Hujan
turun mencurah-curah pagi Ahad itu. Semenjak pukul tiga pagi tadi sehingga jam
menunjukkan pukul tiga petang dia masih belum melelapkan mata. Sebaik saja ibu
dan ayahnya bertolak ke Rawang pagi tadi, Zulqarnain masih duduk di beranda.
Kopi yang tadinya panas sudah sejuk dek kerana cuaca.
Zulqarnain memandang rintik-rintik
hujan yang membasahi laman rumahnya. Langit masih gelap membawa petanda hujan
masih akan mencurah untuk beberapa jam lagi. Kedua orang tuanya tidak akan
pulang untuk beberapa hari. Mak Su, adik kepada emaknya akan mengadakan
kenduri. Zarina, sepupu yang paling rapat dengannya akan melangsungkan
perkahwinan. Teringat seraut wajah comel milik gadis itu. Mereka memang rapat
sekali. Apatah lagi selama enam tahun berada di sekolah yang sama dan kelas
yang sama. Pernah dulu mereka di gelar pasangan kekasih kerana mereka tidak
ubah seperti belangkas.
Petir menyambar langit diikuti guruh
yang bergema bagaikan menghamburkan marahnya. Mata Zulqarnain terpejam rapat.
Nafasnya kencang. Dia sedaya upaya mengatur semula nafasnya. Dia cuba berzikir,
mencari kekuatan dalam dirinya. Sedaya upaya dia menghalang dari kenangan silam
datang menerjah.
“Qar!”
Mata Zulqarnain pantas terbuka. Di
hadapannya berdiri sekujur tubuh lelaki yang hampir lencun kerana hujan.
“Kau ok ke?”
“Amirul…. Bila sampai?”
“Baru aje. Aku hon kau tak dengar…
lepas tu aku tengok kau lain macam aje. Risau aku tengok kau tadi. Kau seorang
aje ke kat rumah?”
“Haa… ayah dan ibu ke rumah Mak Su.
Eh…. Kau dah basah lah … apa kata kita masuk ke dalam sementara aku keringkan
baju kau tu. Jom lah….. dah lama kau tak datang”
Zulqarnain dan Amirul melangkah
masuk ke dalam rumah. Sehelai t’shirt dan kain sarung di berikan kepada Amirul
bagi menggantikan bajunya yang basah. Zulqarnain kembali ke dapur kemudian
keluar semula menatang dulang berisi kopi panas dan cucur bawang yang ibunya
tinggalkan pagi tadi.
“Aku ingat kau dah lupa dengan aku”
“Aku?” Pandangan Amirul jatuh pada
wajah Zulqarnain. Lelaki itu semakin kurus. Jauh berbeza dari sebelum ini. “Aku
ingat kau tu yang lupa kawan. Tak pernah pun kau singgah tengok kami sekarang….
Bukannya jauh pun”
Zulqarnain tersenyum lebar. Memang
tidak jauh. Tapi tempat itu banyak membuatkan dia terluka. “Kau pun tahukan…
aku belum bersedia lagi. kau cuti ke? Jauh ke mari?”
“Aku rindukan kau…. Kawan-kawan yang
lain kirim salam. Aku ambil cuti panjang, dua minggu. Aku datang ni nak bagi
kad jemputan. Jangan tak datang…. Ramai yang harap kau datang. Tak sabar nak
jumpa kau semula”
“Tahniah….. dengan Dyana juga ke?”
“Insya ALLAH…. Itulah yang
diharapkan” Lebar senyuman Amirul. Bahagia sungguh bila kekasih hati yang di
sulam enam tahun lalu bakal menjadi suri. “Qar…. Kau ok ke? Masa di luar tadi
aku tengok kau macam mimpikan sesuatu”
Senyuman Zulqarnain bertukar suram.
Kopi di minum sementara masih terasa kehangatannya. “Aku masih tak boleh lupa,
hampir setiap malam aku terdengar jeritan mereka. Hanya aku yang merasakannya.
