Home Novel Cinta Bukan Salah Cinta
Bukan Salah Cinta
21/11/2014 11:21:38
22,362
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

JAM sudah menunjukkan 7.00 pagi. Hari ini Megdelina bercuti. Bekerja di pusat jualan membuatkan cuti Megdelina tidak menentu. Cutinya akan beranjak-anjak antara Isnin hingga Jumaat. Manakala Sabtu dan Ahad merupakan hari ‘haram’ cuti. Jadi, terpaksalah dia pulang menjenguk abahnya pada hari biasa.

Biarpun masih awal tetapi dia sudah pun kembali dari pasar. Di dalam boot keretanya penuh dengan bahan mentah dan bahan kering yang akan dibawa ke rumah abahnya. Setiap bulan itulah yang dilakukannya. Dia akan memastikan keperluan abahnya dipenuhi supaya mudah orang tua itu menjalani kehidupan hariannya.

Sesekali dia menguap. Tidurnya tidak lena sejak kebelakangan ini. Selalu saja terngiang-ngiang dan terpandang-pandang seseorang. Entah kenapa jiwanya galau. Mengelamun orang yang dibenci menyebabkan satu kerja pun tidak menjadi. Puas diusirnya bayangan itu pergi namun tetap melekat di sanubari.

“Assalammualaikum!”

Megdelina segera berpaling. “Walaikumussalam. Syafil? Awalnya keluar?”

“Nak pergi pasar. Petang ni ada shooting dengan majalah,” ujar Syafil sambil mengerling ke arah bootkereta Megdelina.

“Wah, dah popular nampak?” Mengdelina sengaja menggiat pemuda itu.

Syafil mengerising. “Terpaksa. Kalau tidak, nanti orang tak kenal kita.”

“Yalah. Kalau nak berjaya cepat, kena baik-baik dengan orang media. Banyak peluang untuk promosi diri.”

Sambil mengangguk, dia memerhati Megdelina yang santai dengan skirt labuh dan blaus polos kain kapas. Selalunya kalau ke tempat kerja, Megdelina akan berseluar jean atau seluar komando. Tapi hari ini lain pula gayanya.

“Nak ke mana? Banyak sangat barang dalam boot ni? Tak kerja ke hari ni?”

“Oh, cuti. Hari ni nak pergi rumah abah.”

“Balik kampung?”

“Eh, tak. Abah saya tak duduk kampung. Dia duduk di flat dekat Kajang.”

“Kira balik kampung jugalah tu... kampung Kajang,” usik Syafil. “Dah siap ke backyard awak?”

“Alhamdulillah, siap. Nanti cubalah awak tengok dan bagi komen.”

Syafil tergelak. “Bab komen saya memang suka juga. Nanti bila saya komen jangan kecil hati pula.”

“Alah, takkan pasal hal kecil pun nak kecil hati? Komen yang membina akan membantu kita untuk memperbaiki diri,” balas si gadis sambil mengerling ke arah pintu rumah sewanya. Risau kalau ada yang terpacul di situ. Dia tidak mahu menimbulkan sebarang isu baru.

Syafil perasan sikap Megdelina segera bertanya, “Kenapa? Ada yang nak ikut awak sekali ke?”

“Eh, taklah. Saya takut dia orang lambat lagi keluar. Malas nak kunci pintu pagar ni,” ujar Megdelina, mencari helah.

“Oh, tak apalah. Awak pergilah. Saya nak siram kereta ni dulu. Kotor benar nampaknya kereta ni. Dah seminggu tak cuci. Nanti saya tutupkan pintu pagar. Insya-ALLAH selamat,” ujar Syafil menawarkan khidmat.

Megdelina mengangguk sebelum dia masuk ke dalam kereta. “Terima kasih. Netty kirim salam,” sempat dia menitipkan kata-kata itu. Dia terus membunyikan hon keretanya meluncur meninggalkan Syafil.

Syafil tersenyum kelat. “Netty?” Matanya terus memandang kereta MyVi putih itu hingga lenyap daripada pandangan. Dia langsung tidak sedar yang air paip di tangannya melimpah menghala ke jalan raya. Tiba-tiba bahunya ditepuk.

Dia berpaling lalu paip di tangannya menyemburkan air pula pada yang empunya badan yang menepuk bahunya.

