Home Novel Cinta Bukan Salah Cinta
Bukan Salah Cinta
21/11/2014 11:21:38
22,364
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

MEGDELINA begitu asyik memeriksa pokok-pokok yang ditanam berderetan sepanjang laluan utama tatkala dia terasa seperti ada seseorang di belakangnya. Pantas dia berpaling. Benar sangkaannya. Memang ada mahkluk sedang tercegat di situ. Betul-betul di tengah-tengah laluan bersimen. Tiada bayang. Bukan sebab makhluk itu dajal tetapi kerana kedudukan matahari yang sedang tegak di atas ubun-ubunnya.

“Megdelina!”

Dahinya berkerut bila mendengar namanya disapa.

“Yusoffe?” Megdelina terkejut. Tidak disangka jejaka itu muncul lagi malah begitu awal. Hanya selang sehari. Bukankah dia yang kata minggu depan dia akan datang lagi?

“Kenapa? Tak percaya?” soal Yusoffe, tersengih. “Awak ingat hantu galah ke? Takut?”

“Huh! Orang pengecut saja yang takutkan hantu. Hmm... macam mana awak tahu nama saya? Rasanya saya tak ada bagi nama pun hari tu,” soal Megdelina sambil membetul-betulkan lengan kemeja panjangnya yang tersingsing. Kelihatan roma-roma halus panjang melingkari lengannya. Malas dia hendak berencik-encik lagi dengan lelaki itu.

Yusoffe merapatinya lalu berdiri begitu dekat hingga terbau eau de parfum yang dipakainya. Megdelina mengundur selangkah. Tidak tega dia bersentuhan bahu dengan Yusoffe. Bukan dengan jejaka itu sahaja tetapi dengan mana-mana lelaki pun Megdelina sentiasa menjaga hadnya.

“Megdelina... nama yang pelik tapi sedap macam coklat.” Yusoffe cuba melawak.

“Macam mana awak tahu sedap macam coklat? Awak dah rasa ke?” soal Megdelina acuh tidak acuh. Dia syak Yusoffe datang sekadar mahu mempermain-mainkannya lagi.

“Bukan saya tapi lidah jin yang saya beli kelmarin. Semalam dia bagitahu kat saya, dia kata nama awak memang sedap hingga menjilat jari.” Yusoffe berseloroh tanpa rasa janggal. Bergegar-gegar bahunya menahan gelak.

Megdelina terkesima. Bulat matanya memandang Yusoffe. ‘Dia nak loyar buruk dengan aku? Melampau betul! Apa dia ingat aku ni kawan dia? Adik dia? Berani nak main-mainkan aku lagi?’ getusnya di dalam hati.

“Di sini tempat kerja bukan tempat nak melawak!” jerkah Megdelina dengan perasaan geram.

“Amboi, sombongnya! Takkan macam ni cara awak layan pelanggan? Customer is always right! Ingat tu.”

Nada ugutan itu pantas menyambar telinga Megdelina.

“Tengoklah juga customer tu macam mana?” balas Megdelina. Kali ini memang dia tidak mahu melayannya. ‘Biarlah, bukan dia yang bayar gaji aku,’ getus hatinya lagi.

“Okey... okey... maafkan saya. Saya tak berniat nak mainkan awak. Cuma awak ni comel sangatlah bila marah.”

Pantas Megdelina merenung ke dalam mata Yusoffe. Bernyala-nyala pandangannya hingga Yusoffe jadi tidak keruan.

“Amboi, garanglah awak ni! Takut saya!”

“Huh! Kalau dah takut, apa lagi? Tak reti-reti nak blah?” Megdelina sudah naik hantu. Dia tidak mahu membuang masa melayan jejaka yang tidak berhemah itu.

“Sabarlah, cik adik oi.” Yusoffe mengangkat tangan cuba menenangkan gadis itu. “Sesungguhnya sabar itu separuh daripada iman.”

“Itu semua orang tahu.” Megdelina berdengus.

“Tahu pengertian tapi tak tahu amal.” Sempat Yusoffe menyindir.

“Awak ni nak apa sebenarnya?” sergah Megdelina tanpa mahu memberi muka lagi pada Yusoffe.

“Sa... saya nak pokok...”

“Nak pokok lidah jin lagi ke? Berapa? Sepuluh? Seratus?!” tempelak Megdelina lagi.

“Hmm... selain lidah jin, ada lidah apa lagi?” Sempat Yusoffe mengusik.

“Ada, lidah mak mentua awak nak? Tapi saya rasa lidah buaya lebih sesuai untuk awak!”

Yusoffe tergelak. “Oh, perli saya, ya? Sumpah saya bukan buaya darat.”

“Nasiblah kalau terasa.” Megdelina mula mengorak langkah mahu menjauhkan diri daripada jejaka pengganggu ketenteramannya itu.

“Tak baik tau layan pelanggan macam ni. Tak mesra langsung,” giat Syafil, semakin seronok.

“Memang saya tak pandai layan pelanggan. Awak patut cari bos saya. Dia sangat pandai dalam bab layan-melayan ni,” balas Megdelina sambil meninjau-ninjau kawasan pejabat operasi.

“Tak naklah. Saya nak awak!” balas Yusoffe dengan jelingan nakal.

“Hah?” Megdelina terkejut. Matanya dijegilkan pada Yusoffe. ‘Mamat ni dah melampau!’ getusnya hatinya.

“Eh, janganlah perasan pulak. Maksudnya, saya nak awak layan saya sebagai pelanggan,” ujar Yusoffe sambil mencuit bahu Megdelina dengan jarinya.

“Eh, apa cuit-cuit orang ni?!” sergah Megdelina sambil menepis-cepis bahunya. Merah pipinya diperlakukan sebegitu.

“Maaf, saya tak sengaja. Sebenarnya saya nak sedarkan awak. Manalah tahu awak tengah bermimpi bertemu putera raja. Tu yang awak cepat perasan tu.”

‘Berani dia kata aku perasan?’ Hati Megdelina kembali membengkak. ‘Memang tak sayang mulut mamat ni. Nak kena dengan aku agaknya!’ Dia cuba mencari kesabaran yang masih bersisa.

“Apa tujuan awak sebenarnya datang ke sini? Saja nak cari pasal dengan saya ke?!” Sekali lagi dia menempelak lelaki itu kerana sudah tidak mampu menahan marah.

“Eh, tak adalah. Siapa pula nak cari pasal dengan awak? Saya sebenarnya nak buat kolam ikan kat depan rumah tapi saya tak tahu pokok apa yang sesuai nak tanam supaya kolam tu teduh,” balas Yusoffe sedikit serius.

Megdelina merenung wajah Yusoffe tanpa berkelip. Dia cuba mencari kejujuran di mata kelabu jernih itu. Yusoffe tidak mahu mengalah. Peluang yang ada digunakan sebaik-baiknya. Renungannya ternyata lebih tajam daripada Megdelina. Hatinya bergetar. Megdelina tertunduk. Dia tewas!

Yusoffe tersenyum nakal. “Saya tak bohong. Memang saya nak beli banyak pokok kat sini. Bos awak mesti gembira. Gaji awak tentu naik lepas ni!”

Megdelina merenung kembali ke dalam mata kelabu itu. Cuba mencari jawapan. Yusoffe mengangguk mengeyakan. Lantas nafas lega segera dihela.

“Berapa saiz kolam tu?” tanyanya.

Yusoffe menggaru tengkuknya. Dia memandang ke kiri dan kanan. “Err...” Dia berkira-kira. “Rasanya adalah dalam sepuluh kali sepuluh kaki persegi.”

Mata Megdelina cenggelang memandang Yusoffe. “Awak pasti? Rumah tepi?”

Yusoffe terdiam seketika. Sambil mengangkat sedikit wajahnya dia berkata, “Banglo.”

“Oh...” Megdelina menelan air liur. “Kalau ada bajet baik guna khidmat pakar landskap.”

“Err... mahal,” kata Yusoffe yang sempat menelan air liur sebelum menyambung, “Saya nak buat sendiri landskap. Kolam tu saja saya nak upah orang buat.”

“Kenapa nak buat sendiri? Upah pakar saja kan senang?” soal si gadis, sengaja melontar soalan untuk memancing jawapan. ‘Banglo boleh beli, upah landskap takkan tak mampu? Kedekut!’ Sempat dia mengumpat di dalam hati.

“Kolam tu untuk mak saya. Dulu arwah ayah saya pernah berjanji nak buat kolam ikan untuk dia tapi tak sempat. Sebab itu saya nak buat ikut cita rasa mak saya. Awak tahulah kalau guna pakar, alamatnya kita kena ikut cakap dia,” luah Yusoffe tenang.

“Tak semestinya. Pakar cuma beri cadangan tapi kita yang tentukan.” Megdelina cuba membetulkan tanggapan Yusoffe.

“Mula-mula memang macam tulah, tapi nanti bila dah siap, lain pula jadinya.” Yusoffe tetap tidak mahu mengalah.

“Terpulanglah. Saya pun bukan pakar. Cuma saya biasa terima tempahan pokok daripada pakar landskap. Jadi, serba sedikit bolehlah saya bantu.” Perbincangan menjadi semakin serius bukan main-main seperti sebelumnya.

“Saya nak tepi kolam tu rimbun dengan pokok-pokok tropika contohnya pokok buluh,” celah Yusoffe lagi sambil menyeka peluh di dahinya. Beberapa helai rambut jatuh menutupi dahinya yang luas. Indah sungguh pemandangan waktu itu. Megdelina hampir terpesona.

“Okey, jom ikut saya. Saya nak tunjuk contoh. Mungkin awak akan dapat idea di situ.” Megdelina membawa Yusoffe ke pejabat dan duduk di ruang santai.

Di atas meja ada beberapa lakaran kasar taman air. Ada juga beberapa buah majalah Laman sebagai rujukan tambahan.

Panjang lebar Megdelina menjelaskan beberapa contoh landskap kolam dan pokok-pokok hiasan yang sesuai dengan konsep tersebut.

Yusoffe mendengar acuh tak acuh. Sebaliknya dia lebih banyak menatap wajah manis si gadis. Alisnya yang lentik, hidungnya yang mancung halus dan bibirnya yang telanjang tanpa gincu telah membuatkan hatinya bergetar.

“Kalau untuk konsep taman tropika ini, anggaran semua pokok dalam enam ribu. Apa pendapat awak?” soal Megdelina.

“Oh...” Yusoffe terkejut.“Cantik memang cantik.”

Megdelina tersenyum. “Saya tahu bajet tu memang cantik untuk awak, kan?”

“Ya... ya... memang cantik. Bukan bajet saja tapi semua sekali memang saya suka! Cantik sangat!”

Berkerut kening Megdelina. Apakah lelaki ini masih mahu bermain? “Awak tak boleh main suka saja. Ini hal serius. Nanti kalau dah jadi baru awak nak komen, payah jadinya!”

“Err... saya sebenarnya zero dalam hal landskap ni. Saya ikut aje pandangan awak. Saya yakin pada awak. Hanya perempuan sahaja yang faham cita rasa perempuan, kan? Mak saya tentu gembira dengan pilihan awak!”

Megdelina tersenyum. Merah pipinya menahan malu bila dipuji begitu sekali. Tidak disangkanya Yusoffe pandai pula bermain kata-kata manis.

“Usah berharap sangat pada saya. Ini pertama kali saya dapat terlibat secara langsung hingga ke kerja tanah. Awak pun kenalah berikan pandangan,” luah Megdelina sedikit risau.

Yusoffe tersenyum. “Saya perlu beri peluang pada awak. Saya yakin awak boleh!”

“Insya-ALLAH. Terima kasih sebab percayakan saya. Err... kolamnya dah siap ke?” soal Megdelina mulai teruja. Seronok juga kalau dia dapat peluang menghias kolam. Pengalaman itu sangat berharga kerana secara tidak langsung skilnya pun dapat dikembangkan. Pada perkiraannya pendapatan sebagai perunding landskap sangat lumayan berdasarkan projek yang diterima. Tambahan pula dia sudah bosan bekerja di situ kerana sikap pemiliknya yang terlalu berkira.

“Insya-ALLAH minggu depan kontraktor akan mulakan kerja.” Yusoff terdiam seketika sambil menggaru tengkok lagi. Kemudian dia menyambung, “Lebih kurang sebulan siaplah sebab kolam tu besar.”

“Kalau macam tu, awak bayar deposit dulu. Nanti bulan depan kami hantar pokok-pokok ni ke rumah awak.”

“Boleh, tak ada masalah. Awak pandai pasal pokok. Tentu rumah awak ada taman yang cantik, kan?” soal Yusoffe cuba menyelidik lanjut.

Megdelina pantas bereaksi. “Eh, tak adalah... kuli macam saya ni mana ada duit nak buat taman yang cantik? Sekarang ni pun masih menyewa.”

“Oh... tinggal dengan siapa?” soal Yusoffe teruja.

“Kawan-kawan bujang,” balas Megdelina sambil menulis senarai pokok yang dibeli.

Semakin panjang senyuman Yusoffe. “Samalah kita. Saya bujang juga.”

Megdelina tergelak. “Tak tanya pun.”

“Saja saya nak bagitahu. Maaflah kalau mulut saya sebelum ini celupar sangat,” ujar Yusoffe dengan suara yang kendur.

“Eh, tak adalah. Tak kecil hati pun. Customer is always right!” balas Megdelina dengan nada berbaur sindiran. Dia semakin senang dan tenang.

Yusoffe tertawa halus lalu menghulurkan kad kredit kepada Megdelina. “Nanti awak tolong saya, ya? Awak tolong tunjukkan kat mana nak tanam pokok-pokok tu sampai siap.”

Megdelina mengangguk lalu meneruskan transaksi pembayaran. Setelah menyerahkan resit kepada Yusoffe, dia berkata, “Insya-ALLAH sebab niat awak nak buat taman tu untuk emak awak, jadi saya akan tolong. Saya akan tengok mana-mana yang perlu ditambah. Mungkin ada pasu yang lebih sesuai dan sebagainya.”

“Alhamdulillah... memang saya buat pilihan yang tepat untuk datang sini,” ujar Yusoffe segera berdiri dan bersiap mahu pergi.

Megdelina turut berdiri sambil mengulum senyum. “Insya-ALLAH, saya akan bantu apa yang boleh. Yang penting klien puas hati.”

“Macam tulah yang saya suka,” balas Yusoffe semakin galak.

Megdelina bersyukur kerana berjaya membuat jualan tertinggi sepanjang minggu itu. Tetapi tidak bermakna dia sudah sukakan jejaka itu. Cukuplah sekadar waktu itu sahaja. Dia tidak tega berlama-lama kerana hatinya makin tidak tenteram.

Tiba-tiba namanya dipanggil. Megdelina berpaling dan nampak seseorang sedang menghampiri mereka. Dia berkata kepada Yusoffe, “Terima kasih ya? Saya ada klien. Apa-apa nanti awak telefon.”

“Nombornya?” Yusoffe cuba menahan.

Megdelina tidak jadi melangkah lalu dia menjawab. “Ada kat resit tu.”

“Bagilah nombor handphone, senang sikit,” balas Yusoffe cuba memancing.

Lantas Megdelina mengeluarkan kad bisnes lalu diserahkan kepada Yusoffe tanpa bersuara.

“Eh, ini kalendar poket bukan business card!” Yusoffe membelek kalendar poket di tangannya.

“Belakang tu ada nombor telefon saya,” balas Megdelina pantas.

“Oh, patutlah... err... minta dua keping, boleh?” Yusoffe memandang Megdelina sambil tersengih.

“Boleh... boleh... nak pass pada kawan-kawan ya? Saya bagi dua terus,” balas Megdelina sambil menyerahkan kad namanya sebelum terus melangkah tanpa berpaling lagi.

Dia mendapatkan seorang lelaki bertubuh agam berpakaian serba hitam yang berdiri di jarak lebih kurang 10 meter dari situ. Kemudian mereka berjalan beriringan lalu menghilang di sebalik pokok buluh panda.

Yusoffe yang ditinggalkan hanya mampu menelan air liur. Dia menggaru tengkuk sambil mengeluh panjang. Ternyata belum puas dia berbicara dengan gadis itu. ‘Kurang ajar sungguh lelaki yang datang tu,’ getus hatinya dengan perasaan bengang.

Tegakah dia membiarkan sahaja Megdelina pergi bersama lelaki itu? Ah, itu bukan Yusoffe namanya. Dia perlu menyiasat kerana Megdelina seolah-olah sudah mengenali lelaki itu. Jadi, dia bukan pelanggan biasa.

Matanya liar mencari kelibat Megdelina. Dari celah pokok dia ternampak si gadis sedang rancak berbual dengan lelaki berpakaian serba hitam tadi.

Terhendap-hendap dia menghampiri lokasi Megdelina. Nampak mesra benar mereka berbual. Siapa lelaki itu? Perlahan-lahan dia mendekatkan diri. Dia mahu melihat wajah lelaki itu dengan jelas. Matanya tajam memerhati dan menilai. Tinggi lima kaki sepuluh inci. Tinggi sikit saja daripada Megdelina. Mukanya tampan dan dadanya bidang. Bahkan perutnya pun kempis.

Yusoffe menekan perutnya yang sedikit berisi. Dia menarik nafas cuba mengempiskan perut dan meluruskan bahu agar nampak lebih bidang. Matanya terjunam ke kasut lelaki itu. Dia boleh agak lelaki itu kaya atau tidak melalui kasutnya. Jelas kelihatan jenamanya di situ. Kasut diperbuat daripada kulit anak lembu 100%. Halus buatannya dan pasti mahal harganya. Dada Yusoffe tiba-tiba sesak. Jantungnya berdebar-debar. Tanda awas terus menjelma di fikirannya.

MEGDELINA tertawa. Malu bila teringatkan bagaimana marahnya dia pada Syafil malam tadi. Sejuk hatinya bila Syafil muncul memohon maaf.

Syafil perasan ada seseorang sedang mengendap mereka. Dia mengerling ke arah lelaki itu. Perbualannya terganggu. Sesekali matanya terkalih pada lelaki itu.

Megdelina yang perasan dengan reaksi Syafil, pantas menoleh ke arah yang sama. “Kenapa?”

Syafil menggeleng. Menyedari kehadirannya disedari, Yusoffe pantas menyorok agar tidak dilihat oleh Megdelina.

“Err... rasanya macam lelaki yang dengan awak tadi. Tapi, tak apalah, kat mana kita tadi?” sambung Syafil yang masih menoleh-noleh ke kanan.

“Awak cakap pasal pokok halau nyamuk,” ujar Megdelina yang turut menoleh seketika ke arah yang dilihat oleh Syafil tadi. Dia tahu siapa yang dimaksudkan oleh Syafil tetapi sengaja tidak mahu mempedulikan jejaka yang dianggap psikotik itu.

“Hah, itulah! Malam tadi nyamuk memang banyak gila. Sebab itulah saya bakar sampah kat belakang rumah tu. Memang dah lama nak buat tapi asyik sibuk aje. Malam tadi dah tak tahan geram sangat, saya bakar terus.”

Megdelina terangguk-angguk. Timbul rasa menyesal kerana marahkan Syafil semalam.

“Lepas tu saya teringat pasal pokok halau nyamuk yang mak saya pernah cerita dulu. Kebetulan awak pun kerja di nurseri ada peluanglah kalau nak diskaun, kan?”

Megdelina tergelak. “Alah, apalah sangat. Percuma pun boleh.”

“Hah? Betul ke? Bos tak marah?” soal Syafil sambil menyeka keringat. Hatinya bergetar setiap kali berdepan dengan gadis manis itu.

“Saya beli guna harga staf. Jadi tak apalah kalau saya bagi pokok tu sebagai hadiah. Awak kan selalu bagi kami makan percuma?” ujar Megdelina dengan perasaan senang. Dia sangat senang dengan Syafil yang dianggap jiran terbaik.

Syafil tersenyum bangga. “Baguslah idea awak tu. Saya suka.”

“Pandai awak cari saya, ya?” soal Megdelina yang sedikit pelik mengenai kehadiran Syafil. Setahunya dia belum pernah bercerita lagi tentang tempat dia bekerja.

“Saya memang dah biasa dengan kawasan ni. Malam tadi bila saya tanya Netty, saya terus confirm lot ni. Saya pernah datang beberapa kali tapi tak pernah nampak awak,” kata Syafil yang agak ralat kerana terlambat mengenali Megdelina.

Gadis itu tersenyum. “Oh, dulu saya banyak buat kerja ofis. Sekarang ni bos saya selalu tak ada, jadi kenalah saya in charge semua.”

“Kalau macam tu awak pun bos jugalah.” Syafil pantas mengusik.

“Bos kecil aje,” balas Megdelina merendah diri.

“Janji bos...”

Kedua-duanya tergelak. Suara ceria itu benar-benar membakar hati insan yang sedang bersembunyi di sebalik pokok Tapenochilus Ananassae.Tiba-tiba angin deras menerjah daun-daun pokok di sekitarnya.

Sejurus itu sekuntum bunga Frangipani merah jambu melayang jatuh di atas kepala Yusoffe tanpa dia sedari. Yusoffe melepaskan keluhan berat sebelum berlalu menuju ke kereta dengan perasaan hampa.

Sebaik dia menghempas punggung, bunga Frangipanimelurut dari kepalanya yang senget lalu terjatuh di kerusi belakang. Jatuhnya secara kejam ibarat hati Yusoffe yang sudah retak lalu terhentak ke permukaan. Kesian Frangipaniitu yang bakal layu tak berteman kerana tiada siapa pun sedar akan kehadirannya bertandang dengan niat melamar kerinduan.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh