Home Novel Cinta Dulu Benci, Sekarang Suka
Dulu Benci, Sekarang Suka
Rose Eliza
18/6/2013 09:30:16
151,249
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

NUR Ain duduk termangu memandang ke luar jendela. Hatinya tiba-tiba berasa sebu dan sebak. Fikirannya asyik memikirkan seseorang. Seseorang yang telah lama pergi dan amat dirindui. Seseorang yang pernah hadir dan membuatkan hidupnya bahagia. Seseorang yang teramat menyayangi dirinya suatu masa dahulu. Sungguh, dia amat merindui insan itu.

Nur Ain mengeluh berat. Keadaannya itu sudah pun dikhabarkan kepada Encik Latif oleh Humaira. Petang tadi, Fauziah datang melawatnya. Tentang perjumpaan pengurus besar bersama pekerja-pekerja yang akan diadakan pada 25 hari bulan ini turut dikhabarkan. Kenapa tarikh itu yang diambil untuk mengadakan perjumpaan?

Dicapai kalendar yang berada di atas meja di sisi katil. Matanya tertancap ke tarikh 25 Februari. Tarikh lahirnya dan juga tarikh kematian Hazrul. Setiap tahun, pada tarikh itu dia akan melawat pusara Hazrul. Mustahil dia tidak melawat pusara Hazrul pada tarikh itu. Bagaimana untuk mengelakkan diri daripada menghadirkan perjumpaan itu? Mana mungkin dia tidak akan hadir ke perjumpaan itu sedangkan dia sudah diberi amaran keras oleh Encik Latif. Apa yang perlu dilakukannya sekarang?

Ya ALLAH, aku memohon petunjuk daripada-MU, bisik hati kecil Nur Ain. Disandarkan badan di kepala katil. Wajah lelaki yang melanggarnya semalam meniti di tubir mata. Lelaki yang telah menghantarnya ke hospital sekali gus terhutang budi dengan lelaki itu. Dia perlu berterima kasih pada Hazrel. Dia berdoa agar suatu hari nanti dia akan berjumpa dengan Hazrel semula.

Nur Ain menarik laci dan mengeluarkan beg sandang. Dia menggagau mencari telefon bimbit. Berkerut dahinya tatkala barang yang dicari tidak jumpa.

“Mana telefon aku ni? Semalam bukan ke aku letak kat sini? Takkan hilang kut?”

Tanpa membuang masa, dimasukkan semula beg sandangnya ke dalam laci. Dibaringkan tubuh sambil melilaukan mata melihat sekeliling bilik. Bilik yang disewa khas oleh Eddie buat dirinya. Bersungguh dia menegah agar ditempatkan di wad biasa. Tetapi disebabkan kedegilan Eddie, nak tak nak, terpaksalah dia akur. Terlalu banyak kebaikan yang telah Eddie lakukan terhadap dirinya. Bagaimana untuk membalas kesemua budi baik Eddie itu? Hanya pada ALLAH dia berdoa agar Eddie sentiasa dirahmati dan dilindungi.



REL, apa lagi yang dibuat kat atas tu? Cepatlah sikit. Mama dah lambat ni!” jerit Datin Salina dari ruang tamu. Dadanya sudah pun berombak kencang. Menahan geram dalam hati.

“Ma, Rel tak sihatlah. Mama pergilah dengan Qis,” balas Hazrel, terbatuk-batuk. Dia menuruni anak tangga dan menuju ke ruang tamu.

“Rel jangan nak tipu mama. Pergi siap sekarang!” arah Datin Salina, keras.

“Kenapa pulak Rel nak tipu mama? Betullah, mama. Rel tak sihat. Cuba mama rasa badan Rel ni, panas, kan?” bidas Hazrel turut keras. Dia menarik tangan Datin Suraya supaya menyentuh dahi dan lehernya.

Bulat mata Datin Salina memandang wajah pucat Hazrel. Dia meraba-raba dahi dan leher Hazrel. Apa yang Hazrel katakan benar belaka. Anaknya itu tidak sihat.

“Betul, kan?” ujar Hazrel seraya mengeluh.

“Dah. Pergi naik atas. Suruh Mak Tun bawakan ubat,” arah Datin Salina dan melangkah menuju ke muka pintu.

