Home Novel Cinta SOULMATE TUAN PROFESOR
SOULMATE TUAN PROFESOR
Batiah Hadi
29/10/2017 00:00:20
220,907
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

Izmir sampai ke pejabat hari itu dengan wajah cemberut. Habis semua orang kelam kabut dibuatnya termasuk Kak Roy. Ini semua disebabkan oleh apa yang berlaku pagi tadi. Puan Nora masih sebut lagi tentang hasratnya meminang Izzah. Izmir geram. Nak melawan Puan Nora ibunya. Kalau tak melawan dia tak puas hati pula kerana akan dipaksa kahwin. Selama ini hidupnya tidak terkongkong dan bila dia dikahwinkan nanti dengan perempuan yang dia tidak suka pasti dia akan rimas. Sudahlah begitu Izzah pula jenis wanita banyak cakap.

   “Izzah, dah kenapa bos awak tu?” soal Kak Roy. Izzah baru sahaja keluar dari bilik fotostat. Kak Roy pula baru keluar dari bilik Izmir. Izzah terpinga-pinga bila Kak Roy berkata seperti itu.

   “Kenapa Kak Roy?” soal Izzah hairan.

   “Bos awak tu lah. Tiba-tiba masuk je mengamuk. Dengan akak-akak sekali kena tau,” adu Kak Roy tak puas hati.

“Err…dia mimpi buruk kot malam tadi?” ujar Izzah serkap jarang.

“Tak kan sebab itu je. Mesti ada sebab lain ni. Dia gaduh dengan makwe dia agaknya tak?” ujar Kak Roy serkap jarang.

“Mak we? Prof Izmir ada makwe ke?” soal Izzah sedikit terkejut. Dia teringat perbualannya dengan Puan Nora malam tadi. 

“Ada…cuma seminggu dua ni makwe dia tak ada. Ada conference kat luar negara. Agaknya rindu dengan makwe dialah tu. Orang rindu macam tu lah,” ujar Kak Roy sambil memuncungkan mulutnya. 

Izzah terdiam. Makwe? Tapi malam tadi Puan Nora kata Prof Izmir tiada sesiapa. Patutlah bersungguh Izmir tak mahu mereka berdua disatukan. Agaknya kerana teman wanitanya itu?. Tapi, kenapa Izmir tak beritahu pada Puan Nora tentang teman wanitanya itu? Kalau Prof Izmir beritahu sudah tentu peminangan itu akan dibatalkan. Maka tak jadilah Izzah kahwin dengan Professor yang menjengkelkannya itu. Habis cerita dan dia pun senang hati.

“Siapa Kak Roy? Bagitahu lah saya,” pinta Izzah bersungguh. Kalau boleh dia mahu tahu. Mungkin kalau dia tahu dia boleh yakinkan Prof Izmir untuk maklumkan pada Puan Nora. Kalau sudah berkenan di hati mengapa Izmir tidak suarakan pada Puan Nora sahaja? . Kalau dia suarakan, Izzah akan terlepas dari dipaksa berkahwin dengan Prof Izmir. Hai, pelik sungguh orang pandai-pandai ini. Susah nak berterus-terang. Kalau berterus-terang kan mudah. Tidaklah Izzah terperangkap pula.

Kak Roy memutar pandangannya ke sekeliling. Jelas sangat yang dia risau kalau didengari oleh sesiapa. Izzah pasti lebih lagi kalau terdengar oleh Izmir. Mungkin Kak Roy akan kena herdik lagi.

“Nantilah kita bergossip,” bisik Kak Roy. Matanya melilau lagi. Nampak risau benar.

“Alah kak…jomlah gossip sekarang,” ajak Izzah tidak sabar. Matanya juga melilau tapi perasaan ingin tahunya mengatasi kegusaran itu.

“Tak cukup masa nak gossiplah Izzah. Tunggu masa rehat nanti. Tadi akak dahlah kena marah karang kena lagi bila Prof nampak akak bersembang tak buat kerja. Ada kerja yang dia suruh buat ni. Kena siap secepat mungkin. Matilah akak kalau tak siap nanti. Kalau dah kena bebel dengan Prof awak tu boleh pengsan kejung tahu tak!,” bisik Kak Roy sambil biji matanya menujah ke atas kebosanan dengan kerenah lelaki itu. Izzah ketawa. Kelakar pulak bila mendengar luahan Kak Roy itu. Pengsan kejung? Memang tepat sekali istilah itu. Sejak bekerja dengan Prof itu ada masa dia pun merasa demikian. Sudahlah pemarah dan cerewet pulak. Kalau Izmir membebel memang bingit dan susah berhenti. Ada masa Izzah rasa mahu melarikan diri untuk mengelak pecah kepala.

“Okaylah. Waktu rehat nantilah kita gossip. Janji tau Kak Roy,” akur Izzah dengan nada sedikit hampa. Baru sahaja hasratnya menggebu-gebu ingin tahu gerangan siapakah teman wanita professor itu tapi Kak Roy banyak kerja pula.  Walaubagaimanapun dia terpaksa sabar menunggu buah cerita mengujakan dari Kak Roy itu. Kak Roy mengangguk dan mengangkat tangan setuju sebelum beredar ke tempatnya. Izzah berjalan hampa ke biliknya. Baru sahaja dia mahu duduk tiba-tiba telefonnya berdering.

“Izzah, masuk bilik saya sekarang!,” suara garau professor Izmir menerjah ke gegendang telinganya. Jelas sangat moodnya yang kurang baik itu. Suaranya keras dan garau semacam seperti mahu menelan seseorang sahaja. Pantas Izzah menuju ke bilik lelaki itu. Nanti kalau lambat makin menyinga dia. Makin banyak pula bebelnya. Bebel dia memang kalah perempuan!

