Home Novel Cinta Bukan Salah Cinta
Bukan Salah Cinta
21/11/2014 11:21:38
22,358
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

MENJELANG malam, kebanyakan penghuni sudah kembali ke kediaman masing-masing. Begitulah dengan rumah teres dua tingkat yang terletak di Subang Bestari yang dihuni oleh empat gadis bekerjaya.

Masing-masing menginap sebilik seorang. Tiga bilik atas dihuni oleh Roza, Netty dan Salmi. Manakala Megdelina lebih selesa duduk di bilik bawah sebelah dapur yang serba sempit. Bilik itulah yang paling murah sewanya. Jadi, dia tidak ada banyak pilihan. Dia perlu berjimat cermat kerana meskipun sewanya murah tetapi tetap ‘mahal’ baginya. Sementelahan pula, baru dua bulan dia menjadi penghuni di situ.

“Hei, siapa yang masak ni? Sedapnya bau!” laung Netty sambil berlari-lari anak menuruni tangga. Tubuhnya yang sedikit gempal kelihatan bergegar-gegar dilambung angin.

“Meg, kau cakap betul-betul siapa yang masak ni?” soal Roza yang sudah pun duduk sambil menghulurkan pinggan. Sebelah tangannya menggosok-gosok perut.

“Hisy, berapa kali aku nak cakap aku yang masak?” Acuh tidak acuh Megdelina menjawab pertanyaan rakan-rakan serumahnya sambil menyenduk hidangan ke dalam pinggan.

“Eleh, kau jangan nak poyo dengan aku. Kau sampai tadi dah pukul lapan setengah. Sekarang baru pukul sembilan. Macam mana kau masak? Cepat cakap siapa bagi lauk ni?” Netty menggeletek pinggang Megdelina.

Gadis itu mengelak. “Pakwe kaulah! Siapa lagi!”

“Hah? Mamat elok tu lagi ke? Ya ALLAH, dahlah elok, pandai masak, sopan-santun pula tu... aduh... aduh...” Netty mengurut-ngurut dadanya. Pijama tipis berwarna merah jambu tidak mampu menutupi isi dadanya yang membuak.

“Jangan nak perasan. Syafil syok kat Megdelina, sebab tu selalu hantar makanan,” pintas Roza sambil menjamah rendang hitam yang dihantar oleh chef muda, jiran mereka.

“Amboi, cakap elok-elok sikit, ya? Dia memang suka masak. Sebab tu dia hantar makanan. Bukannya ada maksud tersembunyi yang lain,” bidas Megdelina.

Netty pantas menyokong. “Aku setuju!”

Roza yang masih berpakaian kerja menyuap lagi sebelum bersuara, “Kau percayalah cakap Netty tu. Sebelum kau pindah sini, Syafil tak pernah pun hantar makanan tau. Tapi sejak dia nampak kau keluar masuk dari rumah ni, dia mula hantar makanan. Itu tandanya dia syok kat kau!”

“Alah... dia pun baru pindah juga, kan? Selang sebulan saja daripada aku. Maknanya masa tu dia masih takut-takut lagi dengan kau orang. Manalah tahu kau orang sombong ke?”

Netty hanya menyepi kerana sibuk menikmati hidangan rendang hitam dengan nasi panas. Berselera sungguh dia malam itu.

“Masalahnya setiap kali hantar makanan, dia mesti tanya pasal kau,” balas Roza tetap dengan teorinya.

Dengan wajah merona merah, Megdelina berusaha membingkis telahan Roza. “Hisy, apalah kau ni! Sebenarnya dia suruh aku komen masakan dia. Dengan kau orang susah sikit, sebab kau orang tak pernah komen. Lain kali tak payah nak malu-malu, komen saja. Dia suka macam tu!”

“Eh, betul ke?” Netty segera mencelah. “Baiklah. Lepas ni aku akan bagi komen yang telus dan tulus. Biar dia pun suka kat aku.” Dia mula memasang angan-angan sambil mencungkil sisa daging yang terselit di celah gigi yang jarang.

“Betul tu, Netty. Syafil nak jadi chef selebriti. Sebab tu dia nak kita jadi pengkritik dia. Dia suruh kita komen apa yang tak kena dengan masakan dia. Jadi, bolehlah dia baiki mana yang patut,” balas Megdelina.

“Yalah tu...” Roza menjuihkan bibir. Kerat jari pun dia tak percaya dengan helah Megdelina. Sekilas ikan di air sudah tahu jantan betina.