“Pastikan Rel tidur lepas makan ubat. Kalau mama dapat tahu Rel tipu mama, siap Rel mama kerjakan nanti,” ujar Datin Salina memberi amaran sebelum menghilang di sebalik pintu utama banglo tiga tingkat itu.

“Terima kasih, mama,” ucap Hazrel tersenyum girang.

Dia segera menuju ke tingkat atas. Gembira di hati hanya TUHAN sahaja yang tahu.

Hazrel merebahkan badan di atas katil. Tangan diletak di atas dahi dan merenung siling putih sambil berfikir. Masalah Syarikat Cahaya Sdn. Bhd. perlu diselesaikan seberapa segera. Syarikat yang baru dua tahun diambil alih papanya. Banyak perubahan yang perlu dilakukan di Cahaya, fikir Hazrel.

Hazrel mengangkat tubuh dan bersandar di kepala katil. Telefon bimbit di atas meja di sisi katil dicapai dan ditatap penuh jelek. Bagaimana telefon bimbit itu boleh berada dalam keretanya? Betapa gelinya dia memegang telefon itu.

“Huh! Zaman sekarang mana ada orang guna telefon murah macam ni. Hanya orang biasa aje yang layak guna telefon ni,” cebik Hazrel, meluat.

Ditekan butang unlock dan terus ke inbox.

“Teruk betul orang ni. Satu mesej pun tak ada. Kolot betul!”


25 Februari

Aku kehilangannya pada hari lahirku.

Abang sayangkan Ain. Jaga diri Ain baik-baik.

Abang akan doakan kebahagiaan Ain– Rul


Berkerut dahinya membaca kata-kata itu. Dicapai kalendar yang berada di atas meja. Mencari-cari tarikh 25 Februari. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Dicampak kalendar itu bersama telefon bimbit ke sisi katil. Hatinya tiba-tiba menjadi sebak dan pilu.

Hazrel menarik laci dan mengeluarkan album gambar dari dalam laci itu. Diselak satu per satu dan ditatap gambar yang berada dalam album itu. Senyuman terbias di wajahnya ketika itu. Tingkahnya terhenti tatkala matanya tertancap pada sekeping gambar yang menjadi memorinya sehingga ke hari ini.

“Rel rindukan abang. Kenapa abang pergi dulu daripada Rel? Abang tahu tak betapa susahnya Rel nak terima kenyataan yang abang pergi tinggalkan Rel. Abang mungkir janji dengan Rel,” rintih Hazrel, sendirian.

Masih terngiang-ngiang di cuping telinga akan kata-kata Hazrul tidak lama dulu. Sungguh, dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa abang kembarnya pergi terlebih awal daripada dirinya.

“Rel, kalau abang pergi dulu, Rel janji akan jaga mama dan papa baik-baik. Jadi anak yang soleh dan mendengar kata orang tua. Jangan jadi macam abang. Anak derhaka dan melawan cakap mama. Mungkin sebab nilah hidup abang sentiasa tak tenteram,” luah Hazrul pada suatu hari sewaktu mereka berdua berjoging bersama di tasik.

“Apa yang abang merepek ni? Buang tebiat dah ke?” tegur Hazrel tergelak. Geli hati mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut kembarnya itu.

“Abang tak merepek, Rel. Apa yang abang cakap ni benar. Abang melawan cakap mama disebabkan orang yang abang cinta. Kalau Rel bercinta nanti, jangan jadi macam abang. Restu keluarga tu penting. Ingat pesan abang ni,” jelas Hazrul lagi.

Matanya menatap mesra wajah adik kembarnya itu. Wajah yang sering dirindui selepas keluarganya mengambil keputusan untuk menghantar Hazrel melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Rel cuti berapa lama?” tanya Hazrul kemudian.

“Sebulan aje, bang. Ni pun balik sebab mama yang suruh. Kalau tak, malas Rel nak balik sini. Buat penat dan habis duit aje. Kalau kat sana, bolehlah enjoysikit.”

“Rel habiskan pengajian Rel dulu, kemudian barulah fikir pasal enjoy. Bila Rel dah berjaya, Rel buktikan pada papa dan mama yang Rel tak sia-siakan masa belajar Rel kat sana.”

“Kenapa abang tak ikut sama dengan Rel? Kan papa dan mama hantar kita berdua ke sana sama-sama. Kalau ada abang, mesti meriah hidup Rel kat sana.”

