Bab 9

Keesokannya dia kembali bekerja seperti biasa. Penatnya masih belum hilang selepas kempen derma darah selama dua hari. Gilirannya bercuti belum tiba lagi jadi Nika langsung tidak ada masa berehat. Tubuhnya penat dan sakit-sakit kerana keletihan. Dia bercadang hendak membeli vitamin bagi mengembalikan tenaganya yang banyak hilang.

“Hebat juga kempen derma darah kamu dua hari lalu, banyak orang datang menderma,” Zakiah memecah lamunan Nika ketika sedang berehat saat syif petang mereka sudah hampir tamat.

“Eh... tengoklah siapa yang kerja, ini Nikalah…” katanya bergurau. 

Buk! Laju sahaja tangan Zakiah memukul bahu kurusnya. “Kalau aku ada lagi banyak tau.. entah-entah setangki darah hospital ni dapat..” mereka berdua ketawa kuat. Dua tiga pesakit yang diberi rawatan berpaling melihat mereka di meja itu.

Mengingat kembali kisah kempen derma darah itu, serta merta Nika terbayangkan Amr. Tetapi Nika tidak mahu menceritakannya pada Zakiah. Kalau Zakiah tahu tentu sampai sebulan dia mengusiknya.

“Ayah kau tak buat hal lagi?” 

Nika menggeleng sebelum menjawab. “Tak ada, dalam seminggu ni, kadang-kadang dua hari aje aku nampak batang hidung dia kat rumah, biasa kalau habis dapat gaji memang macam tu, menghilang entah ke mana. Langsung tak ingat nak beli barang dapur,” cerita Nika sedih.

“Lain kali kalau dia cuba pukul kau atau tampar kau ke, lapor terus kat polis biar ayah kau kena tangkap!” 

“Kalaulah dia boleh kena penjara lama sikit bagus jugak, sepuluh tahun ke, dua puluh tahun ke, ni kalau setakat setahun atau enam bulan je, silap haribulan habis aku dengan mak aku kena pancung lepas dia keluar dari penjara,” ujar Nika geram. Dia belum habis fikir apa yang perlu dibuat pada ayahnya yang sudah keterlaluan itu.

Zakiah tidak lagi bertanya, mereka berdua mengemaskan meja dan fail-fail laporan pesakit disusun didalam rak-rak mengikut urutan. Selepas setengah jam syif mereka pun tamat. Dia dengan jururawat lain termasuklah Zakiah tidak sabar hendak pulang berehat sebelum kembali bertugas esok nanti.

“Zakiah…” Suzzie memanggil dan bergegas menghampiri mereka. “Esok jadi tak, kau temankan aku pergi imigresen eh., aku tak biasa nak ke sana sorang-sorang,” kata Suzzie dengan mohon simpatinya.

“Iyalah, kak tonnnn..! Kan aku dah janji nak teman, esok kau jemput aku kat rumah,” sahut Zakiah yang memang lancang sahaja mulutnya kalau bab-bab nak menggelar mereka dengan nama-nama veteran begitu.

Nika tersengih malas hendak menyampuk, dia ikut sahaja dari belakang Zakiah. Mereka hari ini menumpang kereta Suzzie dan singgah dekat stesen bas nanti. Kereta Zakiah masuk bengkel sejak semalam. Jadi.. terpaksalah mereka menumpang kereta Suzzie yang cuma mampu menghantar mereka ke stesen bas untuk hari ini.

“Itulah engkau kak senah, aku suruh beli kereta kau tak nak, tak pasal-pasal naik bas pulak kita hari ni..” meleret muncung Zakiah ketika mereka menunggu hampir dua puluh minit tetapi bas tersebut belum juga penuh.

“Iyalah tu, lepas tu ayah aku senang-senang aje gadai kat orang, aku pun tanggung lagi hutangnya yang dah macam nak mengerat batang leher ayah aku..” sahut Nika. 

Muka sebal Zakiah kemerahan kerana bahang panas dalam bas. Itu belum masuk bau peluh di sana-sini.

“Kesian pulak aku kat kau ni,” ujar Zakiah. “Sabar ye… ujian hidup,” katanya lagi.

Nika kembali senyap sehinggalah bas tersebut mula bergerak setelah dipenuhi para penumpang yang berpusu-pusu pulang dari tempat kerja. Lebih kurang dua puluh minit lagi mereka berdua pun turun di perhentian bas kemudian perlu berjalan kaki dalam sepuluh minit masuk ke taman perumahan tempat tinggal Nika, sedangkan Zakiah pula terpaksa berjalan lagi lima belas minit ke kawasan tempat tinggalnya. Mujurlah sewaktu mereka baru sahaja mendaki jalan raya yang berbukit itu, tak semena-mena jiran sebelah rumah Zakiah menumpangkan mereka.

“Terima kasihlah Syukri, nasib baik kau ada… kalau tak semputlah aku naik bukit ni..” bebel Zakiah.

Syukri ketawa, tetapi tidak berkata apa-apa. Pelajar universiti itu tidak begitu Nika kenali, dia cuma tahu status Syukri sebagai jiran Zakiah sahaja.

Tak sampai lima minit Nika kemudian turun di hadapan lorong di pinggir rumah besar yang mempunyai penghuni baharunya. “Terima kasih Syukri, bye Zak….” ucapnya, 

Syukri membalas ramah. “Sama-sama,” sebelum kereta itu meninggalkannya di situ. 

Berjalanlah Nika keseorangan dalam kegelapan malam dalam lorong kecil yang disimbahi cahaya samar dari lampu jalan raya. Tubuhnya mula keletihan dan tidak sabar mahu tidur. Nika bercadang mahu berdiet malam ini, jadi bolehlah dia terus tidur nanti.

Dia terus melangkah dalam derapan  senyap sambil menikmati kehangatan malam yang kering. Entah sudah berapa lama kawasan perumahan mereka itu tidak dibasahi hujan. Mengenang hujan yang enggan turun itu membuatkan Nika mendongak ke dada langit. Dia tersenyum sendirian memuji keindahan bintang-bintang yang bertaburan, terasa akrabnya kelipan itu dengan kenangan lama. Benar-benar…

Errggghh!! mulutnya tiba-tiba dicengkam rapat, dia cuba meronta tetapi ditarik pantas oleh satu tangan gagah ke pohon besar di laman belakang rumah besar.

“Diam.” Perintah satu suara yang hampir dikecamnya berbisik tegas. Mulutnya masih ditutup dengan tangan lelaki itu.

Dia ketakutan tetapi tidak dapat berbuat apa-apa ketika tubuhnya tersepit di antara pohon rendang besar itu dan tubuh Amr yang memeluk pinggangnya dengan sebelah tangan. Dari belakang rambutnya dia dapat merasa deruan nafas Amr yang tidak diketahui akan niatnya.

“Jangan bising, dua lelaki sedang mengintai rumah kau..” kata Amr kemudian melepaskan tangannya dari mulut Nika yang termengah-mengah bernafas.

“Kenapa dengan kau…” belum habis dia menjawab Amr membuat isyarat menyuruhnya terus senyap.

Seperti dipukau, Nika lalu senyap dan turut memanjangkan lehernya melihat dua orang lelaki berjalan keluar dari halaman rumahnya sambil bercakap-cakap. Seorang hitam legam dan hampir tidak dapat dilihat mukanya, tubuhnya tembam dan berketinggian dalam lima kaki, lelaki berbangsa India. Manakala yang seorang lagi, kurus, berambut panjang mencecah bahu dan paling banyak bercakap.

Amr masih mendakap pinggangnya dari belakang dengan kemas sambil mereka mendengar apa yang dua lelaki itu bualkan.

“Boleh percaya ke orang tua tu, sialan!” maki lelaki yang berambut panjang tadi.

“Dia ada kata pukul berapa dia balik?” tanya lelaki berbangsa India itu pula.

“Bukan si Zali bodoh tu! Tapi anak gadis dia. Zali mahu tebus hutang dia dan kasi anak gadis dia sama Samuel.”

Nika terkejut dan hampir terpekik. Cepat-cepat Amr menutup mulutnya. Ketakutan menyerbu seperti peluru berapi membakar saluran urat darah, begitu kejam sekalikah ayahnya hingga menghantar dua lelaki itu mencarinya untuk dijual sebagai cara penebus hutang.

“Samuel kata ancam saja perempuan tu dulu, kalau Zali masih tak bayar, kita tangkap perempuan tu senyap-senyap,” jelas lelaki rambut panjang itu kepada kawannya.

Kerana takut Nika memegang kuat tangan Amr yang melingkar di pinggangnya. Samada mahu menangis atau mengamuk dia tidak pasti kenapa airmatanya meluruh jatuh.

“Kau kenal itu perempuankah?” tanya kawannya lagi. 

Dia dan Amr dapat mendengar dengan jelas apa yang mereka bualkan di sepanjang lorong keluar itu.

“Tak, sebab tu aku nak warning dulu perempuan tu!” sahut kawannya tadi kemudian mereka terus berjalan lebih pantas dan meluru ke jalan raya. Kedengaran enjin kereta yang entah parkir di mana dan akhirnya meninggalkan kawasan itu.

Beberapa minit selepas dua lelaki itu pergi, Nika baru sedar yang dia sedang memegang kuat tangan Amr. Cepat-cepat dia melepaskan pegangannya dan berpusing menghadap Amr. Dia tidak pasti seberapa pucat wajahnya sekarang, yang pasti dia perlukan bantuan polis sebelum apa-apa terjadi pada dirinya. 

Amr merenungnya dengan riak simpati. Nika masih tersandar di bawah pohon rendang itu, mereka berdua terlindung dari pohon berdaun lebat itu dan bersembunyi dengan baik dari balik pokok-pokok pagar di sekeliling rumah besar arwah Tuan Rahmad. 

“Kau mesti berhati-hati,” ujar Amr.

“Macam mana Tuan tahu?” tanya Nika pada Amr dan telah menjarakkan kedudukan mereka berdua.

Amr berdiam seketika, cuma matanya yang menatap wajah Nika yang risau bukan kepalang. 

Lelaki itu pekak kah? Desis hati Nika. “Tuan…?” panggil Nika lagi.

Amr menghela nafas dengan kepalanya tertoleh ke arah lain sebelum menjawab.“Saya, err aku.. ambil angin di belakang sini sebelum dua lelaki itu datang. Tak ada sesiapa nampak aku di sini masa mereka berjalan masuk ke dalam lorong, kemudian aku dengar mereka bercakap pasal seorang gadis yang tinggal di rumah kecil itu. Sudah tentulah gadis yang mereka maksudkan ialah kau.” Cerita Amr.

“Apa aku nak buat sekarang?” soal Nika pada dirinya sendiri. Dia benar-benar tidak tahu apa yang perlu dilakukan. “Aku nak pergi lapor pada polis.”

“Kau tak ada bukti.”

“Kalau begitu, Tuan saja jadi saksi apa yang kita dengar tadi,” ujarnya kelam-kabut.

“Apa yang kita dengar tidak boleh dijadikan bukti kukuh untuk menyabitkan sesiapa. Lagipun dua lelaki tadi sudah pergi dan kau langsung tak tahu siapa mereka.”

Nika menggeleng tidak percaya. “Tak apalah.. terima kasih Tuan,” ucap Nika dan berpusing mahu berjalan pergi. “Aku berlindung pada Tuhan saja,” luah Nika pada diri sendiri.

“Lebih baik kau bersembunyi. Di rumah ni, siapa tahu mereka datang lagi,” Amr cuba menawarkan pertolongan.

“Nanti aku fikirkan, aku nak beritahu mak  pasal lelaki tadi,” pantas dia mengorak langkah pergi dari situ.

Amr masih berdiri di bawah pohon tadi ketika Nika beredar pergi dan tidak mempedulikannya lagi. Perasaannya tidak tenteram setelah mendapat tahu yang bila-bila masa sahaja dia akan diancam bahaya. Dia tidak yakin ada sesiapa yang akan mampu menolongnya. Tak mengapalah, siapa tahu ayahnya akan sedar dan risaukan anak gadisnya yang bakal menjadi mangsa kekejaman ayah sendiri.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.