Home Novel Cinta Seseorang Seperti Dia
Bab 25

            Aku hampa. Seperti biasa, bangun pagi aku akan mendapati aku berada di dalam bilik. Dan aku pasti Haris yang membawaku ke sini. Jika bukan dia, siapa lagi. Aku pasti, aku melelapkan mata di sofa menunggu kepulangannya malam tadi. Aku menoleh ke setiap inci bilik mencari kelibatnya. Juga tiada. Yang ada cuma nota kecil yang diletakkan di atas bantalnya seperti hari-hari semalam.

‘I’m out for work, baby. Will talk to you later. Love you.’ Tulisnya pendek namun cukup untuk membuatkan hatiku kembali berbunga. Nota itu kulekapkan di hidungku, menghidu bau wangian Haris yang melekat di situ. Aku tersenyum sendiri. Merenungnya buat seketika sebelum memasukkan ke dalam laci meja di tepi katil itu. Begitulah sahaja cara aku mengetahui bahawa Haris sekurang-kurangnya pulang ke rumah setiap malam. Mungkin memelukku ketika tidur, memandangkan tidurku cukup lena. Namun begitu, aku sentiasa terlepas peluang bersemuka dengannya. Hanya nota-nota ringkasnya itu yang menyakinkanku bahawa hubungan kami masih punya harapan.

            Namun, bila bersendirian begini aku tidak dapat menahan mindaku dari menerawang ke topik yang sama. Bia Natasha. Aku ingat lagi kali pertama bertemu Bia. Walaupun sudah 6 tahun berlalu, ia masih bersisa di memori. Mengingatinya membuatkan aku tertanya-tanya, benarkah cinta Haris mula kembali padanya?                                 

*****************************

6 Tahun Lepas

             Sambil menyanyi, aku mengikat tali kasut sukan berwarna pink yang kusarungkan itu. Hatiku sedang berbunga bahagia. Cuaca hari ini juga kelihatan cukup cerah, seceria diriku. Jelingan tidak puas hati Rich yang sesekali kutangkap itu juga gagal mematahkan senyuman yang menghiasi wajahku ketika itu. Aku punya sebab untuk gembira. Hari ini dalam sejarah, Rich buat pertama kalinya setuju membenarkan aku mengikut dia berhujung minggu. Paling penting, hari ini aku berpeluang untuk mencuci mata memandang sahabat baiknya, Haris yang sudah lama menjadi pujaan hatiku itu. Aku menghadiahkan senyuman colgateku padanya. Menayangkan wajah tidak bersalah, walaupun itulah yang sepatutnya aku rasakan. Rich menjeling lagi dan kali ini aku tidak teragak-agak menggunakan senjata rahsiaku untuk menghentikannya.

“Mama!” Jeritku sekaligus menarik perhatian Mama yang sedang leka menyapu ruang tamu. “Tengok Rich ni. Dia jeling Reia lagi.” Aduku sambil memuncungkan bibir. Mama menghentikan tugasnya seraya berjalan ke arah kami. Bercekak pinggang berdiri di hadapan kami berdua.

“Rich, cuba bagitahu Mama. Kenapa tak suka sangat Reia ikut ni?” Soalnya kepada abangku yang sudah mula mengaru kepala. “Mama benarkan dia ikut, sebab ada kamu. Kamu boleh tengok-tengokan dia nanti. Kesian dia, dulu nak hiking ke Bung Jagoi tu dengan kawan-kawannya, Papa kamu tak bagi. Ni ada kamu, biarlah dia ikut.” Ujar Mama membuatkan Rich terdiam.

“Tapi Ma..” Ujar Rich mula cuba mencari alasan.

“Tapi apa? Bukannya selalu. Kalau nak marah, marah kat Mama. Mama yang benarkan dia ikut.” Potong Mama lagi membuatkan aku menghantar senyuman bahagia kepada abangku yang ternyata tiada jawapan untuk soalan itu.

“Yelah-yelah.” Balas Rich, akhirnya mengalah. “Dah siap kan? Nak jalan dah ni. Lambat, tinggal.” Ujarnya dalam nada geram padaku yang laju bangun dan tersenyum lebar padanya.

“Layan adik kamu tu elok-elok. Jangan gaduh pula kat sana nanti.” Pesan Mama dan tanpa pilihan, abangku mengangguk. Syukur, selepas itu tiada lagi jelingan daripadanya untukku. Nampaknya dia sudah menerima hakikat bahawa dia perlu menjadi penjagaku sepanjang aktiviti kami nanti. Sebelum memandu ke destinasi, kami terlebih dahulu singgah menjemput Hana. Perjalanan yang mengambil masa hampir sejam itu terasa begitu lambat berlalu. Mungkin juga kerana aku sudah tidak sabar memandang wajah Haris yang menurut Rich memandu ke sana bersama teman sekampus mereka yang lain. 

            Begitu mudahnya jantungku berdetak saat Rich meletakkan keretanya bersebelahan dengan kereta Honda City berwarna hitam yang amat kukenal pemiliknya itu. Laju aku membuka pintu kereta. Tidak sabar untuk menyapanya. Aku ingin dia menyedari kehadiranku di situ. Lama mataku terpaku pada wajah kacaknya. Dia kelihatan gembira. Bersandar di tepi keretanya sambil berbicara dengan sekumpulan temannya. Dapatku lihat, beberapa pasang mata memandangnya dengan pandangan teruja. Itulah Haris, dia punyai aura dan karisma yang membuatkan ramai tertarik untuk mendekatinya. Aku juga tidak terlepas daripada merasakan tarikannya itu. Sejujurnya, aku sudah lama terpikat padanya. Sudah jatuh cinta pandang pertama padanya. Aku tekad untuk membuatkan dia melihatku lebih daripada sekadar adik kepada sahabat baiknya.

“Rich. Sampai pun korang.” Tegur Haris sambil bersalam dengan abangku.

“Budak ni buat I lambat.” Ujar Rich sambil menunjuk padaku. Cepat aku menghadiahkan jelinganku padanya. Tidak berpuas hati mendengar ayat itu. Namun rasa geramku pada Rich cepat terubat saat melihat mata Haris sudah beralih padaku.

“Hai Reia.” Tegurnya sambil menghadiahkan senyumannya yang sering membuatkan aku tertawan. Sentiasa membuatkan hatiku cair sekaligus menimbulkan rona-rona merah di pipiku. “Reia boleh ke hiking ni? Bung Jagoi ni boleh tahan tinggi tau.” Soalnya lembut padaku. Begitulah Haris. Sentiasa baik dan melayanku mesra. Sering membuatkan aku merasa istimewa. Mungkin juga layanan istimewa itu aku terima kerana aku adik kepada sahabat baiknya.

“Boleh.” Jawabku malu-malu. Jika diikutkan banyak yang inginku ucapkan padanya, namun aku tidak tahu kenapa setiap kali bertemu dan berbicara dengannya, lidahku sering terasa kelu. Keupayaanku untuk berbicara lancar juga seolah menghilang. Mungkin kerana pesona pandangan dan senyumannya sahaja sudah mampu membuatkan aku terpaku. Membuatkan lidahku terkelu.

“Kalau dia tak boleh. Kita tinggalkan je.” Usik Rich.

“Richhh..” Ujarku geram.                               

“Sorry bro, hari ni I kena jadi babysitter. So kalau I lambat sampai summit, faham-faham je lah sebab siapa.” Usiknya lagi menambahkan rasa geramku. Haris dan Hana yang mendengar hanya ketawa di sebelah kami.

“Don’t worry Reia. I know you can do it.” Ujar Haris sekaligus membuatkan hatiku berbunga.

“Thanks.” Balasku sambil tersenyum malu. Namun senyumku mati seketika apabila melihat seorang gadis tiba-tiba berdiri di sebelah Haris sambil memegang lengannya mesra. Aku tidak dapat menahan mataku daripada melihat interaksi mereka. Aku hairan kenapa Haris tidak menepis tangan gadis itu seperti yang sepatutnya. Sebaliknya dia memandang gadis itu dengan pandangan yang... membuatkan aku cemburu. Pandangan yang aku ingin dia berikan padaku. Aku tidak tahu lama mana mataku terpaku pada mereka, aku hanya berhenti setelah disiku oleh Hana.

“Siapa ni?” Soal gadis itu sambil memandangku dari atas ke bawah. Perlahan-lahan dia mengalihkan pandangan kepada Haris, meminta jawapan.

“B, kenalkan ini Reia. Adik Rich. Dan yang tu pula Hana.” Ujar Haris, memperkenalkan kami kepada gadis cantik, tinggi lampai itu.

“Oh hai Hana, Reia. Saya Bia.” Ujarnya mesra sambil menghulurkan tangan kepada kami. Aku tidak punya pilihan selain membalas salam dan senyumannya itu. “Girlfriend Haris.” Tambahnya saat tanganku berjabat dengannya. Dan begitulah hatiku hancur buat pertama kalinya. “Cute adik you Rich.” Komennya kemudian. Mungkin untuk meneutralkan suasana yang tiba-tiba kurasakan tegang itu. Pujiannya itu sekurang-kurangnya berjaya menjemput senyuman Rich. Mungkin yang tidak tersenyum ketika itu, hanya aku. Tiba-tiba aku rasa menyesal berada di situ. Duniaku terasa mati seketika. Inikah rasanya patah hati? Jika ya, aku tidak ingin melaluinya.

“Dah puas selfie?” Soal Haris padanya. Soalan itu disambut tawa manja oleh Bia. Aku tidak dapat menahan telingaku daripada mencuri dengar perbualan mereka yang jaraknya hanya dua langkah dariku itu.

“Puas dah. Tapi I belum puas bergambar dengan you. You kena janji selfie dengan I depan signage tu nanti, okay.” Pintanya.

“Whatever you want, B.” Balas Haris sambil merenungnya, penuh cinta. Betapa aku berharap aku tidak perlu menjadi saksi kemesraan mereka ketika itu. Rasa cemburuku terasa membuak-buak di dada. Andai saja aku punya sayap, ingin sekali aku terbang pulang ke bilikku. Enggan terus menyaksikan drama cinta itu.

“Semua dah ready ke? Kalau dah, kita gerak sekarang.” Ujar seorang lelaki yang kukira tentunya pemandu arah kami hari ini. Semua menjerit ya dan kedengaran bersemangat kecuali aku. Semangatku perlahan-lahan terasa menghilang.

“Reia, okay tak ni?” Bisik Hana di sebelahku. Dia memandangku risau. Aku cuma mengangguk kecil, cuba menutupi segala rasa pedih di hatiku.

“Reia, Hana, jom.” Ajak Rich bersemangat. Tanpa pilihan, aku mengekori kumpulan yang sudah memulakan langkah untuk menawan Bung Jagoi. Membawa hatiku yang lara.

 

****************************

            Bung Jagoi yang merupakan salah satu daripada pusat penempatan awal masyarakat Bidayuh di daerah Bau itu, tidaklah terlalu tinggi. Ketinggiannya hanya 357 meter dari aras laut. Ia boleh ditawan dalam masa tidak sampai 50 minit oleh mereka yang sudah biasa dengan aktiviti lasak. Namun bagi aku dan Hana yang baru pertama kali mengikuti aktiviti seperti ini, ianya kukira cukup mencabar. Mujur banyak pondok persinggahan disediakan di sepanjang pendakian, jadi kesempatan untuk berhenti rehat beberapa kali amatlah aku hargai. Lagi pula, ia adalah antara cubaanku untuk mengurangkan kemungkinan bertemu dengan pasangan merpati dua sejoli yang aku pasti sudah jauh meninggalkan kami ketika itu.

            Namun, usahaku ternyata sia-sia. Rich yang awalnya tadi berjalan bersama kami sudah pun meninggalkan aku dan Hana. Tugas yang diturunkan oleh Mama padanya pagi tadi diserahkan kepada Haris tanpa persetujuanku. Haris dan Bia yang kusangka sudah sampai ke puncak gunung itu rupanya memperlahankan langkah mereka untuk singgah di beberapa lokasi untuk mengabadikan gambar mereka bersama. Enggan menyakiti hatiku melihat kemesraan mereka, aku dan Hana memilih untuk memimpin perjalanan. Aku ingin secepatnya sampai ke puncak gunung sekaligus menamatkan episod duka hari ini secepatnya.

“Ahh..” Jeritku saat kakiku tersadung pada akar kayu yang tidakku sedari berada di tengah laluan itu.

“Reia!” Jerit Haris, panik. Sebelah tangannya sudah berada di bahuku, menahanku daripada terjatuh. “Okay tak ni?” Soalnya lagi.

“Reia okay. Reia tak perasan pun ada akar kayu kat sini tadi.” Jawabku cuba menyakinkannya.

“Betul ni?” Soalnya lagi.

“Betul.” Balasku ringkas.

“Reia nampak pucat. Minum air ye. Pengsan pula nanti.” Pesannya lagi. Aku tersenyum atas keprihatinannya itu namun cepat berhenti selepas melihat cara Bia merenungku. Laju aku membuka beg, cuba mencari botol airku, namun tiada.

“Reia lupa, botol air Reia dalam beg Rich.” Akuiku. Dari ekor mata aku melihat Haris mengeluarkan botol mineral dari beg sandangnya namun ditahan oleh Bia.

“I ada bawa extra. Reia nak yang mana, mineral water or milo?” Soalnya lembut. “I ada chocolate juga, ada sesiapa nak?” Soalnya lagi. Aku mengangguk dan tersenyum padanya. Benar aku menghargai bantuannya itu. Setelah memberi peluang aku mengumpulkan kembali tenaga, barulah kami meneruskan perjalanan. Walaupun laluan pendakian ke puncaknya lebih mencabar, namun dengan bantuan Haris dan Bia, aku dan Hana berjaya juga menawannya. Itulah interaksi terakhir aku bersama mereka hari itu. Sebaik sampai ke puncak Bung Jagoi, Haris mengembalikan semula tugasnya kepada Rich. Selepas itu, dia langsung tidak lagi menoleh padaku. Seluruh perhatiannya hanya untuk Bia. Dari situ aku tahu, perasaanku padanya tak akan ke mana. Tidak, setelah adanya Bia.

            Tidakku sangka hari yang bermula cukup baik rupanya berakhir dengan episod duka buatku. Mujur ada Hana, hanya dia sahaja yang tahu kenapa moodku berubah suram hari itu. Rich pula percaya perubahan moodku adalah kerana aku kepenatan. Ganjarannya, di sepanjang perjalanan pulang ke rumah petang itu Rich tidak kedekut berbicara tentang Bia Natasha ketika aku bertanya. Aku ingin tahu apakah istimewanya dia sehingga mampu menawan hati jejaka pujaanku itu. Mungkin kisah percintaan mereka bukanlah rahsia, maka Rich langsung tidak teragak- agak menyampaikan semuanya kepada aku dan Hana yang sedia menadah telinga.  Menurut Rich, Bia penuntut jurusan kejuruteraan, jurusan yang sama dengan Haris. Mereka mula bercinta sejak dua tahun yang lalu ketika sama-sama masih di semester pertama.

            Hubungan Haris yang baik dengan abangku, Rich juga terkadang membuatkan aku sesekali terpaksa menyaksikan kemesraan pasangan itu secara dekat apabila kebetulan menjalani aktiviti yang sama. Dari situ aku mengenali siapa Bia. Dia seorang yang baik, lembut bicara dan berbudi bahasa. Pendek kata, dia memiliki wajah dan personaliti yang cukup sempurna. Bahkan menurut Rich, Haris sudah memperkenalkan Bia pada keluarganya. Mendengar semua itu, menyedarkanku bahawa aku tidak akan mampu menjadi saingan Bia. Ketika itulah aku tahu aku perlu menoktahkan perasaanku pada Haris.  

               

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cherish Aleyya