“Abang ada sebab kenapa tak nak ke sana. Tak apalah, Rel. Belajar kat mana-mana pun sama aje. Janji kita dapat segulung ijazah tu,” beritahu Hazrul, jujur.

Hazrel mengangguk faham. Ada benarnya juga kata-kata Hazrul. Belajar di mana-mana pun sama juga. Yang penting, dapatkan segulung ijazah.

“Ingat pesan abang, Rel. Abang sentiasa doakan kebahagiaan Rel. Andai abang pergi dulu, jangan lupa doakan kesejahteraan abang kat sana nanti. Abang sayangkan Rel,” pesan Hazrul tersenyum.

“Rel! Rel!” panggil Mak Tun mematikan lamunan panjang Hazrel.

Dia segera menyeka air mata yang mengalir perlahan membasahi pipi. Sejak bila dia menangis?

“Rel!” panggil Mak Tun lagi.

“Apa?” tanya Hazrel, meninggi.

“Ada orang nak jumpa dengan Rel. Dia tunggu kat bawah,” jawab Mak Tun.

“Siapa?”

“Mak Tun tak kenal, Rel.”

“Baiklah. Kejap lagi Rel turun!” jerit Hazrel dari dalam bilik.

Mak Tun yang mendengar segera berlalu pergi dari situ. Dia perlu menyambung semula kerjanya yang tertangguh.

Siapa pulak yang nak jumpa aku malam-malam ni? Penyibuk betullah! Rungut Hazrel sambil turun daripada katil. Langkah dibawa keluar dari bilik menuju ke ruang tamu.

“Nak jumpa saya ke?” tegur Hazrel sebaik sahaja berada di belakang lelaki itu.

Bro. Dah tak kenal dengan aku lagi ke? Baru enam bulan tak jumpa, kau dah tak ingat aku. Apa punya kawanlah kau ni,” balas Izzuddin Hanif berserta senyuman.

Hazrel berkerut dahi. Diamati wajah yang berada di hadapannya itu.

“Lah, kau ke, Izz? Hisy, hampir aku terlupa dengan kau. Bila kau balik?” tanya Hazrel seraya menghulur tangan untuk bersalaman.

“Bulan lepas,” jawab Izzuddin sambil membalas salaman Hazrel.

“Apasal tak beritahu aku awal-awal? Kalau tak, boleh aku jumpa kau lepas kau balik sini,” rajuk Hazrel kemudian melabuhkan punggung di sofa.

Izzuddin turut mengikut tingkah Hazrel.

“Aku nak beritahu kau, tapi handphoneaku kena curi kat sana. Semua nombor contactmember-member kita termasuk kau, aku tak savekat mana-mana. Jadi aku loss contactdengan kau orang semua,” jelas Izzuddin.

“Habis tu, macam mana kau boleh datang sini? Setahu aku, mana pernah aku bagi addressrumah aku pada kau malah sesiapa pun.”

“Kebetulan aku terjumpa dengan papa kau siang tadi. Jadi aku mintak maklumat daripada papa kaulah,” jelas Izzuddin tersenyum.

“Eh, kau pernah jumpa dengan papa aku ke?” tanya Hazrel berkerut dahi.

“Apasal kau bengap sangat, Rel? Kan aku pernah jumpa dengan papa kau masa kat KLIA dulu. Apa kau dah lupa ke?” jawab Izzuddin menggeleng.

“Oh, aku lupalah, Izz. So, kau dah kerja ke belum?”

“Belum.”

Hazrel menghela nafas pendek. Matanya tertancap ke arah Mak Tun yang sedang menghidangkan air di atas meja. Setelah itu, kelibat Mak Tun hilang di sebalik pintu dapur.

“Kau tak nak kerja dengan papa kau ke?”

“Malaslah aku, Rel. Aku nak cuba hidup berdikari. Nak timba pengalaman kat tempat orang lain dulu sebelum aku bekerja dengan dia. Lagipun abang aku ada untuk bantu papa aku tu,” jelas Izzuddin tersenyum.

“Hisy kau ni. Dah ada jalan mudah, kau ikut jalan susah. Tak faham aku dengan perangai kau ni. So, kau nak kerja kat mana?”

“Hah, baik punya soalan. Kau ada lubang tak?” tanya Izzuddin tersengih.

Hazrel mencebik. Meluat melihat sengihan Izzuddin itu.

