Home Novel Cinta Dulu Benci, Sekarang Suka
Dulu Benci, Sekarang Suka
Rose Eliza
18/6/2013 09:30:16
151,246
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

“TERIMA kasih Pak Badrul kerana tolong Ain. Tak terbalas Ain jasa Pak Badrul sehingga ke hari ni,” ucap Nur Ain, ikhlas.

“Sama-sama, Ain. Pak cik tahu setiap 25 hari bulan, Ain pasti akan ke sini,” balas Pak Badrul tersenyum.

“Ain tak pernah lupa, pak cik. Setiap tahun dan pada tarikh ni, Ain akan ke sini. Walau apa pun rintangan yang datang, Ain akan tetap ke sini. Hanya dengan cara ni, Ain dapat lepaskan rindu Ain pada arwah,” cerita Nur Ain, jujur.

Pak Badrul tersenyum mendengarnya. Mata tuanya menjamah wajah bersih Nur Ain. Walaupun parut di dahi sedikit sebanyak mencacatkan wajah Nur Ain, tetapi masih tetap tampak manis dan ayu di mata tuanya itu.

“Boleh pak cik tanya sesuatu, Ain?”

Nur Ain mengangguk.

“Selama tiga tahun ni, Ain yang mintak pak cik lakukan perbuatan tu. Kenapa Ain sendiri yang tak tabur bunga dan jiruskan air atas pusara arwah?” tanya Pak Badrul, ingin tahu. Itulah persoalan yang bersarang di kepalanya selama tiga tahun ini.

Nur Ain melepaskan keluhan ringan. Matanya dihalakan ke arah pusara yang sudah tiga tahun bersemadi di tanah perkuburan itu. Pusara insan yang amat dicintai dan disayanginya. Matanya mulai berkaca. Dikerdip-kerdipkan matanya menahan air mata daripada gugur.

“Ain diharamkan untuk melawat pusara tu. Malah, menyentuhnya jugak Ain tak dibenarkan,” jawab Nur Ain, lemah.

Terbuntang mata Pak Badrul mendengarnya. Diharamkan? Belum pernah lagi dia mendengar orang diharamkan melawat pusara. Falsafah siapa yang dipakai orang itu?

“Kenapa pulak macam tu? Pak cik tak pernah dengar orang haramkan sesiapa melawat kubur.”

“Ain tahu, pak cik. Tapi Ain tak boleh nak buat apa. Sebab itu merupakan satu doa bagi orang yang menyebutnya. Sama jugak kalau ayah sendiri haramkan anak menjejakkan kaki ke rumahnya,” balas Nur Ain, sebak.

Peristiwa dia dihalau ayahnya sentiasa bermain-main di tubir mata. Dia dihalau tanpa sebab. Sehingga ke hari ini, sebab dan punca dia dihalau tidak diketahui. Perlukah dia mencari sebab dan punca kenapa dia dihalau suatu ketika dahulu?

“Betul jugak cakap Ain tu. Tapi siapa yang haramkan Ain menghampiri pusara tu? Milik siapa pusara tu? Maaflah, kalau pak cik banyak bertanya. Selama tiga tahun ni, hati pak cik tertanya-tanya,” jelas Pak Badrul, ikhlas.

“Pusara tu milik insan yang Ain sayang dan cinta. Ain kehilangannya tiga tahun yang lepas,” cerita Nur Ain serba sedikit.

“Oh, maafkan pak cik, Ain. Pak cik tak tahu,” ucap Pak Badrul kesal.

“Tak mengapa, pak cik. Ain tak ambil hati pun. Salah Ain jugak sebab tak ceritakan pada pak cik,” balas Nur Ain tersenyum.

Pak Badrul sekadar mengangguk. Mata tuanya dihalakan ke arah pusara itu.

“Ain mintak diri dululah, pak cik. Ain nak pergi kerja ni,” ujar Nur Ain seraya bangun.

Dikerling jam di tangan. Dia perlu meninggalkan tempat itu untuk ke tempat kerja.

“Baiklah, Ain. Hati-hati jalan,” pesan Pak Badrul sebelum Nur Ain meninggalkan kawasan perkuburan itu.

“Pak cik doakan Ain bertemu dengan insan sama seperti arwah. Walaupun pak cik tak mengenali arwah, pak cik yakin, arwah seorang lelaki yang baik dan ikhlas mencintai Ain,” bisik Pak Badrul perlahan.



NUR Ain Zafira Ibrahim!” panggil Hazrel sedikit meninggi.

Matanya membelingas ke kiri dan ke kanan. Mencari-cari kelibat empunya nama yang baru disebutnya itu. Di hadapannya kini seramai 20 orang pekerja Cahaya Sdn. Bhd. sedang diberi taklimat akan peraturan baru di syarikat itu.

“Nur Ain Zafira Ibrahim!”

Masih tiada sahutan.

“Encik Latif, mana Nur Ain Zarifa Ibrahim? Saya dah pesan pada awak dari hari tu lagikan, mintak dia wajib datang pada hari ni,” ujar Hazrel tegas.

Matanya tajam ke muka Encik Latif yang sedang menunduk menekur ke lantai.

“Encik Latif, saya tanya awak ni. Mana Nur Ain Zafira Ibrahim?” soal Hazrel sekali lagi.

Sakit hatinya melihat kebisuan Encik Latif itu.

“Siapa di antara kamu semua yang tahu kat mana Nur Ain Zafira Ibrahim?” tanya Hazrel lagi sambil menghalakan pandangan ke arah pekerja-pekerja Cahaya Sdn. Bhd.

Mereka yang berada di situ sekadar menunduk. Tidak berani untuk menentang pandangan pengurus besar mereka itu. Bukannya mereka tidak tahu ke mana perginya Nur Ain. Setiap 25 hari bulan, Nur Ain akan mengambil cuti untuk ke pusara insan yang dicintainya dulu.

“Maaf, Encik Hazrel. Setiap 25 hari bulan, Ain akan ambil cuti. Ada urusan penting yang harus dilakukannya.” Suara Fauziah tiba-tiba.

Ditundukkan mukanya semula. Tidak berani untuk memandang wajah pengurus besar itu.

“Cuti?” ulang Hazrel berkerut dahi.

“Encik Latif, bukan ke saya pesan pada awak, perjumpaan hari ni wajib dihadiri kesemua pekerja kat sini. Awak dah lupa dengan pesanan saya, Encik Latif?”

“Maafkan saya, Encik Hazrel. Kami tak dapat nak hubungi Ain. Kata mak ciknya, pagi-pagi lagi Ain dah keluar,” jelas Encik Latif tanpa dipinta.

Hazrel mendengus keras. Sakit hatinya mendengar penjelasan Encik Latif itu. Bukannya dia tidak berpesan, sudah berkali-kali diingatkan agar kesemua pekerja menghadirkan diri pada perjumpaan hari ini. Ternyata arahannya itu tidak diambil serius Encik Latif dan juga Nur Ain Zafira Ibrahim, pekerja yang dicarinya sekarang.

“Assalamualaikum,” sapa Nur Ain dari muka pintu.

Serentak mereka yang berada di dalam bilik mesyuarat itu menoleh ke arahnya.

“Maaf kalau saya terlewat,” ucap Nur Ain sambil melangkah masuk ke dalam bilik.

“Awak ingat ni syarikat mak bapak awak ke? Ikut suka hati awak aje nak masuk kerja. Awak tahu tak dah pukul berapa sekarang?” tegur Hazrel, keras.

Tersentak Nur Ain mendengar teguran lelaki itu. Dia melangkah menghampiri kerusi kosong yang berada di sebelah Fauziah tanpa menghiraukan berpasang-pasang mata sedang memandang ke arahnya sambil berkerut dahi.

“Maafkan saya,” ucap Nur Ain, perlahan.

“Nama awak apa?” tanya Hazrel, tegas.

“Nur Ain Zafira Ibrahim,” jawab Nur Ain, menunduk.

“Oh, jadi awak Nur Ain Zafira Ibrahim. Pekerja yang selalu datang lewat hampir sepuluh kali dalam sebulan. Pekerja yang ikut sesuka hati aje nak masuk kerja atau tak,” sindir Hazrel, sinis. Matanya memandang ke wajah Nur Ain.

Nur Ain mengangkat muka. Tersentak dia buat seketika. Matanya berlaga dengan mata Hazrel. Hazrul! Bisik hati kecil Nur Ain. Serentak itu dia melarikan pandangan ke arah lain. Tidak sanggup memandang panahan mata lelaki itu.

“Ya, sayalah Nur Ain Zafira Ibrahim.”

“Jumpa saya kat pejabat lepas ni,” arah Hazrel, tegas dan berlalu dari situ.

Jika berlama di situ, entah apa lagi yang bakal dihamburkan kepada pekerja-pekerja di situ. Otaknya ligat memikirkan wajah gadis yang dipandangnya tadi. Seperti pernah berjumpa dengan gadis itu. Tetapi di mana?



HAZREL menyandarkan badan ke kerusi. Tangannya mengetuk-ngetuk meja. Kat mana aku jumpa dia? Macam pernah aku jumpa, tapi kat mana? Sungguh, dia tidak dapat menangkap gerangan gadis itu tadi. Mungkin disebabkan penampilan gadis itu yang ke arah kekampungan membuatkan dia tidak berapa minat untuk mengingatinya.

Hazrel membetulkan duduknya tatkala terdengar ketukan di pintu. Setelah diberi arahan, sesusuk tubuh masuk ke dalam sambil berjalan menundukkan wajah. Berkerut dahinya melihat gelagat pekerja itu. Aku pun tak ingin nak tengok muka kaulah! Cebik Hazrel dalam hati.

So, apa alasan kelewatan awak hari ni? Bukan ke Encik Latif dah beritahu kesemua pekerja tentang perjumpaan dengan saya pada hari ni? Awak tahu atau pura-pura tak tahu?” tanya Hazrel, meninggi. Tajam matanya ke muka gadis di hadapannya itu.

“Saya mintak maaf, encik. Bukan saya sengaja nak datang lewat. Bas yang lalu kawasan perumahan saya tu selalu buat hal. Sekejap datang lambat, sekejap datang awal. Sebab tulah kadangkala saya tertinggal bas,” jelas Nur Ain tanpa dipinta.

Huh! Aku tanya lain, dia jawab lain. Tak faham soalan ke dia ni? Aku tanya hari ni, bukan sebelum ni, bodoh! Kutuk Hazrel dalam hati.

“Saya tanya hari ni, bukannya sebelum ni. Bodoh betul awak ni. Tak faham soalan ke?”

Mendengarkan kutukan Hazrel, serta-merta Nur Ain mengangkat wajah. Lelaki di hadapannya dipandang tajam.

“Awak pergi sekolah ke tak? Saya tanya kenapa awak lewat hari ni, bukannya sebelum ni? H.A.R.I I.N.I dan bukan S.E.B.E.L.U.M I.N.I. Awak faham tak perbezaan kedua-dua ejaan perkataan tu?” jelas Hazrel, mengejek. Dia turut mengeja perkataan ‘hari ini’ dan ‘sebelum ini’.

Nur Ain mengangguk lemah. Panas telinganya mendengar ejekan Hazrel itu. Walaupun dia hanya berpendidikan setakat SPM, itu tidak bermakna dia tidak faham akan maksud perkataan itu.

“Apa sebab awak lewat hari ni?” ulang Hazrel lagi.

“Saya ke kubur,” balas Nur Ain menunduk.

“Kubur?” ulang Hazrel.

“Esok-esok awak tak boleh pergi ke? Kenapa perlu hari ni?”

“Tak boleh.”

Hazrel berkerut dahi. Dia bingkas bangun daripada duduk dan melangkah perlahan menghampiri Nur Ain. Diamati Nur Ain yang hanya berbaju kurung dan bertudung dari atas ke bawah. Huh! Tak pandai bergaya betul minah ni! Cebik Hazrel.

“Saya terpaksa ambil tindakan ke atas awak. Saya tak nak pekerja lain mengikut contoh tak baik. Saya terpaksa berhentikan awak,” beritahu Hazrel sambil berpeluk tubuh.

Nur Ain mengangkat muka. Wajah Hazrel ditatap minta simpati. Kecut perutnya mendengar keputusan Hazrel itu. Dia tidak mahu dipecat dan dibuang kerja.

“Encik, tolonglah jangan berhentikan saya. Saya janji, lepas ni saya takkan lewat lagi.” Suara Nur Ain sedikit merayu.

No! Keputusan saya muktamad. Saya tak nak orang luar pandang negatif terhadap syarikat saya,” tegas Hazrel. Matanya menjamah wajah Nur Ain.

“Tolonglah, encik. Saya rayu pada encik. Kalau encik nak suruh saya buat apa-apa, saya sanggup. Asalkan encik tak berhentikan saya. Saya perlukan kerja ni. Saya sayangkan kerja ni,” rayu Nur Ain pula. Matanya mulai berkaca. Hanya menunggu masa untuk merembes keluar.

“Aku rasa macam pernah tengok kau. Bukan ke kau yang aku langgar hari tu?” duga Hazrel sambil cuba mengamati wajah di hadapannya itu.

Nur Ain menelan liur. Diamati wajah Hazrel dan diakui benar.

“Rupa-rupanya kau kerja kat sini. Kecil benar dunia ni, kan?” cebik Hazrel seraya ketawa mengejek.

Tidak menyangka dia akan berjumpa dengan gadis yang dilanggarnya sebulan yang lepas.

“Kau dah kumpulkan duit untuk bayar ganti rugi yang aku mintak dulu?”

Nur Ain menelan liur berkali-kali. Tidak mungkin dia melupakan permintaan lelaki itu.

“Berapa yang perlu saya bayar, encik? Insya-ALLAH akan saya usahakan untuk membayarnya.”

“Huh! Berani betul kau tanya berapa yang kau perlu bayar? Dah kaya sangat ke?” sindir Hazrel. Matanya memandang Nur Ain dengan pandangan meluat dan jelek.

“Tak. Bukan maksud saya yang saya dah kaya. Kalau ada rezeki lebih, saya akan bayar.”

Well! Aku nak kau bayar sebanyak seribu pada aku. Kau mampu ke tak?”

“Seribu?” ujar Nur Ain, terkejut.

“Kenapa? Kau tak ada duit sebanyak tu ke?” tanya Hazrel, mengejek.

Nur Ain melepaskan keluhan ringan. Seribu? Di mana perlu dia mencari wang sebanyak itu? Perlukah dia mengeluarkan wang simpanannya itu?

“Kau tak mampu nak bayar, kan?” duga Hazrel pula melihatkan wajah kerutan di dahi Nur Ain.

Dia mencebik seraya tersenyum sinis memandang Nur Ain.

“Insya-ALLAH, saya akan usahakan. Bagilah saya masa untuk cari wang tu. Tentang pekerjaan ni, tolonglah jangan buang saya, encik. Kalau encik buang saya, macam mana saya nak bayar duit encik tu?”

Hazrel berpeluk tubuh dan mundar-mandir di hadapan Nur Ain. Sesekali dia berdehem memikirkan sesuatu.

“Aku boleh bagi peluang pada kau sekali lagi. Tapi ada syaratnya.”

Mendengarkan kata-kata Hazrel, terbias senyuman di bibir Nur Ain. Sungguh, dia berasa gembira mendengarnya.

“Terima kasih, encik. Saya doakan kesejahteraan encik dunia dan akhirat. Apa pun syaratnya, insya-ALLAH saya akan patuhi asalkan encik tak pecat saya.”

Hazrel hanya mengangguk. Matanya menatap wajah Nur Ain. Entah kenapa lidahnya terasa kelu untuk berkata-kata. Mungkinkah senyuman Nur Ain telah menjentik hatinya kala itu?

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.