Home Novel Cinta 5 TAHUN UNTUK CINTA
5 TAHUN UNTUK CINTA
Durrah Fatiha
26/3/2017 00:19:47
17,872
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

Bab14

PENGHUNI yang ramai di restoran itu tidak diendahkan. Matanya hanya tertumpu kepada seseorang yang baru tiba di hadapan restoran. Jamil ralit memerhati rentak gadis yang melangkah penuh gaya ke dalam restoran. Diamati wajah tersebut tanpa kelip. Dalam hati mengakui kecantikan yang dimiliki oleh si gadis. Kenapa aku tak nampak semua tu lima tahun dulu? Hatinya mengomel sendiri. Kini Jamil tersenyum lebar. Hari ini memang hari dia!

“Sya!” tegur Jamil apabila si gadis tanpasedar telah mendekati meja yang dihuninya.

Syaza berpaling ke arah suara yang memanggil. Siapa pula tu? Aku kenal ke? Dalam diam diamati penghuni meja yang di kirinya. Bebola mata kini membulat. Rentak hati sudah bergendang sakan. Berdegup laju setelah mengecam gerangan yang menegur. Agak susah untuk berlagak tenang dalam keadaan begini. Aku mesti cuba…

“Eh, a-awak,” respons Syaza. Tersekat-sekat suaranya. Dia tercegat penuh kekok di tepi meja. Tidak pasti untuk tersenyum ataupun serius. Sejak pertemuan mereka bersama-sama Farah tempoh hari, belum pernah lagi bersua muka. Lagipun, dia belum betul-betul bersedia untuk pertemuan dua mata dengan Jamil. Tapi sampai bila, kann…

“Assalammualaikum.” Jamil memberi salam dalam sopan. Dia juga sedikit gugup dengan pertemuan tanpa dirancang ini.

“Waalaikummussalam. Bila awak balik dari Johor Bharu?” Itu sahaja respons yang terlintas di minda Syaza dalam keadaan tidak keruan begini.

“Ha?” Jamil seakan bingung sekejap mendengar soalan itu. Er, siapa bagi tahu awak saya ke JB?”

“Ada la orang bagi tahu awak kursus kat sana.”

“Siapa?” Berkerut kening Jamil mengenangkan si pembawa berita palsu ini.

“Farah.”

“Aah? Oh ya, s-saya baru balik. Eh, duduklah dulu, Sya.” Dalam hati tertanya-tanya, kenapa Farah sanggup memberikan maklumat palsu? Apa motif dia? Aku tak pernah ke Johor Bharu pun.

“Err… sebenarnya saya ada hal lain…”

“Alah, janganlah macam tu. Kita dah lama tak jumpa. Apa salahnya berborak sekejap,” pujuk Jamil. Ramah saja mulutnya mengayat.

“Saya…” Syaza keberatan untuk meneruskan bicara.

“Sya… kejap aje. Takkan awak tak sudi berbual dengan saya lagi.” Macam-macam pula si Jamil mencuba. Tiba-tiba hati tertarik untuk berkenalan semula dengan Syaza!

“Saya…” Syaza masih teragak-agak.

Aik, dah pandai nak mengelak dari aku? Jamil terkedu menyedarinya. Dulu, pantang dia mempelawa, laju sahaja Syaza bersetuju. Kalau boleh nak ikut aku macam bayang-bayang. Mungkin dulu dia terlalu terdesak nak mengambil hati aku. Panjang monolog Jamil.

Come on, Sya. Duduklah dulu,” gesa Jamil lembut. Egonya tidak membenarkan dia mengalah. “Saya bukan nak bawa awak lari,” tambahnya masih dalam nada lembut. Pandangan redup dihadiahkan kepada gadis itu. Mestilah nak cairkan hati Syaza!

Mata Syaza meliar ke kiri dan kanan. Menyedari orang sekeliling mula memerhatikan gelagat mereka, akhirnya dia mengikut sahaja rentak lelaki di hadapannya. Berlabuh di kerusi bertentangan Jamil kerana tidak mahu memalukan lelaki itu.

“Awak nak makan apa? Meh, saya order untuk awak.” Jamil mempelawa mesra sebaik dia dengan gadis itu sudah bertentang mata.

Usai membuat pesanan makanan, mereka hanya memandang sekeliling. Kekok dan kelu tiba-tiba. Masing-masing punya persoalan namun tidak mampu meluahkan. Segalanya tersekat di kerongkong. Dibiarkan berlegar di dalam hati dan fikiran. Kenangan lama kembali menerjah di minda membuatkan jiwa masing-masing tidak keruan. Bagaimana mahu menghadapi suasana baru ini?

Apakah kami boleh berbual seperti dulu? Sudikah Jamil menerima aku yang ‘baru’ ini? Berdebar-debar jantung Syaza setelah duduk dan mendapati mereka hanya mampu saling berpandangan.

Kenapa dia diam? Perasaan dia pada aku dah tak macam dulu? Dah tak mahu merengek minta perhatian aku lagi? Walau apapun, gementar di dada Jamil juga tidak kurang hebat. Sejak bila jiwanya pandai bergetar saat berdepan dengan Syaza?

“Awak dah banyak berubah.” Jamil memecah kebuntuan antara mereka dalam suara lunak. Kalau dulu dia sering berkasar dengan Syaza, namun hari ini dia tidak rasa tindakan begitu wajar. Eloklah buang perangai lama.

“Maksud awak?”

“Rupa awak dah banyak berubah. Saya hampir tak cam masa mula tengok awak.” Hati Jamil mengakui Syaza yang di hadapan matanya kini jauh benar daripada Syaza yang lima tahun dulu. Anggun dan bergaya. Kulit halus dan licin. Wajah berseri dengan sepasang bibir yang merah bergincu. Bercakap pun ada gaya tersendiri dan sopan. Sambil mereka berbual, Jamil mengamati segala perbezaan itu.

Tawa Syaza meletus. Sinis. Dia ingat aku ni patung ke… dari dulu sampai sekarang sama saja! Hah, aku ni insan yang hidup dan bernyawa, kot. Mana boleh tak ada perkembangan pada diri aku!

“Lima tahun, kot. Mestilah ada perubahan pada diri saya.”

“Tapi jauh sangat perubahan tu.” Berkerut dahi Jamil.

“Dah saya pergi jauh…” Syaza menjeling tajam. Malu-malu dan manja. Gaya menggoda.

Jamil membalas dengan menghadiahkan senyuman maskulinnya kepada gadis itu. Kalau dulu senyum macam ini, dan-dan hati Syaza akan cair. Namun saat ini dia tidak pasti lagi akan kemampuan diri untuk memikat Syaza. Aku nak cuba-cuba pikat dia, apasal hari ni nervous pulak? Biar aku pandang dia puas-puas dulu. Dah lima tahun, kot…

“Mil… Mil!”

Tersentak pemuda itu mendengar namanya dipanggil agak kuat. Petikan jemari Syaza di hadapan mukanya menarik dia segera keluar dari alam anganan.

“Kenapa dengan awak? Awak okey ke?” Risau pula tengok mamat ni terus bungkam. Apa kes?

“Er… ha’ah. Sa-saya okey.”

Wajah Jamil terpisat-pisat. Termalu sendiri dengan gadis cantik di hadapannya. Harap Syaza tak fikir yang bukan-bukan.

“Sejak balik ni… awak ada buat apa-apa rancangan ke?” Jamil menyambung bicara dengan soalan entah apa-apa.

“Maksud awak?” Syaza mengerutkan kening. Agak keliru dengan soalan daripada jejaka ini.

“Sejak balik ni, awak ada buat aktiviti apa?”

“Dah lebih sebulan saya duduk kat rumah. Makan, tidur dan merayap aje. Selain tu saya tak ada rancang apa-apa. Nak hubungi kawan-kawan lama pun malas,” bebel Syaza. Macam mana nak rancang kalau ramai kawan-kawan tidak available? Bila diselidikki, semua orang sama ada sudah bekerja atau sedang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Yang tinggal hanyalah rakan yang masih dalam pantang atau sedang berbulan madu…

“Kerja?”

“Sejak minggu lepas saya dah mula cari kerja. Tu pun kat internet je. Saya elakkan aktiviti keluar rumah.” Syaza ramah bercerita.

“Kalau awak nak biasakan dengan jalan di KL ni saya boleh temankan,” tawar Jamil spontan.

Terangkat kening Syaza mendengar pelawaan itu. Kalau dulu jangan haraplah. Nak dekat dengan dia pun si Jamil ni takut. Alhamdulillah kalau betul si Jamil ni dah tak alergik dengan aku.

“Maksud awak?”

“Yalah. Dalam lima tahun ni banyak jalan yang dah berubah-ubah. Kalau tak biasa memang boleh sesat. Saya boleh temankan awak untuk tunjukkan jalan.”

“Awak ada masa ke?”

“Boleh aje,” akui Jamil. Senang hati kalau Syaza setuju ditemani.

“Tengoklah macam mana,” balas Syaza selamba setelah beberapa lama berdiam diri. Hei… mesti jual mahal, beb. Tak mahu jadi macam dulu-dulu. Kalau dulu mendapat pelawaan begini dia tidak teragak-agak berteriak kegirangan. Bila difikir-fikirkan semula, malu aje!

“Sungguh, tawaran saya tadi tu terbuka sampai bila-bila, tau.” Sekali lagi Jamil cuba meyakinkan gadis itu tentang tawarannya, apabila Syaza tidak mempamerkan keterujaan. Kenapa dia tak ghairah macam dulu, ek?

“Tak takut kena kejar dengan babah saya?” Seingat Syaza, babah memang tidak menggemari pemuda ini. Itu antara sebab dia dihantar jauh ke negara orang. Tapi babah tak cakap aku tak boleh bergaul dengan Jamil lepas aku dah balik dari London. Aku dah pun pergi selama 5 tahun. Nah, sekarang babah tak boleh mungkir janji. Dia harus akur jika aku nak sambung hubungan dengan Jamil. Jadi, apa yang aku buat sekarang ni tak salahlah.

Tawa Jamil meletus. “Dah besar panjang macam ni takkan awak tak bebas langsung?”

“Memang babah tak pernah kongkong pergerakan saya. Cuma awak tu kerja… tak eloklah saya ganggu masa awak.”

“Oo… saya tak kisah. Saya boleh aje ambil cuti.” Ada sahaja hujah Jamil. Kalau hati sudah suka, semua boleh diatur. Eh, suka ke aku?

“Nanti-nantilah. Makanan dah sampai. Hah, sekarang kita makan dulu. Awak dah kenyang ke?” Syaza beralih tajuk.

Huh, macamlah boleh percaya cakap dia. Syaza hanya berdesis di dalam hati. Kebetulan perutnya sudah berkeroncong. Terliur melihat makanan yang baru diletakkan pelayan di atas meja, masing-masing menjamahnya dalam sepi.

“Mm, lepas makan ni awak nak ke mana saja, saya akan temankan. Hari ni saya lapang.”

Syaza tersenyum sambil menikmati mee bandung yang belum berpeluang merasainya sejak pulang ke tanah air. Terlebih nikmat pula makanan itu setelah mendengar kata-kata Jamil. Sekarang ni siapa yang mengejar siapa?

“Saya belum fikirkan lagi. Mm, sedapnya mee bandung ni.” Syaza tersenyum puas menikmati suasana baru ni. Haruslah si Jamil ni jadi hak aku tak lama lagi, sorak hatinya yang sedang berbunga tatkala ini. Berselera dia menghabiskan mee tadi.

Jamil mengambil kesempatan menatap raut Syaza yang ayu. Tak rasa malu langsung merenung tajam wajah yang memukau di hadapannya. Jiwa semakin kacau berhadapan dengan Syaza yang baru pulang dari tanah Ratu.

Tanpa mereka sedari ada dua pasang mata yang tekun mengamati tingkah laku mereka yang tampak selesa bersama.


USAI menekan butang send, Syaza menunggu panggilannya dijawab. Sambil itu dia tersengih senang. Tak sabar rasanya. Berita gembira ini harus dikongsi dengan sahabat baiknya.

“Farah, kau sibuk ke?” Laju saja Syaza menerjah sebaik panggilannya dijawab. Salam pun tidak terucap.

“Apa hal dengan kau? Menang cabutan bertuah ke?” sinis Farah.

“Haah, lebih kurang macam tu lah.” Dalam hati bernyanyi riang. Berbunga-bunga penuh se taman.

“Hah. Kalau macam tu bolehlah belanja aku!” sakat Farah.

“Kat mana? Kau cakap aje.” Syaza sudah terkekeh riang. Belanja makan di manapun dia tidak kisah, asalkan dapat memikat hati Jamil.

“Mm, ni mesti berita baik. Kau dah dapat kerja ke?”

“Bukan. Berita ni lebih baik dari tu!”

“Cerita ajelah. Aku malas nak teka dah!” rengus Farah. Letih dengan kerenah minah sorang ni.

“Yalah, yalah. Macam ni… tadi aku keluar merayau sorang-sorang. Cer teka siapa aku jumpa?” balas Syaza. Masih dalam mood berseloroh.

“Manalah aku tahu. Mestilah jumpa ramai orang kalau dah keluar rumah.” Farah malas mahu mendengar celoteh rakan ini. Kebelakangan ini dia kurang berminat terhadap Syaza dan kehidupan gadis itu.

“Kau nii, anti klimaks betullah,” tukas Syaza.

“Nak cakap, cakap aje. Dah letih aku nak main teka-teki. Aku tengah kerja ni.”

“Yalah, yalah. Farah… secara tak sengaja aku terserempak dengan Jamil!” Ceria benar kedengaran suara Syaza di hujung talian.

Mata Farah sudah membuntang biarpun tidak dapat dilihat oleh rakannya yang sangat teruja itu. Farah menelan liur yang kesat.

“Ya ke? Dia tegur kau?” Terpancing minat Farah mendengar berita tersebut.

“Bukan saja tegur, malah dia ajak aku makan se meja. Lama juga kami borak. Macam-macam hal,” cerita Syaza dalam nada ceria. Bahagia benar dia dengan pertemuan tadi.

“Mm, seronoklah kau. Dah terubat kerinduan selama bertahun-tahun.”

“Tu aku tak nafikan. Tapi bukan semudah tu, Farah.”

“Apa yang susahnya?” soal Farah. Suaranya sedikit kasar. Geram. “Kau memang syok kat dia dari dulu. Sekarang dia dah jumpa kau semula. Kau pula dah cantik dan jelita, mesti dia pun dah mula rindukan kau. Itu yang kau nak, selama ni kan?” terjah Farah laju. Hati semakin panas.

“Eh, kenapa dengan kau? Dengar suara macam marah je. Kau jeles, ek?” terkekeh lagi Syaza. Kenapa mesti Farah cemburu pula?

“Eh, apasal aku mesti cemburu? Aku cuma tak nak kau tertipu dengan layanan mesra dia. Aku tak sanggup tengok kau kecewa,” tegas Farah. Dia berusaha melenturkan suaranya apabila menyedari percakapannya agak kasar.

“Relaks Farah. Aku tak semurah tu. Aku bukan Syaza yang dulu. Aku tahu macam mana nak handle situasi ni,” beritahu Syaza penuh yakin. Dia tersenyum sendiri.

“Maksud kau?” Farah mula keliru mendengar kata-kata rakannya. Apa yang Syaza nak buat?

“Nanti-nantilah.”

“Habis, kenapa kau telefon aku?” Berkerut kening Farah.

“Aku cuma nak bagi tahu kau, tak yah lakau susah payah nak aturkan pertemuan aku dengan Jamil. Kami dah pun berjumpa. Aku dah ada nombor telefon dia dan sebaliknya,” cerita Syaza dalam nada ceria.

Farah terkebil-kebil mendengarnya. Berusaha mengawal mood yang terus sentap.

“Hm, oklah tu. Aa… aku nak sambung kerja. Bye.” Tanpa menunggu, Farah mematikan talian. Jiwa semakin sebal.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Durrah Fatiha