“Nanti aku tanyakan pada papa aku. Mungkin kau boleh kerja kat syarikat yang papa aku ambil alih dua tahun yang lepas. Tapi syarikat tu kat Shah Alam. Kau tak kisah ke?” terang Hazrel sambil mencapai gelas minuman dari atas meja. Diteguk air dari dalam gelas itu.

“Tak apa, Rel. Aku tak kisah. Janji aku dapat timba pengalaman kat tempat orang. Lagipun business papa kau dan papa aku tak sama. Apa salahnya aku belajar benda baru?” balas Izzuddin tersenyum. Tangannya turut mencapai gelas minuman.

“Okey, nanti aku tanyakan pada papa. Apa-apa hal nanti, aku callkau.”

Thanks, bro.Kau bagi nombor phonekau pada aku sekarang, nak misscall. Nanti aku lupalah,” ujar Izzuddin tersengih.

Hazrel mengangguk. Telefon bimbit dari dalam poket seluar dikeluarkan. Setelah bertukar nombor, dimasukkan semula telefon ke dalam poket.

“Kau steadydengan siapa sekarang?” tanya Hazrel sekadar ingin tahu.

Nope! Why?” jawab Izzuddin sambil jarinya menekan butang di telefon bimbit.

“Hai, bukan ke kau ‘mat romeo’ kat universiri dulu? Takkan dah hilang taring kut?”

“Itu dulu, Rel. Sekarang aku dah tak macam tu lagi. Aku dah berubah. Umur pun dah meningkat, Rel. Dah tiba masanya aku cari seorang perempuan untuk dijadikan isteri.”

“Alah, muka macam kau senang aje nak dapat. Tak payahlah kau nak risau. Kau petik jari aje, berduyun yang datang,” seloroh Hazrel tergelak. Geli hati dengan ayatnya itu.

Izzuddin turut sama ketawa. Ada benarnya kata-kata Hazrel itu. Dulu, dialah yang terkenal di universiti sehingga mereka menggelarkannya ‘mat romeo’. Tetapi sejak dia berjumpa dengan gadis yang tidak dikenalinya sebulan lepas, hatinya sudah diserahkan pada gadis itu. Gadis yang telah menyelamatkannya daripada dilanggar sebuah kereta sebulan yang lepas.

Betapa terhutang budinya dia dengan gadis itu. Belum sempat dia mengucapkan terima kasih pada gadis itu, kelibat gadis itu menghilang daripada pandangan matanya. Sungguh, dia perlu mencari gadis itu. Setiap hari dia berdoa agar ALLAH mempertemukannya dengan gadis itu.

“Kalau buat girlfriend, ramailah, Rel. Tapi kalau untuk dijadikan isteri, susah, Rel. Dalam senarai tu, hanya seorang aje yang boleh dijadikan isteri.”

Hazrel terkedu mendengarnya. Ada benarnya juga kata-kata Izzuddin itu. Kebanyakan kawannya berkahwin dengan orang lain dan bukan dengan teman wanita mereka sendiri. Ada juga yang berkahwin dengan teman wanita sendiri, tetapi masih boleh dikira bilangannya. Adakah dia akan berkahwin dengan pilihannya sendiri atau pilihan mamanya?

“Okeylah Rel, aku mintak diri dulu. Dah lewat malam ni. Apa-apa nanti, kau informaku. Hope dapatlah aku bekerjasama dengan kau nanti.” Suara Izzuddin, berharap.

“Aku akan cuba tanyakan pada papa aku. Apa-apa nanti, aku informkau,” balas Hazrel.

“Terima kasih, bro,” ucap Izzuddin seraya bangun dan berjalan menuju ke pintu utama. Sebuah senyuman dihadiahkan buat Hazrel.

“Tak ada apalah sangat, Izz. Aku pun harap kau dapat bekerja dengan aku. Tak adalah aku bosan sangat kat syarikat tu nanti bila papa aku kerahkan aku sepenuhnya kat sana,” balas Hazrel turut sama berharap.

Arahan Dato Ridzuan masih terngiang-ngiang di kotak fikiran. Arahan yang memintanya mengurus Cahaya Sdn. Bhd. sepenuh masa. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menolak arahan itu. Namun apakan daya. Arahan tetap arahan. Dato Ridzuan merupakan seorang yang tegas dengan keputusannya. Sebagai anak, dia terpaksa akur dengan arahan Dato Ridzuan.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.