“Argh!!!” Jeritan Netty bergema bagaikan ternampak harimau. Dia benar-benar terkejut.

Apatah lagi Syafil. Pantas dia melepaskan getah paip lalu meluru ke pili untuk menutupnya. Kemudian dia kembali semula mendapatkan Netty yang kalut.

“Ya ALLAH! Maafkan saya, Netty. Saya tak sengaja!”

“Mata awak letak kat mana? Tak nampak ke? Habis basah baju ni….orang dah lambat tau!” bentak Netty hampir menangis. Dia tidak pernah menyangka yang dia akan disimbah air dalam keadaan begitu. Sudahlah bajunya itu diperbuat daripada kain sifon yang tidak boleh kena air. Kain ini hanya boleh dicuci dengan cucian kering.

Syafil hanya memandang dengan mata terbeliak. Dia nampak corak pada baju Netty sudah pecah dan warnanya luntur. “Maaf, Netty... maafkan saya.” Hanya itu yang mampu diulanginya.

Netty memandang lengan bajunya dengan mata berkaca. Habis semuanya. Baju mahal itu baru pertama kali disarungnya demi majlis istimewa hari ini. Dia menjadi juru acara bagi sambutan Hari Guru di sekolahnya. Tetapi segalanya sudah musnah. Apatah lagi mengenangkan yang ansuran baju itu pun belum habis dibayar. Netty meraung lalu berlari masuk ke dalam rumah.

Syafil gelisah. Tidak tega pergi selagi tidak mendengar perkataan yang mengampunkan dosanya pagi itu. Walaupun dia tidak sengaja tetapi ‘kecederaan’ yang dialami Netty sangat besar. Dia tahu wanita sangat menghargai pakaian mereka, apatahlah lagi pakaian yang mahal. Malah mereka boleh naik hantu jika ada yang merosakkan ‘harta’ mereka itu.

Dia sedia menerima hukuman. Dendalah apa sahaja waimah menggantikan baju baru, dia sanggup. Perasaan bersalahnya semakin menggunung.

Hampir20 minit Syafil menunggu di luar, akhirnya Netty muncul dengan pakaian lain. Mukanya masam mencuka.

Netty pantas melangkah mendapatkan keretanya tanpa memandang wajah Syafil. Marah benar dia pada lelaki itu.

Namun, Syafil tidak berputus asa. “Netty, maafkan saya. Biar saya hantar awak hari ni. Saya tahu awak nak cepat, kan?”

Serta-merta langkahnya terhenti. Netty memandang Syafil cuba mencari kebenaran kata-kata itu. Dia cuba menyembunyikan senyum lalu berkata, “Memang pun! Saya ada acara penting pagi ni! Memandangkan saya dah lambat, awak kena hantar saya sampai depan dewan!”

“Boleh... boleh... mari saya hantar!” kata Syafil dengan hati yang galau. Risau jika Netty tidak mahu memaafkannya.

Tanpa berlengah lagi, dia terus membuka pintu di sebelah penumpang dan mempersilakan Netty masuk. Manakala dia pula segera mendapatkan kerusi pemandu.

Hati Netty berbunga-bunga dan tatkala dia mengerling ke arah rumah sewanya, dia nampak ada kelibat manusia di tingkap. Senyuman sinis terus terukir. Dia puas kerana dia ada saksi. Pantas dia mengerling semula ke arah Syafil dengan renungan tajam pura-pura marah. Lelaki itu makin panik lalu memecutkan keretanya.

Sementara itu, di celah tingkap seseorang sedang menganga mulut setelah menyaksikan kejadian itu. Roza menggosok-gosok matanya seolah-olah tidak mahu percaya peristiwa yang berlaku di depan matanya. Kereta Netty yang terkejung di situ direnungnya penuh persoalan. Rosakkah? Ah, tak mungkin! Kalau rosak, tentu Netty sudah menyuruh dia yang menghantarnya ke sekolah.

Gerangan apakah permainan yang sedang berlaku? Setahunya, Syafil ada menyimpan hati pada Megdelina dan sanggup membuat apa sahaja untuk memikat gadis itu tetapi kenapa di belakang Megdelina lain pula jadinya? Kenapa dia melayan Netty dengan begitu baik? Apa yang telah berlaku? Adakah hati Syafil sudah berpaling arah?

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh