Home Novel Cinta Jodoh Untukku
Jodoh Untukku
Nur Syazwani Ismail
18/7/2015 21:59:43
190,411
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 25

JODOH UNTUKKU

Bab 25

That’s why I’m going to marry her’.

Walau macam mana Ain cuba untuk melupakan, ayat yang terluah dari mulut Fuadi itu masih tetap terngiang-ngiang di telinga dia. Rasa terkejut, sedih, marah, sakit hati, semuanya bercampur baur. Dan yang paling penting, Ain rasakan yang diri dia langsung tidak diperlukan oleh Fuadi. Malah mungkin juga menjadi beban pada suami dia sendiri.

Ain mengimbau kembali kejadian semalam. Kejutan dari Fuadi membuatkan dia tergamam. Terduduk dia di atas sofa. Cuba mencerna kejutan yang memang tidak pernah dia terfikir. 6 bulan! Masih mentah usia perkahwinan mereka. Langsung tidak disangka yang seawal ini dia bakal dimadukan.

Meraung? Atau membuat muka kasihan memujuk rayu Fuadi? Hmmm..Ain tersenyum sinis. Dia tidak mahu menjadi selemah itu. Cukuplah semalaman dia membazirkan air mata mengenang nasib sendiri. Semalam, sebaik sahaja merasakan diri dia sedikit tenang, Ain terus meminta diri naik ke bilik. Riak terkejut jelas kelihatan di muka Fuadi bila melihatkan Ain yang dapat bereaksi setenang itu. Tapi, Fuadi tidak tahu. Semalaman Ain tidak dapat tidur. Menangis seorang diri. Hmm..memanglah Fuadi tak tahu sebab dia langsung tidak naik ke bilik semalam. Mungkin dia mahu memberi ruang kepada Ain.

Tekad Ain, dalam masa yang ada ini, dia akan cuba menjalankan tugas dia sebagai isteri seperti biasa. Dia tak mahu dilihat lemah terutamanya oleh Sofea. Tapi, untuk berborak, bergelak ketawa dengan Fuadi, Ain memang tidak kuat. Tak sabar Ain untuk mengetahui result untuk penempatan dia bekerja. Kalau dulu, Ain memang selalu berdoa supaya dia ditempatkan berdekatan dengan suami dia, paling tidak pun di dalam Kelantan juga. Tapi sekarang, Ain berharap sangat supaya dia ditempatkan di luar Kelantan. Lagi jauh , lagi bagus. 2 minggu lagi keputusan penempatan itu akan dapat diketahui. Sabar Ain!

Pagi tadi, Ain perasan riak pelik Fuadi bila melihatkan dia yang tenang je menyediakan sarapan. Macam tidak ada apa-apa yang berlaku. Tapi, selesai je menghidangkan sarapan, Ain terus bergerak ke ruang tamu. Meninggalkan Fuadi bersarapan seorang diri. Pemergian Fuadi ke tempat kerja pun langsung tidak dihantar. Ain hanya duduk kaku di ruang keluarga, memandang kosong ke arah televisyen yang sedia terpasang.

Bila teringatkan appointment dengan doktor untuk pemeriksaan kandungan dia pagi ini, Ain terus bergegas naik ke bilik untuk bersiap-siap. Pagi tadi dia dah call Fiza untuk menemankan dia ke klinik memandangkan kereta dia masih di rumah mama. Dari klinik, mereka akan terus ke rumah mama.

Sayu Ain bila mengingatkan yang dia terpaksa pergi sendiri untuk pemeriksaan kandungan tanpa ditemani oleh suami. Ini pengalaman pertama dia. Tentulah dia mahu berkongsi saat-saat ini dengan suami sendiri. Teringatkan kejadian semalam, entah lah. Rasanya dia tak akan pernah merasai saat itu. Cepat-cepat diseka air mata yang mula mengalir. ‘Ain, be strong. For the sake of your baby.’ Ya. Kandungan ini lah kekuatan dia sekarang.

Ain membelek-belek majalah Pa & Ma keluaran terbaru. Hmmm..menarik juga. Tak sia-sia dia datang ke sini. Tadi dia keberatan juga untuk menemankan Fiza melawat abang Man di HUSM. Bukan apa, Ain tak nak bertembung dengan Fuadi. Tapi, bila Fiza berkeras, terpaksalah dia bersetuju. Takut nanti, Fiza pelik pulak dengan keengganan dia.

Sampai sahaja di lobi hospital, sengaja dia suruh Fiza naik dahulu. Kedai cenderahati dituju. Niatnya nak beli surat khabar je. Tapi bila terpandangkan gambar baby yang menghiasi muka depan majalah Pa & ma, terus melonjak hati dia untuk mendapatkan majalah ni.

What you’re doing here?”

Terganggu konsentrasi Ain yang tengah kusyuk membelek majalah. Suara itu! Ya Allah. Sebesar-besar hospital, nampaknya perancangan Tuhan tetap mahukan mereka bertembung di sini. Itulah teguran pertama fuadi pada dia selepas suaminya itu menuturkan kenyataan yang amat ‘pahit’ untuk diterima oleh mana-mana isteri semalam.

Nothing. Just temankan Fiza melawat abang Man.” Selamba Ain menuturkan kata. Majalah Pa& Ma yang dibelek tadi terus ditutup. Sempat Ain perhatikan mata Fuadi yang meleret pada majalah di tangan dia. Berubah sedikit muka Fuadi. Nampak sayu.

Ain mahu bergegas meninggalkan kedai ini. Belum kuat untuk berhadapan dengan Fuadi. Majalah Pa& Ma yang dibaca tadi diletakkan kembali di atas meja. Terlupa terus dengan keinginan yang melonjak untuk membeli majalah itu tadi. Belum sempat Ain melangkah keluar dari kedai, tiba-tiba pergelangan tangan dia ditarik oleh Fuadi.

You should have this magazine. Good for our baby. Let’s me buy you this.” Cepat-cepat Fuadi mencapai majalah Pa & Ma yang dibelek oleh Ain tadi dan menghulurkan wang kepada cashier di kaunter.

“Nah..send my regards to Man.” Fuadi memberikan plastik berisi majalah kepada Ain sebelum berlalu pergi meninggalkan Ain yang tengah tergamam. Ain memandang sayu langkah Fuadi yang semakin jauh meninggalkan dia. ‘Good for our baby.’ Bergenang air mata Ain. Disentuh perlahan perut yang masih belum menampakkan bentuk. Maksudnya Fuadi masih kisahkan kandungan dia.

‘Abang…’ Dari sinar mata suami dia tadi, Ain dapat lihat perasaan kasih Fuadi pada dia dan anak mereka. Tapi kenapa macam ni jadinya kisah mereka. ‘ Ya Allah..kalau dia memang untukku, kuatkanlah kami menghadapi dugaan Mu.’

Fiza..akak tunggu dalam kereta je.Tak naik atas. Kepala ni rasa pening tiba-tiba.’

Pesanan ringkas dihantar pada Fiza. Tak ada mood rasanya Ain nak naik atas. Terus dia bergerak ke tempat parking kereta. Hmm..baik dia berehat je dalam kereta. Tiba-tiba dia terasa sangat rindukan kehadiran Fuadi. Terimbau kembali saat-saat manis mereka. Fuadi yang kerek, garang, suka menyakat. Ain tersenyum sendiri. Semuanya manis sebelum kehadiran Sofea dan Danish.

Ketukan perlahan di tingkap kereta mengejutkan Ain yang tadinya hampir terlena. Cepat-cepat Ain menekan butang unlock untuk membolehkan Fiza membuka pintu kereta. Sekejapnya Fiza melawat abang Man. Atau dia yang tak perasan masa yang sudah banyak berlalu sebab asyik melayan perasaan.

“Kenapa sekejap sangat?” Pertanyaan spontan dari mulut Ain.

“Lama-lama nak borak apa. Segan la Fiza. Tu yang ajak akak.” Sedikit merajuk nampaknya muka Fiza.

“Alah. Sorry lah. Apa yang nak segannya. Mak Ndak kan ada.” Adik-beradik Ain memang semuanya agak rapat dengan Mak Ndak. Ye lah. Mereka pun membesar di depan mata Mak Ndak jugak. Dah namanya berjiran.

“Masalahnya tadi ada abang Man sorang je. Mak Ndak balik rumah kejap. Tak baik tau akak ni. Nampak frust muka abang Man bila Fiza cakap akak tak jadi naik.”

“Eh, kenapa pulak dia nak frust.” Pelik Ain.

“Fiza pun tak tahu. Tapi tadi memang nampak sangat muka dia berubah. Fiza rasa abang Man tu ada hati dekat akak la.” Cepat je Fiza ni serkap jarang.

“Hmm..tak payah nak mengarut. Bertahun tak jumpa, takkan tiba-tiba nak ada perasaan.”

“Entahlah. Hati orang mana la kita tahu.”

“Dah la. Tak payah nak panjangkan perkara ni. Akak dah nak jadi mak orang pun.” Terus Ain menghentikan serkap jarang Fiza. Tak mahu nanti heboh pula perkara tu.

