Bab 6

Selepas beberapa hari cerita ayah mereka memukul emaknya, Irfan kembali semula ke universiti setelah cuti dua minggunya tamat. Meninggalkan Nika dan emak, juga ayahnya yang tidak lagi mengamuk tak tentu pasal. Itu kerana, ayahnya tidak pulang tiga hari lalu dan bila balik, dia sibuk memotong rumput di kawasan taman.

“Dah tak ganti emak kau kerja lagi?” tanya Zakiah. 

Mereka berdua sedang mengusung pesakit lelaki yang kesakitan terkena tembakan di kakinya dan tangan pesakit berusia kira-kira awal 20an itu digari pada palang katil. Mereka menolak troli itu ke hujung wad.

“Tak.. dua hari aje,” jawabnya.  

Zakiah menarik tabir penghadang untuk menutup katil pesakit itu. Sementara Nika membersihkan darah di kawasan tembakan  Zakiah menyediakan peralatan.

“Ada jumpa lelaki dingin tu?”

“Tak….” sahutnya meleret seolah-olah kecewa lantas mengundang lirikan mata Zakiah. “Maksud aku, baguslah, tak payah tengok muka orang sombong tu,” dia cuba menegangkan nadanya sendiri supaya Zakiah tidak tersalah menafsir.

“Eh.. esok pagi kau ikut tak, pergi kempen derma darah dekat Seventh Mall tu?” tanya Zakiah lagi.

“Dah confirm, Doktor Kumar dah masukkan nama aku. Kenapa kau tak ikut sekali?” jawabnya tanpa memandang pada Zakiah, dia sibuk memeriksa luka tembakan di kaki pesakit itu yang sedang merengek kesakitan.

“Awal-awal lagi aku dah tolak, aku kena pergi kenduri sepupu aku kahwin kat Batu Pahat, mau mak aku mengamuk kalau aku tak dapat pergi..” dia merungut sendirian. Nika syak sudah tentu pasal nasib dirinya yang belum bertemu jodoh itu.

“Siapa lagi yang ikut?”

“Dari syif kita, aku sorang jer, mujurlah ada Dewi,” Nika merujuk kepada rakan setugas tetapi dari syif lain.

Zakiah mengangguk acuh tak acuh. “Lepas Seventh Mall, kempen kat mana lagi?”

“Entah.. tak tahu pulak, tapi kalau kempen derma darah pusing-pusing Johor Bahru ni aku ok je, kalau jauh, aku malas nak ikut,” sahut Nika sambil terus melakukan kerjanya.

Doktor Julia kemudian muncul. Perbualan mereka terhenti seketika memberi laluan Dr. Julia yang pantas membuat kerjanya mengeluarkan peluru dari paha mangsa. Dia dan Zakiah kembali berbisik di belakang Doktor Julia.

“Dua hari lepas aku perhati, patut sangatlah Dr. Ishak marah dan resah je beberapa hari ni, kau tak jadi buat temujanji tu..?”

Laju sahaja Zakiah menukar topik cerita mereka. Cepat betul dia kalau pasal nak memanjangkan tempoh hayat berbual mereka berdua. “Itu bukan salah aku, dia patut faham,” bisik Nika tidak mahu Dr. Julia dengar apa yang mereka bualkan.

“Nika… berikan pesakit ubat tahan sakit selepas jahit lukanya,” arah Dr. Julia yang membuka sarung tangannya.

Zakiah hanya mencebik lalu keluar dari situ. Doktor Julia juga turut keluar selepas kerjanya selesai. Tinggallah dia seorang diri membersihkan luka yang kini telah dijahit. Selepas itu dia membalut luka tersebut dengan kain pembalut. 

Sejurus selesai, dia berpusing hendak keluar, bagaimanapun dengan tak sengaja dia terlanggar seseorang yang serentak membuka tabir beroda itu. 

Seperti tidak percaya, dia melihat Raylan Amr terpacak di depannya. Mata mereka bertentangan.

Insiden yang tak disangka-sangka antara dia dan Amr ‘si lelaki dingin’ gelaran yang Nika berikan setelah mereka tidak lagi bertemu di rumah besar sejurus kisah pertemuan kaku di atas tangga. Nika tergamam seketika sebelum tersedar dan menyebut.

“Maaf,” lantas memberi laluan kepada Amr dengan perasaan curiga yang mahu ditanyakannya apa pula kaitan Amr menjenguk mangsa yang ditembak itu. Tetapi seperti biasa lelaki yang menjengkelkan itu langsung tidak menyahut dan hanya memandangnya sekilas cuma.

Pantas Nika beredar dari situ dan pergi mendapatkan ubat di kaunter seperti arahan doktor Julia tadi. Tetapi, entah kenapa dia berat hati hendak ke tempat dia bertembung dengan Amr lagi. Disebabkan tidak mahu melihat riak ego Amr untuk yang ke sekian kalinya, Nika berhenti melangkah. Kepalanya berpaling ke kiri dan kanan, dia bercadang hendak menyuruh Suzzie tetapi gadis itu tidak pula kelihatan. 

Akhirnya dia terpaksa pergi juga bila memikirkan yang itu merupakan suatu tugas yang tidak dapat dielak kerana tanggungjawab kerjanya. Nika menyambung langkahnya sambil menarik nafas.

Sewaktu dia menghampiri katil yang bertabir biru itu dengan tak semena-mena dia mendengar suara-suara kasar dan tegang dari dalam, entah serius atau tidak Nika tersentak mendengar.

“Aku akan laporkan kau pada polis Amr!!”

“Silakan…! Bodoh!” jawab Amr. “Lakukannya, sekejap lagi polis  sampai.”

Nika menggapai tabir dan membukanya dengan pandangan curiga, dua lelaki tadi berpaling laju padanya. Tangan Amr sedang mencengkam kolar baju mangsa tadi hingga kepalanya terangkat sebelum melepaskannya kasar. Nika menjeling tajam. Dia ingin benar bertanya apa masalah mereka, bagaimanapun gari yang mengikat tangan mangsa tembakan itu jelas menandakan yang dia tidak ditugaskan untuk bertanya akan hal-hal begitu.

Amr mengerling Nika tajam ketika dia memberi makan ubat penahan sakit pada pesakit yang baru sebentar mahu dicekiknya tadi seolah-olah dia mahu pesakit itu diberikan suntikan beracun. Kecurigaan Nika semakin kuat. Lebih-lebih lagi selepas tahu Amr sedang bersama seorang lelaki bergari dan tidak ada pula kakitangan di situ yang melaporkan kalau-kalau dia salah seorang keluarga mangsa. Lepas memberi makan ubat cepat-cepat Nika beredar pergi.

Cuaca kebiruan gelap dan kehitaman samar-samar dapat dilihat dari celah tingkap wad ketika Nika menanggalkan jaket tebal lalu menyimpannya ke dalam loker. Syif kerjanya sudah tamat. Zakiah kemudian muncul entah dari mana. Tina dan Dewi juga  sudah tiba. Dewi menyapa gembira menegur dia dan Zakiah. Itu jelas menandakan kakitangan seterusnya bersedia mengambil alih tugas. Sejurus menandakan jam terakhir pada kad kehadiran dia dan Zakiah beriringan keluar.

Ketika perasaannya masih terganggu dengan kehadiran Amr di wad kecemasan itu. Percaya atau tidak… sekali lagi, di ruangan menunggu tempat beberapa orang pelawat masih duduk di bangku, Nika bertentang mata dengan Amr yang entah mengapa masih berada di kawasan itu. Lelaki itu sedang bersandar pada tiang bulat di pintu utama. 

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.