke belakang melihat dua pasangan yang lebih kurang seusiaku, gadis bermata sepet yang cute tadi namanya Bella mereka berdua saling bersorak kerana terpilih bersama. Aku rasa Nazim dan Bella mungkin sudah saling mengenali dari mana-mana pertandingan. Dari apa yang aku tahu, kesemua peserta hari ini termasuk aku merupakan calon yang pernah memenangi suatu pertandingan yang dianjurkan oleh stesen E-Rose Tv juga. Begitulah pemilihan itu dibuat, aku ditawarkan dalam satu kiriman emel sebulan yang lepas. 

Bella, kalau aku tak silap merupakan pemenang tempat kedua untuk program ‘Holidays’ yang terkenal dengan rating tinggi pada tahun lalu. Gita dan Farhana pula pemenang dari rancangan ‘Siapa Paling Pintar’ sebuah rancangan yang sangat menarik perhatian remaja. Nazim, selebriti baru, bukankah dia pemenang pertandingan menyanyi dua bulan lalu? Tapi dari siaran stesen lain, aku tak ingat sangat sebab aku tak berapa suka pertandingan menyanyi. Aku fikir mungkin penyertaannya sebagai strategi pihak pengurusan untuk memperkenalkannya sebagai artis yang bakal keluar dengan lagu baru. Hanya tinggal si kacak itu, perempuan berambut merah tadi dan seorang lagi lelaki yang duduk bersama mereka tidak aku ketahui dari manakah mereka datang.

Selepas Nazim dan Bella ikut berbaris bersama Gita dan Farhana, nadiku berdenyut pantas, aku semakin berdebar menanti nama yang bakal disebutkan. Cuma tinggal empat nama sahaja dan bila-bila masa namaku akan dipanggil. Perasaan menunggu dengan debaran sebegini buat aku teringin nak minum ais kepal milo untuk meredakan perasaanku yang tak menentu. Perasaan teruja, tak sabar dan berharap pemilihan itu selesai dengan cepat. Sejak tengahari sampailah ke awal petang ini aku cuma menjamah sandwich yang tak sedap. Mungkin sebab rasa berdebar sepanjang waktu buat aku tidak berselera nak makan apa-apa kecuali kopi yang dibekalkan penganjur. Pandanganku fokus kepada Haznil yang telah menarik sebiji lagi bola ping pong.

“Martin!” laung Haznil kuat. Lelaki kacak itu tiba-tiba berdiri dan kelihatan berlari anak ke arah Haznil. 

Jadi? Namanya Martin?

           Perempuan yang bersama si kacak itu sebentar tadi semakin tidak sabar. Kegirangannya… err… aku tak suka menafsir seseorang yang tidak aku kenal dengan sesuatu yang buruk walaupun kulihat Bella dan Farhana semakin menyampah melihat perempuan itu membuat gaya manja, jari telunjuknya menggulung hujung rambutnya sambil tersenyum mesra. Kalau aku dipasangkan dengan lelaki, aku terima saja walaupun aku teringin temanku seorang wanita. Mungkin Bella? Tapi Bella dah ada pasangan, maka aku terpaksa menunggu… 

“Lila!”

Eh… laungan Haznil buat aku terkejut sementara wanita kemaruk berambut kemerahan di hadapanku menghentak kaki kerana tidak dapat apa yang dihajatinya. Lantas aku bangun dan berjalan lebih laju menghampiri peserta lain. Dari kerlingan mata aku dapat rasakan perempuan berambut merah itu melontarkan pandangan marah kepadaku.

 Aku buat tak peduli dan masih tak percaya kalau aku dapat berpasangan dengan si kacak yang dengan ramah melontarkan senyuman mesranya kepadaku ketika kami sama-sama mengambil nama dari tangan Haznil.

Si rambut merah bernama Zara akan digandingkan bersama kawan Martin yang namanya dipanggil sebagai Abraham. Setelah pemilihan kumpulan keempat maka bermula undian untuk kumpulan mana yang akan bermula dahulu. Sama seperti cabutan nama tadi. Aku melihat jurukamera sudah bersedia menunggu peserta mana yang mula dahulu. 

“Wakil setiap kumpulan sila datang untuk cabut nombor dari dalam balang kaca sekarang…” minta Haznil. 

“Tak sabarnya…” ujar Bella dari tepiku dia. 

Dialah satu-satunya peserta yang kelihatan benar-benar gembira dengan  pertandingan Msyteri Game berbanding peserta lain termasuk aku. Aku jelas tak begitu gembira, apalagi baru lepas kena marah dengan mak, aku risau sumpahan mak aku tadi menjadi kalau aku gerenti takkan menang dan buang masa aje, begitulah rungutan mak yang masih terngiang-ngiang di telingaku.

“Awak pergi ambil nombor tu,” satu suara garau dari balik bahuku membuatkan aku pantas menoleh, Martin mengangkat keningnya. Aku yang dari tadi berfikir sampai ke langit hampir tidak mendengar apa yang dikatakannya, Haznil yang datang ke tempatku berdiri dan menyorong balang lutsinar itu kepadaku. Cepat-cepat aku menarik keluar bola, lalu menayang nombornya kepada Haznil.

“Peserta ketiga, Martin dan Lila,” kata Haznil kuat kepada semua orang.

 Rasanya, menjadi peserta ketiga agak melegakan aku buat masa ini. Sekurang-kurangnya aku boleh bersiap sedia. Martin mengangkat ibu jarinya setuju dan kemudian dia kembali kepada Abraham.

Kumpulan pertama yang akan memulakan petandingan, Nazim dan Bella telahpun bersedia di muka pintu yang bertulis ROOM 1. Jam sudah menunjukkan pukul 3 petang.

Oleh kerana rancangan itu akan disiarkan dikaca tv maka krew-krew yang terlibat mula menjalankan tugas masing-masing termasuklah penerbit rancangan. Haqiem namanya, mengikut dari skrip Haznil. Haqiem dan pembantunya sibuk menemui semua peserta dan  memberi sedikit tunjuk ajar tentang bagaimana hendak memulakan permainan tetapi enggan memberitahu kami permainan macam mana yang ada di dalam studio yang telah diubahsuai menjadi bilik-bilik dengan gambar-gambar aneh dan simbol-simbol pelik menghiasi dinding luar studio itu.

“Nazim dan Bella, sila bersedia sekarang,” Haznil berdiri di sebelah dua peserta pertama.

Kemudian peserta Bella dan Nazim pun dilepaskan masuk ke dalam Room 1. Aku turut bersorak untuk mereka berdua. 

“Fighting Bella!” sorakku meyakinkan Bella. Gadis itu membalas sorakanku dengan mengangkat tinggi tangannya yang digenggam kuat. 

Setiap kumpulan diletakkan seorang jurukamera yang mengekori ke mana sahaja peserta dalam lokasi itu. Mereka diberikan kebebasan untuk bercakap dengan kamera. Itu cara program tersebut mendekatkan peserta dengan penonton. Aku yang berdiri dengan Martin pun menyedari seorang jurukamera telah mula merakamkan pergerakan kami berdua. 

“Martin… macam mana perasaan awak?” tiba-tiba saja Haznil datang bertanya di hadapan kami berdua dengan jurukamera mengejarnya dari belakang.

Aku turut memandang Martin, teringin juga hendak tahu perasaan lelaki itu.  Mungkin dia tidak selesa dengan pilihan cabutan namaku sebagai rakan sekumpulannya.  Bukan Zara. 

“Ok…” dia mengangguk-angguk.  “Saya tak sabar.”

“Ok, saya harap awak dah ready lah,” Haznil ketawa sambil menepuk bahu Martin. 

Sebab itu aku suka Haznil, karakternya yang peramah buat orang lain tidak merasa kekok. Oh ya, tu Zara… dia dah pun datang ke tempat kami di temubual. 

“Sebelum itu, Martin, kenal tak dengan partner awak ni?” tanya Haznil lalu menarik aku berdiri di sisinya. 

Tentulah dia tak kenal, sangkaku. Bagaimanapun sebaliknya Martin mengangguk kenal dengan aku. Bukankah itu mengejutkan? Aku bukannya dari kalangan perempuan anggun bergaya macam Zara. 

“Dia juara dalam Puzzle Competition pada Jun tahun ini,” beritahu Martin dan menoleh kepadaku sekejap.

Aku ternganga, tak sangka dia tahu. 

“Betul,” sahut Haznil pantas. 

Bunyi macam aku hebat sangatkan…  tetapi aku menggeleng menidakkan kejuaraan itu tidak berkaitan pun dengan pertandingan hari ini.  

Martin mengangkat tangan isyarat Hi-five dan aku menyambutnya. 

“Ok, good luck Lila, Martin. Buat yang terbaik.” Haznil menepuk bahuku pula sebelum beredar. 

Sejurus Haznil beralih kepada Gita dan Farhana, tiba-tiba Zara mencelah manja. “Rasanya, kalau i partner you kita memang boleh menang tau Martin, I dah biasa main escape room ni, setakat sejam tu memang tak jadi masalah buat I. Oklah I pun nak ucapkan good luck untuk you, Martin,” dia menjabat tangan Martin tanpa menoleh sedikitpun kepadaku. 

Agaknya memang begitu perangai perempuan perasan, suka tunjuk lagak macamlah dia saja pandai orang lain bodoh. Aku tersengih sinis dalam hati.

Arghh!!! Tiba-tiba satu jeritan kuat kedengaran dari dalam bilik pertandingan. Aku turut terkejut. Selepas lima belas minit suara Bella tadi benar-benar menakutkan aku, nyaring juga teriakannya.  Ada apa kat dalam sana? 

“Wah, menakutkan…” bisikku yang telah menjauhkan diri dari Martin. Untuk seseorang yang jelas penakut macam aku suara teriakan sebegitu pantas membuat fikiranku membayangkan suasana menyeramkan. 

Bukan aku seorang sahaja, Farhana dan Gita pun kelihatan berpelukan sambil mereka berdua ketawa dan menggeleng dengan mimik muka bimbang mungkin berfikiran sama seperti aku. Tiba-tiba aku mencemburui mereka berdua, yalah sebab mereka sama-sama perempuan kalau mereka takut pun mereka boleh saling berpelukan dan saling meredakan. Kemudian aku mengerling Martin, ish! Takkan aku nak minta Martin peluk akukan? Aku menghela nafas resah sambil berharap tak ada apa-apa yang membimbangkan sangat di dalam sana. 


Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.