“Ya Prof,” akur Izzah datang mengadap secepat yang mungkin.

“Mana minit mesyuarat yang saya minta? Mengapa awak tak emel pada saya lagi?!” pinta Izmir dengan nada serius. 

“Nanti saya emel Prof. Saya baru siapkan pagi tadi,” beritahu Izzah dengan rasa gerun. 

“4 hari saya tunggu baru pagi ni siap?. Apa nak jadi dengan awak ni? Dokumen macam tu kena siapkan cepat. Satu hari dah boleh siap. Dulu bos awak tak marah ke awak buat kerja lembab macam ni?” perli Izmir. Izzah terdiam seketika. Ingatan pada Wafiq terasa menggamit. Wafiq tak pernah marahkan dia walaupun lambat. Wafiq juga tak pernah buli dia. Tak macam lelaki di hadapannya itu.

“Baik Prof. Lain kali saya akan buat lebih cepat. Sehari bak kata Prof,”

“Kerja kena buat dengan efficient. Lagipun ada banyak kerja penyelidikan yang perlu kita selesaikan. Kalau kerja macam ni awak buat lambat apa jadi dengan tugas yang lain?”

“Saya minta maaf Prof,”

“Lagi satu, bila lawatan kita ke Sabah tu?”

“Jangkanya bulan depan. Saya dah hubungi pihak-pihak di sana dan sedang tunggu confirmation dari mereka,” ujar Izzah.

“Okay bagus. Once dapat confirmation maklumkan pada saya ye,”

“Baik. Itu saja Prof?”

“Hmmm ada satu lagi…”

“Ye Prof..”

“Saya ada lunch meeting dengan research partner harini. Saya nak awak ikut. Selain untuk tulis minit, awak juga akan dapat input untuk penyelidikan kita,”

“Tapi…”

“Kenapa? Awak ada lunch date ke?”

“Saya dah janji nak jumpa kawan,” balas Izzah sedikit hampa. Baru sahaja dia mahu bergossip dengan Kak Roy semasa makan tengahari nanti. Belum apa-apa lagi Izmir dah ajak dia ke lunch meeting pula. Izzah menggigit bibirnya.

“Batalkan. Ini hal kerja bukan saja-saja saya ajak awak makan. Ha, kenapa muka tu muncung pulak?” tegur Izmir tak puas hati melihat riak wajah Izzah.

“Mana ada. Saya hanya gigit bibir je Prof,” balas Izzah pantas.

“Jangan nak tipu. Saya tahu awak bengang bila saya paksa awak ikut saya kan?,” tuduh Izmir.

“Haih Prof ni. Tak elok buruk sangka tau. Saya kan kerja dengan Prof. Saya menurut perintah. Sanggup buat apa saja untuk Prof. Prof suruhlah saya buat apa saja,”

“Buat apa saja? Cakap lagi macam tu, nanti saya suruh terbang awak boleh ke?”

“Eh, agak-agaklah Prof. Saya hanya manusia biasa. Kalau saya keturunan supergirl bolehlah saya terbang,” balas Izzah separuh bergurau. Izmir merengus. Pantang dia Izzah menjawab-jawab begitu. Satu patah kata-katanya dilawan berpuluh oleh gadis itu.

“Awak ni memang loyar buruk kan? Ada saja jawapan awak. Buat kerja tak pandai tapi tang mulut menjawab loyar buruk memang pakar sangat!” bebel Izmir. Izzah terpempan dikomen begitu oleh Izmir. Tak pandai?

“Eh, tak pandai ke? Kecik hati saya. Saya dah buat macam-macam untuk Prof selama beberapa hari ni. Semua yang Prof nak saya ikutkan sahaja,” rungut Izzah sedikit rasa tersinggung.

“Peduli apa saya awak kecik hati ke tidak. Saya yang bayar gaji awak. Saya tak pandai nak ambik-ambik hati ni. Saya profesional. Work is work. Kalau awak buat tak sempurna saya harus komplen. Saya harus kata ia salah. Jadi awak boleh belajar dan baiki. Macam tu lah awak boleh belajar dengan baik. Belajar dari kesilapan,” ujar Izmir selamba. Matanya merenung tajam pada Izzah. Izzah terdiam. Malas dia hendak membantah lagi walaupun dalam hati rasa mahu bertegang urat mempertahankan dirinya. Silap hari Izmir boleh tamatkan perkhidmatan dia pada bila-bila masa. Nanti siapa juga yang menyesal?. Walaupun geram dan rasa menjengkelkan, dia pasrah untuk hadap sahajalah sekurang-kurangnya setahun dua itu.

“Ha, apa lagi tercegat tu? Pergi emel saya minit mesyuarat tu sekarang,”

“Minit menyuarat?” soal Izzah kembali. Izmir mendengus. Dia memandang Izzah sambil mengeleng-ngeleng.

“Yelah minit mesyuarat. Tak kan lah surat cinta pulak. Awak dah hilang ingatan ke apa ni Izzah?” marah Izmir. 

“Oh ya…ok Prof right away. Prof asyik jerkah saya sana sini mana otak saya ni nak berfungsi dengan baik. Kalau Prof cakap baik-baik mesti saya cepat ingat,” rungut Izzah.

“Apa awak cakap?? Amboii..awak ni nak kena potong gaji ke ni. Cepatlah hantar email tu. Membebel pulak dia,” marah Izmir. Potong gaji? Oh tidak! Kelam kabut Izzah ke biliknya untuk menghantar emel yang diminta. Geramnya pada Izmir bukan hanya berbakul tetapi sudah berkoyan-koyan sekarang. Itu yang buat dia makin risau tentang rombongan meminang keluarga lelaki itu hujung minggu nanti!.


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.