Home Novel Cinta Berarak Mendung Kelabu
Berarak Mendung Kelabu
anga wati
29/11/2018 04:56:04
6,798
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1.

Buku cerita yang bakal dibacakan kepada anaknya sudah sedia di tangan. Taufik menyelimuti tubuh Zaim sebelum berbaring di sebelahnya. Kegembiraan Zaim tak dapat untuk di sembunyikan lagi. Waktu yang sentiasa dinanti. Waktu mereka menghabiskan masa bersama. Sesibuk manapun tugasnya di pejabat, Taufik tetap akan memastikan waktunya ada untuk satu-satunya anak kesayangannya itu. Walaupun tanpa mama, dia mahu Zaim tak merasa kekurangan apa-apa. Biarpun Aliya tiada, dia tetap akan meneruskannya, menyayangi dan mendidik anak itu sebaiknya.

“Papa, hari ni papa nak bacakan Im cerita yang mana?” soal Zaim yang sudah selesa berbaring. Senyum sampai nampak gusi. Bahagia kerana papa tak pernah mengabaikannya.

“Hari ni papa bacakan buku yang baru kita beli tu. Cerita tentang 25 orang nabi-nabi.” balasnya sambil meyelak halaman yang pertama.

“Papa, nabi tu apa?” soal Zaim lagi.

“Nabi tu adalah seorang lelaki, utusan Allah untuk kita. Allah utuskan dia untuk ajar kita buat amalan dan kebaikan. Ajar kita untuk taat dan sembah Allah.” jawap Taufik. Dia berusaha untuk memudahkan penerangannya kerana dia tahu Zaim masih kecil dan masih banyak yang perlu dipalajari. Penggunaan bahasa yang sukar akan mengganggu proses pemahamannya.

“Utusan tu apa?” soalnya pula. Taufik tersenyum. Dia tahu, Zaim memang sentiasa penuh dengan sifat ingin tahu. Setiap perkara perlukan penjelasan. Selagi tak mendapat jawapan, jangan haraplah mulutnya akan berhenti bernanya. Otaknya sentiasa ligat memikirkan logik akal.

“Utusan? Utusan tu maknanya adalah seseorang yang dihantar untuk membuat sesuatu. Contohnya macam ni. Papa utuskan Im untuk hantar buku ni pada Nenek. Maksudnya Im lah utusan tu. Faham tak?” soal Taufik pula. Lambat-lambat Zaim mengangguk. Dia masih cuba untuk memahami penerangan papanya tadi.

“Kalau macam tu, utusan Allah maksudnya apa?” soal Taufik lagi sekadar ingin menguji. Dia ingin tahu samaada benarkah Zaim memahami apa yang baru diterangkannya tadi atau sekadar mahu mengaku faham. Berkerut-kerut kening anaknya itu memerah jawapan. Seketika kemudian dia bersuara.

“Utusan Allah…Ha, Im tahu. Maksudnya orang yang di hantar oleh Allah. Betul tak pa?” soalnya pula. Taufik membalas dengan senyuman. Dia bersyukur, Zaim memang seorang yang terang hati. Mudah memahami segala yang dipelajari.

“Betul. Pandainya anak papa ni.” jawapnya sebelum memeluk anaknya itu erat. Zaim gembira tak terkata. Telahannya tepat malah mendapat pujian dari papa.

“Cepatlah papa. Bacakan untuk Im. Im tak sabar nak dengar.” tutur Zaim ceria. Taufik segera memulakan pembacaannya. Kisah manusia pertama di muka bumi, Nabi Adam, bapa kepada seluruh umat manusia yang pernah tercipta.

Selesai menidurkan Zaim, seperti biasa Taufik terus ke bilik bacaan. Bilik kerjanya yang menjadi tempat dia menghabiskan sebahagian besar masanya di rumah itu. Draf-draf laporan penilaian yang perlu dihantar harus di semak terlebih dahulu. Dia perlu profesional, tak mahu menganiaya sesiapa, baik penjual mahupun pembeli. Hak kedua-dua pihak perlu dijaga. Dia tak mahu menghasilkan penilaian yang berat sebelah kerana ia jelas melanggar etika kerja dan prinsipnya sendiri.

Jujur dan amanah adalah kunci kejayaan syarikat yang mereka usahakan itu. Biarpun masih setahun jagung, mereka tetap dapat bersaing dengan syarikat-syarikat lain yang sudah mempunyai nama besar dalam profesyen itu. Buktinya dalam masa 5 tahun saja mereka sudah berjaya membuka cawangan baru di bandar Ipoh yang sedang pesat membangun. Taufik lega, usaha yang dicurah selama ini dilihat telah mula membuahkan hasil.

Draf awal kertas kerka cadangan penilaian kadar cukai taksiran yang dihantar Rusdi petang tadi dibelek-belek sebelum dia menyandarkan badannya. Satu keluhan dilepaskan. Fikirannya mula melayang kembali. Setiap kali berada di rumah dia pasti akan teringatkan peristiwa lama. Aliya. Bisiknya dalam hati. Sayangnya pada Aliya tak pernah berbelah bahagi, dan dia sangat pasti Aliya memang tercipta untuknya. Tapi kenapa? Kenapa Aliya tak dapat menghargainya. Kasih yang tercurah selama ini tak dihargai. Aliya pergi meninggalkannya tanpa sebarang kata.

Tangannya pantas membuka laci meja kerja. Sebuah bingkai gambar kenangan yang disimpan sejak sekian lama dicapai dan diamati, lama sebelum meletakkannya ke dada. Rindunya sedikit terubat. Dia sedar sayangnya pada Aliya takkan pernah berubah. Dia akan setia menanti kepulangan Aliya yang di kasihi. Biarpun dia sedar mungkin penantiannya hanya sia-sia, namun dia sedia untuk mengorbankan segalanya. Masa bahkan hatinya tetap kan sentiasa ada untuk Aliya, hanya Aliya, selama-lamanya. Hatinya tak mungkin berpaling pada yang lain. Aliya cinta matinya, di dunia dan di sana.

Potret gambar perkahwinannya dan Aliya ditatap. Wajah Aliya diusap lembut. Air matanya mula bergenang. Dia sudah berusaha untuk menjejakinya tapi dia tetap tak menjumpai jejaknya. Dia sedar hanya Aliya yang dia mahu. Serentak wajah itu dikucup. Setitis air matanya menitis juga. Setiap kali rindu, pasti nama itu yang disebut. Bila resah ingin sekali Aliya ditemu. Begitulah dalam cintanya. Kesepian melanda di hati di sepanjang tempoh menanti.

“Liya. Baliklah. Abang rindu Liya. Abang janji, abang takkan marahkan Liya. Liya balik ya sayang.” tuturnya dalam tangisan. Dia takkan pernah berhenti mengharap. Harapannya untuk bersatu semula dengan kekasih hati yang telah pergi membawa diri. Dia tahu Aliya pasti ada sebabnya yang tersendiri. Aliya yang dikenalinya bukanlah seorang yang tak bertanggungjawap. Dia yakin Aliya pasti akan kembali satu masa nanti dan sepanjang tempoh itu dia rela menjadi si pungguk yang setia merayu bulan. Selama mana? Pasti, untuk selama-lamanya.  

  Suasana pagi yang ceria. Mak Jah telah menyediakan nasi lemak sebagai hidangan sarapan tak lupa sandwich telur kegemaran Zaim. Bau nasi lemak memenuhi ruang dapur. Taufik dan Zaim beriringan menuruni anak tangga menuju ke meja makan. Kedua-duanya kelihatan kemas dan segak. Pn.Hayati tersenyum. Lagak Zaim saling tak tumpah dengan papanya, cara berjalan semuanya ikut papa, cuma matanya. Matanya sangat mirip dengan mata yang dimiliki mamanya, Aliya. Serentak senyumnya mati. Nama Aliya sentiasa mengganggu ketenteramannya kini.

“Selamat pagi, Nenek.” sapa Zaim pada Pn.Hayati yang telah bersedia di meja. Mematikan kenangan yang sudah mula menerjah di fikiran.

“Pagi. Im dah siap ya. Jom kita makan. Nek Jah dah buatkan makanan kesukaan Im.” balasnya.

“Bestnya. Terima kasih Nek Jah.” tuturnya sebelum mengambil tempat, Taufik turut tak ketinggalan. Sekeping sandwich diletakkan ke dalam pinggan cucunya itu.

“Jadi ke mak pergi bercuti hujung bulan ni? Fik tak pasti lagi dapat ikut ke tak. Lagipun hal ofis banyak yang nak diuruskan. Kalau Fik tak jadi ikut mak marah ke?” soal Taufik perlahan. Dia tahu dia jarang menghabiskan masa bersama. Bukan niatnya untuk mengabaikan mak, cuma kerja di pejabat semakin banyak. Rezeki jangan ditolak. Lagipun sebulan dua ni mereka perlu memberi tumpuan pada tander penilaian semula cukai taksiran yang berusaha untuk direbut itu. Peluang mereka dilihat cerah kerana mereka lebih arif dengan kewasan tersebut.

“Mak tak kisah. Fik yang beriya sangat nak ikut. Lagipun mak bukan pergi sorang. Lain kali lah kita pergi sama-sama, masa Zaim cuti. Taklah mengganggu waktu sekolah nanti.” balas Pn.Hayati. Dia lega. Lega rancangannya berhasil. Memang itu yang dia inginkan. Dia tak mahu Taufik turut serta kerana dia ada hal lain yang ingin diuruskan.

“Fik janji. Nanti bila projek rating ni dah selesai kita pergi holiday sama-sama.” janji Taufik.

Dia sudah merancang percutian keluarga yang boleh dikatakan julung kali bakal diadakan. Seingatnya kali terakhir mereka bercuti bersama sebelum dia melanjutkan pelajaran di universiti dulu dan sejak dari itu dia sibuk dengan urusan kolej mahupun persatuan yang disertainya. Sampailah sekarang, masanya hanya di gunakan untuk dirinya sendiri. Dia terlupa untuk meluangkan sebahagiannya bersama mak. Bukannya dia tak cuba, cuma ada saja halnya. Dia masih tak berkesempatan. Terlalu banyak urusan yang perlu diselesaikan.

“Tak apa. Mak tahu Im sibuk. Lagipun mak pergi lama sikit kali ni. Lain kali kita boleh pergi sama-sama.” tutur Pn.Hayati. Langkah pertama dalam rancangannya telah berjaya untuk dilengkapkan. Kehadiran Taufik amatlah tak diharapkan. Kalau Taufik tahu keadaannya yang sebenar pasti naknya itu akan putus harapan. Rahsia yang disimpan masih belum sedia untuk dikongsi. Dia perlukan sedikit masa lagi.

“Nek, nanti kalau nek tak ada, Im nak main dengan siapa?” soal Zaim seketika kemudian. Bunyinya macam merajuk, serentak Pn.Hayati teringat. Dia lupa untuk memaklumkan.

“Nenek lupa nak cakap. Nenek ada ambil seorang pembantu sementara untuk temankan Zaim nanti. Dia akan temankan Im main. Nanti Im taklah bosan sangat.” jawap Pn.Hayati. Zaim mengangguk tanda faham.

Selesai balik dari tadika, seperti biasa, Zaim segera meluru ke ruang tamu untuk menonton rancangan kartun kegemarannya. Tak ada banyak perkara yang boleh dilakukan di rumah itu. Selain menonton telivisyen tak ada banyak perkara seronok lain yang boleh dibuat.

Nak bermain basikal dia tak pandai. Sudah lama dia belajar tapi tetap tak berjaya. Semua rakan-rakannya sudah pandai membawa basikal sendiri, cuma dia sahaja yang masih menggunakan basikal yang berkaki. Malu rasanya bila diejek rakan-rakan. Nak minta tolong papa ajarkan, papa tak ada masa. Malam baru balik. Nenek pula selalu mengadu sakit-sakit, dia tak mahu susahkan nenek.

Belajar dengan Nek Jah, sampai sekarang tak pandai-pandai. Lepas peristiwa dia terjatuh dulu sampai berdarah lutut, Nek Jah dah tak nak tolong dah. Dia kata takut kalau jadi lagi. Dia takut kena marah dengan nenek dan papa. Bosan! Mujurlah ada rancangan kartun yang disiarkan di situ. Biarpun sudah acap kali diulang, dia tetap akan menontonnya. Dia tak kan pernah rasa jemu.

Pn.Hayati duduk di sebalah Zaim yang sedang leka menonton. Zaim segera berbaring dia atas ribaan neneknya seperti selalu. Pn.Hayati menepuk-nepuk lembut tubuh cucunya itu. Dia tahu Zaim sangat rapat dengannya. Setelah Aliya tiada, masa cucunya itu banyak di habiskan bersamanya. Setiap kali teringatkan Aliya dia dihambat perasaan bersalah. Dia tahu dialah pucanya Zaim kehilangan belaian kasih seorang ibu. Dia tahu dia yang bersalah, tapi semuanya telah diganjar. Allah telah membalas segala kesalahan yang dilakukannya selama ini. Dia pasrah pada ketentuan takdir kerana dia tahu setiap sakit yang diberi adalah bertujuan untuk mengurangkan dosa. Allah masih sayang padanya. Buktinya dia dibantu untuk kembali ke jalan yang benar dan tidak dibiarkan tersesat sehingga ke akhirnya.

“Im maafkan nenak ya. Nenek janji. Nenek janji pada Im yang nenek akan bawa mama kembali.” bisiknya pada diri sendiri. Zaim masih tekun menonton rancangan yang dihidangkan. Pn.Hayati mula sebak, sedar yang dia telah memisahkan keduanya. Sedar yang dia telah meruntuhkan kebahagian insan-insan yang disayangi.

 

Zaim duduk di kerusi yang disediakan di taman sambil memerhatikan Nek Jah dan nenek yang sedang sibuk di situ. Dia mula mati kutu. Tak tahulah apa yang ingin dilakukan lagi. Tiba-tiba dia teringat. Matanya segera membulat. Ada sesuatu lagi perkara yang dia lupa lakukan. Perlahan-lahan dia meninggalka kawasan taman sebelum segera menuju ke tingkat atas dan tempat yang ditujunya ialah bilik kerja Taufik.

Laci meja dibuka sebelum dia tersenyum gembira. Potret gambar papa bersama seorang wanita yang dia pasti benar adalah mamanya. Walaupun tak pernah bersua, hatinya mengiyakannya. Dia tak mahu bertanya pada papa kerana dia tahu yang papa takkan berkata apa-apa. Dia sudah cukup bahagia hanya dengan menatap wajah mama.

“Mama, baliklah cepat. Im sentiasa tunggu mama. Mama balik ya. Im sayang mama.” tuturnya sayu. Pandangannya tak berkelip. Sungguh dia sangat perlukan mama di sampingnya saat itu.      

 

 

Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.