Home Novel Cinta 5 TAHUN UNTUK CINTA
5 TAHUN UNTUK CINTA
Durrah Fatiha
26/3/2017 00:19:47
17,874
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

Bab 15

AHMAD SUHAIL tiba awal ke rumahnya petang itu. Dilihatnya Syaza sedang ralit menonton rancangan tv di ruang keluarga. Dia mendekati Syaza dan melabuhkan punggung di sofa panjang yang sedang dihuni gadis itu.

“Mana ibu?” soalnya ringkas. Bekas bertih jagung yang di atas riba Syaza dialihkan ke ribanya pula. Kini giliran dia menikmati makanan tersebut sebelum dirampas kembali oleh Syaza. Sejak dulu kedua beranak itu berkongsi kegemaran, dari segi makanan mahupun sikap dan pendirian.

“Ibu kat dapur. Goreng keropok leko, kot.” Mata Syaza masih melekat di skrin empat segi di hadapan mereka.

Kedua-dua beranak ralit mengunyah sambil menonton tv. Menikmati suasana santai bersama. Tidak perlu aktiviti hebat untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Memadai duduk dan berbual-bual dalam suasana damai begini.

“Awal abang balik hari ni,” tegur Zaiton yang mendekati dua beranak itu. Dia menatang dulang berisi juadah makan petang berserta minuman di dalam teko. Diletakkan dulang di atas meja di hadapan anak dan suaminya.

“Nak tengok muka puteri kita ni. Nak borak dengan dia.” Ahmad Suhail menyambut cawan berisi teh O yang dihulurkan si isteri.

“Tengoklah anak abang tu… hari-hari kerjanya menghadap tv aje.”

“Alah ibu, siaran tv kat Malaysia ni dah macam-macam. Dah terlekat pula tengok drama Melayu yang berantai tiap-tiap petang.”

“Drama, drama juga… Sya dah hubungi Hadif?” Ahmad Suhail mahukan kepastian.

“Belum.” Sepatah sahaja jawapan Syaza. Dalam hati tidak ada minat langsung. Entah kenapa dia keberatan untuk berurusan dengan lelaki tersebut sebagaimana yang disarankan ayahnya. Mungkin kerana terlihat kemesraan Hadif bersama seorang gadis tempoh hari, maka persepsi dia tentang lelaki itu tidak berapa positif. Pertemuan mereka di pasar raya beberapa hari lalu turut membuat dia hilang minat terhadap lelaki tersebut.

“Sya jangan tunggu lama-lama. Nanti kerja tu terlepas pada orang lain. Zaman sekarang ni bukan senang nak dapat kerja.” Ahmad Suhail terus memancing jiwa anaknya. Dia harus berusaha menarik keinginan Syaza untuk bekerja dengan syarikat kepunyaan Hadif. Dia sudah malu dengan Hadif apabila lelaki itu menelefon dia pagi tadi. Hadif mahu tahu bila Syaza akan ke pejabatnya untuk menghantar sijil-sijil dan resume.

“Tengoklah macam mana. Mm, sedapnya keropok leko ibu ni. Ibu beli kat mana, ya?” soal Syaza bagi melarikan bualan dari isu tadi. Laju sahaja dia menerkam juadah tersebut.

“Kawan ibu belikan kat Losong.”

“Losong tu di Kuala Terengganu kan, bu?” Syaza sengaja menyoal sedangkan dia memang tahu tempat itu terletak di mana. Dia bukan buta sejarah.

“Haah,” jawab Zaiton sepatah.

Ahmad Suhail dengan isterinya hanya saling berpandangan. Resah di jiwa masing-masing melihat gelagat Syaza yang asyik mengelak dari bertemu Hadif. Bagaimana mahu memujuk anak tunggal mereka ini supaya bersetuju bekerja di syarikat kepunyaan Hadif?

Ahmad Suhail terkenang bualan telefon mereka pagi tadi. Lelaki itu sudah bersedia untuk menempatkan Syaza bekerja di pejabatnya. Malah, Syaza diminta melaporkan diri di pejabatnya pada bila-bila masa sahaja. Bila mendengar penjelasan Syaza sekejap tadi, hati Ahmad Suhail naik geram. Kenapa Syaza menolak tuah? Aku dah hilang sabar dengan kedegilan anak seorang ni!

“Kenapa dengan Sya? Babah susah payah berbincang dengan Hadif, tau. Sya pulak macam tak berminat langsung.” Ahmad Suhail menegur sikap endah tak endah anaknya.

“Kenapa babah? Mesti ke Sya terima tawaran tu?”

“Wajib.” Tegas jawapan yang diberikan Ahmad Suhail walaupun sepatah. Wajahnya sudah ketat.

“Babah!” Syaza kaget dengan nada babah yang tiada kompromi. Keliru. Apa masalah babah? Kenapa dia seboleh-bolehnya memaksa aku?

“Sya, dengar sini…” Ahmad Suhail menggoncang telunjuk di hadapan muka si anak. Wajah sudah serius semacam.

“Babah bagi syarat… kalau Sya nak kerja, babah hanya izinkan Sya kerja dengan syarikat Hadif. Kalau tak, Sya jangan kerja langsung! Ini keputusan babah,” sergah Ahmad Suhail yang segera bangkit meninggalkan ruang itu.

Syaza terpinga-pinga mendengar nada babah yang tinggi dari biasa. Langsung tidak terfikir oleh benaknya akan menerima tamparan sebegini. Sepanjang hidupnya dia tidak pernah melihat sisi babah yang tegas lagi bengis. Lima tahun di luar negara, nampaknya babah sudah berubah. Apa yang membuat babah bertukar personaliti?

“Sya…” panggil Zaiton lembut.

Mata Syaza yang berkaca dikalih ke arah ibu yang kini mengelus lengannya lembut.

“Jangan ambil hati dengan babah, ya. Babah dah tua. Banyak beban yang dia tanggung…” Zaiton berjeda. Keberatan untuk meneruskan bicara. Takut andai terlepas cakap yang tidak sepatutnya pula.

Setitis air yang merembes di pipi anak daranya diseka oleh si ibu. Kasihan melihat raut kesedihan di wajah anaknya. Ya, Syaza tidak pernah tahu kesengsaraan yang mereka tanggung sepanjang dia di luar negara. Zaiton geleng. Menolak segala memori kesedihan itu jauh-jauh dari minda. Tak sanggup tempuhinya sekali lagi…


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Durrah Fatiha