Home Novel Cinta 5 TAHUN UNTUK CINTA
5 TAHUN UNTUK CINTA
Durrah Fatiha
26/3/2017 00:19:47
17,870
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

Bab12

DIAM tak diam sudah sebulan Syaza pulang ke tanah air. Dalam tempoh tersebut, dia banyak menghabiskan masa berjalan-jalan dan berkepit bersama ibu. Ada juga mereka pulang ke kampung menjenguk ibu saudara dan sepupunya. Kini sudah terubat rindunya kepada tanahair yang pernah ditinggalkan. Syaza mulai resah memikirkan haluan hidup. Sampai bila mahu makan tidur dan berseronok sahaja? Hidup sudah tidak selesa dengan rutin seharian yang sedia ada. Sudah tiba masa dia melangkah ke alam kehidupan yang lebih mencabar dan bermakna.

“Babah, Sya dah lama balik. Hari-hari asyik enjoy dan merayap merata-rata. Lepas tu balik rumah, makan tidur dan tengok tv aje. Bosan dah.” Syaza memulakan sebaik selesai meneguk minumannya. Hal itu meresahkan dia sejak beberapa hari kebelakangan.

“Tak kisahlah kalau Sya nak makan tidur dan tengok tv sampai setahun pun. Tiap-tiap hari ibu boleh masakkan makanan kegemaran Sya.” Zaiton memberikan jawapan seloroh.

“Ibu! Macam ni hari-hari…Sya jadi gemuk, tau. Nanti tak lawa. Lepas tu ibu merungut tak ada orang yang nak kahwin dengan Sya.” Syaza sudah muncung. Ada ke macam tu pula ibu ni? Dalam fikiran Syaza sebenarnya ada perkara lain yang lebih serius.

“Soal jodoh ni kerja ALLAH. Kalau pun Sya gemuk, in sha ALLAH adalah yang menunggu. Sya kenalah berlapang dada dan terima apa yang ALLAH aturkan.” Ahmad Suhail memujuk. Ada maksud yang tersirat dengan kata-kata itu. Hanya dia dan isterinya yang faham. Bila tiba masanya dia berharap Syaza akan faham maksud kata-katanya.

“Alah, Sya nak maintain cantik. Kalau kahwin biar suami tak pandang orang lain dah,” tukas anak gadisnya tanpa mengesyaki apa-apa.

“Ada apa lagi yang tak cukup? Sya dah nak kahwin sangat ke?” celah Zaiton. Dia berhenti mengunyah. Mencuri pandang ke arah suaminya seketika. Susah juga kalau Syaza sudah ada pilihan hati.

“Haah, Sya. Babah pun nak tahu juga. Dah ada calon ke?” Dada Ahmad Suhail sudah mengalun debar. Tak sedap hati. Syaza sudah ada teman istimewa sejak di London ke?

“Eei, ke situ pulak babah dengan ibu, ni. Sebenarnya Sya rasa dah bersedia nak kerja.”

Sekali lagi Ahmad Suhail dengan isterinya mencuri pandang sesama sendiri. Kelegaan terpancar di wajah masing-masing.

 “Hm… yang itu pun bagus juga. Babah tertunggu-tunggu bila Sya nak buka tajuk ni.” Ahmad Suhail dengan senang hati membalas kata-kata anak gadisnya.

“Sya tunggu juga… bila babah nak tawarkan Sya kerja kat syarikat kita?”

Suasana sunyi seketika.Tiada reaksi daripada kedua-dua orang tuanya. Hanya jelingan sesama sendiri dilepaskan.

“Kenapa babah? Ada yang tak kena ke?” soal Syaza. Bingung dengan kebisuan daripada kedua-dua ibu dan babah. Bagaikan sesuatu yang salah pula dengan pertanyaannya itu.

“Err…”

“Tak salah kan, apa yang Sya cakap?” Gugup Syaza bertanya. Pandangan beralih kepada ibu dan babah silih berganti.

“Tak! Tak! Babah cuma…tak sangka yang Sya sudi nak tolong babah kat pejabat. Sya serius?” Tergagap-gagap si ayah menyoal.

“Kenapa tidak?” Laju sahaja Syaza menjawab.

“Kerja kat pejabat babah tak glamour, tak mencabar. Tak banyak yang Sya boleh belajar. Nanti Sya cepat bosan,” tukas Ahmad Suhail segera.

“Bukan ke satu hari nanti syarikat tu akan jadi milik Sya juga?”

Ahmad Suhail merenung cawan kopi di tangan. Menghela nafas sebelum menghirupnya perlahan.

“Haah… ya, betul,” akuinya sejurus kemudian.

“Ibu rasa… elok Sya cari pengalaman kat tempat lain dulu. Bila dah mahir dengan selok-belok perniagaan, barulah Sya ambil alih syarikat babah. Tak gitu, babahnya?” Zaiton mencelah dengan kata-kata begitu. Memberikan pandangannya mengenai isu tersebut.

“Haah. Itulah yang babah maksudkan, Sya.” Ahmad Suhail terangguk-angguk.

“Mm, betul jugak tu.” Syaza tergelak kecil. “Babah, sebenarnya Sya sendiri belum bersedia nak kerja kat syarikat kita.” Terus terang Syaza menzahirkan isi hatinya.

“Habis tadi kata berminat…” balas Ahmad Suhail.

“Alah, Sya acah aje. Sebenarnya Sya nak cari pengalaman dulu. Hm, Sya dah tengok kat dalam internet. Ada beberapa syarikat yang nak pakai orang yang berkelulusan macam Sya, ni. Esok atau lusa Sya cadang nak hantar resume. Malah, ada juga syarikat yang Sya dah e-mail resume.”

Ahmad Suhail menelan liur. Gelas berisi jus oren pula dicapai. Diteguk isinya perlahan-lahan. Fikiran ligat memikir cara untuk menyampaikan apa yang ada dalam hatinya.

“Itu semua lambat, Sya. Babah ada cadangan untuk short cut. Yang ni babah jamin Sya akan terus dapat kerja tu.”

“Ya ke babah?” Syaza sudah teruja mendengar perkhabaran babahnya.

“Apa kata esok Sya pergi jumpa kawan babah kat pejabat dia.” Selamba sahaja Ahmad Suhail memberikan saranan.

“Kat pejabat kawan babah ada kerja kosong?”

“In sha ALLAH Hadif boleh tolong.” Laju Ahmad Suhail memasukkan jarum. Dia mahu Syaza bertemu empat mata dengan lelaki tersebut. Dia mahu anak gadisnya mengenali Hadif lebih dekat.

“Hadif?”

“Hadif, kawan babah yang Sya jumpa semasa kenduri hari tu,” akui Ahmad Suhail.

“Encik Hadif tu boleh tolong Sya dapatkan kerja ke? Dia ada banyak contacts ke babah?”

“Hadif ada syarikat sendiri. Dia boleh bagi kerja pada Sya.”

Ketawa kecil terlepas dari bibir Syaza.

“Tak naklah babah. Sya nak mohon sendirilah. Tak suka pakai kabel-kabel ni. Nanti terhutang budi, susah…” Gadis itu menjelaskan pendiriannya.

Berubah keruh air muka Ahmad Suhail seketika. Gugup mendengar perkataan ‘terhutang budi’ yang disebut anak gadisnya. Lafaz itu amat sensitif bagi mereka suami isteri.

Zaiton yang sedang mencuci tangan segera mencari anak mata suaminya. Merenung tajam wajah Ahmad Suhail yang tak ubah macam kucing terlekat tulang saja. Lelaki itu mengetap gigi menahan rasa. Zaiton juga apa kurangnya, tersentak sekejap.

“Babah hanya benarkan Sya kerja kalau Hadif kata okey.” Meluncur laju kata-kata itu daripada bibir Ahmad Suhail. Oops! Tersalah cakap pula. Dia berusaha mengawal degupan yang kuat mengetuk dada.

What? Apa maksud babah? Apa kena-mengena Encik Hadif dalam hal ni?” Berkerut sakan kening Syaza. Macam mana pula nama Encik Hadif tu masuk dalam perbincangan kami!

“Oo… eh, tersasul pulak babah.” Terkial-kial Ahmad Suhail membuat penjelasan. “Mm… maksud babah… kalau Hadif kata okey, Sya boleh la kerja kat tempat dia. Seingat babah, masa babah telefon hari tu dia dah kata okey. Tu sebablah babah nak Sya pergi jumpa dia.” Cepat-cepat Ahmad Suhail membetulkan maksudnya.

“Babah biar benar. Kerja apa sangatlah yang ada di syarikat dia? Sya tengok dia bawa kereta Perdana lama aje. Berjaya sangat ke dia tu?” cebik Syaza sambil terkenang kepada lelaki yang ditemui sewaktu babah dengan ibu mengadakan kenduri kesyukuran tempoh hari. Memanglah rupa macam sepupu Shah Rukh Khan dan Amir Khan, tapi rupa tak menjamin kejayaan seseorang.

“Sya… jangan pandang orang pada apa yang kita nampak secara zahiriah saja,” nasihat Zaiton yang diam sejak tadi mengamati perbincangan dua beranak itu. Ada maksud di sebalik kata-kata itu.

“Sya pergi pejabat, jumpa dia dulu… bincang dengan dia. Babah yakin ada kerja yang sesuai di situ untuk Sya,” ungkap Ahmad Suhail dalam nada lebih tenang kini. Haish, macam mana boleh tersasul tadi.

“Babah, tadi lagi Sya dah cakap… tak nak termakan budi.” Sekali lagi Syaza menolak cadangan babah.

“Dia bukan orang yang macam tu. Dia akan tolong dengan ikhlas. Dia tak akan minta dibalas budi.” Ahmad Suhail menekan suaranya. Macam orang terdesak saja bunyinya.

“Babah yakin?”

“Babah kenal dia lama dah. Sya pergi dulu, jumpa dia dulu.” Ahmad Suhail menjeling isterinya yang kini mencerunkan pandangan.

“Betul tu Sya,” tambah Zaiton laju. Membantu suaminya dalam misi meyakinkan si nak tentang peluang kerja di syarikat kepunyaan Hadif.

“Baiklah, kalau itu kata babah.” Syaza bersetuju namun di dalam hati tidak yakin lelaki itu mampu memberikan pekerjaan sesuai untuknya. Demi mengambil hati babah, dia akan pergi juga.

“Ni nombor telefon dia. Sya telefon dia dulu sebelum pergi,” pesan Ahmad Suhail. Dia menghulurkan kertas yang sedia tercatit nombor telefon lelaki yang disebut-sebut tadi.

“Tengoklah babah. Bila-bila Sya ada mood, Sya pergi,” balas Syaza dalam nada menurun. Sungguh dia tidak teruja untuk melaksanakan tugasan yang baru diberikan babah kepadanya.

“Eh, buat apa tunggu lama? Esok Sya boleh terus pergi. Sya kata dah bosan duduk rumah, kan.” Ahmad Suhail tidak menunggu lagi. Terus angkat punggung dan berlalu. Malas mahu mendengar hujah balas daripada anaknya.

Wajah Syaza berubah kelat melihat gelagat orang tuanya. Dalam keberatan dia membelek nombor yang tertera di atas kertas. Keluhan terbit dari bibirnya. Mamat tu langsung tak ada business card ke? Ahli perniagaan apa, macam tu. Sempat hatinya mengutuk lelaki yang pernah ditemui di sebuah pasar raya itu.

Previous: Bab 11A
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Durrah Fatiha