“Saje je Fiza cakap. Fiza tak lupa lah yang akak Fiza ni dah kahwin pun. Tak sabarnya nak tengok anak akak dengan abang Adi. Mesti comel giler.” Ain turut tersenyum. Kalau Fiza pun tak sabar, dia lebih lagi lah tak sabar.

Hmmm.. waktu-waktu macam ni. Memang tengah sesak la jalan. Ingatkan nak bertolak balik ke rumah dia sebelum Asar. Tapi entah macam mana lah boleh terlajak tidur. Sedar-sedar dah pukul 5. Mungkin disebabkan oleh badan yang kepenatan. Yelah. Semalam kan dia tak dapat melelapkan mata disebabkan oleh kejutan yang Fuadi berikan.

Teringat Ain dengan kejadian di rumah mama tengah hari tadi. Entah kenapa lah tekak dia hari ini tiba-tiba teringinkan tom yam dan telur dadar. Mama pulak apa lagi. Bila dengar je Ain cakap nak makan benda tu, terus mama baik hati tolong masakkan untuk dia. Kata mama, keinginan orang mengidam ni tak boleh dipandang remeh. Tergelak je la Ain dengar mama cakap macam tu.

Tapi kesudahannya, bila mama siap masak, hanya sedikit yang dijamah Ain. Bukan kerana tak sedap, sebab masakan mama memang tak ada tandingan. Tapi entah kenapa Ain rasakan ada sesuatu yang kurang. Bila diingatkan balik, rupanya kehadiran Fuadi lah pelengkapnya. Terimbau Ain dengan kenangan di mana dia dan Fuadi berkongsi makan tom yam dan telur dadar sewaktu mereka bercuti di Cameron.

Hmm..mungkin sebab dia masih terbawa-bawa emosi dia sewaktu bertembung dengan Fuadi di hospital tadi. Tapi, sungguh dia ingin merasakan saat itu balik. Dengan hubungan dia yang tengah dingin dengan Fuadi sekarang, entah macam mana dia mahu suarakan keinginan dia itu.

Tiba-tiba ada bunyi mesej masuk di telefon dia. Kebetulan kereta dia tengah berhenti di lampu isyarat sekarang. Jadi, terus dibuka pesanan yang masuk.

‘Ain, where are you?’

Dari Fuadi rupanya. Eh, dia dah balik ke? Terus Ain pandang jam di dashboard kereta. 6.45 petang. Hmm..memang patut pun Fuadi dah sampai rumah waktu macam ni.

‘Ain on the way balik. Dari rumah mama’

Ain membalas mesej Fuadi. Tak mahu suami dia bimbang. Mana la tahu kalau Fuadi ingatkan dia dah lari dari rumah.

‘Are you driving right now? If yes, don’t reply. Just focus on your driving.’ Hmm..bimbang juga Fuadi pada dia rupanya.

Ain terus memasukkan kembali handphone dia ke dalam beg. Kebetulan lampu isyarat juga telah bertukar hijau. Jadi, terus Ain menolak gearuntuk memulakan kembali pemanduan dia.

Ain sudah sampai ke area taman perumahan dia. Kelajuan kereta dikurangkan sebagai langkah berjaga-jaga sebab waktu-waktu macam ni selalunya ramai kanak-kanak yang keluar bermain di sekitar rumah mereka.

Bila kereta sudah membelok masuk ke lorong jalan rumah dia, dari jauh Ain sudah dapat melihat kelibat Fuadi yang tengah bercakap dengan Sofea di hadapan pagar rumah dia.Nampak serius percakapan mereka. Sesekali Sofea dilihat seperti tengah menyeka air mata dia. Langsung mereka tidak perasan dengan kereta Ain yang hampir membelok masuk ke dalam pagar rumah.

Tiba-tiba entah macam mana, Danish dengan basikal beroda tiga dia boleh berada di hadapan kereta Ain, menghalang laluan dia. Ain yang terkejut hanya sempat menekan brek dengan sekuat hati.

‘Streeeetttt……..’ Kuat bunyi geseran tayar kereta. Ain tergamam. Suasana sekeliling tiba-tiba terasa sunyi. Hanya mampu memandang Danish yang tengah terbaring kaku di atas jalan. Darah mula keluar dari kepala Danish, mengotori jalan yang tadinya bersih tanpa sebarang kotoran.

“Ya Allah! Danish!!!!!!” Tempikan kuat dari Sofea mengembalikan kembali Ain ke alam nyata.

Previous: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.