Home Novel Cinta A LOVE TO KILL
A LOVE TO KILL
Farhah Aiddin
27/7/2021 11:07:15
35,941
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 9

Putaran bumi pada kelajuan 1,670 kilometer per jam berlaku sepanjang masa. Ribuan tahun bahkan jutaan tahun. Namun tidak pernah disedari oleh sesiapa sehinggalah berlakunya pembuktian fenomena ini oleh sains.

Tuhan ciptakan dunia ini dengan begitu hebat. Sampaikan putaran bumi yang hampir dua kali ganda kelajuan kapal terbang boeing-777 selamat untuk setiap makhluk yang hidup di dalamnya. Tiada langsung kesan yang memudaratkan pernah terjadi. Putaran itu laju. Berputar tanpa henti. Tidak kira malam atau siang. Tidak kira zaman ataupun masa.

Jika seorang Syifaa Qaireen diberi ruang untuk memutarkan hidupnya selaju putaran bumi, sudah tentu dia mahu lakukannya. Demi meninggalkan segala rasa sakit yang ditanggung selama hanyatnya ini dan memadam ingatan yang perit. Juga turut menghapus mereka yang sering menyakitinya. Dalam senyap, tanpa disedari oleh sesiapa pun.

“Syifaa, sini kejap.” Panggil Tok Ayah yang sedang terlantar sakit di atas katil di ruang tamu rumah mereka. Tok Ayah sudah lama menderita sakit tiga serangkai; kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

Syifaa Qaireen yang baru selesai membasuh pinggan mangkuk di dapur, tersentak. Apa lagi yang bakal telinganya tadah sebentar nanti? Dalam teragak-agak, dia melangkah jua. “Kenapa tok? Tok nak air ke?”

“Kau tak layak ada dalam rumah ini. Dari mula aku melihat wajah kau, aku tak pernah senang. Bagi aku, kau manusia yang terlalu jijik dan hina.”

Terkatuk rapat bibir Syifaa Qaireen menadah bicara lancang yang tidak berlapik itu. Entah kenapa dia tetap tergores dan terluka biarpun hatinya sudah lali dijijikkan semua orang. Berkali-kali bahkan setiap hari. Perkataan jijik dan hina itu tidak pernah lekang dari bibir sesiapa sahaja yang mengenali dirinya.

Tapi, kenapa hatinya tetap tergores dan terluka mendengarnya?

“Kalau bukan kerana darah yang mengalir dalam tubuh kau tu darah dia, pasti aku dan isteri aku dah bunuh kau seperti permintaan anak aku.” Mata Tok Ayah menjeling cucunya itu. Di saat hayatnya bakal berakhir tidak lama lagi, dia masih tidak ingin memandang wajah yang amat dibenci itu. “Kau lubuk emas keluarga ini. Aku menjaga kau dengan penuh kebencian atas apa yang telah keluarga dia lakukan terhadap anak yang aku tatang bagai minyak yang penuh.”

“Aku benci kau, Syifaa. Lebih-lebih lagi wajah kau semakin menyerupai dia. Setiap kali aku melihat kau, aku akan nampak dia dan seluruh keturunan dia.”

“Si…siapa dia?” Dalam perit menghadam penghinaan, Syifaa Qaireen cuba beranikan diri bertanya. Dari pengakuan kebencian Tok Ayah, jelaslah ‘dia’ insan yang telah merobek hati dan kepercayaan lelaki tua ini.

Laju sahaja bibir Tok Ayah menutur nama ‘dia’ sekali gus buatkan air mata Syifaa Qaireen melimpah keluar. Kepalanya turut tergeleng-geleng menelan kebenaran yang begitu menyakitkan ini.

“Patutlah semua orang benci Syifaa! Patutlah Syifaa tak pernah ada dalam hati keluarga ini!” Bibir bawah digigit kuat demi sebuah kekuatan. Sungguh, tubuhnya sekarang sedang menggigil menahan rasa. Pengakuan itu tak pernah terlintas dalam kepalanya. Kenapa harus nama itu yang menjadi ‘dia’?

Syifaa Qaireen terus membuka langkah berlari laju menuju ke Istana Mahligai Nan Indah yang tidak pernah dijejakinya itu. Sebelum ini, dia hanya berani memandang mahligai itu dari jauh sahaja. Wajah penghuninya juga dapat dilihat samar-samar kerana Nek Dian dan Tok Ayah amat marah jika mereka tahudia mendekati mahligai tersebut.

Tapi tidak hari ini. Dia mahu melampiaskan kemarahan. Dia mahu mereka tahu betapa sakitnya hidup ini kerana kekejaman ‘dia’ terhadap dirinya yang langsung tidak mengetahui apa-apa.

Kata mereka, “Mahligai itu penghuninya terlampau mengagungkan diri mereka. Kami yang tidak setanding dengan penghuninya boleh jejak ke situ atas tiket pekerja yang bekerja. Kau? Kau manusia yang tak akan pernah layak menjejakkan kaki ke sana. Walau seinci. Cerminlah diri tu, Syifaa Qaireen.”

Syifaa Qaireen melepaskan keluhan berat. Bayangan Tok Ayah dibuang jauh dari imaginasinya. Kata-kata kejam Tok Ayah juga dilempar pergi. Bermula dari saat itu, dari hari itu, dari kenyataan dan pengakuan itu, dia bukanlah lagi Syifaa Qaireen yang lemah dan sekadar tunduk membiarkan diri dihina dan ditindas. Dia sudah tidak mampu. Jiwanya hanyut dalam kepahitan. Kepalsuan dan kebencian manusia berjaya buat hatinya mati.

Seandainya dia tidak mengetahui hal yang sebenar, mungkin dia masih lagi Syifaa Qaireen yang Wildan mahu lindungi. Akan tetapi semua itu tidak mungkin terjadi lagi. Fikiran dan hatinya dipenuhi dengan kepahitan sebuah kebenaran. Rasa pahit itu sentiasa bertubi-tubi menikam sanubarinya serta mengabus segenap jiwa yang dia ingin pertahankan dari terus tenggelam di lembah penderitaan.

‘Dia’ yang dimaksudkan Tok Ayah ialah insan yang amat tidak disangka. Langsung! Padahal Syifaa Qaireen juga tidak pernah melihat wajah itu. Hanya namanya sahaja selalu meniti di bibir Nek Dian, Tok Ayah dan emaknya.

Kenapa dalam ramai-ramai manusia, darah ‘dia’ yang menjadi sebahagian daripada tubuhnya? Kenapa?!

Ah!

Padam. Hapus. Lupa.

Fikiran Syifaa Qaireen ligat menyusun aksara yang membawa maksud yang sama. Dia ingin padam, hapus dan lupakan semua. Dia ingin rasa yang tinggal hanya kekosongan seperti seorang bayi yang baru lahir ke dunia tanpa mengetahui apa yang berlaku di sekelilingnya. Ia jauh lebih baik dari rasa hina dan jijik yang tak akan pernah hilang dalam hidupnya. Selagi dia masih bernafas, dia tetap dirinya sendiri. Hina dan jijik.

Mungkin dia perlu hentak kepalanya dengan tukul atau batu untuk hilangkan memori ini. Ya, dia perlukan benda keras. Dia perlu hapus, padam dan lupakan semuanya. Walaupun sakit, rasa sakit itu tidak akan mampu menandingi segala kesakitan hidup yang dia tampung selama ini.

Cari benda keras untuk padam, hapus dan lupakan semuanya. Usaha tangga kejayaan. Bak kata pepatah jika tidak dipecah ruyung di mana bole hmencapat sagu.

Tak gitu?

Syifaa Qaireen memejamkan matanya sekejab mungkin. Cuba meraih kekuatan untuk bangkit dari mengerekot menahan sejuk. Sudah hampir sejam dia dikurung Wildan di dalam gudang ini. Benarlah, Wildan telah membenci dirinya.Tiada sekelumit rasa menyesal hadir setelah apa yang terjadi tadi. Jika tidak, pasti pak ciknya itu akan kembali membuka pintu kala mendengar dia menjerit memanggil namanya. Mungkin benar otaknya betul-betul sudah gila sehingga Wildan tidak mampu membaiki kewarasannya lagi.

Biarlah. Dia tak mahu Wildan tahu apa yang dia tahu. Dia juga tak sanggup melihat riak kepahitan di wajah itu saat kebenarannya terbongkar.

Sakit itu biar dia seorang sahaja yang tanggung. Ini masalah dia, dia tidak mahu Wildan menjebakkan diri ke lembah ini. Dia takut penerimaan Wildan jauh lebih teruk daripada apa yang dia bayangkan.

Kerana hati Wildan tidak selali hatinya. Kebiasaan yang buat dia kuat.

Sesampai sahaja di bahagian tukul besi pelbagai saiz dan bentuk, matanya bergerak ke setiap inci untuk mencari tukul besi yang bersaiz paling besar. Hati berkobar-kobar untuk milikinya. Saat ini, akal warasnya hilang entah ke mana. Ah lantaklah! Dia hanya mahu hapus, padam dan lupakan semuanya. Dia bukan minta selamanya. Sesaat pun jadilah. Teringin sangat merasai hidup tanpa rasa jijik akan diri sendiri.

Anak mata Syifaa Qaireen jeda seketika sebelum tangan kanannya menarik keluar apa yang dicari. Tukul besi bersaiz besar. Spontan dengan itu senyuman penuh keterujaan terlayar indah di bibir pucat itu.

“Tolong buat aku lupakan semuanya boleh?” Pintaan itu khas ditujukan untuk si penukul besi.

Si penukul besi diam. Ya, dia memang tak akan balas kerana dia bukan manusia. Tidak berakal.

Syifaa Qaireen berdecit. Menunggu jawapan mahupun anggukkan daripada si penukul besi memang membuang masa. Jadi, untuk tidak merugikan masa, dia tarik nafas sedalam mungkin lalu menghembus kuat. Membuang rasa yang ingin dihapuskan sekali gus mencari kekuatan untuk lakukan sesuatu yang tidak masuk dek akal ini.

Adakah dia sudah bersedia untuk rasa sakit? Adakah dia sudah bersedia jikalau hentakkan ini bukan sekadar menghapuskan semua rasa duka itu bahkan menghapuskan nyawanya sendiri? Bersediakah? Beranikah dia?

Sekali lagi bibir melepaskan decitan tanda memperlekehkan diri sendiri. Takut? Sejak bila dia layak rasa takut? Mereka kata insan jijik sepertinya tidak layak untuk rasa apa-apa dalam hidup. Termasuklah rasa takut. Hina sehina-hinanya itulah dia di mata mereka semua.

Hentak. Sakit. Hapus. Mudah sahaja. Hidup kau jauh lebih payah daripada ini, Syifaa Qaireen!

Seusai membelek tukul besi yang berada di dalam genggamannya, Syifaa Qaireen memejamkan matanya. Nafas ditarik sedalam mungkin lalu dihembus perlahan. Tukul besi diangkat tinggi menuju ke tempurung kepala sendiri. Cuma tinggal melayangkan hentakkan sahaja. Semuanya bakal berakhir. Ya, inilah waktunya. Semuanya akan berakhir. Penderitaannya akan tamat tidak lama lagi.

Tiada lagi duka. Juga kesakitan. Yang tinggal hanya rasa kosong. Itu sahaja impian seorang Syifaa Qaireen. Dia sedar dirinya tidak layak untuk mengimpikan sesuatu yang lebih indah dari itu. Kerana itu, hanya perkara ini menjadi kemahuannya.

“Good bye, Syifaa Qaireen.”

“Tumpang tanya boleh?”

Persoalan itu serta-merta menghentikan pergerakan tangan Syifaa Qaireen saat telinga menangkap kemunculan suara garau yang teramat asing. Kelopak mata terbuka kembali. Tangan masih memegang tukul besi di atas kepalanya. Tajam saja matanya menikam figura yang bersuara tadi.

Macam mana dia boleh tidak perasan pintu gudang telah dibuka?


 

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.