Hanya aku yang tinggal… aku tak boleh kongsi dengan sesiapa pun keperitan yang
aku tanggung”
Amirul diam. Sedih melihat sahabat
seperjuangan terpaksa mengalah lantaran takdir yang sudah di tetapkan ILAHI.
Lelaki ini sedang di uji. Sedang di duga hatinya.
“Aku tak tahu nak cakap apa Qar.
Tengok kau sekarang dah boleh senyum pun buat aku senang hati. Kalau nak
dibandingkan dengan dulu, aku tengok kau dah atasi segalanya. Kau boleh
bekerja, kau boleh bergaul dengan orang….. dulu, aku nak datang jenguk kau pun
aku takut. Takut kau tak boleh terima aku berdiri depan kau.
Aku ada juga pergi rumah budak tu.
Nampak dah semakin elok. Boleh gelak-gelak dengan sepupunya yang lain. Masa aku
singgah tu, mereka tengah buat majlis sambutan hari jadi dia.”
“Oh.. ye ke… lega aku dengar. Terima
kasih, sebab jenguk dia untuk aku”
“Kebetulan aku balik kampung Dyiana.
Aku singgahlah…. Qar, aku jangan salahkan diri kau dengan apa yang berlaku.
Mereka tahu Qar, semua orang tahu bukan salah kau. Janganlah jadi macam ni”
Zulqarnain sekadar menggeleng
kepala. “Aku tahu….. tapi aku yang ada di situ. Aku yang sepatutnya mengambil
alih. Aku rasa bersalah sangat. Aku lambat buat keputusan. Aku puncanya”
“Aku faham Qar… tapi itu takdir yang
kita tak boleh elak. Cuma teruskan kehidupan kau Qar. Jangan macam ni…. Tempat
kau bukan di sini. Aku tahu apa pekerjaan kau sekarang… aku tahu itu bukan kau
Qar…bukan kau” Lembut suara Amirul. Dulu dia tidak berani bercakap terang-terang
begini terhadap Zulqarnain. Kalau bertemu pun sekadar bertanya khabar. Tidak
pernah di sentuh sedikit pun peristiwa itu. Tapi semenjak dia tahu lelaki itu
sudah kembali bekerja walau sebagai pemandu bas, dia mencari kesempatan untuk
datang dan bertemu sendiri dengannya. Sudah sampai masa lelaki itu disedarkan
dari kenyataan. Dia hanya mahu lelaki itu kembali. Kembali berani menghadapi
kehidupan sebenar.
Zulqarnain mengangguk perlahan.
Betul apa kata Amirul. Lelaki itu salah satu rakan baiknya. Sama-sama lapor
diri dan bertugas di sana. Bermakna sudah hampir sepuluh tahun mereka bersama.
Banyak asam-garam kehidupan mereka lalui. Segalanya mengajar untuk menjadi
lebih matang.
“Tapi ada masa aku rindukan suasana
dulu. Aku rindukan pekerjaan sebenar aku. Cuma aku tak kuat lagi. Ke sana pun
aku tak sanggup”
“Kau tak rindukan kami ke Qar?”
“Siapa kata!... aku rindu sangat.
Doakan aku kembali”
Petang itu ketika hujan semakin
reda, Amirul meninggalkan Zulqarnain. Sebaik saja kereta sahabatnya itu hilang
dari pandangan, pintu di tutup rapat. Pandangan Zulqarnain kejap di sekeping
kad bewarna biru. Cantik.
Dia menghela nafas panjang. Mata
dipejamkan sambil kepalanya menyandar selesa di bantal sofa. Wajah Syuhada
terbayang di depan mata. Minggu lalu dia sengaja membatalkan temu janjinya
dengan gadis itu. Sepanjang dua tahun ini, hanya Syuhada yang selalu
menghubunginya. Walau di tegah, gadis itu pasti akan hadir bila waktu terluang.
Tidak hanya di talian, kadang-kadang sehingga di rumah di jejaknya. Akhirnya dia
menyerah. Di layan juga gadis itu yang sememangnya rapat dengannya dulu. Cuma
walau apapun yang gadis itu cuba lakukan, dia masih tidak mampu melupakan
segalanya. Masih tidak mampu!