Roza cuba mencuri rendang di pinggan sebelahnya tapi pantas ditepis oleh Megdelina. “Tambahlah sendiri. Pemalas!”

“Alah, aku dietlah. Malas nak tambah lagi,” ujar Roza dalam lagak manja.

“Dah kurus melidi pun nak diet juga? Makan dua kali takkan jadi gemuk!” tempelak Megdelina.

Tiba-tiba Netty mencelah. “Untunglah siapa dapat Si Syafil tu kan?” Kemudian dia terus mengangkat punggung menuju ke singki dengan pinggan kosong di tangannya.

Roza dan Megdelina saling berpandangan lalu mengangkat bahu. Mereka tertawa. Cuba membuat tafsiran sendiri tentang komen Netty. Siapa pun yang dicintai atau mencintai Syafil masih terlalu mentah untuk dihujahi.

Siapa tahu dalam diam, Syafil sudah punya kekasih, tunang bahkan isteri? Bukankah lelaki memang mudah mengaku bujang? Siapa yang boleh mengaku selagi rahsia tidak bocor?

Megdelina pantas menyudahkan suapan terakhir. Roza pula masih lagi mencuit-cuit lauk yang berbaki seolah-olah tidak puas makan tanpa nasi. Apa nak dikata kerana dia sudah terlanjur mengikut program diet tanpa nasi selama dua minggu.

MEGDELINA memerap di dalam bilik. Dia mencapai telefon bimbitnya dan memeriksa mesej. Tiada balasan. Dia mengeluh. Dia pantas membuka komputer riba. Dia melayari internet. Akaun Facebook diperiksa. Satu per satu status rakan-rakan ditatapi. Dia jarang mengemas kini statusnya sendiri kerana segala hal peribadinya biarlah rahsia. Dia tidak gemar berkongsi perasaan di alam maya.

Selepas membaca beberapa status menarik daripada rakan-rakan maya, dia membuka pula Facebook Emmareeza. Itulah sebenarnya perkara yang gemar dilakukan saban malam. Melalui Facebook Emmareeza, dia dapat mengetahui perkembangan adiknya setiap hari.

Matanya bulat memandang gambar terkini yang baru dikemas kini. Kelihatan Emmareeza bersama seorang lelaki sedang berpelukan di sebuah kafe. Jantung Megdelina berdegup kencang.

“Siapa lelaki ni? Kekasih dia ke?”

Dia membuka pula Facebook lelaki itu. Ternyata lelaki itu bukan dalam senarai rakan mayanya. Bagaimanapun, dia tetap dapat melihat profil lelaki itu yang merupakan rakan sekuliah adiknya. Pantas dia teringat imbas lelaki di dalam kereta Honda City petang tadi. Dadanya makin berombak.

Tiba-tiba lamunannya terhenti. Kelihatan ssap berkepul-kepul memasuki celah tingkapnya. Megdelina bingkas bangun lalu meluru ke bilik Netty dan Roza.

“Api! Api!” Dia menjerit

Netty yang sudah lama tertidur biskas bangun. Mujur dia berseluar trek dan berbaju T.

Megdelina tidak sempat bertudung. Hanya dapat mencapai tuala untuk menutup rambut. Manakala Roza pula hanya berbaju tidur. Sekelip mata mereka sudah berada di luar rumah.

“Tengok tu! Asap tebal dari dapur rumah siapa?!” jerit Megdelina cemas.

“Eh, Syafil. Rumah Syafil!” jerit Netty mula histeria.

Megdelina berdiri di depan pagar yang tidak bermangga. “Ya ALLAH, kenapa dia tak keluar lagi. Dia tak sedar ke?”

Tanpa menunggu lama, dia meluru ke pintu rumah jirannya itu lalu mengetuk daun pintu sekuat hati. Syafil tersembul dengan wajah bingung. Terkejut melihat begitu ramai orang sudah berkerumun di depan rumahnya.

“Ke... na...”

Belum pun sempat Syafil menghabiskan soalannya, Megdelina sudah menyerbu ke dalam rumah dan meluru ke dapur. Langkahnya terhenti dengan menekan brek kaki secara mengejut. Pintu dapur terbuka dan nampak punca api. Dia berpaling memandang Syafil dengan wajah bulat.

“Kenapa bakar sampah? Malam-malam buta pula tu!” soal Megdelina, geram. Dia tidak menyangka yang Syafil begitu kiasu dalam soal ini. Membakar sampah bukan sahaja boleh mengundang bahaya tetapi juga membuatkan rasa tidak selesa jiran-jiran.

“Kenapa? Tak boleh ke?” soal Syafil kembali tanpa rasa bersalah. Dia pelik melihat keadaan Megdelina yang tiba-tiba jadi kelam-kabut.

“Awak dah buat semua orang panik! Macam mana kalau rumah awak betul-betul terbakar tadi?”

“Kenapa? Takkan nak bakar sampah pun tak boleh?” soal Syafil tanpa rasa bersalah.

Megdelina terdiam lalu terus berpatah semula untuk keluar dari rumah itu.

Syafil mengekori.

“Lain kali sampah tu buang aje. Tak payah bakar-bakar.” Gadis itu sempat membebel.

“Kenapa awak marah sangat ni?” Syafil tetap tidak berasa bersalah biarpun dia nampak ramai jiran yang sedang tercangak-cangak memandang ke arah rumahnya.

“Saya marah sebab saya terkejut. Ingatkan...”

“Saya dah mati terbakar?” duga Syafil.

Megdelina tidak menjawab. Celopar sungguh mulut itu! Malas hendak melayan lalu dia terus terus keluar meninggalkan Syafil yang masih terpinga-pinga.

Darahnya yang memang sudah panas sejak di nurseri siang tadi, terus dibarakan hingga malam. Tadi Yusoffe menyakitkan hatinya dan sekarang Syafil pula pula buat perangai. Dia melepaskan keluhan berat. Mujur tidak ada musibah yang berlaku.

Sebaik berada di halaman, Megdelina memandang kawan-kawan dan jiran-jirannya lalu bersuara dalam nada lemah. “Tak ada apa-apa. Dia bakar sampah. Jom balik tidur.”

Masing-masing menggelengkan kepala dan berlalu dari situ sebelum sempat Syafil memohon maaf. Netty pula masih tercegat di situ.

“Cikgu tak balik tidur? Esok sekolah, kan?” tegur Syafil.

“Tak apa. Tadi dah sempat lena sekejap. Awak okey ke?” balas Netty mesra.

Syafil tersenyum simpul. “Saya baik-baik saja. Terima kasih sebab cikgu tak marahkan saya.”

Netty turut membalas senyuman. “Buat apa nak marah? Yang penting awak selamat. Saya nak ucapkan terima kasih sebab bagi rendang tadi. Sedap sangat.”

Syafil teruja lalu dia menghampiri Netty. “Betul ke sedap? Kawan-kawan cikgu cakap apa?”

“Semua suka. Tapi saya yang paling suka. Roza diet. Dia tak makan nasi. Jadi rendang tu dia ratah saja. Megdelina pun bukan pemakan orangnya,” balas Netty, mengulum senyum.

“Saya bagi sikit saja tadi. Tapi kalau cikgu nak, saya boleh bagi. Ada semangkuk lagi dalam freezer.” Chef muda berusia 27 tahun itu sengaja berbasa-basi.

“Eh, tak payah. Seganlah saya kalau awak selalu sangat beri makanan,” tolak Netty, termalu-malu. Dadanya semakin berdebar. Terasa gugup bila berdua-duaan begitu.

“Tak apa, saya memang suka masak. Lagipun saya seorang saja di rumah. Seronok kalau dapat berkongsi dengan jiran.”

“Saya pun suka masak. Nanti kita tukar-tukar makanan ya? Saya minta diri dulu,” ujar Netty. “Hati-hati, jangan main api, nanti terbakar merana diri.” Sempat dia berseloroh.

Syafil tergelak. Menghantar langkah Netty dengan pandangan penuh makna. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Lalu dia berlari mendapatkan Netty.

Langkah Netty terhenti. Dadanya berombak.

“Cikgu, saya nak minta tolong sikit, boleh?”

Netty mengangguk penuh teruja. “Cakap saja. Demi Syafil, saya akan usahakan. Nak kirim beli barang kat pasar raya ke?”

“Eh, bukan! Saya sebenarnya nak tanya cikgu pasal...”

Sebaik Syafil menghabiskan ayatnya, air muka Netty terus berubah. Dia menjawab acuh tak acuh. Kemudian cepat-cepat mengayun langkah meninggalkan Syafil yang termangu-mangu.

Pintu rumah berdentum! Netty menghempas tubuhnya di atas katil. Bantal peluk dicampak ke lantai. Setitis demi setitis air matanya mengalir. Hatinya bagai dirobek-robek.

“Kenapa asyik-asyik perempuan tu yang dia sibukkan?” Dia mengomel.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh