Home Novel Cinta Berarak Mendung Kelabu
Berarak Mendung Kelabu
anga wati
29/11/2018 04:56:04
6,795
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 40

Taufik mendapatkan Aliya selesai saja dia membersihkan diri. Tak sanggup rasa berpisah dengan kekasih hatinya itu lagi. Jika diizinkan, setiap masa dia ingin ada bersama. Kesetiaan Aliya telah menambat hatinya malah dia juga berjanji untuk turut setia menemani selagi ada hayat terkandung di badan.

“Dah siap? Kenapa cepat sangat?” soal Aliya yang sedang duduk di birai katil. Taufik segera melabuhkan punggungnya di sisi.

“Dah. Dah siap.” pantas dia menjawap. Aliya menggeleng-gelengkan kepala manakala Taufik masih setia mengusap adik. Sejak dari tadi, belum puas rasanya menyayangi permata hatinya yang baru itu. Dia sudah membazirkan terlalu lama masa, sekarang tibalah saatnya untuk dia mengqada’ semuanya. Ahli keluarga mereka bakal bertambah. Lafas syukur tak lekang meniti di bibir tanda kegembiraan. Allah telah mengambil sesuatu dan manggantikannya dengan sesuatu yang baru, tapi dia yang lambat menyedarinya.

“Jom Liya tolong abang.” tutur Aliya sebelum meraih tangan Taufik untuk mengikutinya sebelum mereka berpimpinan menuju ke bilik air semula. Taufik mula rasa hairan.

“Abang dah mandi tadi. Liya nak buat apa kat abang ni.” ucap Taufik, sebelum langkah keduanya berhenti di hadapan cermin. Taufik memandang tepat ke arah Aliya sambil mengerutkan keningnya, memerah otak memikirkan gelagat isterinya itu. Tak pernah Aliya berkelakuan begitu kerana bisanya dia sentiasa malu-malu. Pantas tangan Aliya mencapai alatan yang diperlukannya. Taufik tersenyum setelah mengetahui apa tujuan sebenar isterinya itu.

“Dah berapa lama abang tak bersihkan muka ni? Kalaupun abang rindukan Liya, janganlah sampai dera diri sendiri. Kenapalah biarkan rumput banyak sangat tumbuh kat situ.” tutur Aliya sambil tangannya di arahkan pada muka Taufik yang sudah berserabut di penuhi misai dan janggut, sangat berbeza daripada kebiasaannya. Sibuk tangannya menyapukan krim di kawasan yang berkaitan. Taufik ketawa ceria dan dia bahagia kerana Aliya melayannya seperti raja.

“Kenapa? Liya tak suka? Abang sebenarnya sengaja je biar dia tumbuh subur kat situ. Liya tak suka penampilan baru abang ni ke?” soalnya sekadar mahu menguji Aliya. Serentak tangan Aliya berhenti beraksi. Matanya membulat setelah mendengar kenyataan Taufik itu.

“Abang maafkan Liya. Liya tak tahu yang abang sengaja nak simpan semua tu. Liya minta maaf ya. Sepatutnya Liya tanya abang dulu tadi. Biar Liya bersihkan semula.” balasnya sebelum berkira-kira mahu membersihkan kembali krim yang baru disapukan. Pantas tangan itu dicapai Taufik yang mula geli hati. Perangai Aliya tetap sama macam dulu, mudah benar diakali.

“Abang main-main je lah. Memang abang tak ada minat nak uruskan diri sendiri sejak Liya pergi. Setiap masa abang fikirkan tentang Liya je. Tentang layanan buruk abang selama ni, terutamanya tentang kata-kata abang yang dah buat Liya sedih. Abang tak boleh berhenti salahkan diri sendiri. Terima kasih sebab sanggup terima abang semula. Biarlah Liya nak cakap apa pun, tapi abang tetap nak cakap satu perkara ni.” tuturnya serius. Aliya menanti ungkapan Taufik yang seterusnya.

“Abang sayang Liya, abang betul-betul sayang Liya dan abang janji akan sayang Liya selamanya.” tuturnya. Aliya menundukkan muka. Dia malu mendengar ungkapan Taufik itu. Taufik menanti balasan daripada isterinya yang tersayang.

“Liya pun sama. Liya sayang abang.” balasnya sebelum keduanya tersenyum gembira kerana akhirnya mereka tak perlu menyakiti sesama sendiri lagi. Kesempatan masa yang ada akan digunakan sebaiknya untuk mengembalikan kecerian yang pernah tergugat akibat prasangka buruk yang dibiarkan berlegaran diantara mereka.

“Cepatlah. Tadi kata nak tolong abang.” kata Taufik sebelum menyuakan mukanya ke arah Aliya. Dengan berhati-hati wajah suaminya itu dibersihkan. Aliya gembira kerana dapat berbakti pada suami tercinta.

“Mama.” panggil Zaim yang sudah mula rindukan mamanya semula. Tercampak semangat Taufik dan Aliya dibuatnya. Suasana romantis yang dirasai sebentar tadi berakhir dengan sekelip mata.

“Mama. Mama buat apa tu?” serentak kakinya menuju ke bilik air bila melihat kelibat kedua orang tuanya yang ada di situ.

“Im, terkejut papa. Kenapa masuk tak ketuk pintu dulu?” tutur Taufik geram. Aliya hanya mampu tersenyum.

“Pintu tak tutup pun. Macam mana nak ketuk.” jawapnya.

“Mama buat apa tu? Im nak buat jugak.” tuturnya lagi. Matanya membulat bila melihat muka papanya yang sudah memutih, serentak Taufik mengangkat dan meletakkannya ke atas sinki.

“Cepatlah. Tadi kata nak tolong sangat.” kata Taufik lagi, tak mahu menghampakan Zaim. Dia sudah berjanji untuk menebus segala kesalahan yang dilakukan kepada anaknya itu dan ini merupakan langkahan yang pertama.

 

Tubuh Zaim dipeluk erat. Aliya leka menjalankan tugasan hariannya yang telah dilakukan sejak sekian lama. Tugasnya mendodoikan Zaim, cuma bezanya kali ini anaknya itu sudah ada disisi. Bibirnya basah mendendangkan zikir 99 nama Allah yang sentiasa menjadi peneman dikala sunyi. Mengagungkan kekuasaan Allah tanda berserahnya hati seorang hamba. Seperti biasa Zaim lena ditemani suara mama yang sentiasa dirindui. Aliya mengucup lembut kening anak kesayangannya itu, gembira kerana kini mereka dapat bersama semula.

Segala yang ada adalah milikNya. Kita hanya peminjam yang diberikan masa dan kesempatan selama Dia membenarkannya. Selagi kita berpeluang, lakukanlah yang terbaik untuk setiap insan yang kita sayangi dan jangan sesekali menodai ehsanNya selama ini. Syukur adalah kunci bagi kebahagiaan. Ingat, Allah tak akan mengubah nasib sesuatu bangsa selagi bangsa itu sendiri tak mahu mengubahnya. Mulakan dengan langkah pertama kerana dengan langkah pertama barulah kita berpeluang melangkah untuk kali yang berikutnya.

Sama seperti apa yang terjadi pada hubungan dia dan Taufik. Seandainya tiada siapa yang memulakan dulu, pasti keadaan akan sentiasanya begitu. Mereka terpisah zahirnya tapi dalam hati kedua-duanya masih menyayangi antara satu sama lain, bahkan cinta setengah mati, sampai tak dapat untuk dipisahkan lagi. Hanya penyatuan dua hati menjadi pengubat penyakit yang amat sukar untuk diubati itu. Cinta ibarat air yang mengalir di kali, sukar untuk dibendung. Sekali ia melalui takkan dapat untuknya kembali.

Daun pintu yang dibuka perlahan menyedarkan Aliya daripada lamunan. Wajah Taufik muncul di sebaliknya sambil dihiasa dengan senyuman ceria sama seperti dulu. Aliya bersyukur kerana Taufik sudah mendapat dirinya semula.

“Im dah tidur ke?” soalnya berbisik, tak mahu mengganggu lena anaknya itu. Aliya memgangguk perlahan mengesahkannya. Taufik segera menggamit Aliya, mengarahkannya untuk keluar.

“Liya ikut abang. Abang ada sesuatu nak tunjuk pada Liya.” ucapnya sambil menuntun Aliya ke bilik. Aliya hanya menurut sebelum mereka sama-sama duduk di birai katil.

“Tapi sebelum abang mulakan semuanya, pertama sekali abang nak pinjam tangan Liya dulu boleh?” soalnya sambil mencapai tangan isterinya itu.

“Nak pinjam? Nak buat apa?” balas Aliya tak percaya.

“Sebab abang nak letak ni.” tuturnya sambil menyarungkan kembali cincin perkahwinan yang pernah ditinggalkan dulu ke jari manis isterinya itu.

“Jagalah cincin ni baik-baik. Ini kan cincin kahwin kita. Sepatutnya kan ada sepasang, sekarang barulah lengkap.” tuturnya sebelum menunjukkan cincin perkahwinan miliknya yang sedia tersarung dijari, tak pernah sekalipun ditanggalkan, sampailah ke saat ini. Aliya menggigit bibir, sedar dia telah mengambil keputusan yang terburu-buru dulu.

“Ok, selesai satu perkara. Sekarang, abang nak tunjuk ni pada Liya.” tutur Taufik lagi sebelum menghulurkan satu bingkai gambar kepada Aliya. Aliya mengerutkan keningnya serentak riak wajahnya berubah.

“Macam mana abang ada gambar Liya ni?” soalnya tadkala terpandangkan gambar dirinya yang lengkap memakai uniform sekolah menengah itu. Gambar yang langsung tidak pernah diketahui kewujudannya, tapi kini sedang berada dalam simpanan Taufik. Wajah Taufik di hadapannya ditatap hairan. Dia perlukan jawapan.

“Gambar Liya ni abang dapat daripada Izham. Asalnya dialah tuan punyanya yang sebenar. Sama macam Liya yang sepatutnya dijodohkan dengan Izham, tapi Allah lebih tahu segalanya.” tutur Taufik perlahan. Dia tak mahu lagi berahsia. Malam ini akan menjadi malam terakhir rahsia itu disimpan. Dia mahu menjelaskan segala-galanya supaya Aliya tidak selamanya tertanya-tanya. Aliya menantikan penjelasan Taufik yang seterusnya kerana dia jadi ingin tahu tadkala terpandangkan gambar lamanya itu.

“Dalam pada dia menguruskan upacara pernikahannya dengan Liya, Allah jemput dia pergi. Surat yang Liya simpan selama ni adalah surat pertama dan terakhir yang Izham pernah tulis pada abang. Bila abang sampai, dia dah tak ada. Abang sempat sama-sama semadikan dia masa tu. Gambar yang Liya pegang tu dah lama menjadi penguat semangat Izham untuk berjaya dalam pelajaran. Kata Izham, Liya buah hatinya. Gambar tu dia curi-curi ambil masa Liya tak perasan. Masa tu Liya baru masuk sekolah menengah dan dia bersedia untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.” jelas Taufik lagi.

“Abang dah kenal Liya sejak abang menuntut di universiti sebenarnya. Izham bingkaikan gambar tu dan letak atas meja belajar. Setiap kali sebelum pergi kelas, pasti abang tak pernah lepaskan peluang untuk menatap wajah Liya. Tanpa abang sedar, Liya dah ada dalam hati abang, tapi abang cepat ingat. Abang sentiasa ingatkan diri yang Liya bukan milik abang tapi milik Izham. Dia yang terlebih dahulu cintakan Liya.” katanya lagi. Sebelum tangan Aliya digenggam erat. Dia mahu Aliya tahu yang dia juga mancintainya sebanyak mana Izham pernah mencintainya.

“Abang nak Liya tahu sangat satu benda ni. Sejak pertama kali abang terpandangkan wajah Liya dulu, abang dah jatuh sayang pada Liya. Wajah Liya mampu buat hati abang tenang. Bila rasa terbeban dengan tugasan belajar, pasti wajah Aliya yang abang cari. Abang mengagumi penciptaan Illahi kerana hanya dengan melihat wajah Liya abang dapat menguatkan semangat abang semula. Abang tak dapat nak tipu diri sendiri. Abang mengaku yang abang betul-betul dah cintakan Liya waktu tu. Sebab itulah masa Izham minta abang gantikan dia abang tak tolak. Abang nikahi Liya bukan semata-mata mahu menjaga maruah Liya sebaliknya abang terima Liya kerana Abang tahu Liya anugerahNya untuk abang. Allah dah amanahkan Liya pada abang untuk abang sayangi dan jaga sepanjang hidup ini.” katanya lagi. Aliya jelas terkejut. Fikirannya cuba memahami segala kata-kata Taufik serentak dia mati bicara.

“Liya, cakaplah. Cakaplah apa yang Liya nak cakap. Abang sedia mendengar. Maafkan abang kerana simpan semuanya daripada pengetahuan Liya. Maafkan abang ya sayang. Abang nak Liya tahu yang abang betul-betul sayangkan Liya.” tambahnya lagi. Kebisuan Aliya terasa mendera perasaan.

Aliya menghela nafas panjang. Sangsinya selama ini akhirnya terjawab. Selama ini dia beranggapan Taufik terpaksa menikahinya, tapi pengakuan suaminya sebentar tadi merungkai segala yang tersimpul selama ini, serentak genggaman tangan Taufik dibalas.

“Selama ni, Liya ingat abang terpaksa terima Liya. Itulah sebabnya Liya sanggup beralah. Liya tak nak paksa sesiapa untuk terima diri Liya. Liya sedar diri Liya siapa. Liya hidup sebatang kara, hanya ada sahabat-sahabat yang menjadi tempat untuk Liya mencurah rasa. Abang tak salah apa-apa. Kita mangsa keadaan, lagipun Liya tak lah sebaik yang abang sangkakan. Liya pun ada sorokkan rahsia daripada abang. Liya malu bila teringatkan perbuatan Liya pada abang dan Zaim. Liya berdosa.” tuturnya. Dia tak mampu untuk bertentangan mata dengan suaminya lagi. Kalaulah Taufik tahu yang dia sanggup meletakkan harga pada hubungan mereka lama dulu pasti suaminya itu akan kecewa, serentak wajah Aliya diarahkan menghadapnya semula.

“Liya tak salah sayang. Liya tak buat salah apa-apa. Abang dah tahu semuanya. Kalau Liya minta sendiri daripada abang pun, pasti abang akan beri. Abang sanggup sediakan lebih daripada tu, malah mungkin segala-gala yang abang ada, tapi bukan untuk Liya tinggalkan abang, sebaliknya untuk pastikan Liya akan sentiasa ada di samping abang selama-lamanya. Mak dah ceritakan semua pada abang.” tuturnya pula. Aliya lebih terkejut kali ini. Dia tidak menyangka yang Taufik sudah mengetahui segalanya. Mak? Apa maksud suaminya itu? Alisnya berkerut memikirkan segala kemungkinan.

“Kenapa? Liya terkejut? Mak dah beritahu semuanya pada abang melalui diari dia ni.” tambah Taufik sebelum diari yang disimpan sejak tadi dihulurkan kepada Aliya. Aliya tak terus menyambutnya, sebaliknya dia memikirkan keperluan untuk melihat isi kandungan diari tersebut. Seketika kemudian dia menggelengkan kepalanya.

“Itu amanat mak pada abang. Mak nak abang simpan, jadi abang simpanlah baik-baik. Liya percayakan abang dulu, dan sampai bila-bila Liya tetap akan percayakan abang. Liya sayang abang kerana abang suami Liya dan Liya cintakan abang kerana hati ni yang dah terpaut pada abang. Tak ada sebab lain dan harapan Liya cuma ada satu.” ucapnya.

“Liya nak kita sama-sama cuba untuk hidup bahagia di masa depan. Sama-sama menyokong satu sama lain, bertolak ansur dan yang paling penting jangan ada rahsia antara kita lagi, sama macam apa yang arwah mak pesan dulu. Kalau ada masalah bawa berbincang, kan itu pesan mak.” tuturnya sayu. Taufik terus-terusan mengagumi keperibadian isterinya itu. Aliya tak pernah meraguinya selama ini, cuma dia yang mudah melatah, kalah pada bisikan sang pengipas yang menyesatkan. Serentak tubuh Aliya didakap kemas. Dia bangga memiliki Aliya sebagai isteri kerana hati Aliya bersih dan suci.

“Maafkan abang ya sayang. Abang dah seksa hidup Liya. Abang yang bersalah. Abang buta selama ni.” tuturnya sebelum pelukan dieratkan. Aliya mula rimas diperlakukan sebegitu.

“Kejap bang.” tuturnya sambil melepaskan keluhan berat. Bahu Taufik ditepuk berkali-kali minta dilepaskan.

“Kenapa?” soal Taufik risau.

“Kan Liya dah pesan. Janganlah kuat sangat, adik sakit kat dalam ni.” balas Aliya. Taufik menggigit bibir menyesali keterlanjuran diri. Kebaikan yang dipamer Aliya betul-betul membuatkan dia mengagumi isterinya itu dan dia seharusnya diganjari.

“Maaf ya anak papa yang sorang lagi ni. Papa tak sengaja. Mama adik lah punya fasal, comel sangat.” katanya seraya mengusap perut Aliya lembut.

“Cepat besar ya sayang. Nanti boleh tolong temankan abang. Abang adik dah bosan sangat main sorang-sorang.” tambahnya lagi. Sebelum mata mereka bertaut semula. Kebahagiaan jelas terpancar di wajah keduanya dihiasi senyuman yang penuh keceriaan.

“Abang lupa. Ada satu lagi yang abang nak tunjukkan.” tutur Taufik seketika kemudian, setelah dia sedar masih ada yang perlu dilakukan.

“Ada lagi?” soal Aliya tak percaya. Taufik benar-benar sukar untuk diduga.

“Abang nak tunjuk ni pulak.” katanya sambil menghulurkan satu lagi bingkai gambar kepada Aliya. Aliya menyambutnya sebelum satu senyuman dihadiahkan kepada Taufik.

“Abang dah bingkaikan semula?” soal Aliya tadkala terpandangkan potret gambar perkahwinan mereka yang pernah berderai satu ketika dahulu.

“Hmm, abang dah bingkaikan balik. Sebenarnya abang bukan sengaja nak pecahkan gambar tu dulu. Kebetulan masa abang nak ambil tuala, terkena terus kat situ, lepastu jatuh, lapastu…” kata-katanya mati bila jari Aliya mendarat di bibirnya.

“Abang tak perlu jelaskan apa-apa, kan Liya dah cakap tadi, Liya percayakan abang. Lagipun dah malam ni, abang tak penat ke? Dah seharian abang drive, lepastu ke taman lagi petang tadi. Dahlah tu, cukuplah untuk hari ni. InsyaAllah esok kita sambung lagi ya.” balas Aliya, simpati pada suaminya itu.

“Bagilah abang peluang. Dah berbulan abang sunyi, tak ada teman nak diajak bersembang. Nak tidur pun tak lena. Setiap malam abang asyik ingatkan Liya je.” balasnya merajuk, dia belum puas melepas rindu.

“Kalau macam tu, baring kat sini, biar Liya tolong dodoikan.” jawap Aliya. Taufik gembira tak terkata. Akhirnya tidurnya berteman semula.  

Benarlah kata orang, hidup umpama roda. Ada kalanya kita diatas dan adakalanya kita di bawah. Semalam kita berduka, tapi hari ini belum tentu lagi. Hidup sentiasa berubah seiring dengan jalan yang telah dipilih dan pilihan terletak di tangan kita sendiri. Seandainya ranjau yang memenuhi, jangan mudah melatah sebaliknya tempuhilah dengan penuh sabar. Ingat, mendung kelabu pasti akan berarak pergi akhirnya dan tiada apa yang akan kekal selamanya, InsyaAllah dengan izinNya.

Cuba untuk mencari bahagia. Kebahagian tak akan datang dengan sendiri, sebaliknya dia perlu ditempa, berbekalkan dengan usaha dan pengorbanan. Setiap pengorbanan yang dilakukan pasti akan mendapat ganjaran, di sini mahupun di sana. Jangan sesekali putus asa kerana ingatlah, Allah sentiasa ada menemani sepanjang masa.

“Mama.” tutur Zaim disertai dengan ketukan pada pintu mengejutkan Taufik dan Aliya yang sudah bersedia untuk tidur. Taufik berdecik geram, Aliya tersenyum melihatnya. Tanpa meminta kebenaran, Zaim pantas merebahkan diri di sebelah mamanya itu.

“Kenapa Im datang sini? Im kan dah ada bilik sendiri?” soal Taufik tak puas hati. Dia memandang ke arah Aliya minta bantuan.

“Im nak tidur dengan mama. Biasanya mama kan memang tidur dengan Im.” balasnya sebelum mendakap tubuh mamanya itu.

“Im ni kan, mengacau betullah.” marah Taufik, tapi tetap juga merebahkan diri di situ. Aliya gembira kerana keluarganya kini lengkap semula.  Tiada apa lagi yang ingin dipinta selain ketenangan hati dan jiwa. Kini dia bahagia melayari hari-hari yang bakal mendatang ditemani insan-insan yang tersayang. Hanya doa dan harapan dipanjatkan pada Yang Maha Pencipta agar segala-galanya dipermudahkan untuknya dan InsyaAllah, dengan keyakinan padaNya dia akan bahagia.

 

 

-Tamat-

 

 

P/s. Assalammualaikum dan terima kasih pada yang dah sudi pinjamkan hati. Moga di satu masa nanti kita bertemu lagi. Cubalah untuk bahagia, kerana pilihan terletak di tangan kita sendiri. Assalammualaikum dan moga berbahagia hendaknya pada semua.

Previous: Bab 1.
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.