Home Novel Cinta Bawah Payung Awan (Sudah Terbit)
Bawah Payung Awan (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/9/2023 10:31:25
16,474
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5
KAU ni macam sial! Aku suruh mati tak nak! Hidup menyusahkan aku!” hambur Nasarudein sambil melibas tali pinggang ketubuh Soleiman. 

Geram apabila mendapat tahu anak lelakinya itusudah seminggu tidak ke sekolah apabila dihubungi oleh guru disiplin.

Dahi Soleiman berkerut, menahan perit libasan yang menjerut kulit dan isi yang sudah menebal dengan parut. Malangnya walau setebal mana parut yang melata atas kulit belakang badannya, tidak cukup untuk menangkis libasan tali pinggang Nasarudein. Kulitnya yang tersiat menampakkan isi merah. 

“Kalau kau bukan anak aku, dah lama aku rejam kau sampai mampus!” jerkah Nasarudein sambil mencampakkan tali pinggang ke tepi. 

Nasarudein terus melangkah keluar. Daun pintu rumahnya dihempas kuat. 

Soleiman menggesel giginya, geram dan sedih bercampur baur. Pelik. Kalau diikutkan saiz dan tenaganya, dia berkemampuan untuk menghantar lelaki tua bergelar ayah itu ke tanah kubur. Tetapi, tidak! Dia tidak melakukannya. Tangannya masih terketar-ketar setiap kali Nasarudein menengking.

Kata-kata Nasarudein tak pernah dibidas. Kenapa dia takut walaupun saiz dan kudratnya lebih kuat? Adakah kerana dia mengenang budi? Layakkah lelaki itu dihormati sebagai ayah? Ah, setidak-tidaknya Nasarudein tidak membuangnya ke dalam tong sampah untuk dijadikan habuan anjing-anjing liar. Mungkin dia perlu berterima kasih untuk itu. 

“Sol…” panggil Tok Awi. 

Ada lelehan jernih yang keluar dari mata Tok Awiyang kian kelabu bersama lendir-lendir putih. Dia menghulurkan tangan, memanggil cucunya. 

Soleiman merangkak ke arah tubuh tua yang terbaring kaku itu. Tapak tangannya disapu ke muka Tok Awi. Dia tidak berasa geli melihat lendir-lendir yang meleleh dari mata tua itu. 

Mungkin ada yang janggal apabila memikirkan remaja lelaki sepertinya menguruskan nenek sendirian. Memandikan dan membasuh kencing berak wanita tua itu. Tetapi, apa dayanya? Dia tidak ada banyak pilihan. Jika dia tidak melunaskan tanggungjawab menjaga Tok Awi, abah mungkin membiarkan wanita itu terbaring sendiri sehingga menjadi rangka.

“Kenapa tak beritahu abah, Sol tak boleh pergi sekolah sebab jaga tok sakit?” soal Tok Awi.Soleiman menunjukkan muka bersahaja. 

“Tak apalah, tok. Sol malas nak cakap dengan abah tu,” balasnya, mencipta alasan. 

Walhal, dia tahu abahnya tidak peduli andai Tok Awi sakit. Kalau mulutnya petah bercerita, pasti ada balasan Nasarudein yang bakal menghiris hati Tok Awi. Jadi, untuk apa dia membuka mulut? Dia tahu abah tidak peduli hidup mati Tok Awi.

Menurut abah, Tok Awi pernah hampir-hampir membunuhnya semasa kecil. Ah, bukankah abah juga begitu? Sudah tidak terbilang berapa kali dia hampir-hampir melemaskan Soleiman di dalam tong biru tadahan air di belakang rumah. Aneh! Manusia yang zalim menyelar manusia lain zalim. Barangkali abahnya mempunyai mentaliti begitu kerana rumah mereka tidak memiliki cermin besar supaya abah boleh melihat refleksinya sendiri. 

“Semua salah tok. Tok lahirkan manusia, tapi tok besarkan jadi binatang,” luah Tok Awi, penuh penyesalan. 

Masa tak mampu diputarkan kembali. Dia tidak boleh mengubah apa yang dilakukan dia dan arwah suaminya ke atas Nasarudein dulu. Sekarang, dia hanya mampu melihat produk ciptaannya melakukan perkara yang sama ke atas cucunya. Menangis air mata darah sekalipun tidak berguna. Nasi sudah menjadi bubur. 

Soleiman mengeluh.

“Kenapa Sol?” soal Tok Awi. Soleiman menggeleng. 

“Wid pernah cakap… Kitatak boleh pilih ibu bapa kita. Kalau kita benci apa yang mereka buat, jangan buat benda yang sama. Sol takut, tok.Kalau satu hari Sol kahwin dengan Hanan, Sol ada anak,macam mana agaknya Sol dengan anak-anak? Sol akan jadi binatang juga ke, tok?” 

“Iman tu tak dapat diwarisi, Sol. Kita takkan tahu kemana hala tuju kita. Sol untung, Sol ada Widad yang selalu ingatkan Sol…” luah Tok Awi. Tangan yang sudah berkerut seribu itu mencapai dan menggenggam tangannya. 

“Sol, betul ke Sol nak kahwin dengan Hanan?” soal TokAwi.Soleiman mengangguk. 

“Sol dah janji dengan dia.Lepas Hanan habis sekolah, Sol akan kahwin dengan dia.” 

“Kenapa? Sol sayang Widad juga, kan?” soal Tok Awi.Soleiman menggeleng. 

“Sol dah janji nak jaga Hanan. Wid kuat, dia mampu jaga diri sendiri. Dia tak perlukan Sol. Sol akan jadi beban pada Wid kalau Sol dengan dia…” luah Soleiman. 

Dia mahu bersandar di dinding, tetapi menukar fikiran apabila luka di belakang badannya tergesel pada dinding keras yang tidak rata. ALLAHUAKBAR! Dia menggigit bibir,menahan sakit. Tubuhnya dibongkokkan. 

“Sol sanggup walaupun Sol tau apa dah jadi pada Hanan dan…” Soalan Tok Awi tergantung. 

“Ya, tok,” potong Soleiman. 

“Widad?” 

“Jangan cakap lagi, tok. Bakal isteri Sol, Hanan. Sol dahjanji. Widad pun tau,” pintas Soleiman. 

“Dah lama Sol duduk rumah, teman tok. Pergilah keluar jalan-jalan. Tok tau Sol nak keluar, kan?” luahTok Awi dengan air muka kelat. Seakan-akan merajuk lagaknya. 

Dia terkilan membayangkan Hanan pilihan Soleiman sedangkan hatinya berkenankan Widad. Hanan selalu menunjukkan muka geli apabila disuruh membantu memandikan dan membasuh kencing beraknya. HanyaWidad yang ringan tangan membantu tanpa mengeluarkan sebarang keluhan. 

Soleiman membelai ubun-ubun Tok Awi dengan rambut yang kian menipis. Dia tidak membantah. Jauh di sudut hatinya, dia tahu Tok Awi sedih melihat keadaannya. Tok Awi rasa bersalah melihat dia dihukum Nasarudein. Mungkin juga Tok Awi sedih kerana Tok Awi tahu nasibnya akan sama seperti ayahnya. Mangsa bakal menjadi pemangsa. Dia tidak tahu sama ada dia cukup kuat untuk melawan kitaran lama yang asyik berulang-ulang di dalam keluarganya. 

Engsel tua yang melekat pada pintu kayu tua di depan rumahnya berlagu sumbang apabila ditarik. Dia mengenakan kemeja kotak-kotak atas singlet pagodanya sebelum keluar dari rumah. Kakinya yang hanya bersarung selipar murah memijak tanah becak di lorong kecil yang menjadi pemisah rumah-rumah setinggan yang dibina secara haram itu. Dia melalui depan rumah Hanan, tetapi langkahnya tidak berhenti di situ. Langkah disambung ke rumah Widad. 

Tapak tangannya berlabuh atas cermin tingkap Widad yang tidak mampu ditutup penuh, sudah tersekat fungsinya. 

“Hoi, tak tidur lagi?” soal Soleiman sewaktu melihat gadis yang sedang bersila menghadap buku itu. 

“Tak. Dah berdengkur,” balas Widad sinis. 

“Sombong!” tempelak Soleiman. 

Dia duduk di atas batu di depan rumah Widad, menyandarkan kepala pada pintu. 

“Dah tu, kau dah tau aku belum tidur, buat apa tanya,” ujar Widad. 

“Mak kau mana?” soal Soleiman. 

“Baru keluar,” jawab Widad ringkas. Dia tidak bertanya ke mana hala tuju emaknya. Anita juga tidak petah bercerita.

Soleiman meraba-raba belakang badannya, menahan sakit yang ditinggalkan Nasarudein. Selama mana dia mampu bertahan? Kalau dia mampu menilik takdir yang melintang di depannya, dia rasa dia hanya mempunyai beberapa pilihan.

Satu, mati di tangan Nasarudein. Dua, mati terkena bedilan peluru seperti arwah abangnya. Ketiga, meneruskan hidup dalam keadaan kais pagi makan pagi,kais petang makan petang. Dia sedang menimbang mana satu yang lebih indah antara pilihan-pilihan itu. 

“Kenapa kau sentiasa nak berjaya guna jalan luruskau, Wid?” soal Soleiman sambil mencangak, melihat langit malam yang gelita. 

“Maksud kau?” soal Widad. Dia meletakkan buku ditangannya. 

“Kalau kau tak bercita-cita setinggi langit, aku dah ajak kau lari sekarang. Kita boleh pergi ke tempat yang tak ada orang kenal kita, mulakan hidup baru…” ujar Soleiman. 

“Kau kata kau awan aku. Kalau aku tak capai langit, macam mana aku nak jejak awan?” soal Widad. 

Soleiman melopong. “Wow! Metafasa…” 

“Metafora,” cantas Widad. 

Soleiman tergelak. Tetapi dia berhenti apabila pedih di belakang tubuhnya mengingatkan dia tentang Nasarudein. 

“Kau nak ajak aku lari konon, Tok Awi kau nak tinggal?” soal Widad. 

“Aku tak rasa dia akan salahkan aku kalau aku lari daripada abah, dari tempat ni. Mungkin dia lagi seronok kalau tau yang cucu dia keluar dari tempat sampah dan orang-orang sampah,” balas Soleiman. 

“Hah, kenapa tak lari? Larilah!” cabar Widad. 

“Kau tau kenapa aku tak lari…” balas Soleiman. 

Widad melangkah ke tingkap, mengangakan cermin tua untuk mengintai langit malam yang kelam. 

“Kenapa? Sebab nak tunggu Hanan habiskan SPM?” 

“Sebab kau,” jawab Soleiman dengan jujur. “Sebab aku tak boleh pergi selagi kau ada kat sini.” 

Widad terdiam. 

“Aku nak kau berambus cepat-cepat, Wid. Supaya aku pun boleh tinggalkan neraka ni. Tempat ni patut jadi padang jarak padang tekukur,” balas Soleiman. 

“Lepas tu? Apa kau nak buat lepas aku keluar dari tempat ni? Apa plan kau?” tanya Widad. 

“Aku akan bawa Hanan lari. Mungkin boleh kahwin dekat Siam. Entah…” jawab Soleiman. Dia belum berfikir panjang tentang masa depannya. 

“Aku tak kisah kalau kau nak tinggalkan tempat ni. Aku tak kisah kalau kau nak mulakan hidup baru dengan Hanan. Tapi…” 

“Tapi apa?” 

“Aku takut kau hanyut macam arwah abang kau. Aku takut kalau kau ikut si Adnan, buat kerja haram sebab nak kaya cepat. Kau takkan hidup tenang, Sol,” jawab Widad. 

“Habis, kau ingat aku hidup tenang sekarang?” soalSoleiman. 

“Kau mungkin fikir nasib kau paling malang dalam dunia. Tapi, percayalah… ada yang lebih malang. Kau bayangkan nasib anak-anak yang kena buang, dengan usus terburai dikerjakan anjing liar. Ada yang belum sempat buka mata, dah kena flush dalam toilet. Macam mana kau rasa? Dia orang tak minta lahir… Tapi, mak bapa tak bagi peluang langsung untuk dia orang berusaha. Setidak-tidaknya kita masih bernyawa, ada tulang empat kerat untuk ubah nasib kita,” ungkit Widad. 

“Kalau aku diberi pilihan mungkin aku…” 

“Diam!” potong Widad. 

Soleiman tergamam. 

“Jangan senang-senang cakap kau nak pilih mati.Kalau kau dah mati, kau dah tak boleh ubah apa-apa. Menyesal sejuta kali pun, kau dah tak boleh u-turn. Siapa nak kenang kalau orang macam kita pergi, Sol? Dunia ni tak terkesan langsung. Yang sengsara hanya kau… aku…” 

Soleiman terus bangun, menghadap Widad. Widad yang terkejut terundur beberapa langkah. 

“Terkejut aku!” luah Widad sambil mengurut dada. 

Soleiman senyum. 

“Kalau aku tak ada, kau sengsara ya?” soal Soleiman. 

“Agaklah. Kalau hujan, beg sekolah siapa aku nak pakai jadi payung? Siapa nak protect aku daripada mamat-mamat hidu gam tu?” soal Widad. 

“Hah, siapa nak belikan kau pad bila kau datang bulan mengejut,” tambah Soleiman selamba. 

Sepantas kilat Widad menarik daun pintu rumah. Dicapainya selipar yang berselerak atas tanah dan mencampaknya ke arah Soleiman.

“Sakitlah, bodoh!” tempelak Soleiman.

“Kalau tak nak sakit, diamlah! Kau nak beritahu semua orang ke apa?” jerkah Widad sambil menarik rambut Soleiman sekuat hatinya.

“Wei, sakit! Sakit! Sakit!” jerit Soleiman, mengaduh.“

Kau belikan apa… Cuba ulang lagi sekali?” soal Widad dalam nada mengugut sambil mencekak rambut Soleiman.

“Roti… roti…” jawab Soleiman.Widad melepaskan rambut Soleiman. Kening kirinya terjongket. 

“Kalau kau cakap bukan-bukan lagi…” 

“Yalah! Yalah!” 

Pap! 

Widad menampar belakang Soleiman. 

“Ouch!”Air muka Widad berubah tatkala melihat kerut-kerut yang terlukis di muka Soleiman. Dia tahu Soleiman tidak berlakon. 

“Sol?” Widad menarik kolar kemeja Soleiman sedikit, mengintai tanpa rasa segan. 

Sepantas kilat Soleiman menepis tangan Widad. 

Widad tidak menekan. Dia melangkah masuk ke dalam rumah dan keluar semula beberapa minit kemudian dengan paket tisu kecil yang dibelinya daripada peminta sedekah di stesen bas dengan sebotol minyak gamat. 

“Buka!” suruh Widad. 

Soleiman mengeluh.“Aku ni lelaki dewasa, Wid. Dah akil baligh,” luah Soleiman dengan wajah serius, seakan-akan tidak senang dengan pelawaan Widad. 

“Kau nak buka ke nak suruh aku koyak? Kau kat luar rumah, bawah lampu. Tak ada siapa nak tangkap khalwat,” tegas Widad. 

Soleiman menanggalkan kemeja, menampakkan kesan libasan tali pinggang Nasarudein di bawah singlet nipisnya.Widad tidak bercakap sepatah, hanya menuang minyak gamat di atas luka-luka Soleiman dan kemudian mengesat lelehannya dengan tisu. 

“Apa aku nak buat lepas kau pergi Wid?” soal Soleiman. 

“Tunggu aku balik,” balas Widad spontan. 

Soleiman mengangguk. “Kalau kau tak balik?” 

“Sedekahkan aku al-Fatihah,” balas Widad. 

“Ke situ pulak kau. Macamlah nak pergi berperang,”sindir Soleiman. 

Widad menjeling. “Eh, mati menuntut ilmu tu mati syahid tau!” 

“Kalau aku yang mati dulu?” soal Soleiman. 

“Aku sedekahkanlah kau al-Fatihah. Kalau aku ada duit lebih, aku buatkan tahlil. Kalau masih ada bajet ekstra, aku tempahkan kau batu nisan, okey? Kau nak bentuk macam mana?” soal Widad. 

“Kurang ajar kau ya? Macam dah plan siap-siap nak tunggu aku mati,” balas Soleiman yang tiba-tiba tersentap. 

Widad menjongket bahu. “Kegagalan untuk merancang adalah merancang untuk gagal,” balasnya olok-olok. 

Soleiman mengacah-acah untuk menumbuknya.Sewaktu Widad mengelak, anak-anak rambut yang berselerak di dahinya beralih, menampakkan luka di dahinya. 

“Nampak macam ada orang tu pun kena pukul?” tegur Soleiman dengan air muka kecewa. Dia melemparkan pandangan ke arah lain. 

“Setakat kepala luka apalah sangat. Sekurang-kurangnya ex-boyfriend mak kali ni tak sebabkan aku patah tangan,” luah Widad. 

Soleiman memandang langit. 

“Maaf, Wid. Aku tak cukup kuat nak protect kau,”ucapnya. 

Ada sesal yang cuba ditahan. Sejak kecil, apabila melihat Widad dipukul atau menangis, dia merancang untuk melindungi Widad apabila mereka dewasa kelak. 

Tetapi, pada usia 17 tahun ini, belum ada apa yang berubah. Keupayaannya untuk melindungi Widad masih terbatas.

“Tak apa. Aku kuat. Aku boleh jaga diri aku sendiri. Selagi ada nyawa, aku takkan putus asa. Kau tu, ingat janji kau… Kau kena jaga Hanan, okey? Jangan biarkan Hanan cedera lagi,” luah Widad. 

Soleiman senyum tipis. Kemudian, dia mengangguk. 

“Ya, aku ingat,” sahut Soleiman.Widad menguntum senyuman. 

“Tapi, Wid… macam mana kalau aku yang cedera?” tambah Soleiman secara tiba-tiba. 

Mata Widad tidak berkelip. Dia dapat membaca apa yang cuba dilakukan Soleiman. Kalau dia tersilap langkah, mereka barangkali dipasung angan-angan asmaradana cinta monyet yang takkan ke mana. 

“Bagi kau, siapa lagi penting? Aku atau Hanan?” soal Soleiman. 

Widad terdiam sejenak. 

“Tak boleh pilih?” soal Soleiman. 

“Hanan,” jawab Widad dengan mata yang berkaca. 

Soleiman tersenyum tipis. Dari suatu ceruk, Hanan mengintai gelagat mereka berdua ditemani linangan air mata. Dia menggenggam kuat fabrik nipis yang membaluti tubuhnya. Perlahan-lahan dia berundur, bimbang kalau-kalau mereka menyedari kehadirannya. 

‘Kenapa Kak Wid? Kenapa akak selalu cuba berkorban untuk Hanan? Padahal Hanan benci sangat dengan akak. Hanan cemburu tengok akak,’ bisik hati Hanan.

Previous: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.