Home Novel Cinta 5 TAHUN UNTUK CINTA
5 TAHUN UNTUK CINTA
Durrah Fatiha
26/3/2017 00:19:47
17,871
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Bab13

HIRUK-PIKUK waktu makan tengah hari sangat terasa di kawasan yang padat dengan kedai-kedai makan dan juga ruang komersial. Syaza tiba di salah satu kafe di situ setelah berlegar-legar mencarinya.

“Huh, susah payah aku mencari tempat ni.” Mata Syaza melingas ke sekeliling kafe, menikmati dekorasinya yang menarik. Farah yang terlebih dahulu tiba di situ sudah memesan makanan untuk mereka.

“Yalah, kau kan dah lama tak ada kat sini… mestilah ambil masa nak biasakan diri dengan KL.” Pertemuan mereka tengah hari itu berlangsung di kawasan deretan kedai yang menjual makanan, tidak jauh dari tempat kerja Farah.

“Syoknya kau dah kerja,”ujar Syaza dalam nada teruja melihat kesegakan rakannya berpakaian pejabat. Blaus pendek berbunga kuning kecil-kecil digayakan dengan skirt labuh polos warna kuning emas. Kasut tumit setinggi 4 inci warna krim tersarung di kakinya.Dilengkapi dengan tas tangan berjenama.

“Aku baru enam bulan merasa gaji, kot. Banyak lagi yang aku perlu belajar dalam kerja aku ni. Eh, makanlah. Kau tak suka menu yang aku dah tempah ke?” Farah baru teringat yang dia terus memesan makanan tanpa bertanya gadis ini terlebih dahulu.

“Aku okey aje.” Syaza merenung kepada spaghetti olio aglio yang terhidang di hadapan mata. Ada cendol aiskrim sebagai pemanis mulut yang baru dihantar oleh pelayan. Mm… meleleh air liur ni.

“Hari ni aku belanja, tau.” Farah menghadiahkan senyuman manis. Dia ikhlas terhadap rakan yang sangat rapat dengannya sewaktu di bangku sekolah dulu. Namun dengan perkembangan terkini, mampukah mereka bergandingan diri seperti dulu?

“Terima kasih Farah. Kau memang kawan yang baik.”

Farah menelan liur. “Ya ke?”

“Mestilah. Dari dulu lagi kita memang rapat.”

“Haah.” Singkat jawapan Farah. “Eh, makanlah. Buat apa tunggu lagi. Nanti sejuk tak sedap.”

Kedua-duanya tersengih menikmati makanan masing-masing.

“Kau nak ke mana lepas ni? Pukul dua aku kena masuk ofis semula. Tak dapat nak temankan kau,” ujar Farah setelah selesai menghabiskan makanan.

“Takpe, aku faham. Sebenarnya, aku… aku nak cari peluang untuk jumpa dengan Jamil.” Rendah sahaja suara Syaza menzahirkan hasrat yang tersimpan dalam hati sejak beberapa hari yang lalu. Dia mengharapkan Farah untuk membantu merealisasikan hasrat tersebut.

Farah merenung lama ke wajah rakannya. Runsing juga memikirkan minat gadis ini terhadap pemuda bernama Jamil itu masih tersimpan.

“Serius?”

“Yalah, beb.”

Farah menelan liur lagi. “Habis tu kau nak aku buat macam mana?”

“Mesti kau ada kenal dengan kawan-kawan dia. Boleh kau tolong aku berhubung dengan dia? Aku perlu jumpa dia secara empat mata. Sekali pun, jadilah. Aku nak pastikan perasaan aku.”

Wajah Syaza direnung dalam. Farah bagaikan tak percaya dengan pernyataan gadis di sisinya. Macam mana nak suruh dia berpijak di bumi nyata? Minah ni tak serik kena reject ke? Tak takut kecewa?

“Sya, dah lima tahun terpisah… kau belum pasti lagi? Kau tak menyesal kalau sikap dia pada kau masih macam dulu?” Farah mengingatkan rakannya tentang kisah dulu-dulu. Tidak mahu Syaza terluka sekali lagi. Bukan dia tidak ingat bagaimana teruknya layanan Jamil terhadap Syaza yang terhegeh-hegeh menagih perhatian pemuda itu. Macam sampah saja diperlakukan rakannya ini. Malah, dialah yang selalu ‘menyelamatkan’ dan membela Syaza setiap kali diperli oleh Jamil. Demi Syaza, dia sanggup bertekak dengan Jamil.

“Aku nak buat keputusan yang betul,” akui Syaza akhirnya.

“Hari tu kau dah jumpa dia. Tak cukup?”

“Bukan macam tu, Farah. Aku perlu jumpa dia secara one-to-one. Nak habiskan masa bersama dia sekurang-kurangnya setengah hari. Aku perlu nilai semula perasaan aku dan perasaan dia pada aku. Barulah aku boleh buat keputusan untuk terus mengharap cinta dia atau tamatkan di sini saja.”

Berubah keruh air muka Farah.

“Err… macam mana kalau dia macam dulu juga?” Farah terus menduga.

“Mm… tak tahulah. Kecewa juga kot. Tapi belum cuba belum tahu. Aku masih nak mencuba nasib. Tu sebablah aku perlukan pertolongan kau. Farah, tolong cari jalan supaya aku dapat jumpa dia. Please.” Syaza rayu sungguh-sungguh.

Wajah Syaza yang penuh mengharap itu direnung lama oleh rakannya. Runsing Farah dengan permintaan yang rumit ini. Kalau dia give up dengan Jamil, kan senang!

“Mm… baiklah. Aku akan cuba cari jalan. Tapi mamat tu tak ada kat KL sekarang ni. Dengar kata dia berkursus di JB.” Agak lama baru Farah memberikan jawapannya.

“Terima kasih Farah. I know I can count on you. Terima kasih juga untuk makan tengah hari yang lazat ni.”

“Sama-sama kasih. Pasal Jamil tu… nanti aku tengok macam mana. Okeylah, aku kena balik kerja ni.” Nada Farah sedikit dingin. Dia bangkit menuju kaunter untuk membuat bayaran sementara Syaza menunggunya di luar restoran.

“Jom aku temankan kau sampai ke pintu pejabat. Nak tengok juga kat mana kawan aku ni kerja,” ujar Syaza sebaik gadis itu menghampirinya semula. Tidak menyedari mood Farah yang menurun.

No problem. Kau bila nak cari kerja?” soal Farah sambil mereka berjalan menuju pejabatnya.

“Aku tengah tension pasal tulah ni.”

“Apahal nak tension bagai? Relakslah. Buka aje internet tu… banyak peluang kerja diiklankan kat dalam tu,” saran Farah, memberikan jalan keluar.

“Aku tahu. Tapi mood aku ke laut sekarang ni. Semua ni babah aku punya hal,” dengus Syaza. “Ada ke patut, dia suruh aku contact kawan dia… minta kerja kat sana.”

“Okeylah tu.”

Syaza hanya mencebik.

“Tak kisahlah siapa dia…kau cepatlah contact. Kau tak nak kerja ke? Nanti terlepas kat orang lain.” Segera Farah mengingatkan.

“Entahlah, aku macam keberatan aje nak kerja kat syarikat kawan babah,” luah Syaza lemah.

“Syarikat tu deal dalam bidang apa?” Si Farah masih berminat.

“Entah. Aku tak terfikir nak ambil tahu. Rasanya syarikat orang tu kecil aje.”

Farah terkekeh sendiri.

“Kau ni macam-macamlah. Belum tengok profile syarikat, dah buat tanggapan,” marah Farah lagi.

“Alah, mamat tu pakai kereta Proton Perdana versi lama aje, kot. Tentulah syarikat dia tak besar mana,” cemek Syaza.

“Hah, sejak bila kereta seseorang menentukan besar ke kecil syarikat dia? Pada akulah… dia dah ada syarikat sendiri tu pun dah membuktikan yang dia tu seorang yang berkemampuan. Dan kau jangan tak tahu… ada orang suka low profile, walaupun dia usahawan berjaya,” hujah Farah yang nyata berbeza pandangan dengan rakannya.

“Orang sekarang ni bukan boleh tentu. Cakap ada syarikat sendiri, kadang-kadang nak tunjuk gah aje,” tingkah Syaza. Masih tidak yakin dengan lelaki yang diakui rakan oleh ayahnya. Takkan muda lagi sudah jadi usahawan berjaya?

“Betul juga kata kau. Ramai juga usahawan yang bungkus setelah beberapa lama dalam bisnes.”

“Tulah pasal, aku cuak sikit dengan mamat ni,” lontar Syaza.

“Eh… mamat? Maksud kau… dia tu muda lagi, ek?”

“Ha’ah. Muda jugaklah. Rasanya dalam awal 30an. Kenapa? Berminat?”

“Kacak?” Farah sudah tersengih suka.

Syaza hanya menjongketkan bahu.

“Dah kahwin?”

Jelingan tajam dihadiahkan kepada rakannya. Hah, miang juga si Farah ni!

“Amboi! Laju aje kau ni kalau bab-bab macam tu. Maaflah, aku belum temuduga dia lagi. Nanti aku bagi tahu, kau,” jegil Syaza kepada rakan yang dianggap menyibuk itu.

“Kann…” Farah cuma tertawa kecil. Bersahaja menerima tempelak itu.

Bye. Aku naik ofis dulu.” Mereka berpisah di hadapan pintu lif ke pejabat Farah. Sejurus kemudian Syaza mula melangkah. Perlu mencari stesen komuter yang terdekat. Dia mahu segera pulang.

Syaza beralih mencari stesen komuter untuk pulang. Dia tersenyum mengingatkan minat si Farah terhadap Encik Hadif. dia tergeleng-geleng.

Teringat pula, dia pernah ternampak jejaka itu bersama seorang perempuan. Serentak itu memori mengimbau insiden berlanggar troli dengan Hadif minggu lepas. Wajah Syaza memerah sebaik terkenang saat pandangan mereka yang bertaut agak lama. Tak tahu kenapa. Lekas pula dia menolak hal itu ke tepi.



Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Durrah Fatiha